Oleh : PROFESOR DR SYED HASSAN AHMAD
(Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Unimas)

MIMPI berlaku apabila seseorang itu tidur. Kajian menunjukkan hampir semua orang bermimpi setiap kali mereka tidur, tetapi bukan semua orang yang mengalami mimpi mampu ingat apa yang terkandung dalam mimpi mereka.

Ada orang mimpi perkara indah, contohnya pasangan yang baru mengenal erti berkasih-kasih, ada juga yang bermimpi dengan perkara menakutkan hingga menjadi igauan, seperti dikejar makhluk halus atau meninggal dunia.

Kandungan mimpi seseorang dipengaruhi keadaan emosi dan minda pada sesuatu ketika. Jika seseorang itu diselubungi pelbagai masalah sehingga dia tidak terdaya mencari jalan penyelesaian, lambat laun dia akan mengalami tekanan perasaan.

Keadaan seperti ini akan terbawa-bawa hingga ke alam tidur. Ketika tidur, individu ini tidak terdaya mengawal diri sendiri sepenuhnya seperti ketika dia sedar. Oleh itu, gangguan emosi yang dialami menjelma dalam mimpi berbentuk pelbagai peristiwa menakutkan.

Di sini kita dapat lihat betapa rapuhnya emosi seseorang sehingga ada yang apabila diberitahu perkara yang tidak menyenangkan, mereka mudah menjadi gelisah dan terbawa-bawa sampai waktu tidur. Sewaktu tidur pula nanti, kegelisahan ini menjelma sebagai mimpi dan igauan.

Contohnya, apabila seseorang terpaksa berpindah rumah dan diberitahu rumah baru yang bakal didiami itu agak ‘keras’, akan terpahat dalam minda orang berkenaan bahawa dia sekarang terdedah kepada pelbagai gangguan, terutama ketika tidur.

Bagaimanapun, bukan semua orang akan menunjuk reaksi sedemikian, tetapi boleh dikatakan ramai juga yang akan mengalami situasi sama. Namun jika tiada orang memberitahu mengenai keadaan rumah yang bakal didiami itu, selalunya penghuni baru tidak mengalami banyak masalah untuk menyesuaikan diri.

Begitu juga ada individu yang sukar melupakan perkara yang dilihatnya seperti menonton filem seram, atau melawat pameran yang menakutkan. Maka bayangan yang berkaitan dengan subjek ini akan terpapar semula pada masa tidur dan ini juga boleh menyebabkan berlakunya mimpi yang menakutkan.

Dalam konteks agama dan budaya, ada pelbagai pendapat kenapa berlakunya mimpi dan igauan yang menakutkan. Ada yang berkata mimpi seperti ini adalah mainan iblis semata-mata.

Ada juga yang berpendapat peristiwa seperti ini berlaku disebabkan perasaan hasad orang tertentu yang dikatakan mengupah dukun dan sebagainya dengan tujuan mengganggu kesejahteraan mangsa.

Sebagai contoh, dihurai dua kes di mana berlaku mimpi dan igauan menakutkan. Pertama mengenai seorang pelajar yang baru tiba dari pedalaman dan pertama kali menjejak kaki di institusi pengajian tinggi di bandar.

Pelajar ini berasal daripada keluarga susah dan berasa berat hati meninggalkan keluarga. Sekarang dia bersendirian, mencari tempat tinggal dan berdepan segala kekurangan, terutama kewangan. Dalam keadaan tertekan seperti ini, dia mengalami igauan berdepan makhluk halus yang sungguh menakutkan.

Dia didapati menjerit dan meraung ketika tidur sekitar jam 4 pagi. Dia bangun dalam keadaan terkejut dan menceritakan dia dikejar lembaga yang sungguh menakutkan.

Jika dilihat daripada perspektif psikologi, semua ini dijelaskan berpandu kepada pelbagai peristiwa penting yang dialami pelajar ini dan konflik yang dihadapi.

Contoh kedua ialah mengenai seorang pegawai wanita yang sudah berumah tangga 10 tahun dan mempunyai empat anak. Wanita ini menghadapi krisis di tempat kerja kerana ada ura-ura akan berlaku pemberhentian pekerja.

Wanita berkenaan juga tidak terdaya mengawal perilaku anak dan suaminya juga menambah bebannya kerana dikatakan berjinak-jinak dengan perempuan lain.

Wanita ini sering mengalami gangguan tidur, minat untuk bekerja menurun, selalu menangis dan menganggap dirinya menghidap kanser yang serius.

Apabila tidur, dia kerap bermimpi bahawa dia seakan-akan hampir mati. Malah, dia dapat melihat dalam mimpinya sendiri, dia diusung ke tanah perkuburan. Dalam keadaan yang mencemaskan ini, dia akan terkejut bangun dan pernah juga mengalami gangguan panik.

Kes ini menunjukkan gangguan kemurungan dan tema mimpi yang dialami juga bersamaan dengan keadaan emosinya, iaitu sesuatu yang negatif dan pesimis.

Bagi membantu pelajar muda dalam kes pertama, dia memerlukan khidmat bimbingan bagi menyelesaikan satu demi satu permasalahan yang dihadapi.

Dalam kes kedua, wanita berkenaan memerlukan rawatan dengan ubat-ubatan antidepresan bagi memulihkan emosinya dan mencapai tahap normal semula.

Jika ubat ini berkesan, dia akan mula bersikap positif dan optimis, yakin kepada diri dan harga diri turut menjulang. Dengan itu proses tidur akan pulih kembali dan tiada lagi gangguan mimpi dan igauan yang menakutkan.

Kedua-dua orang ini beragama Islam, oleh itu selain pendekatan seperti yang disebut di atas, mereka juga boleh membaca ayat al-Quran yang bersesuaian bagi menyelamatkan mereka ketika hendak tidur.

Justeru, apabila seseorang mengalami mimpi yang menakutkan, ia seharusnya menganalisis semula peristiwa yang dilalui baru-baru ini. Mungkin mimpi yang dialami tercetus hasil pengalaman peristiwa berkenaan.

About these ads