Oleh Nasron Sira Rahim

Kedudukan Melaka lebih strategik daripada Temasik mudahkan kapal dagang Timur, Barat berlabuh

 

PROFIL: Sultan Iskandar Syah
Nama sebelum Islam:
Parameswara
Tahun lahir: 1344
Tahun meninggal: 1424 (80 tahun)
Sumbangan: bekas putera Srivijaya di Palembang (Indonesia), bekas pemerintah Temasik (Singapura), pengasas kerajaan Melaka dan Sultan Melaka pertama.


KETIKA mengenang kembali sejarah lampau, Parameswara mungkin menyedari bahawa kegagalan pada satu episod pengalaman bukanlah pengakhiran kepada sebuah drama kehidupan.

Betapa tidak, Kerajaan Srivijaya warisan keluarganya yang diasaskan sebegitu lama akhirnya diserang dan dirampas Kerajaan Majapahit sekitar abad ke-14.

Negeri tanah tumpah darahnya di Palembang, Sumatera dijajah kuasa besar berkenaan menyebabkan daripada golongan aristokrat, putera raja itu menjadi pelarian ke Temasik (Singapura).

Episod duka mungkin menemani jalan hidupnya sejak kejadian rampasan kuasa itu berlaku. Mujur saja pelariannya diterima baik di Temasik yang ketika itu berada di bawah naungan Siam.

Di Temasik, Parameswara mungkin menyedari bahawa usahanya untuk menawan kembali Palembang dan membela negeri watannya itu tidak mungkin menjadi kenyataan. Majapahit satu kuasa besar di Nusantara ketika itu, mana mungkin dia mampu mengalahkan kerajaan gergasi berkenaan.

Bagaimanapun, sebagai seorang yang bercita-cita besar dan bijak bermain catur politik, Parameswara enggan mengalah dengan babak kejatuhan kerajaan keluarganya serta meneruskan hidup penuh kekesalan sebagai rakyat kebanyakan.

Dia mula merancang strategi. Kegemilangan Srivijaya yang sudah lama diliputi kesuraman sejak serangan kerajaan Colamandala, India pada abad ke-11 seterusnya musnah akibat serbuan Majapahit ingin dikembalikan putera itu.

Peluang berlindung di Temasik menyebabkan dia mengkaji kemungkinan kedudukan pulau itu sesuai menjadi pusat pentadbiran baru Srivijaya.

Temasik memang memiliki kedudukan strategik – berada di tengah laluan antara lautan Barat dan lautan Timur, kawasan itu berpotensi berkembang maju. Kemudian dia cuba menuntut kembali hak pertuanannya ke atas Temasik dengan alasan pulau itu pernah berada di bawah jajahan Srivijaya sebelum ditakluk Siam.

Konflik mula tercetus antara dirinya dengan pemerintah Temasik ketika itu iaitu Temagi. Tanpa titik persetujuan, persengketaan berterusan sehingga diakhiri dengan pembunuhan ke atas Temagi.

Ketiadaan pemimpin selepas kematian Temagi menyebabkan Parameswara menjadi pemerintah Temasik untuk seketika. Bagaimanapun, hasratnya untuk mengembalikan kegemilangan Srivijaya dengan menjadikan Temasik sebagai pusat pemerintahan berjaya dihidu musuh ketat.

Kerajaan Siam yang berang dengan kematian Temagi mula mengatur rancangan pembalasan manakala Kerajaan Majapahit yang sudah lama memburu Parameswara mula mencatur serangan besar-besaran.

Rancangan besar musuh ketat daripada dua penjuru itu menyebabkan Parameswara mula memikirkan bahawa dirinya tidak lagi selamat untuk memerintah Temasik. Bersama sekumpulan Orang Laut, dia meninggalkan pulau itu dan berundur ke Muar.

Beberapa ketika di Muar, dia dan pengikutnya meneruskan perjalanan ke Sungai Ujong dan Bertam serta terus menghala ke Utara sehinggalah mereka tiba di sebuah perkampungan nelayan yang penduduknya terdiri daripada Orang Melayu, Orang Laut dan Orang Asli.

Ketika berada di kawasan itulah diceritakan bahawa kisah terkenal mengenai kewujudan Melaka berlaku. Menurut teks ‘Sejarah Melayu’, ketika Parameswara berehat di bawah sebatang pokok, dia melihat suatu situasi aneh dan luar biasa.

