1.0 Definasi
Jualbeli dalam bahasa Arab ertinya menurut bahasa ialah menukarkan sesuatu dengan sesuatu ; dan definasinya menurut hukum syarak ialah “menukarkan harta dengan harta mengikut cara-cara yang tertentu”.
1.1 Hukum Berjualbeli
Hukum berjualbeli adalah harus, bersih dan halal. Dalilnya firman Allah s.w.t. :-
Ertinya :
Dan Allah telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba.
1.2 Mengapakah Diharuskan Berjualbeli ?
Diharuskan berjualbeli kerana beberapa hikmah, di antaranya ialah :
1. Untuk menyenangkan manusia bertukar-tukar faedah harta dalam membina kehidupan sehari-hari.
2. Untuk menghindarkan kejadian rampas merampas dan ceroboh mencerobohi dalam usaha memiliki harta benda.
3. Menggalakkan orang ramai supaya hidup berperaturan, bertimbangrasa, jujur dan ikhlas. Jualbeli dalam Islam dilarang berbohong, menipu dan tidak amanah.
1.3 Rukun-rukun Jualbeli
Rukun-rukun jualbeli ialah seperti berikut :
1. Penjual dan pembeli
2. Barang dan harga
3. Ijab dan qabul, iaitu ucapan yang menunjukkan persetujuan menyerahkan barang-barang dan menerimanya antara penjual dan pembeli.
1.4 Syarat-syarat Penjual dan Pembeli
Syarat-syarat penjual dan pembeli ialah seperti berikut :
1. Akilbaligh – tidak sah jualbeli yang dilakukan oleh orang-orang gila dan kanak-kanak. Tetapi menurut mazhab Hambali, sah jualbeli yang dilakukan oleh kanak-kanak bagi sesuatu yang sedikit walaupun masih belum mumaiyiz dan walaupun tanpa keizinan dari penjaganya. Adapun sesuatu yang banyak, maka tidak sah dilakukan oleh kanak-kanak yang tidak mumaiyiz walaupun dengan keizinan penjaganya.
2. Tidak ditahan haknya – tidak sah jualbeli orang-orang yang ditahan hartanya disebabkan bangkrap atau sebagainya.
3. Tidak dengan paksaan – tidak sah jualbeli yang dilakukan dengan paksaan, kecuali jika dipaksa dengan hak seperti dipaksa bagi membayar hutangnya, atau dipaksa oleh pihak pemerintah menjual barang-barang kepada orang ramai yang memerlukan barang-barang tersebut.
4. Pembeli hendaklah juga orang Muslim jika dijual perkara-perkara ayat-ayat Al-Quran atau hadis-hadis.
5. Pembeli hendaklah bukan musuh jika penjualan senjata.
6. Merdeka – tidak sah juabeli oleh hamba sahaya.
1.5 Syarat-syarat Barang Jualan
Barang-barang yang hendak dijual itu mestilah :
1. Suci – tidak sah, menjual barang-barang najis, seperti ahi, bangkai, anjing, babi atau sebagainya. Begitu juga tidak sah sesuatu yang terkena najis yang tidak boleh disucikan seperti susu, minyak, cuka atau sebagainya yang terkena najis.
2. Ada manfaat – tidak sah menjual barang-barang yang tidak boleh mendatangkan manfaat, seperti serangga yang tidak mendatangkan faedah. Begitu juga tidak sah menjual benda-benda yang tidak bernilai seperti menjual dua biji beras atau sebagainya.
3. Boleh diserahkan kepada pembelinya – tidak sah menjual barang-barang yang tidak boleh diserahkan seperti burung di udara, ikan di dalam lautan dan sebagainya.
4. Barang itu mestilah kepunyaan penjual, atau barang yang telah diwakilkan kepadanya.
5. Diketahui tentang jenis, kadar dan sifat barang-barang itu.
1.6 Sighah Jualbeli
Sighah ialah ucapan penjual dan pembeli. Ucapanl penjual dipanggil ijab dan ucapanl pembeli dipanggil qabul.
Contoh ijab, yakni ucapan penjual atau wakilnya seperti : “Saya jualkan barang ini kepada saudara dengan harga sebanyak sepuluh ringgi.”
Contoh qabul, yakni ucapan pembeli atau wakilnya seperti : “Saya membelinya dengan harga yang tersebut.”
Sighah jualbeli ini boleh juga didahulukan qabul, ucapan pembeli, seperti katanya: “Saya beli barang ini dengan harga sepuluh ringgit.” Lalu kata penjual: “Saya jualkan barang ini kepada saudara dengan harga sepuluh ringgit.”
Dan boleh juga dengan ucapan seperti : “Saudara jualkan barang ini kepada saya dengan harga sepuluh ringgit.” Lalu penjual berkata “ “Saya jualkan barang ini kepada saudara dengan harga yang tersebut.”
Sighah ini boleh juga dengan cara kinayah (tidak terang), seperti katanya: “Saudara ambilah barang ini dengan harga lima belas ringgit.” Cara kinayah ini mestilah dengan niat jualbeli.
1.7 Syarat-syarat Ijab dan Qabul
Disyaratkan pada ijab dan qabul enam syarat, iaitu :
1. Tidak diselangi oleh perkataan lain yang tidak bersangkutan dengan aqad. Tetapi jika yang bersangkutan dengan aqad seperti syarat khiar, maka tidak mengapa.
2. Tidak berselang lama antara ijab dan qabul. Tetapi jika sekejap saja berselang antara keduanya, maka tidak mengapa.
3. Tidak berubah lafaz yang pertama. Jika berubah, seperti katanya: “Saya jualkan barang ini dengan harga seratus ringgit bahkan dengan lima ratus”, maka tidak sah jualan tersebut. Tetapi jika ucapan yang kedua itu diulangi dengan sempurna, seperti katanya: “Saya jualkan barang ini kepada saudara dengan seratus ringgit, saya jualkan barang ini kepada saudara dengan lima ratus ringgit.” Jawab pembeli : “Saya menerimanya”, maka sah jualan itu dengan lima ratus ringgit.
4. Tidak bertakliq – tidak sah jualan yang bertakliq seperti kata penjual: “Saya jualkan basikal ini kepada saudara dengan harga $300.00, jika ayah saya meninggal dunia.”
5. Tidak memakai jangka waktu – tidak sah jualan yang memakai jangka waktu, seperti kata penjual: “Saya jualkan basikal ini kepada saudara dengan harga $300.00 dalam masa setahun.”
6. Bersamaan ijab dan qabul pada maknanya. Tidak sah jika tidak bersamaan seperti seratus ringgit dengan seratus rupiah.
1.8 Jualbeli Tanpa Ijab-Qabul
Tidak sah jualbeli tanpa ijab dan qabul seperti secara unjukterima di antara penjual dan pembeli. Tetapi Imam Nawawi dan juga sebahagian ulama, mengatakan sah jualbeli dengan apa cara yang dinamakan jualbeli walaupun tanpa ijab dan qabul. Pendapat yang kedua ini lebih praktikal dan selaras dengan amalan sehari-hari.
BAB II
BEBERAPA PERNIAGAAN HARAM
2.0 Dalam Pendahuluan telah diterangkan secara ringkas keperluan manusia terhadap urusan muamalat dan dalam Bab I diterangkan beberapa hukum di sekitar jualbeli termasuk rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Dalam bab ini akan diterangkan beberapa bentuk perniagaan yang terlarang dalam Islam.
2.1 Untuk mendapat keuntungan yang banyak dan mudah menjadi kaya, setengah-setengah penjual atau saudagar sanggup melakukan segala macam perniagaan dan berbagai-bagai tipu helah dalam urusan jualbeli. Mereka tidak memperdulikan kepentingan orang ramai asalkan mereka mendapat keuntungan yang berlipat-ganda. Di bawah ini diterangkan beberapa sumber kemasukan wang yang diharamkan oleh Islam, di antaranya ialah : (1) baiul gharari (2) penjualan yang menolong kemaksiatan dan najis, (3) perniagaan kotor, (4) penjualan dengan tipuan, (5) mengatasi jualan orang lain, (6) mengatasi tawaran orang lain, (7) Talaqir Rukban, (8) Baiu Haadirin Libaadin, (9) bai an-najsy, (10) nai nitajinitaj, (11) ihtikar.
