25. Kisah Nabi Muhammad s.a.w.

.

Semasa umat manusia dalam kegelapan dan suasana jahiliyyah, lahirlah seorang bayi pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun Gajah bersamaan 571 Masehi di Makkah. Bayi yang dilahirkan bakal membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban manusia. Bapa bayi tersebut bernama Abdullah bin Abdul Mutallib yang telah wafat sebelum baginda dilahirkan iaitu sewaktu baginda 7 bulan dalam kandungan ibu. Abdullah dalam perjalanan pulang dari Syam (Syiria) kerana berniaga. Di tengah-tengah perjalanan pulang ke Mekah maka sakitlah dia hingga wafat di Madinah. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Kehadiran bayi itu disambut dengan penuh kasih sayang dan dibawa ke ka’abah, kemudian diberikan nama Muhammad, nama yang belum pernah wujud sebelumnya. Sebelum nabi dilahirkan, ibunya sudah mendapat alamat tentang akan lahirnya.

Selepas itu Muhammad disusukan selama beberapa hari oleh Thuwaibah, budak suruhan Abu Lahab sementara menunggu kedatangan wanita dari Banu Sa’ad. Adat menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan Arab di Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu Sa’ad yang bernama Halimah bin Abi-Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu menerima baginda kerana Muhammad seorang anak yatim. Namun begitu, Halimah membawa pulang juga Muhammad ke pedalaman dengan harapan Tuhan akan memberkati keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad sebagai anak susuan, kambing ternakan dan susu kambing-kambing tersebut semakin bertambah. Baginda telah tinggal selama 2 tahun di Sahara dan sesudah itu Halimah membawa baginda kembali kepada Aminah dan membawa pulang semula ke pedalaman.

Dalam tahun lahirnya nabi, gabenor Abbessinia yang memerintah Yaman yang beragama Nasrani membuat sebuah gereja di ibu kota San’a. Gereja itu dibuat sebaiknya dan sebesarnya kerana maksudnya gereja itu akan dijadikan balai pertemuan negeri dan agama, untuk mengganti Ka’abah yang ada di kota Mekah. Abrahah, panglima perangnya menuju kota Mekah beserta pasukan gajahnya untuk menghancurkan Ka’abah. Di luar kota, Abrahah berhenti dan memberitahu pada penduduk kota Mekah tentang kedatangannya.

Selama berhenti perajurit-perajuritnya merampas beberapa ekor unta kepunyaan Abdul Muthalib. Abdul Muthalib lantas pergi menemui Abrahah untuk meminta kembali untanya. Abrahah hairan dengan kedatangan Abdul Muthalib, diduganya kedatangan beliau pasti untuk meminta agar Ka’abah tidak dirosakkan. Abrahah berkata: ” Kamu hanya sayangkan unta kamu tetapi tidak mempedulikan Ka’abahmu. Saya datang ke mari untuk membinasakannya. “

Jawab Abdul Muthalib: ” Saya memikirkan untaku kerana saya tuannya. Tentang Ka’bah, biarlah tuannya sendiri yang akan melindunginya. “

Orang-orang Quraisy kerana tidak berdaya melawan Abrahah maka mereka beredar ke pergunungan di luar kota. Abdul Muthalib sebelum meninggalkan kota ia memegang kelambu Ka’abah sambil berdoa: ” Ya Allah, ini rumah tuan. Kami merasa lemah untuk melindunginya. Sudilah kiranya tuan melimpahkan perhatian dan perlindungan padanya. “

Penyakit cacar menjalar di kalangan tentera Abrahah dan merosakkan pasukannya. Kerana hebatnya penyakit itu, akibatnya mereka banyak mati dan yang hidup lari tunggang langgang hingga tidak menghiraukan lagi mayat kawannya. Tahun ini juga dikenali sebagai Tahun Gajah, sempena dengan serangan pasukan bergajah Abrahah itu.

.

Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad

Pada usia dua tahun, baginda didatangi oleh dua orang malaikat yang muncul sebagai lelaki yang berpakaian putih. Mereka bertanggungjawab untuk membedah Muhammad. Pada ketika itu, Halimah dan suaminya tidak menyedari akan kejadian tersebut. Hanya anak mereka yang sebaya menyaksikan kedatangan kedua malaikat tersebut lalu mengkhabarkan kepada Halimah. Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad, namun tiada kesan yang aneh ditemui.

Muhammad tinggal di pedalaman bersama keluarga Halimah selama lima tahun. Selama itu baginda mendapat kasih sayang, kebebasan jiwa dan penjagaan yang baik daripada Halimah dan keluarganya. Selepas itu baginda dibawa pulang kepada datuknya Abdul Mutallib di Makkah.

