YANG di-Pertuan Agung mempunyai bidang kuasa yang luas seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Fungsi sebagai Ketua Negara dapat dilihat dalam tiga cabang kerajaan, iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Eksekutif

Fasal 39 Perlembagaan memberi kuasa eksekutif kepada Yang di-Pertuan Agong. Walaupun terdapat beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim baginda menerima nasihat dari Kabinet atau lebih khusus, Perdana Menteri.

Walaupun bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang atau sesuatu pertubuhan (selain Kabinet), Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara dalam tiga fungsi Perlembagaan iaitu:

1. Melantik seorang Perdana Menteri.

2. Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen.

3. Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu.

Perundangan

Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak kepada Parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Yang di-Pertuan Agong sebagai sebahagian komponen Parlimen mempunyai kuasa berikut:

1. Memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa.
2. Memberhentikan dan membubarkan Parlimen.
3. Memberi ucapan dalam mana-mana majlis Parlimen.
4. Memperkenankan Rang Undang-Undang.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik dua orang senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya serta mempunyai kuasa melantik 40 orang senator lain.

Kehakiman

Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi penting dalam bidang kehakiman. Antara tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong adalah:

1. Melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agung, Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja.

2. Melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (yang mempunyai kuasa sebagai Hakim Mahkamah Tinggi) atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (satu langkah sementara sebelum pelantikan tetap sebagai Hakim Mahkamah Tinggi).

3. Memanjangkan perkhidmatan seorang hakim yang berumur lebih 65 tahun. Bagaimanapun lanjutan perkhidmatan itu tidak melebihi enam bulan setelah mencapai umur 65 tahun.

4. Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri, mengemukakan presentasi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyingkirkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan atas alasan tertentu.

Selepas menerima representasi itu, Yang di-Pertuan Agong akan melantik satu tribunal untuk memberi cadangan dan mungkin atas cadangan tribunal itu menyingkirkan hakim dari jawatannya. Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk menerima atau menolak cadangan tribunal untuk menyingkirkan atau mengekalkan hakim.

5. Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan boleh mengeluarkan Perisytiharan darurat apabila berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau negeri dalam keadaan terancam.

6. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak membuat peruntukan yang menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam negeri berkenaan.

Baginda juga adalah Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Baginda juga melantik jawatan tertentu bagi Negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri berkenaan. Di Sabah dan Sarawak, kuasa pelantikan diturunkan kepada Yang Dipertua Negeri.

Selain tiga fungsi ini, Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi seperti berikut:

1. Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata.

2. Mempunyai kuasa mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

3. Menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

4. Sumber penghormatan dan kebesaran.

5. Fungsi diplomatik dengan melantik diplomat Malaysia di luar negara dan menerima mengadap diplomat asing.

6. Menghadiri pelbagai majlis dan acara.

About these ads