2.2 Baiul gharari
Iaitu segala bentuk jualbeli yang mendatangkan kemudaratan, kerugian, bahaya atau sakit hati orang lain. Penegahan ini berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah katanya:
Ertinya :
Rasulullah menegah daripada jualan berbahaya dan jualan secara melontar anak batu.
Termasuklah penjualan barang-barang yang entah di mana barang-barang yang tidak diketahui besar kecilnya, baik buruknya, tidak diketahui masa menerimanya, barang yang belum sempurna milik penjualnya, menjual ikan di dalam sungai, burung di udara, anak binatang di dalam perut, menjaul sehelai kain di dalam beberapa helai kain yang tidak dapat dilihat, menjual seekor biri-biri di dalam kumpulan yang ramai dan lai-lain sebagainya yang mendatangkan bahaya dan kerugian.
2.3 Penjualan Yang Menolong Kemaksiatan dan Najis
begitu juga dilarang segala bentuk penjualan yang menolong kepada kemaksiatan dan menjual benda-benda najis, berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Jabir Ibnu Abdullah r.a. :
Ertinya :
Daripada Jabir bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah sedang ia berada di Mekah sedang ia berada di Mekah: “Bahawa Allah dan rasulNya mengharamkan jualan arak, bangkai, babi dan berhala.”
2.4 Perniagaan Kotor
Haram memakan hasil-hasil perniagaan kotor seperti hasil persundalan dan sebagainya. Tegahan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abi Masud Al-An-Ansari katanya :
Ertinya :
Rasulullah s.a.w. menegah dari harga anjing dan hasil perempuan sundal danl upahan tukang nujum.
2.5 Penjualan Secara Tipu
Jualbeli yang mengandungi penipuan dan pengicuhan seperti penjual sengaja memperlihatkan barang dagangannya yang baik di sebelah atas dan yang buruknya di sebelah bawah. Berdasarkan hadis riwayat dari Abi Hurairah r.a. :
Ertinya :
Bahawa Nabi s.a.w. melalui pada suatu longgokan makanan, lalu ia memasukkan tangannya pada tompokan itu lalu jari-jarinya terasa basah, baginda pun bersabda : “Apa ini wahai tuan punya makanan?” Jawabnya : “Ia terkena hujan wahai Rasulullah.” Sabda nabi lagi : “Mengapa tidak engkau taruhkan sebelah atas supaya dilihat orang? Siapa-siapa menipu, bukanlah ia dari golonganku.”
2.6 Mengatasi Jualan Orang lain
Haram menjual di atas orang lain seumpama penjual berkata kepada orang yang telah membeli barang-barang orang lain yang masih di dalam masa khiar : “Batalkan permbelian ini supaya saya menjual kepada saudara dengan harga yang lebih murah.” Larangan ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. bersabda :
Ertinya :
Tidak harus menjual setengah kamu atas jualan setengah.
2.7 Mengatasi Tawaranl Orang Lain
Begitu juga haram mengatasi tawaran orang lain seumpama pembeli telah bersetuju hendak membeli sesuatu barang, tiba-tiba datang orang lain menawar dengan harga lebih mahal daripada itu. Larangan ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. :
Ertinya :
Tidak harus menawar seseorang Muslim atas tawaran seseorang Muslim.
2.8 Menyekat Pedagang
Begitu juga haram menyekat barang-barang dagangan di luar kota dengan tujuan memborong barang-barang itu dengan harga yang murah. Umpamanya seorang peniaga pergi menanti di mana-mana jalan memborong barang-barang sebelum barang-barang itu sempat dibawa ke pasar dengan harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran: Perbuatanl mencari untung yang berlebih-lebihan ini adalah haram berdasarkan hadis daripada Ibnu Masud daripada Nabi s.a.w. :
Ertinya :
Bahawanya ia menegah daripada menemui jualan-jualan.
Dan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. katanya :
Ertinya :
Rasulullah menegah pergi menyusun pedagang-pedagang.
2.9 Jualbeli Haadirin Libaadin
Ialah juabeli antara orang kota dengan orang desa hukumnya haram iaitu seperti seorang desa datang ke kota membawa barang-barang dagangan yang diperlukan di kota untuk dijual. Tetapi ia tidak mengetahui harga pasaran pada masa itu. Saudagar kota segera mengambil peluang menyuruhnya tinggalkan saja barang-barang itu padanya supaya dapat ia menjualnya sedikit demi sedikit dengan harga yang lebih mahal. Perbuatan yang seperti ini adalah haram berdasarkan kepada hadis daripada Jabir katanya :
Ertinya :
Tiada harus menjual orang kota bagi orang desa, biarkan orang-orang memberi rezeki oleh Allah, setengah mereka daripada setengah.
2.10 Jualbeli Najsy
Iaitu jualan dengan cara menaik-naikkan harga dengan tujuan menipu umpamanya penjual telah berpakat dengan seseorang yang pura-pura hendak membeli barangnya, tetapi sebenarnya ia tidak hendak membelinya, cuma untuk menipu dan mengelirukan orang ramai sahaja. Perbuatan ini dilarang berdasarkan hadis riwayat daripada Ibnu Umar r.a. :
Ertinya :
Sesungguhnya Rasulullah menegah daripada jualbeli najsy.
2.11 Jualbeli Anak Dalam Kandungan
Ialah menjual keturunan anak ternakan yang masih dalam kandungan, seperti dikatakan: “Bila lembuku ini melahirkan anak yang di dalam kandungannya ini dan anaknya itu beranak pula, kujualkannya anaknya itu.” Penjualan yang seperti ini mungkin terjadi dan tempah menempah pembelian anaknya akan berlaku bila ternakan-ternakan itu baka keturunan baik. Orang-orang Arab di zaman dahulu pernah menjual keturunan anak-anak unta yang masih di dalam kandungan. Hukumnya haram dan tidak sah, berdasarkan hadis daripada Ibnu Umar :
Ertinya :
Bahawa Nabi s.a.w. telah menegah dari jualan anak bagi yang bunting.
2.12 Ihtikar
Ihtikar ialah menyimpan barang-barang keperluan orang ramai dengan tujuan hendak menjualnya dengan harga yang lebih mahal supaya mendapat keuntunganl yang berlipat-ganda. Perbuatan yang seperti ini merupakan penindasan yang menyebabkan orang ramai mengalami kesulitan dan kesusahan. Perbuatan ini dilarang berdasarkan hadis daripada Makmari bin Abdullah r.a. katanya: “Telah bersabd Rasulullah s.a.w. :
Ertinya :
Siapa-siapa melakukan ihtikar dia adalah salah.
2.13 Jualan Lelong
Adapun jualan secara lelong, hukumnya harus berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik :
Ertinya :
Bahawa Rasulullah pernah menjual pelana dan mangkuk, dan katanya : “Siapa mahu membeli pelana dan mangkuk ini?” Jawab seorang lelaki : “Saya mengambil kedua-duanya dengan satu dirham.” Maka Nabi s.a.w. berkata : “Siapa mahu lebih atas satu darham ?” Maka seorang lelaki memberikan dua dirham kepada Nabi, lalu Nabi menjual kedua-duanya kepadanya.”
BAB III
JUALBELI YANG TERLARANG
3.0 Dari keterangan-keterangan umum perniagaan haram dalam bab yang telah lepas, jualbeli atau perniagaan yang diharamkan, terbahagi kepada dua bentuk pengharaman iaitu :
1. haram tetapi sah akadnya
2. Haram dan tidak sah akadnya
3.1 Haram Tetapi Sah Akadnya
Di antara jualbeli haram tetapi sah akadnya, ialah :
1. Menjual sesuatu yang terang-terang akan dipergunakkan oleh pembelinya untuk tujuan maksiat.
2. Penjualan secara kecoh, seperti penjual sengaja memperlihatkan barang-barang yang baik di sebelah atas, sedangkan di bawahnya terdapat barnag-barang yang buruk.
3. Jualbeli dengan cara mengatasi jualan orang lain sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.6
4. Jualbeli dengan mengatasi tawaran orang lain sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.7
5. Jualbeli talaqir rukban (menyusung pedagang keluar kota), sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.8
6. Jualbeli di antara orang kota dengan orang-orang desa sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.9.
7. Jualbeli najsyin (menaik-naikkan harga) sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.10.
8. Melakukan ihtikar ke atas barang-barang keperluan orang ramai dengan tujuan hendak menjualnya dengan harga yang lebih mahal, sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.12.
