Sun Set Porto Alegre

Perkara ini ditimbulkan bagi menjelaskan kekeliruan di kalangan masyarakat tentang arah matahari (ketika terbenam) dan hubungannya dengan arah kiblat. Di dalam Al-Quran (surah Ar-Rahmaan ayat 17),

“Dialah (Allah) yang mentadbir dua timur dan Dialah yang mentadbir dua barat”

“(He is) Lord of the two Easts and Lord of the two Wests”

Tafsir Fi-Zilaalil Quraan memberikan dua pengertian, pertama Rububiah Allah itu mencakupi timur dan barat malah mencakupi langit dan bumi dan segala macam benda di antaranya, dengan perumpamaan pada pengertian keduanya, bahawa dua timur dan dua barat itu adalah titik maksimum (extreme point) utara dan selatan matahari ketika terbit dan terbenam pada dua musim berlainan (panas dan sejuk), termasuk titik-titik di antara kedua musim itu.

“Lord of the heavens and of the earth, and all between them, and Lord of every point at the rising of the sun” As-Shaffat: 5

Secara jelas ayat di atas (ar-Rahman: 17) merujuk kepada kedudukan matahari yang berbeza arah terbit, dan arah terbenam pada dua musim berlainan. Sains moden juga memberikan keterangan yang serupa, dengan memberikan alasan disebabkan kecondongan paksi bumi ketika mengorbit matahari.

Arah kiblat, atau arah ke Mekah (Kaabah) adalah arah yang tetap dari satu-satu lokasi berdasarkan kedudukan geografi lokasi berkenaan dengan lokasi Mekah. Contohnya mereka di selatan Mekah seperti Yaman, arah kiblatnya ke Utara. Di Barat Mekah seperti Mesir atau Libya, arah kiblatnya ke Timur, dan Iraq pula yang di Utara, arah kiblatnya ke Selatan. Justeru Malaysia di Timur (atau hampir tenggara) Mekah, arah kiblat ke Barat (atau hampir ke Barat Laut).

Maka, sudah tentu arah kiblat tidak boleh dirujuk terus menggunakan arah matahari terbenam seperti kekeliruan sesetengah orang. Sedikit asas ilmu, membolehkan arah matahari terbenam digunakan, iaitu dengan menghitung kadar selisih arah matahari terbenam dengan arah kiblat pada satu-satu masa, dan kadar itu digunakan untuk menentukan arah kiblat menggunakan matahari terbenam.

Contoh, pada musim panas (akhir Jun) matahari berada di hampir titik maksimum utara (lebih kurang azimut/arah 293°-295°), maka arah kiblat bagi Terengganu (amnya) adalah 291°, justeru selisih arah adalah kecil, dan mudah mendapatkan arah kiblat. Sebaliknya pada musim sejuk – akhir Disember (azimut/arah matahari lebih kurang 245°-248°) dan kiblat adalah 291°, kadar selisihnya hampir 45°! Masih boleh menggunakan matahari, tetapi kadar selisih 45° mesti digunakan.

Sedikit pengetahuan tentang arah matahari dan arah kiblat, Insya Allah kita boleh melakukan ibadat dengan lebih sempurna. Harapan dengan tulisan ini dapat menghilangkan kekeliruan sebahagian kecil masyarakat tentang arah matahari dan hubungannya dengan arah kiblat.

About these ads