1)      PENGERTIAN ZIHAR

1.   Dari segi bahasa Arab diambil dari perkataan belakang, kerana bentuk zihar pada asalnya adalah seperti berikut : kata  suami kepada isterinya: awak itu dengan saya seperti belakang ibu saya.  Jadi dengan sebab kebiasaan orang Arab Jahiliah menggunakan perkataan “Zihar”.

2.   Dari segi istilah syara’ bererti : suami menyerupakan isterinya dengan ibunya atau pun seorang yang haram berkahwin dengannya.  Dengan ini menyebabkan isteri itu menjadi haram  kepadanya.  Seperti kata suami kepada isteri: awak  ini saya lihat serupa dengan ibu saya.

2)      DALIL ZIHAR

Firman Allah Taala :

Ertinya : Orang-orang yang menzihar isterinya, tidaklah isterinya itu menjadi ibunya tidaklah yang menjadi kepada mereka melainkan perempuan-perempuan yang melahirkan mereka dan sesungguhnya mereka itu menyentuh  perkataan yang mungkar dan dusta.

(Surah Al-Mujadalah : ayat 2)


3)      HIKMAH DILARANG ZIHAR

Sebagaimana yang diketahui di zaman jahiliah bahawa seorang suami bila berkata kepada isterinya : “awak dengan aku seperti belakang ibuku” ini adalah kerana ia bermaksud untuk mengharamkan isterinya itu hidup bersamanya buat selama-lamanya.


Oleh itu, ini adalah merupakan satu keburukan dan penyeksaan terhadap kaum perempuan.  Syara’ telah melarang perbuatan yang  demikian dan menganggap sebagai suatu perkara yang mungkar dan  dusta.  Sebagaimana tersebut dalam ayat di atas.

Perbuatan atau perkataan yang demikian dikatakan satu perkataan mungkar, kerana adalah satu perkara  yang merupakan penyeksaan terhadap kaum perempuan dan pengharaman terhadap sesuatu yang  dihalalkan oleh Allah, ini adalah dilarang kerana oleh syara’.

Perkataan tersebut dikatakan dusta semata-mata adalah disebabkan kerana isteri itu bukanlah ibu dan tidak mempunyai persamaan langsung di antara keduanya.

Walau bagaimanapun syara’ tidaklah membiar begitu sahaja tentang perbuatan suami itu malah syara’ akan mengambil tindakan terhadap suami yang melakukannya iaitu diwajibkan membayar kifarah, supaya terelak dari mengulangi kembali perbuatan tersebut.  Selepas membayar kifarah, suami boleh kembali semula seperti biasa.  Ini berlainan sekali dari apa yang berlaku di zaman  jahiliah yang  menganggap isteri-isteri yang telah dizihar itu gugur talaqnya sebagai  talaq bain yang tidak boleh dirujuk sama sekali buat selama-lamaya.

4)      RUKUN ZIHAR

1.      Suami yang menzihar

2.      Isteri yang dizihar

3.      Lafaz zihar

4.      Orang yang diserupakan (ibu dan sebagainya)

5)      SYARAT-SYARAT MENZIHAR (SUAMI)

1.   Dari  suami yang sah talaqnya, kalau ia menggugurkan talaq, sekalipun suami yang mati pucuk atau yang terpotong zakarnya.  Oleh itu tidak sah zihar dari yang bukan suami dan tidak sah menzihar perempuan yang bukan isterinya,  walaupun perempuan itu akan dikahwininya selepas itu.

2.   Suami yang berakal – tidak sah zihar dari suami yang gila atau masih budak.

3.   Dengan kemahuan suami itu sendiri bukan dipaksa.

6)      SYARAT-SYARAT MENZIHAR (ISTERI)

Hendaklah  yang dizihar itu isteri, sekalipun isteri itu masih kecil (kanak-kanak) gila,  sakit,  kafir kitabiah atau pun sedang dalam idah  raj’i-  tidak sah zihar perempuan yang bukan isteri, kalau seorang  lelaki berkata kepada seorang perempuan yang bakal dikahwininya: “jika saya berkahwin dengan awak maka awak itu dengan saya seperti belakang ibu saya”,  kemudian lelaki itu mengahwininya, zihar itu tidak sah (tidak berlaku) begitu juga tidak berlaku zihar kalau seorang tuan hamba berkata kepada hambanya (perempuan) “awak dengan saya seperti belakang ibu saya” kerana  hamba bukannya isteri.

