NEGARA pernah menjadi kediaman badak Jawa, tetapi hidupan liar itu kini hanya tinggal kenangan dan bukti yang tinggal ialah gambar milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Kali terakhir badak Jawa dilihat ialah pada 1930-an apabila haiwan ini menjadi mangsa buruan pegawai Inggeris.

Kini badak Sumatera pula disenaraikan sebagai antara haiwan terancam dan berisiko tinggi untuk pupus. Nasib yang sama menimpa hidupan liar lain seperti seladang, gajah, harimau belang dan burung botak upeh.

Banyak spesies lain turut diancam kepupusan, tetapi tahap keseriusan kepupusan sukar diukur kerana tiada rekod mengenai jumlah spesies terbabit yang tinggal jauh dalam hutan tebal.

Kepupusan hidupan liar tidak dapat dinafikan mempunyai kaitan dengan manusia, terutama akibat konflik berhubung penggunaan tanah.

Pembukaan hutan atas nama pembangunan mengancam habitat badak Sumatera, hidupan liar yang hidup di kawasan tanah pamah, tetapi terpaksa melarikan diri ke kawasan lebih tinggi.

Pengarah Bahagian Konservasi Kepelbagaian Biologi Perhilitan, Siti Hawa Yatim, berkata kes lain yang menunjukkan pertembungan manusia dan hidupan liar membabitkan burung botak upeh yang terancam akibat penerokaan hutan bakau.

Katanya, habitat burung ini tetap terganggu walaupun pembukaan hutan bakau dibuat secara terancang.

“Apabila pokok tinggi yang menjadi tempat burung ini membiak ditebang, proses pembiakan terganggu menyebabkan jumlah burung ini merosot.” katanya.

Kini hanya tinggal kira-kira enam ekor burung botak upih di hutan bakau Kuala Gula, Perak, yang menjadi habitat burung ini.

Gajah juga adalah antara contoh utama konflik antara manusia dan hidupan liar. Dalam kes yang ekstrim, mamalia terbesar yang sering dilaporkan mengganas merosakkan tanaman dan rumah, terpaksa dibunuh apabila membahayakan keselamatan manusia.

Pembukaan hutan untuk projek seperti tanah rancangan menyebabkan gajah yang jauh terpencil dalam hutan tiba-tiba berjirankan manusia. Sumber makanan yang terhad menyebabkan pertembungan kedua-dua penghuni bumi ini tidak dapat dielakkan.

Dalam kes badak Sumatera, Siti Hawa berkata, pembukaan hutan memudahkan kegiatan perburuan dilakukan kerana badak ini lebih mudah ditemui.

Selain itu, katanya jumlah badak Sumatera merosot akibat gangguan terhadap proses pembiakan apabila haiwan ini yang hidup sendirian terpisah dari kumpulan lain, sekali gus menyukarkan mencari pasangan untuk membiak.

Mengulas isu ini, Pengarah Zoo Negara, Dr Mohamad Ngah, berkata hidupan liar seperti manusia boleh mengalami tekanan (stress) dengan kesan buruk kepada haiwan ialah menyebabkan proses pembiakan terhenti.

Katanya, tekanan terhadap haiwan berlaku akibat beberapa faktor seperti kekurangan makanan akibat habitat diganggu, pencemaran air dan aktiviti pemburuan.

“Burung botak upeh berjaya dibiak semula di Zoo Negara kerana semua faktor yang menyebabkan tekanan ini diatasi. Kini Zoo Negara dianggap sebagai habitat burung ini, tetapi ini mengambil masa yang lama,” katanya.

Sementara itu, kegiatan perburuan terus menjadi masalah utama yang mengancam masa depan hidupan liar.

Berbeza dengan kegiatan pemburuan kecil-kecilan yang dilakukan penduduk kampung, lebih membimbangkan ialah kegiatan haram yang dilakukan oleh sindiket kerana jumlah tangkapan yang lebih besar.

Perkembangan terkini menunjukkan pembabitan kehadiran warga asing yang didalangi tauke tempatan memburu hidupan liar.

Siti Hawa berkata, kesan yang ditemui di hutan seperti bekas makanan, bungkusan ubat dan tulisan bahasa asing yang ditarah pada pokok menunjukkan kehadiran warga asing.

Katanya, orang tempatan dipercayai menjadi penunjuk jalan membawa mereka ke habitat haiwan berkenaan, termasuk hutan Endau-Rompin.

“Pemburu juga bertindak berani dengan memasuki Taman Negara berdasarkan kehadiran orang membawa jerat besar yang sudah tentu digunakan untuk menangkap haiwan besar seperti harimau,” katanya.

Beliau berkata, usaha menyekat kegiatan pemburuan bukan mudah kerana faktor keluasan hutan negara menyebabkan Perhilitan memberi lebih tumpuan kepada kawasan Taman Negara.

“Susah untuk menangkap mereka yang dipercayai mempunyai tali barut yang akan mengawasi kehadiran pegawai penguat kuasa Perhilitan. Di sesetengah kawasan hutan, telefon bimbit boleh digunakan dan ini memudahkan mereka berkomunikasi,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan menangkap pemburu haram banyak bergantung kepada kerjasama orang ramai.

Di Taman Negara, katanya sesiapa yang ditemui membawa jerat dawai bersaiz lebih 25 utas boleh dikenakan hukuman penjara mandatori dan sepanjang 10 tahun lalu, seramai 72 orang ditahan kerana kesalahan memburu di Taman Negara.

Katanya, Perhilitan tidak bertolak ansur dan jika disabitkan kesalahan, mereka dikenakan hukuman tegas.

About these ads