20. Kisah Nabi Daud a.s

.

Daud / Dawud (Bahasa Ibrani: דָּוִד, bahasa Arab: داوود atau داود Dāwūd, Inggeris Davíd) hidup sekitar 1041-971 SM, adalah nabi dan rasul Allah yang disebutkan dalam Al-Qur’an. Oleh Allah, dia diberikan kitab Zabur dan dia merupakan Raja Israel setelah Thalut. Dia diangkat menjadi nabi pada tahun 1010 SM.

Nabi Daud a.s. berasal dari Bani Israil, keturunan Yahudza bin Nabi Yaakub a.s. Nama baginda telah disebut sebanyak 16 kali dalam al-Quran. Baginda adalah nabi dan raja yang mempunyai kerajaan yang diperturunkan kepada puteranya Sulaiman a.s. Mereka dikurniakan kenabian dan kurniaan kebaikan dunia dan akhirat.

“…dan Allah telah memberikan kerajaan dan hikmah kepada Dawud serta mengajarkan apa-apa yang dikehendaki-Nya” (Al-Baqarah, 2: 251)

Nama sebenar baginda ialah Daud bin Yisya bin ‘Uwaid. Baginda adalah generasi yang ke 13 keturunan Nabi Ibrahim.  Daud a.s dan keluarganya menetap di Bettlehem (Baitul Laham) yang kemudiannya menjadi tempat lahir Nabi Isa a.s. Baginda juga adalah seorang rasul yang dikurniakan dengan kitab samawi iaitu Zabur. Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Dan Kami berikan Zabur kepada Daud” (An-nisa’, 4: 163)

.

Nabi Daud bersama-sama Thalut

Thalut dilantik menjadi raja kepada Bani Israel kerana mempunyai tubuh yang perkasa dan ilmu yang luas. Namun begitu, penduduk Bani Israel merasakan bahawa beliau tidak layak untuk memegang kuasa tersebut.

Nabi Daud telah diundang ke istana dan tinggal bersama Thalut kerana raja tersebut begitu tertarik dengan bakat seni yang ada pada baginda. Baginda akan selalu bersama Thalut di istana dan berulang alik menemui bapa baginda untuk menolongnya mengembala kambing.

.

Nabi Daud a.s. Menentang Jalut

Pada suatu ketika, terjadi satu peperangan antara rakyat Israel dan Palestin. Tentera Palestin telah dipimpin oleh Jalut, pahlawan yang gagah perkasa tetapi sangat kejam. Maka Thalut pun memilih pasukan yang kuat di kalangan tenteranya untuk menentang Jalut (Goliath). Nabi Daud a.s. telah turut serta dalam peperangan tersebut walaupun baru berusia 9 tahun.

Semasa perang berlaku, Jalut telah meminta untuk diadakan pertarungan satu lawan satu. Dia dengan angkuhnya mara ke hadapan dan mencabar musuhnya di pihak Nabi Daud. Lalu Nabi Daud a.s. menyambut cabaran tersebut namun diejek kembali oleh Jalut yang merasakan Nabi Daud a.s. tidak setanding dengannya kerana masih kanak-kanak dan bertubuh kecil. Baginda juga dinasihati oleh Thalut supaya tidak bertarung dengan pahlawan yang berpengalaman tersebut. Namun Nabi Daud a.s. tetap dengan keputusan baginda maka bertarunglah keduanya. Baginda berdoa sebelum bertarung yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami, tuangkanlah kesabaran ke atas diri kami, dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.” (Al-Baqarah, 2: 250)

Dengan izin Allah Nabi Daud a.s. telah berjaya mengalahkan Jalut walaupun bertubuh kecil berbanding Jalut. Tentera Palestin akhirnya kalah dalam pertempuran dan lari bertempiaran.

.

Nabi Daud a.s. menjadi Raja

Nabi Daud a.s. menjadi terkenal di kalangan Bani Israel selepas kejadian tersebut. Baginda telah mendapat anugerah daripada Thalut dan dikahwinkan dengan puteri baginda yang bernama Mikyal dan dilantik sebagai ketua Komander angkatan tentera. Namun tidak lama selepas itu, Thalut berasa iri hati dengan pengaruh Nabi Daud a.s. Salah seorang anak lelaki Thalut mempunyai pekerti yang baik telah memaklumkan baginda tentang perkara tersebut.