Anjing buruannya kalah ditendang seekor pelanduk. Kejadian menghairankan itu benar-benar membuntukan akal logiknya. Masakan pelanduk kecil mampu mengalahkan seekor anjing buruan?

Melihat kejadian luar biasa itu menimbulkan satu kesedaran terhadap dirinya. Dia memikirkan bahawa kejadian itu adalah petanda mengenai ‘kehebatan’ kawasan berkenaan. Di benak mindanya mula memikirkan bahawa perkampungan nelayan itu mampu menjadi kuasa besar.

Kawasan itu lebih strategik dari Temasik. Kedudukannya yang hampir dengan laut memudahkan kapal dagang berlabuh untuk mendapatkan bekalan air bersih. Bentuk muka bumi yang berbukit boleh dijadikan petunjuk bagi pelayar dan memudahkan urusan mengawal Selat Melaka.

Lebih penting adalah angin monsun tidak mengganggu kegiatan perdagangan kerana muara sungainya terlindung daripada tiupan angin berkenaan. Pokok bakau dan api-api yang banyak terdapat di sekitar pula boleh dijadikan benteng pertahanan semula jadi daripada serangan musuh.

Lalu dia memutuskan untuk membangunkan sebuah kerajaan di situ. Ketika memikirkan mengenai nama kerajaan dan tempat yang ingin dibangunkannya, dia bertanya kepada seorang pengikutnya.

“Pohon apakah ini?” begitulah kemungkinan soalannya sambil merujuk kepada pokok yang disandar olehnya ketika itu.

“Pohon ini bernama Melaka, tuanku.”

“Baiklah, beta namakan tempat ini sebagai Melaka,” katanya dan bermula daripada peristiwa sekitar tahun 1400 itulah, sebuah kerajaan dinamakan Melaka mula wujud. Daripada perkampungan nelayan, kebijaksanaan Parameswara memerintah kawasan itu menukarkannya menjadi sebuah kerajaan gemilang sehingga terkenal di peringkat antarabangsa.

Sistem pemerintahan teratur dalam kerajaan mula disusun Parameswara; kemudahan pelabuhan yang membekal air bersih, makanan dan khidmat membaiki kapal dititikberatkan; hubungan diplomatik dengan kuasa lain seperti Siam dan China diusahakan dan bantuan Orang Laut untuk menjaga keselamatan perairan Melaka diberi sepenuh perhatian.

Hasilnya, kuasa asing mula singgah di situ, tidak saja untuk mendapatkan bekalan air bersih tetapi untuk menjalankan perdagangan. Pedagang Arab memanggil Melaka dengan nama ‘Mulaqah’ yang bermaksud pertemuan selain ‘Malakat’ iaitu perhimpunan segala dagang.

Selain China dan Siam, Melaka memiliki hubungan diplomatik dengan Gujerat (India), Ryukyu (Jepun), Tanah Arab dan kawasan berhampiran.

Pada usianya menjangkau 70 tahun, Parameswara memeluk Islam selepas berkahwin dengan Puteri Pasai. Baginda menukarkan namanya kepada Sultan Iskandar Shah. Sultan Iskandar Syah wafat pada usianya 80 tahun, ketika kegemilangan Melaka semakin bersinar dan menjadi sebuah kuasa besar.

Sebelum kemangkatannya, Parameswara mungkin boleh tersenyum bangga kerana hasratnya untuk mengembalikan kegemilangan Srivijaya sudah tercapai. Hanya membezakannya, kerajaan itu tidak lagi bernama Srivijaya, tetapi digelar Melaka yang turut terkenal sebagai Kerajaan Islam.

KRONOLOGI: Anggaran rentetan tahun sejarah Kesultanan Melaka

1400: Parameswara, putera raja dari Palembang melarikan diri ke Temasik selepas Palembang ditumpaskan Majapahit dan akhirnya membuka Melaka.

1403: Laksamana Yin Ching dalam misi perdagangannya singgah di Melaka dan menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan China-Melaka.

1409: Parameswara membayar ufti kepada China untuk mendapat perlindungan serangan Siam.

1409: Laksamana Cheng Ho, Ketua Armada perdagangan China dan pembesar tiba di Melaka bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

1411: Parameswara diiringi pembesar Melaka dengan rombongan pengiring seramai 540 orang serta ditemani Laksamana Cheng Ho belayar ke China untuk mengadap Maharaja Yung Lo.

1414: Parameswara berkahwin dengan Puteri Pasai. Baginda memeluk agama Islam dan menggunakan gelaran Sultan Iskandar Shah.

