BAB III

JUALBELI  YANG TERLARANG

3.0 Dari  keterangan-keterangan umum perniagaan haram  dalam bab yang telah lepas,  jualbeli atau perniagaan yang diharamkan, terbahagi kepada dua bentuk pengharaman iaitu :

1.            haram tetapi sah akadnya

2.            Haram dan tidak sah akadnya

3.1    Haram  Tetapi Sah Akadnya

Di antara jualbeli haram tetapi sah akadnya, ialah :

1.      Menjual sesuatu yang terang-terang akan dipergunakkan oleh pembelinya untuk tujuan maksiat.

2.      Penjualan secara kecoh, seperti penjual sengaja memperlihatkan barang-barang yang baik di sebelah atas, sedangkan di bawahnya terdapat barnag-barang yang buruk.

3.      Jualbeli dengan cara mengatasi jualan orang lain sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.6

4.      Jualbeli dengan mengatasi tawaran orang lain sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.7

5.      Jualbeli talaqir rukban (menyusung pedagang keluar  kota), sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.8

6.      Jualbeli di antara  orang kota dengan orang-orang  desa sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.9.

7.      Jualbeli najsyin (menaik-naikkan harga) sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.10.

8.      Melakukan ihtikar ke atas barang-barang keperluan orang ramai dengan tujuan hendak menjualnya dengan harga yang lebih mahal, sebagaimana yang telah diterangkan pada 2.12.

Demikianlah di antara jualan-jualan haram tetapi sah akadnya.  Oleh yang demikian hendaklah berhati-hati  dalam menjalankan urusan perniagaan supaya tidak terlibat  dengan urusan jualbeli yang diharamkan itu.

3.2       Haram Lagi Tidak Sah Akadnya

Di antara jualbeli yang diharamkan lagi tidak sah akadnya, ialah :-

1.      Menjual air benih haiwan ternakan, hukumnya haram dan tidak sah akadnya kerana bukan saja tidak diketahui kadarnya, tetapi juga tidak dapat menerimanya.

Tetapi dalam urusan pembiakan ini menurut mazhab Hanbali harus mempersewakan jantan  ternakan dalam tempoh masa yang tertentu.  Tetapi sebaik-baiknya tuan punya haiwan tersebut meminjamkannya saja  kepada pihak yang berkehendakan pembiakan itu dan cara inilah yang dianjurkan oleh Islam.

2.      Begitu juga haram dan tidak sah menjual anak haiwan yang masih di dalam kandungan ibunya.  Begitu juga tidak sah jika menjual salah satunya saja.  Jika menjual haiwan yang bunting, termasuklah anaknya sekali yang di dalam kandungannya  itu.

3.      Tidak sah menjual buah-buahan yang masih di pokok kecuali setelah nyata baiknya.  Umpamanya buah-buahan yang sedang memutik muda, tidak harus  menjualnya kerana buah-buahan dalam waktu yang demikian  sering gugur dan busuk.  Kecuali setelah kelihatan baik dan tua.  Sabda Rasulullah s.a.w. :

Ertinya :

Jangan kamu menjual buah-buahan sehingga nyata bainya.

4.       Tidak sah menjual dengan bersyarat seperti kata penjual : “Saya jualkan motokar ini kepada saudara dengan harga $5,000.00 dengan syarat  saudara jualkan  rumah saudara itu kepada saya dengan harga ….”

5.      Tidak sah menjual dengan syarat hutang umpamanya  kata penjual” “Saya jualkan basikal ini kepada saudara dengan harga $200.00 dengan syarat  saudara  memberi hutang  wang kepada saya sebanyak $100.00” dan sebagainya.

6.      Tidak harus menjual daging dengan binatang sama  ada  dari jenis yang boleh dimakan atau bukan jenis yang boleh dimakan seperti menjual daging lembu dengan biri-biri atau lainnya seperti menjual daging  biri-biri dengan hamar, berdasarkan riwayat Al-Hakim bahawa  Rasulullah s.a.w. :

Ertinya :

Ia menegah dari dijual  biri-biri dengan daging.

7.      Tidak sah menjual barang-barang yang tidak boleh diterima seperti burung di udara, ikan di dalam laut atau sebagainya.

8.      Tidak sah menjual barang-barang yang baru dibeli sebelum menerimanya kerana barang yang seperti itu belum lagi menjadi miliknya yang sempurna.

Demikianlah di antara beberapa bentuk penjualan yang  diharamkan dan tidak sah akadnya.  Oleh yang demikian sayugialah bagi setiap orang mengetahui bentuk-bentuk jualan yang  tersebut agar tidak terlibat dengan perbuatan-perbuatan yang diharamkan itu.


Wallahua’lam

Sumber : 1. http://www.unitagamakmb.com

About these ads