INFO

Gambar rajah menentukan arah kiblat:

Kompas kecil untuk tentukan arah Kaabah tidak boleh digunakan dalam bangunan

PASTINYA sesuatu yang memeranjatkan apabila seorang jemaah yang kerap mengunjungi masjid kariahnya mendapati pada suatu hari, tiba-tiba arah kiblat yang bertahun-tahun digunakan sudah berubah!

Situasi itu bukanlah sesuatu yang asing terutama membabitkan masjid atau surau lama yang dibina lebih 20 tahun lalu.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Selangor, Rizal Ramli, berkata pihaknya kini menerima beberapa aduan berhubung kesilapan ketepatan arah kiblat pada masjid dan surau lama.

“Selain menerima aduan, kami sentiasa menjalankan pemantauan dan turun padang untuk mengukur ketepatan arah kiblat masjid di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes masjid atau surau yang merasakan kiblat mereka tidak tepat, Jabatan Mufti negeri akan mengukur semula arah kiblat yang tepat menggunakan teknologi terkini seterusnya mengeluarkan sijil perakuan.

“Selepas proses mengukur semula arah kiblat yang tepat, kami akan meminta pihak masjid atau surau membetulkan kembali arah kiblat yang digunakan sama ada membetulkan kedudukan hamparan karpet atau cara lain yang difikirkan sesuai,” katanya.

Beliau berkata, antara faktor menyebabkan perbezaan ketepatan arah kiblat pada masjid atau surau lama adalah kaedah dan teknologi digunakan ketika itu berlainan dengan teknologi pada hari ini.

EXCO Johor, Datuk Zainal
Abidin Osman meletakkan
tanda anak panah bagi menentukan
arah kiblat selepas ketepatan
dikenal pasti.

“Dulu, apabila masjid atau surau dibina di Selangor, pihak yang menentukan arah kiblat adalah juruukur yang dilantik oleh kontraktor dan mereka akan mendapatkan pengesahan daripada kadi daerah.

“Bermula 2001, penentuan arah kiblat ditentukan oleh Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Selangor dan kami menggunakan peralatan teknologi terkini serta mengikuti kursus bagi mendapatkan lebih kemahiran dalam bidang ini,” katanya.

Katanya, ada beberapa kaedah yang digunakan orang ramai di negara ini dalam menentukan kedudukan kiblat. Antaranya menggunakan kompas atau merujuk kepada arah terbenamnya matahari.

“Apabila menggunakan kompas, perlu digunakan di kawasan yang lapang dan jauh daripada besi atau arus elektrik yang akan menyebabkan gangguan tarikan magnetik pada jarum kompas seterusnya arah ditunjukkan adalah tidak tepat.

“Untuk berpandu kepada matahari pula, ia memerlukan kemahiran kerana kedudukan matahari yang benar-benar tepat di atas Kaabah hanyalah berlaku sebanyak dua kali setiap setahun iaitu pada 28 Mei (5.16 petang) dan 16 Julai (5.28 petang),” katanya.

Beliau berkata, selain dua tarikh berkenaan, kedudukan matahari serta bayang-bayangnya boleh dijadikan panduan menentukan arah kiblat berdasarkan tarikh dan masa tertentu tetapi memerlukan ilmu dan kemahiran bagi mengukur jaraknya.

“Bagi mereka yang ingin menentukan arah kiblat di rumah, mereka boleh berpandukan arah kiblat masjid berdekatan atau menggunakan kompas tetapi perlu diingat, penggunaan kompas hendaklah di luar rumah, bukan di dalam rumah kerana di dalam rumah ada banyak besi dan arus elektrik,” katanya.

FAKTA

Kaedah moden tentu kiblat

Pengiraan arah kiblat

  • Hitungan adalah berdasarkan kepada konsep arah di sepanjang bulatan gedang bumi (great circle).

  • Membabitkan model matematik sfera yang mengandungi koordinat geografi tempatan dan koordinat geografi rujukan (Kaabah).

    Kompas Prismatik

  • Penandaan arah kiblat dengan kompas banyak diamalkan di kalangan masyarakat Islam masa kini. Arah yang ditunjukkan oleh sesuatu kompas adalah arah merujuk ke arah utara.

  • Arah utara magnet pula tidak semestinya bersamaan dengan arah utara benar. Perbezaan arah utara ini dipanggil sebagai sudut serong magnet.

  • Antara masalah yang boleh timbul menggunakan kompas ialah tarikan graviti tempatan yang mana ia terkesan dari kewujudan bahan logam atau arus elektrik di sekeliling kompas yang digunakan.

  • Boleh digunakan sebagai alat alternatif jika alat yang lebih sesuai tidak ada.

    Penggunaan Teodolit

  • Teodolit adalah antara alat termoden yang diguna pakai oleh kebanyakan juru ukur dan pihak yang melakukan kerja menentukan arah kiblat.

  • Alat itu digunakan untuk mengukur bacaan sudut secara mendatar dan menegak. Ia memberi kejituan bacaan tinggi dan tepat.

     

    Sumber : Berita Harian, Ahad 26.11.2006

  • About these ads