1424: Parameswara mangkat dan anakandanya, Sri Maharaja menaiki takhta dan menukar namanya menjadi Sultan Muhammad Shah.

1444: Sultan Muhammad Shah diganti putera bongsunya, Raja Ibrahim.

1445: Raja Ibrahim dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran Sultan Abu Syahid.

1446: Raja Kassim menaiki takhta dan menggunakan gelaran Sultan Muzaffar Shah serta mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi Melaka.

1447: Serangan pertama Siam ke atas Melaka. Pihak Siam ditewaskan tidak jauh dari Muar.

1456: Tun Perak menjadi Bendahara dengan gelaran Bendahara Paduka Raja. Beliau berkhidmat di bawah empat sultan dan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.

1458: Sultan Mansur Shah menaiki takhta. Maharaja China menghantar Laksamana Cheng Ho yang membawa Puteri Hang Li Po dan dikahwinkan dengan baginda. Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpateh Puteh dengan segolongan pengiring ke negeri Cina untuk mengiring Hang Li Po.

1477: Sultan Mansur Shah mangkat dan Sultan Alauddin Riayat Shah menaiki takhta pada usia 15 tahun. Baginda adalah seorang yang tegas dalam melaksanakan tugasnya.

1488: Sultan Alauddin diracun mati di Pagoh dan diganti oleh Sultan Mahmud Shah

1498: Tun Perak meninggal dunia.

1500: Tun Mutahir, sepupu Tun Perak, menggantikannya sebagai Bendahara bergelar Bendahara Seri Maharaja dan menjadi bendahara yang paling berkuasa di kalangan bendahara.

1509: Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal daripada Angkatan Diraja Portugal tiba di Melaka. Mereka adalah orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar ‘Benggali Putih’ oleh orang tempatan. Disebabkan perselisihan faham, angkatannya diserang Melaka dan 20 anak kapalnya ditahan.

1510: Bendahara Tun Mutahir dan keluarganya mati dibunuh Sultan Mahmud Shah kerana beliau enggan menyerahkan anaknya Tun Fatimah kepada baginda. Sultan Mahmud Shah memilih anaknya, Sultan Ahmad Shah menggantikan baginda sebagai sultan sementara.


KRONOLOGI: Melaka terus menjadi rebutan kuasa besar

ERA PEMERINTAHAN PORTUGIS

1511: Alfonso d’Albuquerque tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan membina sebuah markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak sultan. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos dan membina A Famosa dalam tempoh enam bulan. Dengan tewasnya Sultan Mahmud Shah, Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.

1518-1519: Sultan Mahmud Shah mengerah rakyatnya membina tembok tinggi mengelilingi Melaka dalam masa tiga bulan.

1523: Sultan Mahmud gagal sekali lagi dalam penawanan Melaka.

1525: Laksamana Hang Nadim mengepung Kota A Famosa. Portugis membuat catuan makanan dari Goa.

1526: Seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang melindungi Sultan Mahmud Shah. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatera.

1528: Sultan Mahmud Shah mangkat di Kampar, Sumatera.

1537: Aceh menyerang Portugis di Melaka pada kali pertama.

1545: Fr Francis Xavier tiba di Melaka. Membuat lima lawatan ke Melaka kerana hendak menjadikan Melaka sebagai pusat operasinya di Timur.

1548: Kolej St Paul, sekolah pertama di Melaka dibina oleh St Francis Xavier untuk orang Katolik Portugis dan orang tempatan yang memeluk agamanya.

1551: Gabungan Johor, Japara dan Perak yang mantap menawan Melaka selepas mengepung selama tiga bulan.

1553: Fr Francis Xavier meninggal di Pulau Sancian berdekatan Canton, China dan dibawa ke gereja St Paul selama sembilan bulan. Mayatnya kemudian dibawa semula ke Goa, India.

1568: Johor membantu Portugis Melaka mematahkan serangan Aceh. Aceh mengawal Selat Melaka selama enam puluh tahun.

1582: Portugis membantu Johor daripada serangan Aceh, dan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah menjadi Sultan Johor pertama yang melawat Melaka.

1587: Johor menyerang Portugis secara besar-besaran melalui serangan tanah daratan dan laut tetapi gagal sewaktu angkatan Portugis sampai dari Goa.

1588: Pelawat Inggeris pertama, Ralph Ritch tiba di Melaka.

