Oleh : NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

APABILA anak demam dan suhu badan meningkat mendadak, ramai ibu bapa tidak boleh tidur malam. Perasaan risau, serba salah dan bimbang bercampur aduk, apatah lagi jika berlaku pada pasangan muda yang baru menimang cahaya mata serta tidak tahu bagaimana hendak mengurangkan penderitaan si kecil.

Demam adalah masalah kesihatan biasa yang berlaku pada kebanyakan kanak-kanak. Walaupun kadangkala membimbangkan, ia sebenarnya menandakan badan mereka melawan jangkitan atau keradangan yang disebabkan bakteria atau virus.

Apabila demam, sel darah putih pesakit akan cuba melawan bakteria atau virus dengan mengeluarkan bahan kimia yang menaikkan suhu badan.

Peningkatan suhu badan ini sebenarnya cara membunuh kuman, tetapi ia juga boleh menyebabkan anak anda demam.

Bagaimanapun, dalam risalah keluaran Panadol, perunding paediatrik, Dr Khoo Phaik Choo, berkata demam itu bukan satu penyakit, tetapi ia menjadi petanda atau amaran kepada penyakit lain iaitu daripada sakit tekak hinggalah kepada jangkitan demam denggi.

Ramai beranggapan lebih tinggi suhu badan, demamnya semakin berbahaya. Namun tanggapan ini kurang tepat kerana suhu tinggi tidak semestinya bermakna anak anda lebih sakit berbanding suhu lebih rendah.

“Suhu badan tidak boleh dijadikan pengukur kesakitan anak. Cara lebih tepat ialah melihat keadaan dan tindak balasnya. Jika anak anda tidak menangis, tidak banyak kerenah dan masih ada selera makan, kemungkinan mereka tidak menghadapi masalah yang perlu dirisaukan.

“Sebaliknya, masalah mungkin serius jika mereka menunjukkan tanda terlalu lesu, lemah dan tidak bermaya serta muntah secara berlebihan,” katanya.

Malah, suhu badan tinggi masih tidak dianggap demam hinggalah ia mencecah 37.5 darjah Celsius (100 darjah Farenheit) atau lebih tinggi. Suhu badan normal ialah 37 darjah Celsius (98.6ºF) dan paras ini turun naik sepanjang hari.

Katanya, suhu badan juga bergantung kepada waktu ia diambil dan kelasakan si kecil. Justeru, ibu bapa disaran menyimpan jangka suhu (termometer) di rumah supaya lebih mudah mengukur suhu badan anak dengan tepat, dan bukan berdasarkan sentuhan tangan saja.

Ukuran suhu badan anak kecil biasanya diambil di bawah lengan (ketiak) atau telinga. Ukuran suhu badan yang diambil di bawah lengan adalah 0.5 darjah lebih rendah daripada suhu yang diambil pada telinga.

Malah, ia juga perlu diukur beberapa kali untuk melihat perubahan suhu badan anak. Ukuran tepat ini dapat membantu doktor mengenal pasti masalah kesihatan anak anda jika demamnya berterusan.

Walaupun ramai ibu bapa resah apabila anak demam, ada juga yang mengambil sikap tunggu dan lihat sama ada keadaan menjadi bertambah buruk atau sebaliknya sebelum memberikan ubat. Ini terpulang kepada penilaian masing-masing.

Kaedah melawan demam

Beri si manja minum banyak air masak. Demam menyebabkan kanak-kanak banyak kehilangan air dalam badan, dan demam yang berpanjangan boleh mengakibatkan penyahidratan atau kekurangan air dalam badan.

Bantu anak untuk berasa selesa. Kanak-kanak yang demam mungkin berasa letih, lesu dan kurang selera makan. Bagaimanapun, semua ini gejala sementara dan mereka akan pulih seperti biasa sebaik demamnya sembuh. Ketika ini, pakaikan si manja dengan baju daripada fabrik nipis dan ringan yang mempunyai aliran udara baik.

Jangan paksa anak anda makan. Secara umumnya orang yang demam kurang selera makan dan ia juga berlaku pada kanak-kanak. Biarkan mereka menentukan bila dan apa yang ingin dimakan.

ANTARA FAKTA YANG PERLU DIKETAHUI MENGENAI DEMAM

  1. Suhu badan normal biasanya 37 darjah Celsius.

  2. Ukuran suhu badan anak kecil biasanya diambil menerusi bawah lengan (ketiak) atau telinga. Ukuran suhu badan yang diambil di bawah lengan adalah 0.5 darjah lebih rendah daripada suhu yang diambil menerusi telinga.

  3. Demam tinggi tidak semestinya menandakan keseriusan penyakit.

  4. Demam dialami kanak-kanak sihat yang sembuh dalam tiga atau empat hari tidak harus menimbulkan kebimbangan.

About these ads