Oleh : DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN (pensyarah Bahagian Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM).)

 

KITAB Ihya ‘Ulumiddin karangan al-Imam al-Ghazali adalah kitab yang sangat masyhur dalam masyarakat kita. Bahkan kitab ini juga memang masyhur di seluruh dunia Islam. Ramai yang gemar membaca dan mengambil manfaat daripada kitab ini. Namun ramai yang kurang memberi perhatian terhadap peringatan para ulama hadis sejak zaman dahulu bahawa dalam kitab ini terdapat banyak hadis lemah, tersangat lemah dan palsu. Di samping banyak juga terdapat di dalamnya hadis-hadis sahih yang diguna pakai oleh imam berkenaan ketika mengemukakan hujah-hujahnya.

Al-Imam al-Ghazali adalah seorang tokoh umat Islam yang dihormati. Jasa dan sumbangannya dalam sebahagian bidang agama tidak dapat dilupakan. Beliau adalah ahli fikir yang besar. Namun bidang hadis bukanlah pengkhususan beliau. Ini diakui oleh mereka yang alim dalam bidang hadis.

 Mengkritik hadis-hadis lemah dan palsu dalam kitab Ihya ‘Ulumiddin tidaklah bermaksud menghina atau melupakan jasa dan sumbangan al-Ghazali. Namun, kita harus berkata benar dan jujur dalam segala perkara. Menghargai seseorang tidak boleh membawa kita mengatakan kesilapannya sebagai kebenaran. Jasanya dikenang. Namun kesilapan dinilai agar mereka yang membaca kitab tersebut tidak membuat kesalahan dengan menganggap riwayat yang tidak layak dinilai sebagai hadis dikatakan hadis.

Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. (al-Nisa’: 135)

 

Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat 748H) ketika mengulas kesilapan-kesilapan dalam kitab Ihya berkata: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan.’’ (Rujukan: Al-Zahabi, Siyar Alam al-Nubala 19/339, Beirut: Muassasah al-Risalah.)

 

Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadis tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan seorang pakar dalam bidang hadis, ini diakui oleh semua pihak, melainkan mereka yang jahil tentang ilmu hadis. Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H), seorang tokoh mazhab al-Syafie terkenal yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali, dalam Tabaqatnya turut mengakui hal ini dengan menyatakan: “Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadis.’’ (Rujukan: Taj al-Din al-Subki, Tabaqat al-Syafi’yyah al-Kubra, 3/449, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)

 

Kita lihat apa yang dikatakan oleh tokoh-tokoh hadis mengenai kitab Ihya‘ Ulumiddin, antaranya:

 

1. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal dunia 774H) dalam kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Baitulmaqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya ‘Ulumiddin. Ia sebuah kitab yang ganjil. Ia mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawuf dan amalan hati. Namun dalamnya banyak hadis yang gharib, mungkar dan palsu.’’ (Rujukan: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.)

 

2. Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): “Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya Ulumiddin berdasarkan pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadis-hadis batil yang dia tidak tahu kebatilannya.’’ (Rujukan: Ibn Jauzi, Talbis Iblis, hlm 190, Beirut: Dar al-Kutub al-ilmiyyah).

 

3. Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil daripada ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah s.a.w. secara perkataan dan perbuatan.” (Rujukan: Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala’, 19/339, Beirut: Dar al-Risalah.)

 

4. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): “Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak mempunyai kepakaran dalam hadis-hadis Nabi dan riwayat-riwayat salaf seperti mana yang dimiliki oleh ahli-ahli yang mengetahui perkara itu.

 

“Mereka dapat membezakan antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu, al-Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadis dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya.” (Rujukan: Ibn Taimiyyah, Dar’u Ta’arud al-‘Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad: Dar al-Kunuz al-Adabiyyah.)

 

Sebagai langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah hadis-hadis palsu dan daif yang terlalu banyak dalam Ihya maka kitab tersebut hendaklah dibaca bersama dengan takhrij (penilaian dan semakan) yang dibuat oleh Al-Hafizd al-‘Iraqi (wafat 806H). Al-Hafizd Abd. al-Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi telah menyemak hadis-hadis Ihya dengan menyebut sumber hadis-hadis yang disebut dalamnya serta kedudukan hadis-hadis tersebut. Banyak hadis Ihya telah dihukum tidak ada asal-usul dalam kitab-kitab hadis.

 

Takhrij al-Hafizd al-‘Iraqi telah dicetak bersama dengan kitab Ihya. Maka hendaklah kita berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada kitab tersebut dengan cara merujuk kepada takhrij berkenaan. Kata seorang muhaqqiq yang terkenal di zaman ini, al-Syeikh Syu’ib al-Arnaud: Al-Hafizd Abu Fadl Abd al-Rahim al-‘Iraqi (wafat 806H) telah menyemak hadis-hadis Ihya ‘Ulumiddin kesemuanya dalam semua kitab yang dinamakan Al-Mughni ‘an haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya min al-Akhbar. Ia dicetak bersama dengan Ihya. Beliau telah menunjukkan setiap hadis kepada sumbernya serta menyatakan kedudukannya.