7)      SYARAT-SYARAT YANG DISERUPAKAN

1.      Hendaklah orang yang diserupakan itu dari golongan perempuan, jika diserupakan dengan orang lelaki walaupun dari keluarganya yang paling dekat seperti bapa dan sebagainya, zihar itu tidak sah, begitu juga tidak sah kala diserupakan dengan seorang khunsa.

2.      Hendaklah orang yang diserupakan itu dari perempuan yang haram nikah dengannya samada sebab keturunan seperti ibu atau sebab susuan seperti ibu susuan atau pun sebab  persemendaan seperti ibu mertua atau ibu tiri.

3.      Perempuan yang diserupakanj itu tidak halal dikahwini sebelum itu seperti isteri bapanya (ibu tiri) yang berkahwin dengan bapanya sebelum ia dilahirkan lagi.

Adapun ibu tiri yang berkahwin dengan bapanya setelah ia dilahirkan, tidak jadi zihar jika diserupakan dengannya, kerana perempuan itu sah berkahwin dengannya sebelum berkahwin dengan bapanya dahulu.

Begitu juga isteri anaknya (menantu perempuan) kerana ianya hala berkahwin dengannya sebelum berkahwin dengan anaknya, seterusnya isteri yang telah diceraikan dengan talak tiga, isteri yang telah lian dan isteri-isteri Rasulullah SAW, ini semuanya tidak jadi zihar apabila  disabitkan dengan mereka, kerana pengharaman kahwin  dengan isteri-isteri Rasulullah itu adalah sebagai penghormatan kepada Rasulullah dan memuliakannya.


8)      SYARAT SIGHAH ZIHAR

Lafaz itu hendaklah menunjukkan zihar.  Lafaz zihar terbahagi kepada dua :

1.   Lafaz Sareh : iaitu  kata-kata yang terang yang digunakan tertentu pada zihar sahaja dan tidak mengandungi erti yang lain dari zihar, seperti kata suami kepada isteri “awak ini dengan saya seperti belakang ibu saya atau seperti tangannya atau kepalanya.

2.   Lafaz Kinayah : iaitu kata-kata yang mengandungi makna zihar dan makna yang lain, lafaz kinayah ini memerlukan niat untuk menentukan maksud yang sebenar.  Seperti kata suami kepada isterinya “awak semacam mata ibuku dan sebagainya dari perkataan-perkataan yang mengandungi erti zihar atau lain dari zihar sebagai menandakan kemuliaan atau penghormatan.

9)      SYARAT TASBIAH (MENSERUPAKAN)

Orang-orang Arab jahiliah selalunya menggunakan perkataan (zihar) yang bererti belakang  untuk menzihar isteri-isteri mereka,  selain dari perkataan (zihar) terdapat juga perkataan-perkataan yang  lain seperti mata, kepala, tangan dan  sebagainya.  Pendek kata ada kalanya digunakan seluruh  anggota perempuan dan ada juga yang menggunakan sebahagian  anggota sahaja seperti menyebut muka, kepala, tangan dan sebagainya.  Oleh  itu disyaratkan menyebut anggota yang lahir sahaja.

Tidak sah tasbiah itu dengan  menggunakan anggota batin seperti hati, limpa dan sebagainya, andainya seorang suami berkata kepada  isterinya “kepada awak serupa hati ibu saya” perkataan seperti ini tidak sah dijadikan zihar.

