The image “http://medicalimages.allrefer.com/large/kidney-anatomy-1.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.SUDAH acap kali rasanya isu penyakit buah pinggang dibicarakan. Setiap kali perkara ini dibincangkan, inti pati sama diulang kembali.

Namun, ia belum dapat meningkatkan kesedaran masyarakat kerana bilangan pesakit di negara ini terus bertambah.

Hari ini, dianggarkan seramai 13,000 pesakit buah pinggang terpaksa bergantung kepada mesin hemodialisis untuk terus hidup dan pada masa sama senarai pesakit baru terus mencanak naik, dengan jumlah kasar 2,500 kes setiap tahun.

Kegagalan buah pinggang atau ginjal berlaku tanpa disedari. Ia juga jarang menunjukkan sebarang gejala hinggalah buah pinggang tidak boleh berfungsi lagi. Pada ketika ini baru timbul pelbagai gejala tidak menyenangkan seperti kerap kencing pada tengah malam, cepat letih, kurang selera makan, kaki bengkak atau kencing berdarah.

Hanya pada peringkat inilah kebanyakan pesakit mula terasa ada sesuatu yang “tidak kena” dengan badan mereka. Apabila diperiksa, baru diketahui buah pinggang “organ penting untuk membersihkan darah” sudah rosak sepenuhnya.

Walaupun sudah terlewat, pesakit seharusnya tidak putus harap kerana banyak peralatan perubatan dapat membantu mereka meneruskan kehidupan sempurna seperti orang lain.

Namun sebelum terkena, lebih baik kita mengambil langkah berjaga-jaga. Kurang kepekaan terhadap kesihatan diri dan tidak berminat mengetahui penyakit ‘lazim’ dalam masyarakat menyebabkan masalah kegagalan buah pinggang semakin bertambah bilangannya.

Buah pinggang adalah organ berbentuk kacang lima, setiap orang ada dua buah pinggang dan berat setiap satu kira-kira 150 gram.

Dalam buah pinggang yang kecil ini berlaku proses penapisan darah untuk membuang semua bahan toksin melalui air kencing. Darah bersih akan dialirkan balik ke dalam badan.

Secara umumnya buah pinggang ada empat tugas utama, iaitu membuang cecair berlebihan dari badan; menuras darah (mengambil balik khasiat yang diperlukan dan membuang bahan tidak berguna); mengawal tekanan darah, kiraan sel darah merah dan jumlah mineral dalam badan serta mengekalkan tulang yang sihat.

Banyak perkara boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, tetapi paling utama ialah kencing manis (diabetes mellitus) dan tekanan darah tinggi (hipertensi).

http://www.thelifetree.com/images/kidney01.jpgKetua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher, berkata satu pertiga daripada kes kegagalan buah pinggang disebabkan masalah kencing manis tidak terkawal.

Selain itu, penyakit darah yang merosakkan bahagian penuras buah pinggang dipanggil Glomerulonefritis, Sistemik Lupus Eritematosus (SLE), kehadiran batu karang dan jangkitan salur kencing juga boleh menyebabkan kegagalan ginjal.

Malah, individu yang ada sejarah keluarga mengalami penyakit buah pinggang perlu berhati-hati kerana mereka juga berisiko tinggi untuk mendapat penyakit sama.

Justeru, kata Dr Zaki, setiap orang perlu mengambil berat kesihatan diri dengan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Kaedah ini boleh membolehkan kita mengesan masalah pada buah pinggang dan melengahkan ia daripada mengalami kerosakan teruk.

Tanda kerosakan buah pinggang

Proses kerosakan buah pinggang berlaku secara perlahan-lahan dan mengambil masa lama. Ia lebih kerap berlaku di kalangan berumur (tiga kali ganda berbanding golongan muda). Justeru, gejalanya sering tidak disedari hinggalah buah pinggang gagal berfungsi. Ramai tidak sedar perkara ini hinggalah mereka menjalani pemeriksaan kesihatan.

Antara tanda yang perlu diperhatikan ialah:

  • Rasa tidak selesa atau terbakar (sakit) ketika buang air kecil.

  • Air kencing bercampur darah.

  • Berlaku perubahan jadual membuang air kecil. Biasanya ia menjadi lebih kerap.

  • Sakit belakang.

  • Kerap buang air kecil pada tengah malam.

  • Kaki membengkak, khususnya di pergelangan kaki.

  • Sekelip mata menjadi sembap dan ia berlarutan. Tanda ini lebih jelas pada waktu pagi.

Semua tanda di atas timbul berikutan buah pinggang tidak lagi mampu menyingkirkan bahan toksik dalam darah.

Bahan toksik ini lama kelamaan meracuni tubuh pesakit dan menimbulkan pelbagai komplikasi kesihatan.

Walaupun teknologi perubatan semakin canggih, kegagalan buah pinggang tiada ubatnya.

Perkara ini sering disalah anggap kebanyakan masyarakat kita. Untuk terus hidup, kata Dr Zaki, pesakit boleh menjalani dua jenis rawatan iaitu pemindahan buah pinggang atau dialisis darah.

Cara pertama (pemindahan buah pinggang) memerlukan belanja antara RM50,000 hingga RM100,000 tetapi masalah utama dihadapi pesakit ialah mendapatkan penderma buah pinggang.

Pembedahan boleh dilakukan segera jika ada ahli keluarga atau saudara mara sudi menjadi penderma atau daripada penderma lain (yang tiada kaitan darah) dan ia boleh dilakukan di HKL, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atau Hospital Selayang.

Bagaimanapun, perkara ini bukan mudah kerana bilangan orang yang rela menjadi penderma sungguh terhad.

Cara kedua dan lebih popular ialah dialisis darah, tiga kali seminggu. Walaupun kedengaran leceh, kaedah ini membolehkan pesakit menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Malah, mereka masih boleh terus menyumbang kepada produktiviti negara.

Perbelanjaan rawatan penyakit buah pinggang bukan murah. Seseorang memerlukan kira-kira RM3,000 sebulan jika menjalani dialisis di hospital swasta.

Secara umumnya pesakit membelanjakan RM23,000 setahun untuk dialisis saja. Itu belum termasuk kos ubat.

“Untungnya Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) ada 18 pusat hemodialisis di seluruh negara dengan bayaran yang jauh lebih murah (RM65 setiap sesi) bagi membantu meringankan beban pesakit. Justeru, kita perlu kerap menjalani pemeriksaan kesihatan supaya kegagalan buah pinggang dapat dikesan dan diberikan rawatan awal supaya kerosakan kekal tidak berlaku,” katanya.

Jika buah pinggang didapati rosak, jangan berputus asa. Masa depan masih ada. Pelancaran Kumpulan Sokongan Pesakit Buah Pinggang baru-baru ini membolehkan anda (pesakit, ahli keluarga atau individu perseorangan) mendapatkan maklumat, khidmat nasihat atau sokongan daripada pasukan perubatan dengan menghubungi talian 03-79549048 atau melayari laman web www.nkf.org.my.

Kaedah mencegah penyakit ginjal

  • Jalani pemeriksaan ginjal.

  • Amalkan pemakanan seimbang.

  • Minum banyak air, sekurang-kurangnya dua liter sehari.

  • Jangan merokok, lebih baik berhenti terus.

  • Makan ubat selepas mendapat nasihat doktor. Elakkan ubat yang tidak perlu kerana ia boleh memberi kesan dan merosakkan buah pinggang.

  • Kekalkan berat badan seimbang.

  • Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

About these ads