Oleh : Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin rahimahullah

Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam secara beransur-ansur selama 23 tahun. Dan sebahagian besar wahyu Al-Qur’an itu Rasulullah terima di Makkah.

Allah ta’ala berfirman :

وَقُرْآناً فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النّاسِ عَلَىَ مُكْثٍ وَنَزّلْنَاهُ تَنْزِيلاً

”Dan Al-Qur’an, telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian” (QS. Al-Israa’ : 106)

Oleh kerana itu, para ulama rahimahumullah membahagi ayat Al-Qur’an menjadi dua kategori, iaitu Makkiyyah dan Madaniyyah. Ayat Makkiyyah adalah ayat-ayat yang diturunkan kepada Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam sebelum hijrah ke Madinah. Ayat Madaniyyah adalah ayat-ayat yang diturunkan kepada Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam setelah hijrah ke Madinah. Berdasarkan definisi tersebut, maka firman Allah ta’ala :

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الأِسْلاَمَ دِيناً

”Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu” (QS. Al-Maaidah : 3) adalah termasuk ayat Madaniyyah meskipun ayat tersebut turun kepada Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam pada saat Haji Wada’ di ‘Arafah.

Dalam Shahih Bukhari dari ‘Umar radliyallaahu ‘anhu bahawa ia berkata : “Sungguh kami benar-benar mengetahui hari dan tempat diturunkannya (ayat) tersebut kepada Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam. Ayat tersebut turun ketika beliau shallallaahu ‘alaihi wasallam berada di ‘Arafah pada hari Jum’at”.

Perbezaan Makkiyyah dan Madaniyyah

a. Dari Sisi Uslub

1. Ayat-ayat Makkiyyah pada umumnya uslub (gaya bahasa)nya sangat kuat dan khithab (pembicaraan)nya tegas; kerana mukhathab (orang yang diajak bicara) majoriti adalah para pembangkang dan orang-orang yang sombong. Tidak ada yang lebih patut bagi mereka kecuali hal itu. Silakan baca dua surah iaitu Al-Mudatstsir dan Al-Qamar.

Adapun ayat-ayat Madaniyyah, pada umumnya uslubnya halus dan khithab (pembicaraan)nya mudah, kerana majoriti orang yang diajak bicara adalah orang-orang yang menerima dan tunduk. Silakan baca Surah Al-Maidah.

2. Ayat Makkiyyah pada umumnya pendek-pendek dan kuat hujjahnya, kerana majoriti orang yang diajak bicara adalah orang-orang yang membangkang dan derhaka. Maka mereka diajak bicara sesuai dengan kondisi dan keadaan mereka. Silakan baca Surah Ath-Thuur.

Adapun ayat-ayat Madaniyyah pada umumnya panjang-panjang dan menyebutkan hukum-hukum yang disampaikan dengan tanpa banyak alasan. Kerana kondisi dan keadaan mereka menuntut hal itu. Silakan baca ayat tentang masalah hutang dalam surah Al-Baqarah.

b. Dari Sisi Pembahasan

1. Ayat-ayat Makkiyyah pada umumnya berisi tentang pemantapan ataupun penguatan Tauhid serta aqidah yang lurus, khususnya yang berkaitan dengan Tauhid Uluhiyyah dan iman kepada hari kebangkitan. Hal itu kerana orang yang diajak bicara majoriti mengingkari hal tersebut.

Adapun ayat-ayat Madaniyyah, pada umumnya berisi tentang penjelasan ibadah dan muamalah, kerana tauhid dan aqidah yang lurus telah menetap pada jiwa-jiwa orang yang diajak bicara, sedangkan mereka memerlukan penjelasan mengenai ibadah dan muamalah.

2. Pada ayat-ayat Madaniyyah banyak disebutkan tentang hukum masalah jihad dan karakteristik orang-orang munafik. Hal itu disebabkan kerana ketika disyari’atkannya ayat-ayat tersebut, telah muncul benih-benih kemunafikan. Berbeza dengan ayat-ayat Makkiyyah.

Beberapa Faedah Mengetahui Ayat Madaniyyah dan Makkiyyah

Mengetahui perbezaan ayat-ayat Makkiyyah dan Madaniyyah merupakan bahagian terpenting dari ilmu-ilmu Al-Qur’an, kerana hal itu mengandungi beberapa faedah antara lain :

1. Menunjukkan ketinggian balaghah dan uslub dalam Al-Qur’an sehingga dalam berdakwah atau mengajak kepada setiap kaum selalu disesuaikan dengan kondisi dan keadaan mereka, baik yang menyangkut tentang keras lembutnya bentuk ajakan mahupun berat ringannya suatu perintah.

2. Menunjukkan hikmah pensyari’atan hukum-hukum yang sangat sempurna, iaitu hukum-hukum itu diturunkan secara bertahap sesuai dengan keadaan, kondisi, dan tuntutan mukhathabiin (umat manusia) serta kesiapan mereka untuk menerima dan melaksanakan hukum-hukum tersebut.

3. Pendidikan dan pengarahan bagi para da’i agar mereka menerapkan prinsip-prinsip Qur’ani di dalam dakwah mereka, baik menyangkut pemilihan uslub ataupun tahapan-tahapan bahan yang tepat, disesuaikan dengan audien dakwah mereka.

4. Mengutamakan ayat yang nasikh (menghapuskan) dari ayat yang mansukh (yang dihapuskan) jika kedua ayat ini, iaitu ayat Makkiyyah dan Madaniyyah membahas suatu hukum yang sama yang mengharuskan adanya naskh (penghapusan), kerana ayat Madaniyyah adalah penghapus bagi ayat Makkiyyah. Hal tu disebabkan kerana ayat Madaniyyah lebih belakangan turunnya daripada ayat Makkiyyah.

About these ads