Kemalangan maut yang pertama di dunia dilaporkan berlaku pada 17 Ogos 1896 membabitkan mangsa bernama Briget Driscoll, 44. Ibu malang itu sedang melintas jalan bersama anak perempuannya untuk menghadiri acara tari menari di Crystal Palace, London apabila dirempuh oleh sebuah kereta.

Saksi-saksi mengatakan, kereta itu memecut melebihi had laju – lapan batu sejam (12.8 kilometer sejam) berbanding had laju dibenarkan, empat batu sejam. Seorang pemuda sedang menayangkan kereta rekaan terbaru kepada seorang penumpang wanita jelita di kerusi penumpang.

Majistret yang mengadili kes berkenaan menyatakan rasa terkejut amat sangat dengan insiden yang berlaku. Dalam masa yang sama, dia turut berharap agar tiada lagi nyawa yang melayang selepas ini. Katanya lagi, biarlah Briget yang pertama dan terakhir menjadi mangsa kemalangan maut dalam nahas jalan raya.

Harapannya hanya tinggal harapan. Bukan sahaja impiannya itu tidak menjadi kenyataan malah dianggarkan setiap tahun, kemalangan jalan raya meragut setengah juta nyawa di dunia, termasuklah di Malaysia.

Jika anda terlibat di dalam kemalangan jalan raya atau terserempak dengannya dan pertama tiba di tempat kejadian, apakah yang akan anda lakukan?

Adakah anda hanya akan menjadi pak pacak sambil memberikan komen-komen atau menunjukkan reaksi-reaksi negatif berkaitan kemalangan yang boleh melemahkan semangat mangsa hingga mendatangkan renjatan kepada mereka?

Gejala-gejalanya termasuklah kulit yang sejuk, lembap dan pucat, nadi laju dan lemah, pernafasan tidak teratur, mulut kering dan pupil mata terbeliak.

Tanpa pengetahuan asas bantuan kecemasan, niat membantu mangsa kemalangan boleh memburukkan keadaan malah mengancam nyawanya terutamanya bagi mangsa yang tidak sedarkan diri atau tidak boleh bercakap.

Antara kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan adalah memberikan mangsa minum air. Tahukah anda bahawa mangsa kemalangan yang sedar tidak boleh diberikan makan atau minum sekalipun mereka merayu?

Ini penting kerana kita tidak tahu sama ada mangsa perlu dibedah ataupun, jika mangsa tidak sedarkan diri selepas itu, ia boleh menyebabkan mangsa memuntahkan makanan atau minuman tersebut lantas memasuki paru-paru dan menyebabkan jangkitan kuman di dalam organ berkenaan.

Contoh yang lain adalah membuka topi keledar mangsa yang tidak sedarkan diri. Seandainya mangsa mengalami kecederaan di leher, ini akan menyebabkan kecederaan bertambah teruk.

Mengalih atau mengangkat mangsa yang mendapat kecederaan di kepala, leher atau tulang belakang dengan cara tidak betul juga boleh melumpuhkan mereka.

Kira-kira 80 peratus mangsa nahas jalan raya mengalami kecederaan kepala. Jika ada, anda boleh menganggap bahawa mangsa tersebut turut mengalami kecederaan leher dan belakang.

Walaupun kelihatannya tidak banyak yang boleh anda lakukan untuk membantu mangsa kemalangan jalan raya, sebagai orang yang berada di tempat kemalangan dan individu terbaik untuk menghulurkan bantuan, masih ada beberapa langkah selamat yang boleh anda ambil sementara menunggu ambulans yang sedang dalam perjalanan.

‘‘Bukti perubatan telah membuktikan bahawa beberapa minit terawal (masa emas) adalah sangat penting bagi kecederaan selepas kemalangan. Masa adalah segala-galanya di sini.

‘‘Dalam tempoh ini, mangsa kemalangan mempunyai peluang yang besar untuk hidup serta mengurangkan kecederaan bertambah parah sekiranya bantuan kecemasan dan perubatan (paramedik dan ambulans) boleh diberikan segera.