Demikianlah di antara jualan-jualan haram tetapi sah akadnya. Oleh yang demikian hendaklah berhati-hati dalam menjalankan urusan perniagaan supaya tidak terlibat dengan urusan jualbeli yang diharamkan itu.
3.2 Haram Lagi Tidak Sah Akadnya
Di antara jualbeli yang diharamkan lagi tidak sah akadnya, ialah :-
1. Menjual air benih haiwan ternakan, hukumnya haram dan tidak sah akadnya kerana bukan saja tidak diketahui kadarnya, tetapi juga tidak dapat menerimanya.
Tetapi dalam urusan pembiakan ini menurut mazhab Hanbali harus mempersewakan jantan ternakan dalam tempoh masa yang tertentu. Tetapi sebaik-baiknya tuan punya haiwan tersebut meminjamkannya saja kepada pihak yang berkehendakan pembiakan itu dan cara inilah yang dianjurkan oleh Islam.
2. Begitu juga haram dan tidak sah menjual anak haiwan yang masih di dalam kandungan ibunya. Begitu juga tidak sah jika menjual salah satunya saja. Jika menjual haiwan yang bunting, termasuklah anaknya sekali yang di dalam kandungannya itu.
3. Tidak sah menjual buah-buahan yang masih di pokok kecuali setelah nyata baiknya. Umpamanya buah-buahan yang sedang memutik muda, tidak harus menjualnya kerana buah-buahan dalam waktu yang demikian sering gugur dan busuk. Kecuali setelah kelihatan baik dan tua. Sabda Rasulullah s.a.w. :
Ertinya :
Jangan kamu menjual buah-buahan sehingga nyata bainya.
4. Tidak sah menjual dengan bersyarat seperti kata penjual : “Saya jualkan motokar ini kepada saudara dengan harga $5,000.00 dengan syarat saudara jualkan rumah saudara itu kepada saya dengan harga ….”
5. Tidak sah menjual dengan syarat hutang umpamanya kata penjual” “Saya jualkan basikal ini kepada saudara dengan harga $200.00 dengan syarat saudara memberi hutang wang kepada saya sebanyak $100.00” dan sebagainya.
6. Tidak harus menjual daging dengan binatang sama ada dari jenis yang boleh dimakan atau bukan jenis yang boleh dimakan seperti menjual daging lembu dengan biri-biri atau lainnya seperti menjual daging biri-biri dengan hamar, berdasarkan riwayat Al-Hakim bahawa Rasulullah s.a.w. :
Ertinya :
Ia menegah dari dijual biri-biri dengan daging.
7. Tidak sah menjual barang-barang yang tidak boleh diterima seperti burung di udara, ikan di dalam laut atau sebagainya.
8. Tidak sah menjual barang-barang yang baru dibeli sebelum menerimanya kerana barang yang seperti itu belum lagi menjadi miliknya yang sempurna.
Demikianlah di antara beberapa bentuk penjualan yang diharamkan dan tidak sah akadnya. Oleh yang demikian sayugialah bagi setiap orang mengetahui bentuk-bentuk jualan yang tersebut agar tidak terlibat dengan perbuatan-perbuatan yang diharamkan itu.
BAB IV
KHIAR
4.0 Definasi
Khiar ertinya pemilihannya, iaitu hak memilih bagi penjual dan pembeli sama ada jualbeli itu hendak diteruskan ataupun tidak. Pembeli menarik kembali wangnya dan penjual menarik balik barangnya.
4.1 Hukum Khiar
Melakukan khiar adalah harus mengikut syarat-syaratnya yang tertentu. Penjual dan pembeli harus melakukan khiar selagi kedua-duanya belum berpisah. Hukum ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam, berkata ia : Rasulullah telah bersabda :
Ertinya :
Penjual dan pembeli harus melakukan khiar selagi kedua-duanya bersikap benar dan menerangkan, diberkati bagi kedua-duanya pada jualbeli kedua mereka, dan jika kedua-duanya menyembunyikan dan berbohong, dimusnahkan keberkatanl jualbeli keduanya itu.
4.2 Hikmah Pengharusan Khiar
Di antara hikmat-hikmat mengharuskan khir, dapat disimpulkan seperti berikut :
1. Supaya kedua-dua pihak merasa puas hati dalam urusanl jualbeli.
2. Untuk mengelakkan tipu menipu dalam urusan jualbeli
3. Untuk menjamin kesempurnaan dan kejujuran bagi kedua-dua pihak.
4.3 Jenis-jenis Khiar
Khiar ada tiga jenis, iaitu :
1. Khiar Majlis
2. Khiar Syarat
3. Khiar Aib (cacat)
4.4 Khiar Majlis
Khiar majlis ialah khiar yang dilakukan sebelum penjual dan pembeli berpisah ke mana-mana. Selagi belum berpisah, penjual atau pembeli boleh melakukan khiar walaupun tanpa sesuatu sebab, tak kira berapa lama mereka berada di majlis atau tempat akad itu ; atau mereka sama-sama keluar pergi ke mana-mana. Maka tidak boleh dilakukan khiar lagi jika :
1. Kedua-duanya sudah berpisah
2. Sudah menggunakan barang itu sebagai membuktikan jualan itu sudah selesai
3. Ada sesuatu bukti yang menunjukkan jualan itu sudah selesai.
4.5 Khiar Syarat
Penjual dan pembeli boleh membuat syarat ketika akad jualbeli dalam tempoh tidak lebih daripada tiga hari, seperti kata penjual : “Saya jual barang ini kepada saudara dengan syarat saya boleh khiar dalam tempoh tiga hari.” Jawab pembeli: “Saya beli barang ini dengan syarat tersebut.” Dalam tempoh yang tersebut itu, berhaklah pihak-pihak yang membuat syarat itu melakukan khiar, penjual berhak menarik kembali barangnya, dan pembeli berhak menarik balik wangnya. Inilah yang dikatakan khiar syarat.
4.6 Khiar Aib
Jika barangyang dijual atau harganya didapati cacat yang mengurangkan nilainya, haruslah pembeli atau penjual melakukan khiar dengan syarat :
1. Kecacatan itu berlaku sebelum daripada akad atau selepas akad tetapi sebelum diterimanya oleh pembeli atau penjual.
2. Hendaklah segera menyerahkan kembali barang atau harga yang cacat itu.
Bila terdapat kecacatan yang mengurangkan nilainya itu, bolehlah dilakukan khiar walaupun tidak ada dibuat syarat khiar terlebih dahulu. Jadi bila diketahui ada kecacatan, hendaklah segera menyerahkan kembali barang kepada penjual atau harga kepada pembelinya. Tetapi jika lengah, tidak harus lagi melakukan khiar. Inilah yang dikatakan khiar cacat.
BAB V
RIBA
5.0 Definasi
Kata “riba” bererti bertambah, subur atau lebih. Di antara pengertian atau definasinya menurut hukum syarak ialah :
1. Akad bagi membuat pertukaran barang yang tertentu tidak diketahui persamaannya mengikut kiraan syarak ketika akad atau diketahui persamaannya tetapi dengan menangguhkan kedua-dua tukaran itu atau salah satunya.
2. Pertambahan pada pertukaran emas dan perak juga pada jenis-jenis benda makanan.
5.1 Hukum Perbuatan Riba
Perbuatan riba hukumnya haram dan berdosa besar. Di antara ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menunjukkan haram dan kotornya perbuatan riba ini adalah seperti berikut :
Ertinya :
Dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba.
Ertinya :
Wahai orang-orang yang beriman ! Takutlah kepadaAllah dan tinggalkan sisa-sisa riba itu, jika kamu orang beriman Daripada Ibni Masud.
Ertinya :
Bahawa Nabi s.a.w. melaknanti pemakan riba, pemberinya, saksinya dan juru tulisnya. Daripada Jabir r.a.
Ertinya :
Melaknati Rasulullah s.a.w. memakan riba, pemberinya, juru tulisnya, saksinya dan ia berkata : “Mereka itu sama sahaja.”
5.2 Hikmah Pengharaman Riba
Islam mengharamkan riba kerana akibatnya terlalu buruk terhadap anggota masyarakat. Riba merupakan penindasan dan pemerasan setengah orang-orang kaya terhadap orang-orang miskin. Setengah-setengah orang menganggap riba sama saja dengan jualbeli kerana kedua-duanya sama-sama mendatangkan keuntungan. Anggapan ini jauh terpesong dari hakikat yang sebenarnya. Anggapan ini jauh terpesong dari hakikat yang sebenarnya. Kedua-dauanya jauh berbeza. Jualbeli diharuskan kerana mendatangkan faedah yang besar kepada masyarakat.
