Oleh: ABU ‘AMMAR

LAPORAN pakar geologi mengenai perubahan cuaca yang ekstrem dan kesannya kepada negara kita serta dunia amnya memang cukup menggemparkan. Lebih mencemaskan pastinya laporan yang mengandaikan tiga bandar utama negara seperti Klang, Pekan dan Miri yang bakal ditenggelami air secara kekal dalam tempoh 50 tahun lagi.

Dari segi ekonomi pastilah laporan seperti ini akan memberi kesan terhadap nilai hartanah khususnya di ketiga-tiga kawasan tersebut. Dari segi sosial pula, masyarakat yang rasional sewajarnya sudah mula berkira-kira untuk berpindah ke tempat lain yang pastinya mengundang masalah lain yang lebih parah.

Ini mungkin sebahagian kecil sahaja kekalutan yang mampu ditelah buat masa ini. Kalau diambil kira impak kepada dunia dan negara-negara lain seperti Belanda yang berada 6.7 meter di bawah paras laut, pastinya kita boleh menjangkakan suatu malapetaka besar yang bakal merobah landskap politik, sosial dan ekonomi dunia akan berlaku dalam tempoh tidak sampai 50 tahun lagi.

Andaian malapetaka besar ini berdasarkan darjah kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan yang berlaku secara berterusan dan pada skala yang besar. Terkini, laporan CNN jelas menyebutkan bahawa ketulan ais bersaiz 11,000 padang bola sudah terpisah daripada bongkah utama di Artik, Kutub Utara. Fenomena perubahan cuaca jelas berlaku di hampir semua negara di dunia termasuklah Malaysia yang baru sahaja mengalami banjir luar biasa di beberapa negeri baru-baru ini.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan, manusia jugalah yang harus dipersalahkan dan menjadi punca utama kepada segala isu ketidak seimbangan alam sekitar hari ini. Sikap manusia yang tamak, rakus, dan zalim sering kali mengundang kepada kecelakaan dan malapetaka Tuhan.

Ini jelas diisyaratkan Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 41: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia sendiri; (timbulnya demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Memang apa yang telah diisyaratkan Allah dalam kitab yang disampaikan lebih 1,400 tahun lalu jelas terbukti kini. Tidak sukar untuk mendapatkan analisis saintifik mengenai punca ketidak seimbangan alam sekitar yang berlaku kini seperti pemanasan global (global warming), pencemaran udara, air dan bunyi serta pelbagai fenomena perubahan cuaca yang melanda dunia hari ini.

Pelajar di bangku sekolah lagi telah diajar mengenai kesan rumah hijau melalui pembakaran terbuka dan pelepasan gas karbon dioksida berlebihan yang boleh memberi kesan kepada penipisan dan kebocoran ozon yang akhirnya menjejaskan suhu dunia.

Semuanya adalah angkara sikap manusia yang rakus untuk mengejar kekayaan dan kemewahan duniawi hingga melanggar amanah Tuhan untuk menjaga harta yang dipinjamkan untuk ditadbir dan diurus mengikut hukum yang ditentukan.

Amanah yang berupa perjanjian antara manusia dengan Tuhannya jelas disebut dalam al-Quran: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada persediaan pada mereka untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesunggunya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula melakukan perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”. (al-Ahzaab:72).

Atas amanah Allah inilah manusia dikehendaki untuk sentiasa memelihara dan memulihara segala harta benda milik Allah. Malah nilai ketakwaan atau takutkan Allah diukur sejauh mana seseorang manusia melaksanakan segala perintah Allah termasuklah menjaga alam sekitar yang didiami mereka.

Malangnya masih wujud mereka yang bertopengkan manusia tetapi jiwanya tidak lebih berupa kebinatangan yang rakus dan sombong. Nilai hipokrasi ini jelas terpapar di kalangan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Australia yang sehingga hari ini enggan mematuhi Protokol Kyoto mengenai pemanasan sedunia yang berkuat kuasa Februari 2005.

