Assalaamu’alaikum w.b.t……. Riya’ / menunjuk-nunjuk adalah antara perangai manusia yang sukar dikesan dengan pancaindera luaran , melainkan mudah dikesan dengan pancaindera dalaman (hati). Walaupun begitu kita tidak digalakkan untuk memandang buruk kepada orang lain dan menuduhnya riya’, bahkan kita sendiri yang mesti memperingati diri kita agar JANGAN bersikap riya’ dalam apa soal pun terutamanya dalam hal-hal agama dan amal ibadat.

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat.  (Iaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya.  orang-orang yang berbuat riya’.” Surah Al maa’un : Ayat 4 – 6

Riya’ berasal dari perkataan arab iaitu ‘ro’a’ yang bermaksud melihat. Maka riya’ pula bermakna memperlihatkan.  Dan dalam istilah Islam pula bermakna menunjuk-nunjuk dalam melakukan sesuatu amalan, beramal kerana mengharapkan sesuatu balasan duniawi, yang dilakukan secara tidak ikhlas dan penuh kepalsuan.

Riya’ berlaku hasil dari hati yang TIDAK IKHLAS. Iblis dan Syaitan menjalankan kerja-kerja menghiasi amalan-amalan kita dengan sifat riya’ agar kita mudah menjadi terkenal dengan habuan dunia yang menyeronokkan dan sementara.  Itulah di antara janji-janji Iblis yang penuh dengan kepalsuan.

Riya’ terbahagi kepada dua iaitu Riya’ Khusus dan Riya’ bercampur.

.

Riya’ khusus ialah berkehendakkan manfaat dunia semata-mata dari amalan yang dikerjakan, manakala Riya’ bercampur ialah berkehendakkan manfaat dunia dan  akhirat.

Mengikut qaul (kata-kata) yang terpilih, tiada kadar tertentu terbatalnya pahala akibat riya’ itu. Yang jelas, riya’ itu mengakibatkan pahala tidak diterima, ditolak terus atau dikurangkan pahalanya.

Diriwayatkan, apabila hamba Allah yang riyak menuntut pahala amalannya pada hari Kiamat, Allah Taala lalu berfirman: “Tidakkah Aku luaskan untukmu tempat kedudukanmu di majlis-majlis? Tidakkah Aku jadikan engkau pemimpin manusia di dunia? Tidakkah Aku murahkan (permudahkan) urusan perniagaanmu? Apakah kamu tidak dimuliakan?”

Riwayat ini bermaksud, tuntutan pahala daripada hamba Allah itu tidak diperkenankan, kerana amalannya tidak ikhlas. Cukuplah untuk dia mendapat manfaat dunia yang menjadi matlamatnya.

Diriwayatkan lagi, bahawa malaikat membawa naik ke langit amalan hamba Allah dengan sukacitanya. Tetapi Allah berfirman:

“Lemparkan amalan itu ke neraka Sijjin. Sesungguhnya dia (hamba Allah itu) mengerjakan amalan itu bukan kerana-Ku”.

Mengikut riwayat yang lain: Pada hari Kiamat, kedengaran seruan yang dapat didengar oleh semua makhluk, “Hai, orang-orang yang menyembah manusia! Berdirilah kamu, ambillah pahala daripada orang yang kerananya kamu kerjakan amalan kamu itu. Aku tidak menerima amalan yang dikaitkan dengan yang lain daripada-Ku”.

Seterusnya diriwayatkan lagi, Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya syurga itu berbicara, katanya, ‘Aku ini haram bagi setiap orang yang bakhil, riyak, pengadu-domba dan pendengki”.

Mengikut Imam al-Ghazali: “Bakhil dalam Hadis tersebut membawa maksud, bakhil yang sejahat-jahat bakhil, iaitu bakhil daripada mengucapkan La ilaha illallah, Muhammadun Rasulullah. Manakala riya’ itu pula ialah sejahat-jahat riya’, iaitu riya’ orang munafik, menunjuk-nunjuk imannya dan tauhidnya dengan kata-kata dan perbuatan, tetapi di dalam hatinya berlainan.

Orang yang tidak mengatasi bakhil dan riya’ tersebut atau tidak membebaskan diri daripada serangan kedua-duanya, akan menerima kecelakaan dan akan terjatuh dalam kekufuran, lalu terluput daripada syurga dan berhak kekal dalam neraka”.

Dalam satu riwayat yang panjang, Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah bersabda, bahawa orang-orang yang mula-mula diseru pada hari Kiamat ialah:

· lelaki yang membaca / menghafaznya al-Quran,
· lelaki yang banyak harta,
· lelaki yang terkorban dalam perang sabil.

Kepada lelaki yang membaca / menghafaz al-Quran, Allah Taala berfirman, “Tidakkah Aku ajarkan engkau apa yang Aku turunkan melalui Rasul-Ku?”.

Apabila lelaki itu menjawab, “Ya, wahai Tuhanku”, Allah berfirman lagi, “Apa yang engkau amalkan dengan apa yang engkau ketahui di dalam al-Qur’an itu?”.

Jika lelaki itu berbohong, Allah berfirman kepadanya, “Engkau dusta!”. Para Malaikat juga turut berkata demikian. “Engkau sebenarnya mahukan sebutan / pujian orang. Sesungguhnya apa yang engkau mahu itu engkau telah dapat dan itulah ganjaran untukmu”.

Kepada orang kaya pula Allah berfirman, “Tidakkah Aku kurniakan kekayaan kepada engkau sehingga engkau tidak perlukan bantuan orang lain?”.

Jawab orang kaya, “Ya, wahai Tuhanku”. Lalu Allah berfirman lagi, “Apakah yang engkau lakukan dengan kekayaan yang Aku kurniakan itu?”.

