7. Kisah Nabi Ibrahim a.s.

.

Kedatangan Nabi Ibrahim A.S.

Pada suatu ketika dahulu, Allah telah memberi penghormatan dengan memilih Ibrahim sebagai nabi. Baginda berasal dari Mesopotamia yang sekarang dikenali sebagai Iraq Selatan. Baginda adalah model yang sesuai untuk umat manusia. Allah telah menyebutnya dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah dan seorang yang selalu berpegang kepada kebenaran dan tidak pernah meninggalkannya. Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan), (lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah, Allah telah memilihnya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus dan kami berikan kepadanya kebaikan di dunia. Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang salih”  (An-Nahl, 16: 120-122)

Seruan baginda kepada kaum yang menganuti kepercayaan animisme. Pada zaman itu, kejahilan menguasai pemikiran para penduduk. Kebanyakannya tidak mengetahui tentang Allah dan ajaran-Nya. Mereka memuja matahari, bulan dan bintang namun mereka juga merupakan ahli astronomi yang mengetahui pergerakan planet. Mereka juga menyembah berhala yang diperbuat daripada batu dan kayu dan memberi pelbagai bentuk pemberian kepada berhala-berhala tersebut. Ahli agama mendapat tempat yang baik dalam masyarakat dan diperintahkan kepada para penduduk supaya mereka dihormati. Mereka ini juga dibayar dengan lumayan tetapi kaum yang miskin makin tertindas.

Nabi Ibrahim A.S. merupakan anak kepada Terah yang lebih dikenali sebagai Adhar. Adhar adalah seorang pengukir berhala dan juga pengikut kepercayaan animisme. Dia turut memaksa Nabi Ibrahim A.S. melakukan kerja mengukir berhala tetapi baginda enggan melakukannya. Baginda sangat benci akan berhala yang tidak boleh melihat, mendengar dan bercakap itu.

.

Ajaran Nabi Ibrahim A.S.

Nabi Ibrahim A.S. menerima wahyu daripada Allah melalui malaikat Jibril. Baginda mula menyampaikan ajaran Allah secara perlahan-lahan. Baginda bekerja dengan tekun dan mula bertelagah dengan orang yang membuat berhala.

“(Ingatkah), ketika Nabi Ibrahim A.S. berkata kepada bapanya dan kaum baginda: “Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadat kepadanya?”. Mereka menjawab: “Kami mendapati bapa-bapa kami menyembahnya”. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan bapa-bapamu dalam kesesatan yang nyata”. Mereka menjawab:”Apakah kamu datang kepada kami dengan bersungguh-sungguh atau kah kamu termasuk orang-orang yang bermain-main?”. Ibrahim berkata: “Sebenarnya Tuhan kamu ialah Tuhan langit dan bumi yang telah menciptakannya; dan aku termasuk orang-orang yang dapat memberikan bukti atas yang demikian itu”. Demi Allah, sesungguhnya aku akan melakukan tipu daya terhadap berhala-berhalamu sesudah kamu pergi meninggalkannya.” (Al-Anbiyya, 21: 52-57)

.

Halangan Dari Kaumnya Dan Perbincangan Dengan Raja Namrud

Kaum baginda tidak mengambil perhatian ke atas apa yang diperkatakan oleh baginda. Mereka lebih suka cara mereka sendiri. Mereka tidak mahu berpaling dari menyembah bulan, bintang dan berhala-berhala yang hodoh. Ahli agama mereka tetap menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai Nabi Ibrahim A.S. Mereka khuatir akan dilucut jawatan yang dipegang pada waktu itu. Sebenarnya raja mereka Raja Namrud menganggap dirinya sebagai tuhan. Dia mempunyai istana yang besar dan tentera yang ramai. Dia berhajat untuk bersemuka dengan Nabi Ibrahim A.S dan akhirnya mereka bertemu untuk berbincang. Pada waktu itu, Raja Namrud memandang Nabi Ibrahim A.S. secara mengejek dan berkata: “Apa yang diseru olehmu kepada orang ramai? Mengapa kamu pujuk mereka menyembah Tuhan yang tidak nampak?”. Nabi Ibrahim A.S. menjawab: “Tuhan aku adalah satu-satu Yang memberi dan mengambil semula nyawa”. Namrud menjawab dengan sombong:”Aku juga mempunyai kuasa untuk melakukannya. Aku boleh membunuh manusia dan membebaskannya juga”. Nabi Ibrahim A.S. bertanya satu soalan yang bijak dan memeranjatkan semua orang. Baginda berkata: “Tuhan aku menyebabkan matahari terbit dari timur dan tenggelam di barat. Bolehkah kamu menjadikan matahari terbit dari timur?” Mendengar akan itu, raja terdiam kerana dia tahu tiada manusia yang berkuasa seperti itu.