Walaupun ia mendatangkan keuntungan yang berlipat-ganda, namun ia juga terdedah kepada kerugian, kadang-kadang mendatangkan keuntungan dan kadang-kadang mendatangkan kerugian. Hal ini berlainan sekali dengan riba kerana ianya sekali-sekali tidak terdedah kepada kerugian, malah sentiasa mendatangkan keuntungan.
Dalam masyarakat kita bukan sedikit orang-orang yang berhutang kepada ceti-ceti, bergadai kepada pajak-pajak gadai secara riba telah kehilangan kebun getah, tanah padi dan sebagainya kerana tidak sanggup membayar hutang, membayar bunga, membayar faedah (interest) yang dikenakan berlipat-ganda ke atas mereka. Sebaliknya pihak pemakan riba bertambah kaya-raya dan senang-linang. Pendeknya perbuatan riba merupakan suatu penindasan dan cengkaman yang amat buruk terhadap anggota masyarakat. Di akhirat kelak mereka akan mendapat hukuman daripada Allah. Firman Tuhan :
Ertinya :
Orang-orang yang memakan riba, tidak berdiri, melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan, yang demikian kerana mereka berkata : jualbeli itu seperti riba, dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba.
Dari huraian di atas, dapat ditarik beberapa kesimpulan seperti berikut :
1. Riba merupakan pemerasan dan penindasan yang terkutuk.
2. Riba menghilangkan rasa tolong menolong di antara satu sama lain.
3. Riba menambahkan kemelaratan dan kesusahan ke atas orang-orang susah dan miskin.
4. Riba menanamkan semangat tamak haluba kepada orang-orang yang berada dan kaum-kaum pemodal, sebaliknya menimbulkan semangat kebencian dan hasad dengki di dalam hati orang-orang miskin.
5. Orang-orang yang menjalankan perbuatan riba, di akhirat kelak akan menerima hukuman berat daripada Allah.
Kerana keburukan-keburukan itulah, Islam mengharamkan perbuatan riba dan mengutuk keras ka atas orang-orang yang terlibat dalam urusan riba.
5.3 Benda-benda Riba
Benda-benda yang terdapat padanya riba adalah sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ubadah bin Al-Samit daripada Nabi s.a.w. berkata ia :
Ertinya :
Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, tamar dengan tamar, garam dengan garam, sama-sama banyak dengan tunai, maka jika berlainan jenis-jenis ini, maka juallah kamu sebagaimana yang kamu kehendaki jika dengan tunai.
5.4 Ilat Pengharaman
Dari sabda Rasulullah s.a.w. yang tersebut pada 5.3 itu, secara garis kasarnya, benda-benda riba tercantum dalam dua perkara, iaitu :
1. Benda-benda makanan
2. Emas dan perak
Jadi benda-benda riba itu bukanlah hanya terkhas kepada enam perkara benda-benda yang tersebut pada 5.3 itu sahaja. Benda-benda yang tersebut itu hanyalah sebagai dasar illat pengharaman sahaja. Syafii menetapkan illat pengharaman benda-benda makanan ialah ‘makanan’ ; illat pengharaman emas dan perak ialah kerana kedua-duanya itu merupakan “nilai bagi sesuatu”. Tetapi Hanafi menetapkan illat pengharamannya ialah “sukatan dan timbangan”.
5.5 Jenis-jenis Riba
Riba terbahagi kepada tiga jenis, iaitu :
1. Riba An-Nasiah : Riba yang dibayar lebih kerana bertangguh pembayarannya. Riba jenis inilah yang banyak terjadi di kalangan masyarakat kita.
2. Riba-Fadzl : Iaitu riba yang dibayar lebih pada satu pihak penukaran seperti ditukar segantang beras malinja dengan dua gantang beras yang lain.
3. Riba-Yad : Iaiti riba yang dibayar lebih kerana tidak berterimaan di dalam majlis akad.
5.6 Syarat-syarat Penjualan Barang-barang Riba
Tidak harus menjual barang-barang jenis riba sesama jenisnya dan yang bukan sesama jenisnya kecuali dengan syarat-syarat seperti berikut :
1. Sesama jenisnya :
Jika dijual barang-barang makanan dengan makanan sesama jenisnya seperti gandum dengan gandum, beras dengan beras, dan juga jika dijual emas dengan emas, perak dengan perak, disyaratkan tiga perkara, iaitu :
(a) Hendaklah bersamaan kedua-duanya pada sukatan / timbangan
(b) Hendaklah dengan tunai
(c) Hendaklah berterimaan di dalam majlis akad.
2. Tidak sesama jenisnya :
Jika dijual benda-benda tidak sesama jenisnya seperti gandum dengan beras, gandum dengan syair, emas dengan perak, disyaratkan dua perkara, iaitu :
(a) Hendaklah dengan tunai
(b) Hendaklah berterimaan di dalam majlis akad
Ertinya jika dijual barang-barang bukan sesama jenisnya, boleh berlebih kurang di antara satu sama lain.
5.7 Benda-benda Yang Berlainan Bangsa
Bagi benda-benda yang berlainan bangsa dan jenisnya seperti padi dengan wang, beras dengan kain atau sebagainya, tidak dikenakan apa-apa syarat padanya.
Sekianlah sahaja beberapa perkara mengenai riba. Termasuk juga dalam golongan riba jika diberi hutang dan disyaratkan membayar lebih kepada tuan hutang. Oleh kerana perbuatan riba ini amat merbahaya dan terkutuk, wajiblah setiap orang berhati-hati dalam menjalankan segala jenis urusan muamalat.
BAB VI
JUAL SALAM
6.0 Definasi
Menurut istilah hukum syarak, jual salam ialah menjual sesuatu benda yang belum ada di hadapan mata, tetapi ditentukan sifat-sifat dan kadarnya.
6.1 Syarat-syarat Barang Yang Dijual Salam
Sesuatu barang atau benda hendak dijual secara salam itu disyaratkan :
1. Boleh dianggarkan sifatnya, ertnya ada sifat-sifat yang boleh dibuat anggaran dan perbezaan dengannya.
2. Tidak bercampur dengan benda-benda lain yang menyebabkan sukar hendak membuat anggarannya.
3. Barang itu hendaklah tidak tertentu. Tidak boleh seperti kata penjual : “Saya jual salam kain ini kepada saudara.”
4. Barang itu tidak berhad pada satu tempat saja.
5. Barang itu hendaklah sesuatuyang sah dijualbeli.
6.2 Syarat-syarat Sah Akad Jual Salam
Syarat-syarat sah akad jualbeli salam ialah :
1. Hendaklah dijelaskan jenis dan sifat-sifat penting bagi barang yang hendak dijual itu.
2. Hendaklah dijelaskan juga kadarnya.
3. Hendaklah ditetapkan masa tempoh untuk mendapatkannya.
4. Hendaklah barang itu boleh didapati bila sampai tempoh yang ditetapkan.
5. Hendaklah barang itu biasa didapati, bukan jarang-jarang didapati.
6. Hendaklah ditetapkan tempat menerimanya.
7. Hendaklah dibayar tunai harganya.
8. Akad jualbeli ini terus berjalan kuatkuasanya, ertinya tidak sah jika disyaratkan khiar.
6.3 Peringatan
1. Bila diserah barang itu sebagaimana yang disifatkan di dalam akadnya atau lebih baik lagi, wajiblah menerimanya.
2. Kalau barang itu terkurang dari apa yang telah disifatkan, harus menerimanya, tetapi tidak wajib.
6.4 Hikmah Jual Salam
Di antara hikmat-hikmat diharuskan jualbeli secara salam ialah :
1. Untuk memberi kemudahan kepada anggota masyarakat menjalankan urusan perniagaan.
2. Untuk menanamkan perasaan tolong menolong di antara satu sama lain.
6.5 Budipekerti Dalam Jual Salam
Di antara budipekerti dalam jual salam, ialah :
1. Masing-masing hendaklah bersikap jujur dan tulus ikhlas serta hendaklah amanah dalam perjanjian-perjanjian yang telah dibuat.