Datuk baginda, Abdul Mutallib amat menyayangi baginda. Ketika Aminah membawa anaknya itu ke Madinah untuk bertemu dengan saudara-maranya, mereka ditemani oleh Ummu Aiman, budak suruhan perempuan yang ditinggalkan oleh bapa baginda. Baginda ditunjukkan tempat wafatnya Abdullah serta tempat dia dikuburkan.

Sesudah sebulan mereka berada di Madinah, Aminah pun bersiap sedia untuk pulang semula ke Makkah. Dia dan rombongannya kembali ke Makkah menaiki dua ekor unta yang memang dibawa dari Makkah semasa mereka datang dahulu. Namun begitu, ketika mereka sampai di Abwa, ibunya pula jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia lalu dikuburkan di situ juga. Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh Ummu Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai seorang anak yatim piatu ketika umurnya baru 6 tahun. Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.

“Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia memberikan petunjuk” (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7)

.

Abdul Mutallib Wafat

Kegembiraannya bersama datuk baginda tidak bertahan lama. Ketika baginda berusia 8 tahun, datuk baginda pula meninggal dunia. Kematian Abdul Mutallib menjadi satu kehilangan besar buat Bani Hashim. Dia mempunyai keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang bernas, terhormat dan berpengaruh dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan makanan dan minuman kepada para tetamu yang berziarah dan membantu penduduk Makkah yang dalam kesusahan.

.

Muhammad diasuh oleh Abu Talib

Selepas kewafatan datuk baginda, Abu Talib mengambil alih tugas bapanya untuk menjaga anak saudaranya Muhammad. Walaupun Abu Talib kurang mampu berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai perasaan yang paling halus dan terhormat di kalangan orang-orang Quraisy. Abu Talib menyayangi Muhammad seperti dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Dia juga tertarik dengan budi pekerti Muhammad yang mulia.

Pada suatu hari, ketika mereka berkunjung ke Syam untuk berdagang sewaktu Muhammad berusia 12 tahun, mereka bertemu dengan seorang rahib Kristian bernama Buhaira yang telah dapat melihat tanda-tanda kenabian pada baginda. Lalu rahib tersebut menasihati Abu Talib supaya tidak pergi jauh ke daerah Syam kerana dikhuatiri orang-orang Yahudi akan menyakiti baginda sekiranya diketahui tanda-tanda tersebut. Abu Talib mengikut nasihat rahib tersebut dan dia tidak banyak membawa harta dari perjalanan tersebut. Dia pulang segera ke Makkah dan mengasuh anak-anaknya yang ramai. Muhammad juga telah menjadi sebahagian dari keluarganya. Baginda mengikut mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar sajak-sajak oleh penyair-penyair terkenal dan pidato-pidato oleh penduduk Yahudi yang anti Arab.

Baginda juga diberi tugas sebagai pengembala kambing. Baginda mengembala kambing keluarganya dan kambing penduduk Makkah. Baginda selalu berfikir dan merenung tentang kejadian alam semasa menjalankan tugasnya. Oleh sebab itu baginda jauh dari segala pemikiran manusia nafsu manusia duniawi. Baginda terhindar daripada perbuatan yang sia-sia, sesuai dengan gelaran yang diberikan iaitu “Al-Amin”.

.

Nabi beristeri

Selepas baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa saudaranya untuk membawa barang dagangan Khadijah binti Khuwailid, seorang peniaga yang kaya dan dihormati. Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh ikhlas dan jujur. Khadijah amat tertarik dengan perwatakan mulia baginda dan keupayaan baginda sebagai seorang pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya untuk berkahwin dengan Muhammad yang berusia 25 tahun ketika itu. Wanita bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat gembira apabila Muhammad menerima lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan mereka berdua. Bermulalah lembaran baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah sebagai suami isteri.

Dari Siti Khadijah, Nabi mendapat 2 orang putera dan 4 orang puteri yakni;

Qosim – wafat pada umur 2 tahun.

Zainab – bersuamikan Abul ‘As.

Ruqayyah – bersuamikan Saiyidina Othman r.a . Ruqayyah meninggal pada waktu kemenangan dalam perang Badar.

Ummi Kalthum – bersuamikan Saiyyidina Othman r.a selepas Ruqayyah wafat.

Fatimah – bersuamikan Saiyyidina Ali r.a iaitu sepupu nabi.

Abdullah – wafat sewaktu erat menyusu.

Semua puteri Nabi wafat mendahului Nabi kecuali Fatimah yang wafat 6 bulan selepas Nabi wafat.

.

Penurunan Wahyu Pertama

Pada usia 40 tahun, Muhammad telah menerima wahyu yang pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu, baginda berada di Gua Hira’ dan sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan nasib umat manusia pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan menyuruhnya membaca ayat quran yang pertama diturunkan kepada Muhammad.

“Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan” (Al-’Alaq, 96: 1)

“Bacalah,” perintah Jibril.

“Saya tidak dapat membaca.” jawab Nabi.

Jibril menarik Nabi padanya serta diminta membaca. 3 kali permintaan itu diulanginya, 3 kali pula Nabi menjawab bahawa beliau tidak tahu membaca. Oleh kerana itu adalah perintah-perintah Allah S.W.T diucapkan oleh Jibril maka usaha Nabi untuk membaca akan berhasil juga apabila dilakukan dengan nama Allah.

Kejadian ini berlaku pada suatu malam di bulan Ramadhan bersamaan 611 masehi. Rasulullah pulang dengan penuh rasa gementar lalu diselimuti oleh Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila semangat baginda mulai pulih, diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang telah berlaku. Siti Khadijah mempunyai seorang sepupu yang bernama Waraqah bin Naufal. Kerana tidak puas hati dengan agama menyembah berhala maka beralihlah waraqah ke agama Nasrani. Akan tetapi hatinya yang terlalu inginkan kebenaran tidak puas juga dengan ajaran agama itu. Setelah Waraqah mendengar wahyu yang diterima oleh Nabi tersebut dan cara bagaimana Nabi menerimanya, maka berkatalah ia: ” Itulah malaikat yang diutuskan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s. Saya berharap kelak saya masih hidup bilamana kelak engkau diasingkan oleh bangsamu.”

Nabi bertanya, apakah nanti akan diperlakukan sedemikian oleh sanak saudara dan handai taulannya. Jawab Waraqah: ” Demikianlah semua nabi diperlakukan.” Selang tidak lama kemudian wafatlah Waraqah bin Naufal. Dan kerana pengakuannya atas kenabian Muhammad dianggap dia sebagai sahabat Nabi juga. Lama sesudah Nabi menerima wahyu yang pertama itu, malaikat Jibril tidak datang kembali. Tetapi ini kebetulan sekali sebab kesehatan Nabi tidak mengizinkan kerana kedatangan malaikat Jibril itu, sebagaimana yang sudah diceritakan di muka tadi dalam hal-hal yang memayahkn Nabi.

Juga sesudah Nabi berulang-ulang menerima wahyu, kedatangan malaikat masih sahaja menyebabkan Nabi mandi peluh dan tubuh beliau menjadi berat. Pernah kejadian Nabi menerima wahyu sedang Nabi berada di tengah-tengah sahabatnya. Kebetulan peha Nabi bertumpang di lutut salah seorang sahabatnya yang duduk di samping beliau. Sementara Malaikat Jibril datang peha beliau menjadi berat, sehingga sahabat itu mengira bahawa ia tak akan kuat lagi menahannya.

Kemudian baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum kerabatnya untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah yang menyembah berhala. Khadijah isterinya adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan ajaran baginda. Dakwah yang sedemikian berlangsung selama tiga tahun di kalangan keluarganya sahaja.

.

Dakwah Secara Terang-terangan

Setelah turunnya wahyu memerintahkan baginda untuk berdakwah secara terang-terangan, maka Rasulullah pun mula menyebarkan ajaran Islam secara lebih meluas.

“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.” (Al-Hijr, 15:94)

Namun begitu, penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi baginda dan para pengikut baginda termasuk Abu Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya. Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:

“Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan diletakkan di tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini, aku tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala penjuru atau aku binasa kerananya”

Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja yang menerima tentangan yang sedemikian, malah para sahabatnya juga turut merasai penderitaan tersebut seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima siksaan yang berat.

.

Kewafatan Khadijah dan Abu Talib

Rasulullah amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika itu terutama kaum Quraisy kerana baginda tahu akan akibat yang akan diterima oleh mereka nanti. Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya wafat pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah jemu membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta hartanya untuk Islam. Dia juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di saat baginda dirundung kesedihan.

Pada tahun itu juga bapa saudara baginda Abu Talib yang mengasuhnya sejak kecil juga meninggal dunia. Maka bertambahlah kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan orang-orang yang amat disayangi oleh baginda.

.

Khutbah terakhir Rasulullah S.a.w

Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir (Haji Wida’), maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

“Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.

“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”

.

Untuk kisah lengkap Nabi Muhammad S.a.w , boleh lah membacanya dari kitab2 Sirah Nabi …….

.

Antara mukjizat Nabi Muhammad S.a.w – Penyembuhan penyakit

Antara mukjizat Nabi Muhammad S.a.w – Keberkatan makanan dan minuman

Antara mukjizat Nabi Muhammad S.a.w – Bahagian 3

About these ads