Selepas beberapa hari, satu majlis istimewa telah diadakan. Terdapat upacara besar-besaran dan semua penduduk diwajibkan untuk menghadirinya. Mereka mabuk dan hilang pertimbangan. Hampir kesemua penduduk telah menghadirinya kecuali Nabi Ibrahim A.S. Baginda mempunyai rancangan tersendiri, lalu baginda ke kuil tanpa disedari orang lain. Apabila baginda sampai di kuil, baginda melihat banyak berhala yang berdiri tidak bergerak sedikit pun.

Nabi Ibrahim A.S. mengangkat kapaknya dan mula memukul berhala tersebut satu persatu. Berhala tersebut jatuh ke lantai dan berselerakan dengan tercerai anggota badannya. Baginda merosakkan semua berhala kecuali satu berhala yang dianggap ketua bagi kesemuannya. Tujuan baginda adalah untuk menunjukkan bahawa berhala tiada berkuasa untuk menyakiti orang lain atau memberi manfaat kepada sesiapa. Baginda lantas meninggalkan kuil secara senyap.

.

Keputusan Untuk Membakar Nabi Ibrahim A.S. Hidup-hidup

Apabila perayaan selesai, orang ramai kembali ke kuil. Para pengikut yang setia mengiringi ahli-ahli agama ke kuil seperti biasa. Mereka terkejut melihat berhala-berhala yang telah dipecahkan. Lantai dipenuhi dengan serpihan batu dan ketua berhala masih terletak elok dengan kapak tergantung pada lehernya. Para ahli agama menjerit dan orang ramai menyerbu masuk dengan kehairanan. Mereka juga sangat marah dan ingin mengetahui orang yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu dan mereka mahu membalas dendam keatasnya. Lalu terdapat di kalangan mereka yang mengagak semuanya adalah perbuatan Nabi Ibrahim A.S. kerana baginda selalu menafikan tuhan mereka dan menyuruh mereka menyembah Tuhan yang satu.

“Maka Ibrahim membuat berhala-berhala itu hancur berpotong-potong kecuali yang terbesar (induk) dari patung-patung yang lain; agar mereka kembali (untuk bertanya) kepadanya. Mereka berkata: “Siapakah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim”. Mereka berkata: “Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim.”” (Al-Anbiyya, 21: 58-60)

Nabi Ibrahim A.S. telah dipanggil untuk mengadap raja. Apabila baginda datang, baginda telah ditanya sama ada benar baginda yang memusnahkan semua berhala. Baginda terdiam sejenak. Kemudian baginda mengarahkan raja bertanya kepada ketua berhala yang mempunyai kapak tergantung di lehernya selepas kacau-bilau berlaku. Nabi Ibrahim A.S. mempersendakan orang-orang yang bodoh menyembah berhala yang tidak bernyawa dan diperbuat daripada batu. Raja tidak mahu melanjutkan perbincangan kerana hujah Nabi Ibrahim A.S. begitu sempurna dan meyakinkan.

“Mereka bertanya: “Apakah kamu, yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim? ” Ibrahim menjawab: “Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya. Maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika mereka dapat berbicara.” Maka mereka telah kembali kepada kesedaran mereka dan lalu berkata:”Sesungguhnya kamu sekalian adalah orang-orang yang menganiaya (diri sendiri)”, kemudian kepala mereka jadi tertunda (lalu berkata): “Sesungguhnya kamu (hai Ibrahim) telah mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berbicara”” (Al-Anbiyya, 21: 62-65)

Walaupun mereka berasa malu tetapi mereka masih berdegil. Mereka membuat keputusan untuk membakar Nabi Ibrahim A.S. hidup-hidup kerana menyebabkan kemusnahan berhala mereka.

.