2. Penjual hendaklah berusaha memenuhkan syarat-syarat yang telah ditetapkan itu.
3. Pembeli janganlah cuba menolak barang-barang yang telah dijanjikan itu dengan membuat berbagai-bagai alasan palsu.
4. Sekiranya barang yang dibawa itu terkurang sedikit daripada syarat-syarat yang telah dibuat, masing-masing hendaklah bertolak ansur dan mencari keputusan yang sebaik-baiknya.
BAB VII
RAHNUN (GADAIAN)
7.0 Definasi
Rahnun perkataan Arab. Dari sudut bahasa bererti : kekal, tetap dan tahan. Kata “rahnum” diekwivalenkan dengan kata “gadaian” dalam bahasa Malaysia, ertinya menurut bahasa ialah mempertaruhkan sesuatu umpamanya menggadai nyawa, menggadaikan tanahair dan sebagainya.
Menurut istilah hukum fekah atau hukum syarak kata “rahnum” atau “gadai” itu ialah : menjadikan sesuatu barang sebagai cagaran kepada sesuatu hutang buat menjelaskan hutang itu ketika tidak kuasa membayarnya.
7.1 Dalil Gadaian
Hukum bergadai adalah harus iaitu harus bergadai dengan sesuatu atau apa-apa barang yang sah diperjualbelikan. Ertinya apa-apa barang atau sesuatu yang sah dijual maka sahlah digadai.
Dalil asal sebelum ijmak yang menunjukkan keharusan bergadai ini ialah :
1. Firman Tuhan :
Ertinya :
Dan jika kamu dalam perjalanan dan tidak memperolehi jurutulis, hendaklah kamu menerima gadaian.
2. Riwayat daripada Anas katanya :
Ertinya :
Rasulullah s.a.w. menggadaikan baju rantai di sisi Yahudi di Madinah dan baginda mengambil daripadanya gandum untuk keluarganya.
3. Daripada Aisyah r.a. :
Ertinya :
Bahaya Nabi s.a.w. telah membeli daripada seorang Yahudi makanan kepada suatu tempoh, dan baginda menggadaikan kepadanya baju rantai kepunyaannya yang diperbuat daripada besi.
7.3 Gadaian Dalam Islam
Berhutang adalah merupakan suatu jalan bagi mengatasi kesulitan perbelanjaan tetapi kadang-kadang orang-orang yang berkemampuan tidak sanggup hendak memberi hutang kepada seseorang yang dipercayainya kecuali dengan sesuatu cagaran. Dengan adanya cagaran itu, hutang yang diberikan itu akan terjamin dan terselamat. Memandangkan kepada keadaan inilah Islam mengharuskan bermualamat dengan cara bergadai iaitu berhutang dengan meletakkan suatu pertaruhan atau cagaran supaya terjamin pembayarannya bila mana sampai tempohnya kelak. Dengan cagaran itu, pihak memberi hutang tidak merasa apa-apa keraguan lagi kerana bila sampai tempohnya nanti, walaupun orang yang berhutang itu tidak sanggup menjelaskannya, pemberi hutang yang memegang gadaian itu boleh menjualnya dan mengambil harganya sekadar yang telah diperhutangkannya.
Umpamanya Ramzi memerlukan wang sejumlah $3,000.00. Untuk mendapat wang sejumlah tersebut ia terpaksa berhutangl daripada Fakhri dengan menggadaikan kebun getahnya iaitu sebagai cagaran kepada hutangnya itu dengan perjanjian apabila ia tidak dapat melunaskan hutangnya itu dalam tempoh yang telah ditetapkan, Fakhri bolehlah menjual kebun tersebut; dan jika harganya lebih mahal daripada jumlah wang yang diperhutangkan itu, wang selebihnya itu hendaklah diberikan kepada Ramzi kerana ianya adalah kepunyaan Ramzi.
Muamalat hutang dengan cagaran sebagaimana yang tersebut di atas inilah dikatakan rahnun (gadai). Ramzi yang memerlukan wang itu dinamakan rahin (penggadai). Fakhri yang memberikan wang dinamakan murtahin (pemegang gadai). Kebun yang dicagarkan itu dinamakan marhun (yang digadaikan). Wang sebanyak $3,000.00 itu dinamakan marhun bih (hutang gadaian). Muamalat cara ini mestilah dengan ada ucapan di antara si penggadai dan si pemegang gadai.
7.3 Rukun-rukun Gadaian
Dari keterangan-keterangan di atas nyatalah, rukun-rukun gadaian itu empat perkara iaitu :-
1. Rahin dan murtahin (penggadai dan pemegang gadai). Kedua-duanya hendaklah:
(a) Keahlian mengurus hartanya (ahliyatut Tabaru). Dengan syarat ini, penjaga, bapa atau lainya, tidak boleh menggadaikan harta kanak-kanak dan harta orang-orang gila kecuali jika terpaksa atau ternyata ada keuntunganya.
(b) Akil baligh: tidak sah bagi kanak-kanak dan orang-orang gila.
(c) Tidak dipaksa : melakukan gadai mestilah dengan kehendak sendiri. Tidak sah jika dipaksa.
2. Barang yang digadai – barang-barang yang digadai hendaklah barang-barang yang sah diperjualbelikan. Barang-barang yang tidak sah diperjualbelkan, tidak sah ianya digadaikan.
3. Marhun bih – bayaran atau barang yang diberi kepada penggadai itu mestilah hutang yang dimaklumi. Maka tidak sah jika tidak berupa hutang seumpama benda yang wajib diganti seperti barang yang dirampas, barang pinjaman atau sebagainya.
4. Sighah – tidak sah gadaian melainkan dengan ijab dan Kabul. Syarat-syaratnya sama dengan syarat-syarat pada urusan berjualbeli. Maka tidak sah jika diselangi oleh perkataan lain atau berselang lama. Juga tidak sah jika bertaklik dan jika memakai jangka waktu.
Menurut pendapat setengah ulama, sah bergadai secara unjuk terima, rida meridai di antara kedua pihak seperti kata orang yang hendak berhutang: “Berilah hutang kepada saya sebanyak $500.00 dan saya berikan kepada saudara grant tanah saya ini sebagai gadaiannya”. Maka diberikan wang sebanyak yang tersebut dan pemberi wang menerima grant itu sebagai cagarannya.
7.4 Tarik Balik Gadaian
Harus bagi penggadai, menarik balik akadnya atau memasukhkan gadaiannya itu selagi pemegang gadai atau wakilnya belum memegang barang gadaian itu. Jika sudah memegangnya, berjalanlah kuatkuasa gadaian itu dan penggadai tidak lagi berhak menarik balik gadaiannya dan tidak lagi berhak memerintah yang boleh menghilangkan hak milik hartanya itu seperti hendak menjual atau mewakafkannya atau sebagainya.
7.5 Menggunakan Barang Gadaian
Sesungguhnya barang yang digadai itu adalah masih menjadi hak kepunyaan penggadai. Oleh yang demikian penggadai (rahin) harus mengambil faedah daripada apa yang digadainya itu jika tidak mengurangkan nilai harganya seperti menunggangi haiwan, mendiami rumah atau sebagainya. Bahkan ia boleh memberi sewa sekiranya diizinkan oleh pemegang gadai.
Adapun pemegang gadai, tidak harus ia mengambil faedah daripada barang gadaian itu atau menggunakannya. Tetapi ada setengah-setengah ulama mengatakan harus sekiranya diizinkan oleh orang yang menggadai. Jadi, sekiranya pemegang gadai mengambil munafaat dari barang gadaian itu, sayugialah penggadai dengan tulus ikhlas dan bersih hati menghalalkan faedah-faedah barang gadaian itu sebagai mengenang budi di atas pertolongannya memberi hutang kepadanya itu. Dengan cara ini juga, terhindar dari bahaya riba. Jika ditinjau dari sudut kemanusiaan, pemegang gadai kurang elok mengambil faedah dari barang gadaian, kerana jika demikian, hilanglah semangat memberi pertolongan kepada orang-orang yang berhajat atau dalam kesusahan itu.
7.6 Perbelanjaan Ke Atas Barang Gadaian
Jika barang gadaian itu berkehendakan perbelanjaan seperti makan minum ternakan, menyiram pokok-pokok yang digadai atau sebagainya, maka segala perbelanjaan itu adalah tertanggung ke atas penggadai (rahin), bukannya ke atas pemegang gadai (murtahin).
