Oleh: Baharrudin bin Zainal

1. Pendahuluan

Masyarakat sering membuat perbandingan di antara tarikh permulaan Ramadhan dan Syawal di negara Timur Tengah amnya dan negara Arab Saudi khususnya dengan tarikh yang ditetapkan di Malaysia. Sebahagian kecil yang membuat anggapan tarikh awal bulan di Arab Saudi lebih tepat. Malahan yang mengikut perasaan akan memula dan mengakhiri Ramadhan berpandukan laporan penetapan tarikh dari negara Arab Saudi.

2. Perspektif Astronomi

Penetapan tarikh hijri adalah persoalan science-sosial-religious. Apabila pihak berkuasa Malaysia telah menetapkan kaedah atau penetapan tarikh, sepatutnya tarikh berkenaan dipatuhi dan diikuti. Perbezaan takwim dengan mana-mana negara lain boleh berlaku disebabkan kaedah yang digunakan atau sifat fizikal bulan di antara kedua-dua negara berkenaan. Terdapat beberapa kaedah penentuan awal bulan hijri yang dipraktikkan di kalangan negara-negara Islam. Di antaranya ialah kenampakan anak bulan (rukyah mutlak), jangkaan kenampakan anak bulan (imkannur rukyah), wujudul hilal dan ijtimak hakiki. Malaysia merupakan salah satu dari negara yang menggunakan kaedah jangkaan kenampakan anak bulan sebagai asas takwim hijri, termasuk untuk penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Satu aspek penting dalam kaedah ini ialah syarat kenampakan anak bulan. Mulai tahun 1991, syarat kenampakan anak bulan yang digunakan di Malaysia untuk membuat pertimbangan kenampakan anak bulan pada hari ke 29 hijri sebagaimana berikut:

Ketika matahari terbenam,

(i) Ketinggian (altitud) bulan tidak kurang daripada 2°,
DAN
(ii) Jarak lengkok matahari ke bulan tidak kurang daripada 3°.

ATAU

Ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada 8 jam.

Kaedah yang digunakan di Malaysia, malahan di beberapa negara Asia Tenggara merupakan pendekatan yang terbaik dari segi syarak dan astronomi. Walau bagaimanapun, penggunaan asas takwim hijri di beberapa negara Timur Tengah agak meragukan. Sering kali kita menerima laporan kenampakan anak bulan pada hari bulan menurut keadaan fizikalnya tidak akan berada di atas ufuk. Peristiwa yang sama berlaku bagi penentuan Ramadhan tahun ini, di mana anak bulan dilaporkan kelihatan di Yemen. Dipercayai, negara berkenaan menggunakan kaedah rukyah mutlak di mana rakyat biasa akan melakukan rukyah sendiri dan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kaedah ini boleh mencetuskan banyak kekeliruan. Di Malaysia, tugas melihat anak bulan dilakukan oleh petugas rasmi yang dilantik dan mempunyai kemudahan pencerapan yang baik. Merukyah secara sebarangan dan tanpa bantuan peralatan teknikal boleh memberikan keputusan yang berlawanan dengan hakikat sebenar. Anak bulan akan didakwa kelihatan, walaupun sebenarnya anak bulan tidak berada di atas ufuk. Justeru itu, segala langkah teknikal untuk mengelakkan ‘kerosakan’ (sadduh dzaraih) dalam melaksanakan tuntutan rukyah perlulah di ambil perhatian.

Menurut laporan dalam internet, negara Arab Saudi telah memulakan awal Ramadhan sama dengan Malaysia, iaitu pada hari Khamis ( 9 Disember 1999). Justeru itu, dijangkakan pihak berkuasa Arab Saudi akan mengisytiharkan tarikh 29 Ramadhan bersamaan 6 Januari 2000 sebagai hari rukyah, sama seperti negara Malaysia. Persoalan yang timbul, bagaimana sifat bulan di Malaysia dan di negara Timur Tengah. Menurut almanak astronomi, fasa ijtimak iaitu pemisahan di antara bulan lama Ramadhan dengan bulan baru Syawal hanya akan berlaku pada pagi Jumaat, 7 Januari 2000, jam 2.15 pagi bersamaan jam 10.15 malam di negara Arab Saudi. Dari data ini jelas menunjukkan ketika matahari terbenam di Malaysia dan Arab Saudi, fasa ijtimak belum berlaku lagi.

Di Malaysia bulan akan terbenam kira-kira 18 minit sebelum matahari terbenam. Manakala di negara Arab Saudi bulan akan terbenam kira-kira 10 minit selepas matahari terbenam. Kesimpulannya di kedua-dua negara dan kawasan di antaranya, anak bulan belum wujud lagi. Pemisahan sempurna bulan dengan matahari bagi menandakan pembentukan fasa anak bulan Syawal 1420 hanya berlaku di tengah-tengah Lautan Atlantik. Dengan ini negara-negara di sebelah timur dari Benua Amerika (termasuk Afrika, Timur Tengah dan Asia) tidak mungkin boleh menyambut Aidil Fitri pada hari Jumaat (7 Januari 2000). Awal Syawal bagi negara-negara Timur Tengah dan Asia Tenggara sepatutnya disambut pada hari Sabtu, 8 Januari 2000. Sekiranya ada negara-negara pada kawasan berkenaan menyambut Syawal pada hari Jumaat dengan dakwaan anak bulan kelihatan di tempat mereka, maka ini merupakan satu kekeliruan atau mereka mungkin menggunakan kaedah lain yang tidak mengambil kira sifat anak bulan

Wallahu A’alamu Bil Ghaib

About these ads