 

Kebanyakan hadis tersebut beliau menghukumnya sebagai daif (lemah) atau palsu, atau ia tidak ada asal daripada ucapan Rasulullah s.a.w.. Maka hendaklah para penulis, khatib, guru dan penceramah berhati-hati dalam memetik dan berhujah dengan hadis-hadis Ihya selama mereka tidak jelas tentang kesahihannya menerusi semakan al-Hafizd al-‘Iraqi.

 

Sesungguhnya seorang ulama hadis Syam, Badr al-Din al-Hasani telah berkata: “Tidak harus menyandarkan sesebuah hadis kepada Rasulullah kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh salah seorang huffaz (yang amat pakar dalam hadis) yang dikenali. Sesiapa yang berkata: “Rasulullah telah bersabda” sedangkan dia tidak tahu kesahihan hadis tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi dia termasuk dalam hadis “Sesiapa yang berdusta ke atasku apa yang aku tidak ucapkan, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Rujukan: Syu’ib al-Arnaud, nota kaki tahqiq Siyar ‘Alam al-Nubala’, 19/340.)

 

Kata al-Syeikh Abu Syahbah pula: “Aku nasihatkan kepada sesiapa yang membaca Ihya agar tidak berpegang dengan hadis-hadis yang disebutkan kecuali setelah melihat takhrij al-‘Iraqi. Jika tidak dia akan terjatuh dalam dosa berdusta sedangkan dia tidak sedar.” (Rujukan: Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadis, hlm. 254, Kaherah: Dar al-Fikr.)

 

Antara hadis yang al-Ghazali dikritik hebat kerana menyebutnya dalam Ihya ialah hadis Solat Raghaib iaitu solat yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab. Hadis cara dan fadilat solat ini disebut dan digalakkan dalam Ihya sedangkan ia dinilai sebagai palsu oleh para ulama hadis. Al-Hafiz al-‘Iraqi yang menilai hadis ini adalah pakar besar dalam bidang hadis. Beliau menyatakan beliau mendapati tiada asal usul bagi hadis ini.

 

Al-Imam al-Nawawi (meninggal dunia 676H) ketika mensyarah hadis Muslim daripada Abi Hurairah memetik Baginda bersabda: Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa).

 

Al-Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadis ini larangan yang nyata mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada pada malam-malam lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah dinyatakan. Sepakat para ulama dalam kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadis ini mengenai kesalahan solat bidaah yang dinamakan solat al-Raghaib.

 

Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia adalah bidaah yang mungkar daripada jenis bidaah yang sesat dan jahil. Padanya kemungkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga begitu banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya.

 

Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan kesesatan pembuatnya. (Rujukan: Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211, Beirut: Dar al-Khair.)

 

Beliau pernah berkata: “Bidaah yang buruk lagi sangat mungkar, jangan terpengaruh dengan ramai yang melakukannya di banyak negeri. Juga jangan terpengaruh disebabkan ia disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulumiddin.” (Rujukan: petikan daripada Ali Hasan Ali, Kitab al-Ihya fi Mizan al-‘Ulama, hlm. 21.)

 

Al-Imam al-Sayuti (meninggal dunia 911H) menyatakan: “Ketahuilah olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadis yang palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka menamakan solat Raghaib.”

 

Katanya juga, ketahuilah sesungguhnya solat yang bidaah ini menyanggahi kaedah-kaedah Islam dalam beberapa bentuk. (Rujukan: Al-Sayuti: Abd al-Rahman bin Abi Bakr, Al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ hlm. 52-54, Beirut: Dar al-Fikr al-Lubnan.)

 

Demikian juga kitab-kitab kerohanian kesufian lain yang kebanyakan penulisnya tidak mengambil berat soal kesahihan hadis-hadis. Ini seperti kitab Tanbih al-Ghafilin yang banyak dibaca di masjid dan surau. Demikian juga Bustan al-‘Arifin dan lain-lain.

 

Kata al-Syeikh Abu Syahbah: “Kitab Tanbih al-Ghafilin karangan al-Samarqandi; wajib pembaca berhati-hati terhadap hadis-hadis palsu dan Israiliyyat di dalamnya. Juga kitab Bustan al-‘Arifin yang juga karangannya patut pembaca berjaga-jaga.” (Rujukan: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadis, hlm. 354, Kaherah: Dar al-Fikr.)

 

Justeru para pembaca kitab-kitab ini hendaklah berhati-hati ketika memetik hadis-hadis daripada kitab-kitab ini.

 

DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah pensyarah Bahagian Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM).

 

Petikan: Utusan Online

About these ads