Maka dengan tipu daya Thalut berusaha menyingkirkannya. Dia menyuruh Daud a.s berperang melawan orang Kana’an yang hendak menyerang Bani Israil. Tapi ternyata Daud a.s mampu mengalahkan mereka. Thalut kecewa kerana usahanya gagal, sebaliknya Daud a.s semakin disanjung dan dihormati. Thalut lalu berniat membunuh Daud. Mendengar niat jahat ayahnya, Mikyal menyampaikannya kepada suaminya. Untuk mengamankan diri, Daud melarikan diri. Pemergian Daud ini membuatkan rasa benci rakyat kepada Thalut. Rakyat dan tentera pun akhirnya berpaling mengikuti Daud a.s.

Thalut dan pengikutnya terus mengejar Daud a.s. Tetapi Daud mengetahuinya, lalu mengutus mata-mata untuk mengintai keberadaan tentera Thalut. Utusan itu melaporkan bahawa Thalut bersama tenteranya sedang tertidur nyenyak di sebuah lembah. Daud a.s menggunakan kesempatan ini dan berhasil menyusup ke persembunyian Thalut, lalu memotong sudut baju Raja (kisah lain menyebutkan “mengambil lembing sang raja”). Sekiranya berniat, dia mampu saja membunuh Thalut, tetapi dia hanya meminta agar Thalut bertaubat. Ternyata, peringatan ini tidak dihiraukan oleh Thalut yang keras hati dan tetap ingin mempertahankan kekuasaannya.

Daud a.s tidak jemu- jemunya mengingatkan Thalut, bahawa pengawalnya tidak akan mampu menyelamatkannya apabila Allah S.w.t. hendak mencabut nyawanya. Peringatan ini berhasil menyedarkan Thalut. Dia menanggalkan mahkotanya, lalu pergi ke luar kota. Di sana dia mengisi hidupnya dengan pertaubatan hingga  ke akhir hayatnya (sekitar 1010 SM).

Selepas kematian Thalut, urusan pemerintahan dikuasai oleh Nabi Daud a.s. dan seterusnya menjadi raja kepada Bani Israel. Baginda telah mentadbir negara dengan berkesan dan menakluki banyak kawasan. Para penduduk mendapat kemakmuran semasa pemerintahan baginda yang berhati mulia, adil dan bertakwa. Rakyatnya juga menyembah Tuhan yang satu yang mengikut pimpinan yang sebenar.

.

Penurunan Kitab Zabur

Allah telah menurunkan kitab Zabur kepada Nabi Daud a.s. Kitab ini mengandungi ajaran untuk memimpin kaum Bani Israel. Allah telah berfirman yang bermaksud:

“…Dan kami berikan Zabur kepada Daud” (An-Nisaa’, 4: 163)

Rakyat akan terpegun apabila mendengar Nabi Daud a.s. membaca ayat-ayat daripada Zabur dengan suara yang amat merdu. Semua akan mengelilinginya termasuk binatang-bintang di muka bumi ini.

Selain itu, Allah juga telah mengurniakan keistimewaan untuk menundukkan gunung ganang supaya bertasbih bersama-samanya dengan bahasa yang tidak difahami oleh manusia biasa. Pengetahuan dan kelebihan itu juga dapat dipraktikkan terhadap burung-burung untuk turut serta bersamanya.

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): “Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud”, ” (Saba’, 34: 10)

“Sesungguhnya Kami tundukkan gunung-gunung kepadanya, semuanya tasbih pada petang-petang dan pagi-pagi, dan (Kami tundukkan pula) burung-burung yang dikumpulkan, masing-masing banyak kembali kepada Allah.” (Shaad, 38: 18-19)

.

Nabi Daud a.s. sebagai tukang besi

Nabi Daud a.s. adalah seorang tukang besi yang mahir. Baginda berupaya melembutkan besi yang keras dan menghasilkan pelbagai bentuk barangan daripadanya. Baginda melakukannya tanpa memakai api atau sebarang alat. Besi yang dilembutkan ada yang dijadikan baju besi yang sangat elok buatannya. Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan telah Kami ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu, guna memelihara kamu dalam peperanganmu; Maka hendaklah kamu bersyukur (kepada Allah).” (Al-Anbiya, 21: 80)

“…dan Kami telah melunakkan besi untuknya.” (Saba’, 34: 10)

Nabi Daud a.s. adalah seorang pemimpin yang begitu adil dan menggunakan masa sehariannya dengan sempurna. Baginda memperuntukkan hari-hari khusus untuk beribadat, bertugas sebagai hakim, memberi pengajaran kepada kaumnya dan untuk kepentingan peribadi.

.

Kematian Nabi Daud a.s.

Menurut para ahli sejarah, Daud a.s  memerintah selama sekitar 40 tahun (1010 SM – 970 SM). Nabi Daud a.s.  meninggal dunia pada usia 70 tahun dan dikebumikan di Jerusalem (Baitul Muqaddis).

About these ads