‘‘Salah satu daripada penyebab utama kematian jalan raya adalah kecederaan yang dialami mangsa akibat anoksia iaitu kekurangan bekalan oksigen yang berpunca daripada saluran pernafasan tersekat.

‘‘Secara puratanya, ia mengambil masa kurang empat minit bagi saluran yang tersekat menyebabkan kematian,’’ kata Pakar Pembedahan Am, Hospital Pakar Putra, Batu Pahat, Johor, Dr. Chan Kin Yoong.

Menurutnya, perkara utama yang boleh dilakukan oleh orang ramai adalah menghubungi ambulans, memberikan isyarat kepada para pengguna kenderaan yang lain tentang adanya kemalangan di kawasan tersebut untuk mengelakkan kemalangan yang lain berlaku dan mematikan suis enjin kenderaan bagi mengelakkan kebakaran akibat tumpahan petrol.

Sebelum memberikan bantuan, kata Dr. Chan, ada dua perkara utama yang perlu ditentukan terlebih dahulu iaitu kawasan dan mangsa kemalangan.

‘‘Pastikan dahulu kawasan kemalangan adalah selamat dari bahaya sama ada kemalangan yang lain atau kebakaran atau letupan. Kedua, sama ada mangsa kemalangan mendapat kecederaan ringan atau teruk.

‘‘Sekiranya mangsa mengalami kecederaan ringan, bolehlah dialihkan ke kawasan yang lebih selamat, diberikan bantuan awal atau terus membawanya berjumpa doktor yang berhampiran,’’ terangnya.

Tentukan mangsa boleh bernafas, stabilkan kepala, leher dan tulang belakang mangsa dan alihkannya ke tempat yang lebih selamat atau hantar terus ke hospital atau menunggu ketibaan ambulans.

Utamakan mangsa kemalangan yang mengalami masalah pernafasan dahulu sebelum mangsa yang mengalami pendarahan dan patah tulang.

‘‘Oleh itu, orang ramai perlu memastikan bahawa mangsa kemalangan boleh bernafas secara spontan atau dengan sendirinya.

‘‘Kemudian, pastikan pendarahan yang banyak dihentikan dan barulah menstabilkan anggota yang mengalami patah tulang,’’ ujar Dr. Chan.

Orang ramai juga boleh menutup tubuh mangsa dengan kain bagi menghangatkan tubuhnya dan menghindari renjatan. Lindungi mereka daripada terik mentari atau hujan bagi membolehkan mereka berasa selesa sementara menunggu ambulans.

Anda juga boleh bercakap dengan mangsa dan meyakinkan mereka bahawa bantuan dalam perjalanan. Jadilah seorang yang memberikan galakan.

Pegang tangannya sementara menanti ambulans tiba. Walaupun ia mungkin nampak kecil tetapi ia sebenarnya sangat membantu dalam menyuntik semangat kepada mangsa yang tercedera untuk terus hidup.

Apa yang boleh anda lakukan

* Berhenti! Anda boleh membantu. Dengan mengetahui beberapa asas pertolongan cemas boleh membantu mangsa terus hidup sehinggalah ketibaan ambulans untuk mengambil alih.

* Hubungi 999. Telefon mereka seberapa segera atau minta orang lain melakukannya sementara anda mengendalikan mangsa yang tercedera. Anda perlu memberitahu perkhidmatan kecemasan itu di mana anda berada, apa yang berlaku (gambarkan kemalangan), berapa orang yang terlibat (tercedera) dan sama ada mereka bernafas atau mengalami pendarahan.

* Bertenang, jangan cuba jadi hero. Nilaikan situasi, apakah bahayanya seperti lalu lintas, tumpahan petrol, kaca pecah dan sebagainya. Pastikan anda berada dalam keadaan yang selamat dengan berada di tepi jalan. Jika anda perlu menghentikan kenderaan yang menghampiri, beri isyarat kepada mereka dari laluan pejalan kaki.