Api Tidak Membakar Nabi Ibrahim A.S

Satu relau besar disediakan. Nabi Ibrahim A.S diikat dengan tali dan sangat susah untuk bergerak. Baginda berada dalam keadaan tenang dan gembira apabila mengingatkan bahawa Allah akan menyelamatkan baginda. Baginda langsung tidak melawan dan semua pemerhati terpegun dengan perlakuan baginda.

Lalu baginda dicampakkan di tengah relau yang panas. Nyalaan api marak membakar dan berdesir kuat tetapi Allah memerintahkannya supaya tidak menyakiti Nabi Ibrahim A.S.

“Kami berfirman: “Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim”, mereka hendak berbuat makar terhadap Ibrahim, maka Kaum menjadikan mereka itu orang-orang yang paling merugi” (Al-Anbiyaa’, 21: 69-70)

Para penduduk yang jahil menyangkakan Nabi Ibrahim A.S. sedang sakit terbakar menunggu mati. Mereka langsung tidak mendengar Nabi Ibrahim A.S. menjerit kesakitan. Tidak berapa lama selepas itu, orang ramai amat terkejut melihat Nabi Ibrahim A.S. berjalan keluar dari relau dengan kedaan selamat seperti tiada apa yang menyentuh baginda.

.

Penghijrahan ke Palestin

Walaupun telah berlaku keajaiban pada Nabi Ibrahim A.S., baginda tidak juga dapat mengumpul pengikut yang ramai untuk mendengar ajaran baginda. Baginda memberi syarahan dan menempuh pelbagai dugaan dan cabaran untuk membuktikan kepatuhan dan keikhlasan baginda. Apabila kaum tersebut menganiaya baginda, baginda diperintahkan supaya meninggalkan kawasan tersebut dan pergi ke tanah suci yang sekarang dikenali sebagai Palestin. Bagi mematuhi perintah tersebut, baginda tidak mengambil berat masa rehatnya tanpa mendekati orang ramai dan mengajarkan kepada mereka tentang Tuhan dan agama-Nya. Tiada yang dapat melemahkan semangat baginda.

.

Kelahiran Nabi Ismail dan Penghijrahan Ke Makkah

Oleh kerana Nabi Ibrahim A.S. tidak mempunyai anak dengan Sarah isteri pertama, baginda berkahwin pula dengan wanita lain bernama Hajar (Hagra). Baginda berdoa untuk memperolehi anak lelaki yang baik dan akhirnya doa baginda dimakbulkan. Tidak berapa lama kemudian, Hajar mengumumkan berita gembira tentang dirinya yang sudah berbadan dua. Sampai waktunya, dia melahirkan Isma’il. Tidak lama selepas itu, Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim A.S. untuk membawa isteri kedua baginda Hajar dan Isma’il ke lembah Batha (Makkah). Bagi memenuhi perintah tersebut, mereka terpaksa melalui pelbagai rintangan dan dugaan semasa dalam perjalanan. Mereka sampai di tempat yang dituju selepas melalui satu tempoh yang panjang. Kawasan tersebut berbukit tanpa pokok dan air. Mereka menyiapkan khemah dan meninjau keadaan sekeliling tetapi tiada apa yang kelihatan melainkan padang pasir. Nabi Isma’il A.S. ketika itu baru berusia beberapa bulan dan mula menangis kedahagaan. Ibunya mula mencari sumber air namun tiada yang wujud di kawasan tersebut.

.

Zam-zam Ditemui

Hajar berlari dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan air antara dua anak bukit iaitu Safa dan Marwa tetapi gagal. Dia kembali kepada anaknya yang kehausan dan dia amat terkejut apabila melihat mata air zam-zam memancut dari bawah kaki anaknya. Dia berasa sangat lega lalu menghilangkan dahaga anaknya dengan air tersebut. Selepas itu, ramai orang dari jauh telah datang ke situ, tempat tinggal Hajar dan Nabi Isma’il A.S. Akhirnya, kawasan tersebut dikenali sebagai Makkah, tempat kelahiran Islam.

.

Wawasan Nabi Ibrahim A.S. Berdasarkan Pengorbanan Nabi Isma’il A.S.

Nabi Ibrahim A.S. pulang semula ke Palestin untuk bersama dengan isteri pertamanya Sarah. Baginda menerima arahan untuk mengorbankan anaknya Isma’il . Baginda tidak berat hati untuk mematuhi arahan tersebut tetapi anak baginda masih bayi ketika itu. Baginda perlu menunggu sehingga anak itu meningkat remaja. Suatu hari baginda memberitahu anak baginda tentang mimpinya. Baginda amat terkejut apabila anaknya langsung tidak membantah dan bersedia untuk menjadi korban.