7.7 Rusak Barang Gadaian
Pemegang gadai merupakan pemegang amanah ke atas barang yang digadaikan kepadanya. Ia bertanggungjawab menjaganya dengan penuh perhatian. Jadi, jika berlaku kerosakan yang tidak sengaja, tidaklah dikenakan apa-apa gantian ke atasnya. Kecuali jika berlaku kerosakan dengan sebab kecuaian atau ketaksirannya, wajib pemegang gadai menggantikannya. Dan kerosakan yang berlaku ke atas barang gadaian itu tidak sedikitpun menggugurkan hutang.
BAB VIII
SYARIKAT (PERKONGSIAN)
8.0 Definasi
Kata syarikat menurut bahasa bererti : bersekutu, bercampur atau berkongsi. Kata syarikat ini telah menjadi bahasa Malaysia dan sudah begitu lumrah penggunaannya baik dalam percakapan mahupun dalam penulisan sehari-hari. Umpamanya : syarikat kerjasama, syarikat serbaguna, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi.
Menurut istilah hukum fekah, yang dimaksudkan dengan syarikat itu ialah “Perjanjian yang menetapkan hak dalam sesuatu bagi dua orang atau lebih.”
8.1 Dalil Harus Bersyarikat
Mengadaikan syarikat atau perkongsian dalam sesuatu, perusahaan, perniagaan, perindustiran atau sebagainya adalah merupakan suatu usaha yang amat baik dan sangat-sangat digalakkan terutamanya dalam usahanya atau projek yang besar yang sukar hendak dijalankan secara perseorangan. Untuk menjayakan sesuatu syarikat, setiap anggota dan kakitangan yang berkhidmat dengannya hendaklah sentiasa bersifat amanah, jujur dan ikhlas dalam mengendalikannya. Jika tidak, syarikat itu akan musnah dan bangkrap.
Dalil asal sebelum ijmak mengenai syarikat ini ialah :-
1. Firman Tuhan :
Ertinya :
Ketuhanan bahawa sesuatu yang kamu rampas dalam medan peperangan adalah seperlimanya untuk Allah, rasulNya kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang musafir.
2. Perkhabaran dari As-Saib bin Yazid:
Maksudnya :
Bahawa adalah ia bersyarikat dengan Nabi s.a.w. sebelum dibangkit menjadi rasul dan ia berbangga dengan syarikatnya selepas kebangkitan.
3. Juga sabda Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya :
Allah subhanahu wataala berfirman : “Aku yang ketiga dalam dua orang yang bersyarikat selama tidak mengkhianati salah seorang anggotanya terhadap rakan perkongsiannya, maka apabila ia mengkhianatinya aku pun keluar daripada keduanya itu.
8.2 Hikmah Pengharusan Syarikat
1. Memberi kemudahan dalam menjalankan sesuatu pekerjaan terutama pekerjaan yang tidak dapat dijalankan secara perseorangan.
2. Untuk menguatkan perhubungan di antara satu sama lain.
3. Menggalakkan anggota masyarakat supaya hidup bersatu dan bekerjasama di antara satu sama lain.
8.3 Jenis-jenis Syarikat
Syarikat terbahagi kepada empat jenis iaitu :
1. Syarikat badan : Iaitu berkongsi tenaga dan usaha dalam menjalankan sesuatu pekerjaan dengan dibahagi sama pendapatan atau kehasilannya.
2. Syarikat mufawadah : Iaitu berkongsi usaha atau harta dalam sesuatu pekerjaan ; dan masing-masing ahli akan membayar jika berlaku kerugian.
3. Syarikat wujuh : Iaitu berkongsi mendapat keuntungan bersama daripada hasil perniagaan yang dilakukan oleh masing-masing dengan modal sendiri-sendiri.
4. Syarikat inan : Iaitu berkongsi mengeluarkan modal untuk sesuatu perusahaan dengan dibahagi keuntungan menurut kadar modal yang dikeluarkan.
Menurut mazhab Syafii syarikat inan sahaja yang dikira sah dan syarikat yang tiga itu semuanya batal kerana kemungkinan berlaku penipuanl dan kecurangan.
8.4 Rukun-rukun Syarikat Inan
Rukun-rukun syarikat inan empat perkara iaitu :
1. Ahli-ahli syarikat : Ahli-ahli syarikat hendaklah orang-orang yang layak membuat atau menerima wakil.
2. Modal : Hendaklah berupa wang ringgit atau benda-benda yang boleh dicampur adukkan.
3. Pekerjaan : Hendaklah pekerjaan yang mendatangkan kebaikan dan keuntungan.
4. Sighah : Iaitu ucapan yang menunjukkan kebenaran bagi orang yang bersyarikat menjalankan urusan perniagaan.
8.5 Syarat-syarat Syarikat Inan
Syarat-syarat syarikat inan lima perkara iaitu :
1. Modal : Hendaklah berupa wang ringgit atua benda-benda yang boleh dicampur adukkan. Tidak sah jika berupa harta benda seperti kain, binatang dan sebagainya. Tetapi jika benda-benda itu telah diperolehinya secara perkongsian seperti hasil pusaka atau sebagainya, dan masing-masing membenarkan untuk diperniagakan, maka sah bersyarikat benda-benda itu.
2. Modal-modal hendaklah sama sejenis dan sama sifatnya. Tetapi tidak dimestikan sama banyaknya.
3. Modal-modal hendaklah dicampur sebelum akad.
4. Hendaklah masing-masingnya mengizinkan satu sama lain, di antara ahli-ahli syarikat sendiri atau kepada orang lain bagi menjalankan perniagaan.
5. Untung atau rugi hendaklah dikira menurut modal yang dilaburkan.
8.6 Budipekerti Dalam Persyarikatan
1. Semua pihak yang berkenaan hendaklah menjalankan semua urusan dengan jujur dan amanah.
2. Masing-masing hendaklah bertanggungjawab dalam menjayakan perjalanan syarikat.
3. Masing-masing hendaklah berusaha memaju dan meninggikan perjalanan syarikat.
4. Jika terdapat sesuatu kekusutan hendaklah segera diselesaikan dengan baik.
Bila masing-masing menjaga perkara-perkara yang tersebut di atas itu, sudah tentulah perjalanan sesebuah syarikat itu akan berjalan dengan baik dan terhindarlah perkara-perkara yang tidak diingini.
BAB IX
SEWA MENYEWA DAN UPAH MENGUPAH
9.0 Definasi
Dalam muamalat secara Islam, ada suatu muamalat yang dipanggil “Ijarah”, iaitu dengan bahasa Malaysianya kita panggil “sewa menyewa”.
Menurut definasi syarak, ialah : perjanjian memiliki munafaat yang dimaklumi dengan bayaran mengikut cara-cara yang tertentu.
9.1 Dalil Sewa Menyewa
Dalil asal sebelum ijmak yang menunjukkan keharusannya ialah :
1. Firman Tuhan :
Ertinya :
Jika mereka menyusukan anak kamu maka hendaklah kamu berikan upahan mereka.
2. Perkhabaran bahawa Rasulullah s.a.w. :
Ertinya :
Bahawa Rasulullah s.a.w. menegah daripada berpawah tetapi memerintah dengan melakukan sewa menyewa.
9.2 Jenis-jenis Sewaan
Sewaan ada dua jenis, iaitu :
1. Ijarah zimmah : Ialah menyewa sesuatu yang belum ada di hadapan mata sewaktu akad. Sewaan jenis ini diisyaratkan tunai pembayarannya dan menerimanya pada majlis akad.
2. Ijarah ain : Ialah menyewa / mengupah sesuatu yang sudah ada di hadapan mata sewaktu akad.
9.3 Hikmat-hikmatnya
Di antara hikmat-hikmat sewa menyewa dan upah mengupah ialah :
1. Memberi kemudahan kepada orang-orang yang tidak memiliki sesuatu barang mendapat faedah daripadanya.
2. Menambah kelapangan bagi tuan ampunya barang dengan beroleh bayaran sewanya.
3. Mengeratkan perhubungan di antara satu sama lain.
4. Supaya anggota masyarakat mendapat kemudahan dan kesenangan hidup.
5. Menggalakkan pihak-pihak yang mampu supaya sentiasa memberi kemudahan kepada pihak-pihak yang kurang mampu.
Urusan sewa menyewa ini merupakan suatu kemudahan yang besar bagi anggota-anggota masyarakat mendapat keperluan hidup masing-masing. Sebagaimana yang kita ketahui, tidak semua orang memiliki segala kemudahan dan keperluan hidup, maka dengan adanya urusan sewa menyewa ini dapatlah masing-masing memenuhi kehendak-kehendak dan keperluan itu dengan senang.