1597: Belanda membuat serangan pertama ke atas Kota Portugis Melaka.

1606: Belanda di bawah Laksamana Matelieff de Jonge bekerjasama dengan Sultan Johor untuk menguasai Melaka. Percubaan selama tiga bulan gagal apabila Portugis mendapat bantuan Goa.

1615-1616: Aceh menyerang Melaka.

1628-1629: Aceh memerintah Melaka selama lapan bulan sebelum Portugis mengambil semula Melaka.

1636: Kapal Belanda memusnahkan kapal Portugis di pelabuhan.

ERA PEMERINTAHAN BELANDA

1641: Belanda menewaskan Portugis pada 14 Januari dan menakluk Melaka dengan bantuan Sultan Johor. Gabenor Portugis, Manuel de Souza Couthinho, menyerah kalah kepada Kapten Minne Williemson Kaartokoe.

1645: Tokong Cheng Hoon Teng dibina Kapten Lee Wei King dan menjadi tokong Cina tertua di Malaysia.

1645-1670: Perang antara Belanda-Naning.

1650: Bangunan Stadthuys dibina sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan timbalannya, dan dijadikan pusat pentadbiran Belanda di Melaka.

1710: Gereja St Peter, gereja Katolik tertua di Malaysia, dibina selepas Belanda memberi kebebasan kepada orang Katolik mengamalkan agama mereka.

1753: Gereja Christ, yang melambangkan seni reka bentuk Belanda siap sepenuhnya selepas dibina selama 12 tahun.

1756: Bugis di bawah pemerintahan Daeng Kemboja menyerang Melaka.

1784: Raja Haji datang ke Melaka untuk menawannya tetapi terbunuh ketika pertempuran di Teluk Ketapang.

1795: Syarikat Hindia Timur menguasai Melaka buat sementara ketika Perang Napoleon.

1807: British di bawah William Farquar mula memusnahkan kubu Portugis dan mengusir pengaruh Portugis dari Melaka. Kemudian Belanda merancang menukarkan pedagang yang datang ke Melaka berpindah ke Pulau Pinang dan berhasrat melemahkan kekuatan Melaka. Kerja memusnahkan kota itu membabitkan perbelanjaan sekitar 70,000 paun sterling.

1808: Kedatangan Sir Stamford Raffles menyelamatkan Melaka daripada kemusnahannya dengan persetujuan Lord Minto. Rancangan pemindahan penduduk dibatalkan.

1818: Melaka dipulangkan kepada Belanda di bawah Perikatan Vienna selepas Perang Napoleon.

1819: Sultan Husin Shah menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Makam baginda terdapat di Masjid Tengkera.

ERA Pemerintahan British

1824: Satu Perikatan British-Belanda (Perikatan London) dibuat yang mana British memberi Bengkulu di Sumatera kepada Belanda sebagai pertukaran dengan Melaka. Perikatan ini ditandatangani untuk mengasingkan kawasan jajahan British dan Belanda. British menguasai kawasan utara Selat Singapura sementara Belanda di bahagian Selatan (Kepulauan Indonesia).

1826: Melaka, Pulau Pinang dan Singapura disatukan menjadi Negeri-negeri Selat.

1849: Gereja St Francis Xavier dibina untuk memperingatinya.

1867: Negeri-negeri Selat menjadi tanah jajahan British. Pejabat Pemerintahan Gabenor-Jeneral yang berpusat di India berpindah ke Pusat Pemerintahan di London.

1895: Penanaman getah secara ladang dilakukan Tan Chay Yan di Bukit Lintang, Melaka.

1941: Perang Dunia kedua berlaku. Jepun mengebom Pearl Harbour (Pengkalan Laut yang penting di Amerika Syarikat).

1942: Melaka jatuh ke tangan Jepun.

1945: British kembali menguasai Melaka setelah Jepun menyerah kalah kepada British di Singapura.

1948: Komunis menyerang dan menguasai Malaya selama 14 hari. British mengisytiharkan darurat dan situasi itu berakhir pada 1960.

1956: Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama mengumumkan tarikh kemerdekaan (31 Ogos, 1957) setibanya dari London. Pada tahun yang sama, Melaka menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara merdeka.

ERA KEMERDEKAAN

1957: Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos.

1963: Pembentukan Malaysia pada 16 September. Melaka menjadi sebahagian dari Malaysia. Singapura, Sabah dan Sarawak juga menyertainya.

1989: Melaka diisytiharkan sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April.

About these ads