Nabi Isma’il A.S. berkata: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.” (Ash-Shafaat, 37: 102)

Ini adalah satu keputusan yang sukar dibuat oleh seorang yang masih muda dan itu menunjukkan keimanan baginda yang tinggi terhadap Allah.

.

Pengalaman Pahit Mengorbankan Nabi Isma’il A.S.

Pada 10 Zulhijjah, seorang bapa dan anak kesayangan berjalan beriringan. Anak muda itu begitu sabar manakala si bapa dengan penuh takwa mahu menyempurnakan perintah yang diberi. Tiada yang lebih berharga bagi mereka selain berbakti kepada Allah. Mereka berjalan menuju ke Mina dengan pisau pemotong daging di tangan Nabi Ibrahim A.S. yang menggeletar. Banyak kenangan-kenangan lalu dimbau semula oleh mereka. Akhirnya mereka sampai juga di satu tempat yang istimewa. Nabi Ibrahim A.S. melihat anak kesayangan baginda dengan sayu namun anak baginda menjeling baginda sekilas dengan penuh taat dan ceria. Baginda meniarapkan Isma’il di atas tanah dengan jantung yang berdegup kencang. Baginda menggigil dengan penuh emosi apabila baginda meletakkan pisau pada leher Isma’il. Ketika itu adalah saat genting yang amat sukar dilaksanakan.

Allah amat menghargai ketaatan mereka dan berkata:

“Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Ash-Shafaat, 37: 102)

Apabila Nabi Ibrahim A.S. melaksanakan arahan dalam mimpi sebelumnya, baginda diperintahkan pula supaya tidak mengorbankan anak baginda sendiri.

Seekor kambing biri-biri (kibas) diberi untuk menggantikan Nabi Isma’il A.S. Nabi Ibrahim A.S. berdiri dan kambing bebiri tersebut dikorbankan. Saat yang mendebarkan itu berakhir jua dan mereka berdua sangat gembira serta memanjatkan rasa syukur kepada Allah. Sejak dari itu sehingga sekarang adat mengorbankan manusia telah dibasmi sepenuhnya.

.

Berita Gembira Kelahiran Nabi Ishaq A.S.

Apabila Nabi Ibrahim A.S. menunjukkan ketaatan yang tinggi terhadap perintah Allah untuk mengorbankan anak baginda Isma’il, baginda dikhabarkan pula berita gembira tentang kelahiran anak lelaki dari isteri pertama, Sarah. Ayat quran menerangkan…

“Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishaq seorang nabi yang termasuk orang-orang yang salih. Kami limpahkan keberkatan atasnya dan atas Ishaq. Dan di antara anak cucunya ada yang berbuat baik dan ada yang zalim terhadap dirinya sendiri yang nyata.” (Ash-Shafaat, 37: 112-113)

Masa berlalu dan Sarah yang sudah berusia itu mengandung dan sampai masanya dia melahirkan seorang bayi lelaki yang diberi nama Ishaq. Kemudian, Isma’il dan Ishaq dilantik sebagai nabi.

.

Pembinaan semula Ka’bah

Rumah Allah yang pertama, Ka’bah telah dibina oleh Nabi Adam A.S. Ia dibina semula oleh Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Isma’il A.S. Makam Ibrahim masih ada bersebelahan dengannya. Tempatnya adalah batu marmar yang diletakkan pada tempat baginda telah berdiri untuk menaikkan dinding binaan suci tersebut di Makkah. Batu tersebut mengandungi kesan tapak kaki Nabi Ibrahim A.S. Ayat dalam al-Quran telah menerangkan tentang tapak kaki tersebut yang merupakan satu tanda kekuasaan Allah.

“Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: “Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang i’tikaf, yang ruku’ dan sujud”.” (Al-Baqarah, 2: 125)

.

Tempat Disemadikan

Nabi Ibrahim A.S. telah hidup selama 175 tahun. Hidup baginda penuh dengan ujian dan… Baginda sentiasa menyeru kaumnya beriman dengan Allah. Apabila baginda wafat, mayat baginda disemadikan di Hebron 20 batu ke barat daya Jurusalem.

About these ads