9.4 Beberapa Contoh
Setiap barang yang sah dijualbeli, mendatangkan munafaat dan kekal zatnya, sahlah dipersewakan ; dan setiap mereka yang sah melakukan urusan jualbeli, sahlah bagi mereka menjalankan urusan sewa menyewa ini. Supaya lebih terang, cara sewa menyewa dan upah mengupah, di bawah ini diterangkan contoh-contohnya :
1. Norizan mengupah Salwani menyusui anaknya dengan bayaran sebanyak $100.00 sebulan. Norizan dinamakan “orang yang mengupah”, Salwani, dinamakan “orang yang mengambil upah”. Bayaran $100.00 itu dinamakan upah.
2. Muliawan telah menyewa sebuah motokar dari Kota Bharu hendak pergi ke Kuala Lumpur dengan bayaran sebanyak $80.00. Muliawan dinamakan “yang menyewa – mustakjir”. Wang sebanyak $80.00 itu dinamakan “sewa- ujrah” dan tuan punya motokar itu dinamakan “pemberi sewa – mukjir”.
3. Encik Nasim menyewa sebuah rumah kepunyaan Encik Salbini dengan sewa sebanyak $50.00 sebulan. Encik Nasim dinamakan “yang menyewa – mustakjir” Salbini dinamakan “pembeli sewa – mukjir” dan wang bayaran itu dinamakan sewa – ujrah”.
9.5 Rukun Sewa Menyewa
Rukun sewa menyewa / upah mengupah empat perkara iaitu :
1. Pemberi sewa dan yang menyewa.
2. Bayaran sewa.
3. Munafaat atau faedah
4. Sighah, iaitu ucapan orang yang memberi sewa dan orang yang menyewa, seperti : “Saya sewakan rumah ini kepada saudara dengan bayaran $100.00 sebulan. Jawab orang yang menyewa : “Saya menyewanya dengan bayaran sebanyak yang tersebut.”
9.6 Syarat Sewa Menyewa
Syarat-syarat sewa menyewa / upah mengupah ialah :
1. Zat barang yang disewa hendaklah kekal dalam tempoh perjanjian sewa. Tidak sah menyewa sesuatu yang tidak kekal zatnya seperti lilin, sabun atau sebagainya.
2. Boleh diambil faedah yang bernilai dari barang yang disewa. Tidak sah menyewa barang yang munafaatnya tidak bernilai seperti menyewa buah cempedak atau durian sekadar menciumi baunya. Begitu juga tidak sah menyewa sesuatu yang belum terjamin faedahnya seperti menyewa lembu jantan untuk mendatangi lembu betina bagi mengambil bakanya, kerana faedahnya belum terjamin.
3. Bayaran sewa hendaklah diketahui jenis, kadar dan sifatnya.
4. Tentukan masa bagi barang-barang yang boleh ditentukan.
5. Tentukan kerja-kerja yang hendak dilakukan.
6. Barang yang hendak disewakan itu hendaklah barang yang tertentu.
9.7 Mati Pemberi Sewa atau Yang Menyewa
Kuatkuasa sewaan terus berjalan walaupun mati salah seorang daripada pemberi sewa atau yang menyewa. Begitu juga tidak batal sewaan dengan mati kedua-duanya. Ertinya mati tidak membatalkan sewaan sama ada mati salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya, bahkan terus kekal berjalan kuatkuasanya sehingga habis tempoh perjanjian yang telah dibuat. Hak menerima munafaat atau melaksanakannya, atau mengambil ujrahnya – jika belum menerimanya – adalah menjadi hak waris kedua pihak.
9.8 Batal Perjanjian Ijarah
Ijarah menjadi batal atau terpasakh dengan sebab rosak atau binasa semua sekali benda yang disewakan itu. Umpamanya rumah yang disewakan telah runtuh sama sekali, haiwan tertentu yang disewakan telah mati, maka terbatallah ijarah yang telah dibuat itu.
9.9 Sabit Khiar
Jika benda yang disewakan itu hanya rosak setengahnya saja dan bakinya masih dapat diambil munafaatnya, seperti runtuh sebelah rumah dan bakinya masih dapat diduduki, ketika itu sabit khiar iaitu sama ada mahu diteruskan ijarah ataupun tidak. Begitu juga sabit khiar jika di dapati kecacatan binatang yang disewa untuk kenderaan atau rumah yang disewakan itu telah terlalu buruk.
9.10 Rosak Barang Yang Disewa
Jika rosak atau binasa barang yang disewakan, umpamanya rumah yang disewa telah runtuh atau terbakar, tidak wajib di atas orang yang menyewanya itu menggantikannya atau membayar ganti rugi kepada pemberi sewa kerana orang yang menyewa adalah beramanah di atas barang yang disewanya itu kecuali jika berlaku kerosakan dengan sebab ketaksiran atau sengaja dilakukannya, wajib di atas orang yang menyewa itu menggantikannya
9.11 Rumah Sewa Dijual
Jika rumah yang disewakan itu telah dijualkan kepada orang lain, kuatkuasa perjanjian sewa tetap juga berjalan terus sehingga habis tempohnya. Dalam hal yang demikian, orang yang menyewa hendaklah terus berhubung dengan orang yang membeli rumah itu.
9.12 Budipekerti Dalam Sewa Menyewa
Di antara budipekerti yang mesti dijaga oleh masing-masing pihak dalam urusan sewa menyewa ini ialah :
1. Masing-masing hendaklah bertimbang rasa dan jujur.
2. Sempurnakan janji-janji yang telah dibuat dengan sebaik-baiknya.
3. Oran gyang menyewa hendaklah menggunakan barangj itu dengan cermat.
4. Bila habis tempoh, hendaklah diserah balik barang itu dengan segera.
5. Bayaran sewa hendaklah dibayar segera apabila sampai waktunya.
6. Bila orang yang menyewa ditimpa kesukaran, pihak pemberi sewa hendaklah bertimbang rasa dengan memberi kemudahan atau kelonggaran tempoh pembayarannya.
BAB X
W A D I ‘A H
10.0 Definasi
Kata ‘wadi’ah’ bererti ‘pertaruhan’, iaitu sesuatu barang yang diserah atau diamanahkan kepada orang lain untuk disimpan dan dijaganya dengan sewajarnya.
10.1 Dalil Urusan Wadi’ah
Dalil yang menunjukkan urusan wadi’ah ini di antara lain ialah seperti berikut :
1. Firman Tuhan :
Ertinya :
Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya menunaikan amanah kepada tuan punyanya.
2. Firman Tuhan :
Ertinya :
Tetapi jika seseorang daripada kamu percaya akan seseorang, hendaklah orang yang diserahi amanah itu menunaikan amanahnya, dan hendaklah ia takut kepada Allah, Tuhannya.
3. Sabda Nabi s.a.w. :
Ertinya :
Tunaikanlah amanah kepada orang yang mempercayai engkau dan jangan mengkhianati mereka yang mengkhianati engkau.
10.2 Hikmahnya
Adanya hukum pertaruhan ini merupakan suatu kemudahan perlindungan ke atas harta benda yang berharga. Orang-orang yang terpaksa pergi keluar negeri umpamanya, dalam setengah-setengah hal mahu tak mahu terpaksa menyimpan harta benda dan barang-barang kemasnya pada orang yang dipercayainya. Supaya perkara-perkara yang tidak diingini dalam soal penaruhan ini tidak berlaku Islam memerintah umatnya supaya sentiasa bersifat amanah, jujur dan ikhlas, penerima petaruhan, mestilah bertanggungjawab ke atas barang petaruhan yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah menyerahkannya balik kepada tuan ampunya bila sampai waktunya kelak. Dari muamalat wadiah ini ternyata di antara hikmat-hikmatnya ialah:
1. Memberi kemudahan dan keselamatan ke atas harta benda.
2. Menanam semangat tolong menolong, muhibah dan amanah.
3. Menanam semangat tanggungjawab dan peri kemanusiaan.
4. Mengingatkan manusia bahawa setiap orang mempunyai hak-hak dan tanggungjawab masing-masing yang mesti ditunaikan dengan sempurna.