Jika anda berada di dalam kenderaan dan anda melalui satu kemalangan, parking kenderaan anda dengan selamat terlebih dahulu dan matikan enjin sebelum anda keluar memberikan bantuan. Gunakan segitiga bahaya jika perlu. Dapatkan bantuan daripada orang lain yang berada di tempat kejadian.

* Periksa pernafasan mangsa. Sekiranya selamat bagi anda untuk menghampiri mangsa yang tercedera, lakukan tetapi usah gerakkan mereka.

Pastikan mangsa kemalangan dapat bernafas sendiri dengan memastikan tiada objek yang boleh menghalang mangsa untuk bernafas sendiri secara spontan.

Periksa tindak balasnya, bercakap dengan mereka dan tepuk dengan lembut. Jika tiada tindak balas, jerit untuk bantuan. Letakkan tangan anda di atas dahi mereka dan dongakkan kepala mereka ke atas secara berhati-hati. Angkat dagu mereka dengan perlahan menggunakan dua jari.

Periksa sama ada mereka bernafas dengan cara mendengar dan berasa pernafasan menggunakan pipi anda. Lihat juga sama ada dada mangsa bergerak ke atas dan ke bawah. Jika mereka tidak bernafas secara normal atau pernafasan terhenti, anda mungkin perlu memulakan resusitasi pulmonari kardio atau bantuan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR).

CPR merupakan satu prosedur penting yang perlu diketahui oleh orang ramai secara teori dan praktikal. Prosedur ini memerlukan pembelajaran dan latihan praktikal kepada sesiapa yang ingin mempelajarinya.

Oleh sebab itu ia hanya boleh dilakukan oleh mereka yang berpengetahuan tentang CPR ke atas mangsa yang tidak bernafas secara sendiri dan spontan.

Sekiranya orang ramai berpengetahuan untuk melakukannya kepada mangsa kemalangan maka bolehlah mereka berbuat demikian tetapi adalah lebih baik dilakukan oleh mereka yang berpengalaman atau terlatih sahaja.

* Hentikan pendarahan. Pendarahan yang teruk boleh menyebabkan renjatan, jadi adalah penting untuk menghentikan pendarahan jika anda boleh melakukannya.

Gunakan sehelai kain bersih dan tekan ke atas luka berkenaan, angkat sedikit bahagian yang tercedera itu semasa anda melakukan tekanan.

Dalam kes luka di kepala, pakar bagaimanapun menyarankan agar tekanan yang sedikit sahaja diberikan kerana ia mungkin melibatkan keretakan tengkorak.

Jika anda mempunyai pembalut dalam kit bantuan kecemasan anda, sila gunakannya. Kit pertolongan cemas biasanya mengandungi kain yang bersih, kain anduh, kain kasa, kain kapas, larutan cecair pencuci luka/kecederaan dan sarung tangan.

Ia sangat penting disimpan di dalam kenderaan dan dibawa ke mana-mana kerana jika berlakunya kemalangan, boleh digunakan untuk rawatan asas.

Jika mangsa berada di dalam kenderaan dan anda boleh merawatnya di situ, lakukan. Jangan gerakkan mereka sesuka hati. Jika mereka mendapat renjatan, longgarkan baju mereka yang ketat dan kekalkan kehangatan tubuh mereka. Baringkan dan angkat kaki mangsa.

* Jika kecederaan melibatkan kepala, leher, tulang belakang atau kecederaan teruk, pastikan bahagian kepala, leher dan tulang belakang stabil dahulu sebelum mengerakkan atau mengalihkan mangsa kemalangan.

Boleh dilakukan dengan mengangkat mangsa secara serentak oleh sekurang-kurangnya dua atau tiga orang atau meletakkan mangsa di atas sekeping papan yang kukuh untuk mengalihkan mangsa kemalangan.

Sekiranya melibatkan patah tulang, bahagian yang patah hendaklah dipastikan supaya tidak beralih. Tangan yang patah boleh distabilkan dengan kayu sebagai anduh manakala kaki hendaklah distabilkan dengan kayu sebagai anduh atau diikat sekali dengan kaki yang tidak cedera.

Sumber : Shafinaz Sheikh Maznan , Utusan Malaysia

About these ads