Protokol Kyoto yang dipersetujui hampir semua negara di dunia ini mensyaratkan sektor perindustrian agar mengurangkan pengeluaran enam jenis gas karbon yang boleh memerangkap haba yang dikeluarkan cahaya matahari sehingga menyebabkan permukaan bumi menjadi panas sekali gus mencairkan ais di Kutub Utara dan Selatan.

Sikap hipokrasi Amerika Syarikat dan Australia yang sering mendabik dada sebagai juara isu-isu kemanusiaan sebenarnya turut digambarkan Allah dalam al-Quran: Dan diantara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya. Pada hal ia adalah orang yang sangat keras permusuhannya (kepada mu).

“Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya) berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternakan dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan”. (al-Baqarah 204- 205).

Begitulah hebatnya al-Quran yang menukilkan sikap hipokrasi segelintir manusia yang jelas terpapar dalam realiti dunia hari ini. Dunia bagaikan diperdaya dengan kehebatan dan kemajuan prasarana, sains dan teknologi yang dimiliki oleh negara-negara ini hingga sebut sahaja isu-isu yang cuba diketengahkan, pasti seantero dunia bukan sahaja mengagumi bahkan mengikut sahaja tanpa meneliti. Tetapi negara yang sama jugalah yang banyak melakukan kerosakan di atas muka bumi dan menindas negara-negara lemah yang lain tidak kira dari segi ekonomi, politik mahupun sosial.

Hari ini kerana ketamakan mereka menguasai kekayaan dunia melalui aktiviti perindustrian dan perdagangan, isu alam sekitar yang cukup mendesak untuk ditangani pun tidak diambil peduli bahkan dipandang sepi.

Dalam konteks inilah amat perlu sekali nilai-nilai keadilan dan kesederhanaan Islam ditonjolkan kembali kepada dunia. Sifat kesederhanaan Islam atau wasothiah sentiasa memperhatikan keseimbangan dalam segala tindak-tanduk manusia.

Islam tidak pernah menghalang kemajuan ataupun melaksanakan pembangunan prasarana dan infrastruktur yang boleh memberi keselesaan hidup kepada manusia. Namun, Islam sentiasa mensyaratkan agar alam sekitar dan ekologi sentiasa terpelihara. Pembangunan dan pemeliharaan alam semula jadi mesti sentiasa seimbang agar manfaat berkekalan dan mudarat dapat dicegah sama sekali.

Sebab itulah antara prinsip utama yang wajib dipatuhi oleh manusia dalam melaksanakan pembangunan ialah untuk sentiasa menilai secara teliti aspek kemudaratan dan kemanfaatan. Kaedah syarak ada menyebut: “Menolak kemudaratan hendaklah didahulukan daripada mengambil kemanfaatan.”

Ini bermakna apabila bertembung antara keburukan dengan maslahah atau kebaikan, maka wajib menolak keburukan sekalipun tindakan tersebut akan menghilangkan kemanfaatannya.

Begitulah juga dalam konteks pembangunan dan kemajuan yang jelas manfaatnya, mestilah sentiasa diimbangi dengan menilai aspek kemudaratan yang dibawanya. Sekiranya kemudaratannya lebih besar hingga boleh mencetuskan malapetaka alam sekitar maka kebaikan yang terhasil daripada pembangunan mestilah diketepikan terlebih dahulu.

Demikianlah Islam mendatangkan pelbagai garis panduan dan prinsip yang harus diguna pakai dalam mentadbir kehidupan duniawi termasuklah berkenaan isu alam sekitar. Pengkhianatan kepada peraturan Allah inilah yang bakal menatijahkan malapetaka besar yang bukan sahaja membinasakan diri sendiri malah seluruh kehidupan di atas muka bumi Allah ini.

 

Sumber : Bicara Agama, Utusan Malaysia , 7 Jan 2007

About these ads