Zihar tidak berlaku apabila ditasbihkan dengan sesuatu yang ada pada perempuan seperti susu, air liur air mani dan sebagainya, kecuali ditasbiahkan dengan sebahagian anggotanya, seperti kuku, ramput dan gigi, barulah sah ziharnya, contohnya kata suami “awak semacam kuku ibu saya” dan seterusnya.

10)    HUKUM MEMBATASKAN WAKTU ZIHAR DAN MENTA’LIQKAN

1.      Sah menghadkan waktu zihar samada pada jangka waktu yang singkat atau panjang seperti kata suami “awak dengan  saya  seperti belakang ibu saya dalam masa sehari atau  sebulan” dalam masa yang disebutkan itu suami diharamkan  mensetubuhi isterinya itu apabila disetubuhinya kembali wajiblah ia membayar kifarah zihar.

2.      Jika suami berkata kepada isterinya “awak semacam belakang ibu saya selama lima bulan.  Kata-kata yang demikian dianggap suami telah  menzihar dan mengiilaa’ isterinya itu apabila  ia mensetubuhi isterinya  itu dalam  tempoh masa tersebut, ia diwajibkan membayar kifarah zihar,selepas itu ia tidak  mensetubuhinya sehingga berlalu masa tersebut isteri berhak  menuntut dua perkara iaitu menuntut suami supaya mewarithnya kembali atau menceraikannya seperti yang  diterangkan di dalam illa’.

Jika suami berkata kepada isterinya “demi Allah awak serupa belakang ibu saya” kemudian suami itu mensetubuhi isterinya itu dalam masa tempoh iilaa’ (empat bulan) ia diwajibkan membayar dua kifarah, iaitu zihar dan kifarah iilaa’.

Sah dita’liqkan zihar dengan sesuatu, seperti kata suami kepada  salah seorang dari isterinya “jika saya zihar madu awak (isteri yang  satu lagi) maka awak  serupa dengan belakang ibu saya” dan kebetulan  ia benar-benar  menzihar isteri  yang pertama itu, oleh yang demikian  ia dianggap telah menzihar kedua-duanya sekali.

11)    CARA MEMBAYAR KIFARAH ZIHAR

Apabila  seorang suami yang menzihar isterinya ingin kembali isteri kifarah tersebut adalah mengikut susunan berikut :

Yang dizihar itu hendaklah terlebih dahulu ia menbayar kifarah, cara membayar:

1.      Memerdekakan hamba yang mu’min lelaki atau perempuan.

2.      Jika tidak mampu atau tidak berdaya untuk merdekakan hamba, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut dengan tidak berselang, sekiranya diselang-selangkan  walaupun kerana sakit, maka puasa yang lalu terputus dan mestilah diulang semula.

3.      Jika tidak terdaya berpuasa selama dua bulan berturut-turut,  maka ia hendaklah memberi  sedekah makanan kepada  enam puluh orang miskin, tiap-tiap seorang diberikan secupak dan makanan utama bagi negeri itu.

Seorang itu dikira lemah dari berpuasa jika terdapat salah satu dari perkara berikut,  dan bolehlah ia menunaikan kifarah yang ketiga iaitu memberi sedekah makanan kepada enam puluh orang miskin :

1.      Ia ditimpa oleh penyakit yang ghalibnya penyakit itu  akan berlarutan sehingga dua bulan  pendapat doctor dan sebaik-baiknya biarlah dari jenis penyakit yang  tidak ada harapan untuk sembuh lagi.

2.      Ia takutkan penyakit itu akan  bertambah teruk bila berpuasa.

3.      Sekiranya ia berpuasa selam dua bulan berturut-turut ini akan menimbulkan kesusahan dan kemudharatan kepadanya, kerana tidak terdaya mengerjakannya.

4.      Orang itu didapati terlalu kuat nafsunya.  Tidak sanggup menahan untuk menunaikan puasa tersebut, ini bagi orang  yang mempunyai nafsu yang luar biasa.

Wallahua’lam

Sumber : 1. http://www.unitagamakmb.com

About these ads