Terdapat pelbagai kaedah untuk menentukan arah kiblat, bergantung kepada maksud dan keperluan mengetahui arah kiblat itu sendiri.

Keperluan mengetahui arah kiblat boleh dibahagikan kepada beberapa tahap:

1. Mendirikan masjid.
2. Mendirikan surau.
3. Menandakan arah kiblat premis sedia ada (termasuk surau).
4. Menandakan arah kiblat di premis persendirian (rumah persendirian).
5. Mendapatkan arah kiblat semasa dalam musafir, perkhemahan dan sebagainya untuk melakukan solat.

Mendirikan Masjid

Di Malaysia, pihak yang bertanggungjawab adalah Jabatan Mufti negeri, atau Jabatan Hal Ehwal Agama. Pihak berkuasa akan memastikan kesahihan arah kiblat sebelum pembinaan diteruskan.

Mendirikan Surau

Bangunan surau persendirian biasanya di luar kawalan, dan terpulang kepada pemilik atau pembinanya untuk memastikan ketepatan arahnya. Justeru lebih kerap berlaku selisih arah pada surau berbanding masjid.

Premis Sedia Ada

Biasanya melibatkan bangunan yang baru didirikan (termasuk hotel), dan salah satu bilik atau ruangan dikhaskan untuk dijadikan surau. Biasanya tenaga Jabatan Ukur atau Jabatan Agama digunakan untuk menentukan arah kiblat bagi premis sedemikian. Juruukur swasta juga setengahnya mampu melakukan tugas tersebut.

Premis Persendirian, Musafir dan Aktiviti Perkhemahan

Keperluan mendapatkan arah kiblat hanya mendesak ketika tibanya waktu solat. Ketika ini pengetahuan individu memainkan peranan penting, untuk kesahihan arah kiblat.

Kaedah Menentukan Arah Kiblat

Menggunakan peralatan ukur, memerlukan belanja dan kemahiran yang cukup untuk memastikan ketepatan yang tinggi. Bagi orang awam, dan premis persendirian, serta aktiviti perkhemahan misalnya, tidak perlu sehingga mendapatkan bantuan alatan ukur untuk mendapatkan arah kiblat. Memadai dengan menggunakan kaedah alternatif yang lain, seperti berikut;

1. Menggunakan Buruj Bintang

Buruj bintang tertentu yang boleh dan sesuai menjadi penunjuk arah, membolehkan pemerhatinya menganggarkan arah kiblat berdasarkan kedudukan bintang/buruj berkenaan. Contohnya, buruj Biduk (Ursa Major) menjadi petunjuk arah utara. Dengan pengetahuan bahawa arah kiblat bagi malaysia adalah anggaran 68 darjah ke barat dari buruj tersebut, anggaran arah kiblat dapat dibuat.

2. Menggunakan arah matahari

Sedikit pengetahuan mengenai arah matahari (yang juga boleh diperolehi menggunakan sofwer sun compass), anggaran arah mata angin, dan seterusnya arah kiblat dapat dibuat. Termasuk juga adalah kedudukan matahari di atas kaabah 2 kali setahun pada 28 Mei dan 16 Julai.

3. Menggunakan pelan tanah

Penggunaan pelan tanah untuk menentukan arah kiblat adalah perkara biasa dalam kerja ukur tanah dan kiblat masjid. Namun ia juga boleh digunakan menggunakan sedikit konsep geometri, maklumat pada pelan tanah dan pelan rumah adalah mencukupi untuk mendapatkan arah kiblat bagi premis persendirian, dengan tahap kejituan yang memadai.

4. Petunjuk arah dan mata angin yang lain

Terdapat kaedah-kaedah lain yang sesekali disebut di kalangan kita, yang sebahagiannya adalah memadai dan boleh digunakan untuk berijtihad menentukan arah kiblat.

Kesimpulan

Terdapat banyak kaedah mendapatkan arah kiblat, dan yang penting adalah semangat belajar perlu ada pada diri kita, dan kita akan menjadi sebahagian daripada mereka yang tahu, sekurang-kurangnya pada peringkat paling asas. Wajarlah jika Sheikh Daud Patani mengatakan bahawa mengetahui arah kiblat sama wajibnya dengan mengetahui fardhu wudhu’

About these ads