10.3 Sebuah Contoh
Supaya lebih terang kedudukan urusan wadiah ini, di bawah ini diterangkan sebuah contohnya, iaitu :
Encik Nazari dan isterinya bermaksud akan naik haji ke Mekah. Semasa pemergiannya itu, beberapa harta bendanya :motosikal, T.V. , intan berlian, barang-barang pakaian dan sebagainya, telah diserahkan semuanya kepada Encik Sulaiman, kawannya, supaya disimpannya dengan baik. Sekembalinya nanti, semua barang-barang itu akan diambilnya kembali. Dalam urusan yang seperti ini, Nazari dinamakan “muaddiun – penaruh”, Encik Sulaiman dinamakan “muaddaun – penerima taruhan” danl barang-barang itu dinamakan wadiah – pertaruhan”.
10.4 Hukum Menerima Pertaruhan
Hukum menerima petaruhan terbahagi kepada empat, iaitu :-
1. Sunat – orang-orang yang menyakini dirinya amanah dan sanggup menjaga pertaruhan yang diserahkan kepadanya, hukumnya sunat menerima pertaruhan.
2. Makruh – orang-orang yang berkuasa memelihara pertaruhan, tetapi kurang yakin dengan amanah dirinya, hukumnya makruh menerima pertaruhan.
3. Haram – orang-orang yang merasa lemah dan tidak sanggup memelihara pertaruhan, hukumnya haram menerima pertaruhan.
4. Wajib – hukum pertaruhan bertukar menjadi wajib apabila tidak ada orang lain yang lebih dapat dipercayai daripada dirinya sendiri untuk menerima pertaruhan.
10.5 Rukun Wadiah
Rukun wadiah empat perkara, iaitu :
1. Muaddiun (penaruh)
2. Muaddaun (penerima taruhan )
3. Wadiah (barang taruhan)
4. Sighah iaitu ijab dan Kabul, seperti kata penaruh : “Saya pertaruhkan barang-barang ini kepada saudara.” Jawab penerima : “Saya menerima pertaruhan saudara ini.”
10.6 Hilang Atau Rosak Barang Pertaruhan
Orang yang menerima pertaruhan adalah beramanah dan bertanggungjawab ke atas barang pertaruhan yang diterimanya. Oleh yang demikian, jika berlaku kerosakan tidak wajib ia menggantikannya.
10.7 Rosak Kerana Ketaksiran
Jika berlaku kerosakan atau hilang dengan disengajakan atau kerana ketaksirannya, wajiblah ia menggantikannya. Dianggap taksir bila berlaku dalam keadaan, seperti di bawah :
1. Ia pertaruhkan pula pertaruhan itu kepada orang lain tanpa sebab yang diperlukan atau tanpa izin ampunyanya. Jika berlaku kerosakan, wajib ia menggantikannya sama ada disimpan pada isterinya, anaknya ataupun orang lain.
Tetapi jika ada keuzuran seumpama hendak musafir, hendaklah diserahkan kembali pertaruhan itu kepada ampunyanya atau wakilnya. Jika kedua-duanya tidak didapati, hendaklah diserahkan kepada hakim. Jika hakim tidak di dapati hendaklah diserahkan kepada orang yang berkepercayaan.
Jika ia tidak menyerahkan barang pertaruhan itu kepada ampunyanya atau wakilnya, malah terus saja ia menyerahkannya kepada hakim yang adil atau orang yang berkepercayaan, wajib menggantikannya bila berlaku kerosakan.
Jika sewaktu hendak musafir ia menanamkan pertaruhan itu tanpa jagaan, wajib ia menggantikannya bila berlaku kerosakan. Tetapi jika ia telah memberitahu orang yang berkepercayaan supaya memerhatinya tidak wajib menggantikannya bila rosak.
2. Jika ia membawa pertaruhan bersama-samanya sewaktu musafir wajib menggantikannya bila berlaku kerosakan seperti berlaku kebakaran, tidak wajib menggantikannya dengan syarat tidak berkuasa hendak menyerahkannya kepada tuan punya atau wakilnya ataupun orang yang berkepercayaan.
3. Tidak membuat wasiat. Jika ia sedang sakit yang serius, hendaklah berwasiat. Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini tanpa meninggalkan wasiat, wajib digantikan. Tetapi jika tidak dapat berwasiat seperti ia dibunuh atau mati terkejut, tidak dikenakanl gantian.
4. Ia memindahkan pertaruhan ke suatu tempat tanpa sesuatu sebab yang memaksa, wajib ia menggantikannya jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
5. Cuai penjagaan – jika berlaku kerosakan disebabkan cuai penjagaannya, wajib ia menggantikannya.
6. Cuai penyimpanan – jika berlaku kerosakan dengan sebab cuai penyimpanannya seperti lambat ia menyimpannya pada tempat yang selamat, wajib ia menggantikannya.
7. I mengguna atau memakainya tanpa izin penaruhannya. Bila berlaku kerosakan, wajib ia menggantikanya.
8. Tidak menyimpannya sebagaimana yang disuruh. Bila penaruhnya menyuruh simpan dengan cara atau pada tempat yang tertentu seperti katanya : “Radio ini hendaklah disimpan di dalam almari, tiba-tiba tidak disimpannya di dalam almari, lalu terjadi kerosakan, wajib ia menggantikannya.
9. Mengingkari pertaruhan. Jika tuan epunyanya menuntut akan pertaruhannya, tiba-tiba penerima taruhan mengingkarinya. Ia adalah pengkhianat dan wajib ia menggantikannya.
10.8 Terlepas Tanggungjawab Wadi’ah
Terlepas tanggungan wadi’ah, apabila meninggal dunia atau gila salah seorang daripada penaruh atau penerima taruhan. Begitu juga apabila penerima taruhan menggugurkan hak tanggungan ini daripada dirinya.
10.9 Tidak Terikat Masa Mengambil dan Menyerah
Mengambil dan menyerah barang pertaruhan tidak terikat kepada sesuatu masa yang tertentu. Ertinya penaruh boleh mengambil petaruhannya dan penerima taruhan boleh menyerahkan kembali barang pertaruhan itu pada bila-bila masa yang mereka sukai.
10.10 Pengakuan Penerima Taruhan
Kata-kata atau pengakuan penerima taruhan adalah yang dipercayai. Jika penerima taruhan mengatakan barang petaruhan telah rosak, tanpa menerangkan sebab-sebabnya atau menerangkan sebab-sebab yang tak dapat dilihat seperti kecurian, dalam hal seperti ini, kata-katanya itu dapat diterima dengan bersumpah. Ertinya tidak wajib ia menerangkan sebab-sebabnya bahkan wajib ia bersumpah menyatakan barang tersebut telah rosak tanpa ketaksiran dirinya.
Dan jika ia menerangkan sebab-sebab kerosakan yang dapat dilihat seperti kebakaran yang sememangnya telah diketahui umum dan tak mungkin barang petaruhan itu terselamat, dalam hal yang seperti ini, diterima pengakuannya dengan tidak payah bersumpah kerana sebab-sebab yang dapat dilihat seperti itu sudah mencukupi akan kebenaran kata-katanya.
Pendeknya dalam hal pertaruhan ini, kata-kata atau pengakuan penerima taruhan yang dipakai hak dalam soal menerima petaruhan, mengkembali atau kerosakannya umpamanya ia berkata : “Engkau tidak menyimpan apa-apa padaku”, atau “telah saya kembalikan barang itu kepada saudara” atau “barang itu telah rosak dengan tidak ketaksiran saya’. Dalam masalah ini kata-kata penerima taruhan yang diterima dan dipercayai dengan bersumpah.
Wallahua’lam
Sumber : 1. http://www.unitagamakmb.com



Jul 31, 2008 @ 00:15:58
salaam
from the post :
1.8 Jualbeli Tanpa Ijab-Qabul
Tidak sah jualbeli tanpa ijab dan qabul seperti secara unjukterima di antara penjual dan pembeli. Tetapi Imam Nawawi dan juga sebahagian ulama, mengatakan sah jualbeli dengan apa cara yang dinamakan jualbeli walaupun tanpa ijab dan qabul. Pendapat yang kedua ini lebih praktikal dan selaras dengan amalan sehari-hari.
ulasan : hmmm lega sket dengar..sbb hari2 sy terlibat dgn jual beli.. hargatu berunding ngan customer dululah sampai die stuju….tapi akhirnya tuu takdelah sebut akad…
lapang sket bace tu..kalao tidak sesak gak dada ni
jual beli salam « hikmathikmatullah1
Nov 08, 2012 @ 19:52:22