Jika orang kaya itu menjawab, dia gunakan hartanya untuk menghubungkan silaturrahim dan bersedekah, Allah lalu berfirman dan diikuti oleh para malaikat. “Engkau berdusta! Sebenarnya engkau mahu dikatakan orang, bahawa engkau pemurah. Engkau telah memperolehi apa yang engkau mahu itu dan itulah ganjaran untukmu!”.

Demikianlah juga, firman Allah kepada lelaki yang terkorban dalam perang sabil, apabila dia berbohong dengan mengatakan, “Engkau perintah kami berjihad fi sabilillah, maka aku berjihad. Dalam perang sabil aku membunuh dan akhirnya aku dibunuh”.

Ibnu ‘Abbas pula meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya neraka dan penghuninya menjerit-jerit kerana orang-orang riya'”.

Ibnu ‘Abbas bertanya, “Kenapa mereka menjerit, ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab, “Kerana terlalu panas api yang digunakan untuk menyeksa orang-orang riyak”.

Orang yang mengerjakan amal kebajikan kerana berkehendakkan manfaat dunia, walaupun manfaat itu diharapkan daripada Allah (bukan daripada manusia) adalah juga termasuk dalam riyak, iaitu riyak khusus.

Menurut ulama, “riyak” itu adalah berdasarkan apa yang dikehendaki, bukan daripada siapa kehendak itu diminta. Tak kira, sama ada daripada Allah Taala atau daripada manusia, jika manfaat dunia yang dikehendaki, maka itu dikira riyak. Habuannya hanyalah di dunia semata-mata. Oleh sebab itu Rasulullah S.a.w memberi amaran bahawa riyak itu merupakan SYIRIK yang terkecil.

Firman Allah Taala, mafhumnya:

“Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” Surah As Syuura : Ayat 20

Jika manfaat dunia yang dikehendaki untuk dijadikan bekalan beribadat, maka itu tidak dikira riyak, kerana manfaat itu bukan bersifat duniawi semata-mata, tetapi bercampur dengan manfaat ukhrawi.

Jadi, niat untuk mencapai matlamat kebajikan ke jalan akhirat bukan dikira riya’. Umpamanya, kita berusaha mencari pengaruh atau berusaha untuk mendapat penghormatan orang ramai dengan cara meninggikan taraf hidup kita, semata-mata dengan tujuan agar kerja kebajikan kita, misalnya kegiatan dakwah, mendapat sokongan dan sambutan yang akan mendatangkan hasil yang diharapkan atau mendapat kejayaan yang cemerlang.

Hal seperti itu dikatakan sebagai usaha untuk mencapai matlamat kebajikan (untuk akhirat), kecuali jika pengaruh dan penghormatan itu untuk memperolehi kemuliaan, kebesaran, kemasyhuran, kemegahan dan keadaan yang bersifat duniawi yang lainnya.

.

Peringkat Riak
1- Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.
2- Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.
3- Riak Jali ( yang terang )
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.
4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.

Peringkat Riya’

1- Riya’ Akbar (Besar)

Riya’ akbar ialah melakukan ibadat kerana mahu sesuatu dari manusia dan bukannya kerana Allah SWT. Riyak ini adalah berpaling terus daripada Allah secara keseluruhannya.

2- Riya’ Asghar (Kecil)

Riyak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu dari manusia dan sesuatu dari Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riyak ini  lebih ringan daripada riyak akbar kerana orang itu masih menghadap pada Allah, cuma ada juga berharap pada manusia dari sudut  lain.

3- Riya’ Jali ( yang terang )

Riya’ ini ialah menggalakkan seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riyak ini dia tidak berminat atau tidak mahu langsung untuk melakukan amal ibadat.

4- Riya’ Khafi ( yang tersembunyi )

Riya’ ini pula ialah ria’ yang tersembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat. Jika tidak ia akan malas-malas dan tidak bersungguh untuk beribadah.

.

Melindungi diri dari penyakit Riya’

Sesungguhnya penyakit yang paling besar serta mematikan yang menimpa hati manusia , serta dapat menjadikan amalan-amalan sia-sia, juga merosakkan seluruh perbuatan manusia serta melahirkan kekerasan dan kekejian ialah riya’.

Riya’ adalah sebahagian dari perbuatan syirik menyekutukan Allah, dan sikap ini bersatu dalam diri orang yang takabbur. Banyak nas yang mencela sikap ini, antaranya;

Sabda Rasulullah S.a.w dalam hadith Haritsah bin Wahab, “Mahukah kalian aku beritahu tentang penghuni neraka, iaitu setiap orang yang berperangai jahat serta kasar,  orang gemuk yang berlebih-lebihan dalam berjalannya dan orang-orang yang sombong.” Hadith Riwayat Bukhari

Dan dari Ibnu Mas’ud dari Nabi S.a.w, baginda bersabda, “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji zarah (atom) sekalipun.” Hadith Riwayat Muslim

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata, seseorang yang melakukan riya’ pada hakikatnya ia tidak melakukan firman Allah  (Hanya kepadaMu aku menyembah)  dan orang yang bersikap ujub (bangga pada diri sendiri) pada hakikatnya ia tidak melakukan firman Allah   (Hanya kepadaMu kami mohon pertolongan) . Dan barangsiapa yang melakukan firman Allah (Hanya kepadamu kami menyembah) maka ia telah keluar dari sikap riya’, dan barangsiapa yang melaksanakan firman Allah (Hanya kepadaMu kami mohon pertolongan) maka ia telah keluar dari sikap ujub.  (Majmu’ Al Fatawa  10/277)

Dan Ibnul Qayyim pula berkata, “Sesungguhnya hati manusia dihadapi oleh dua macam penyakit yang amat besar jika orang itu tidak menyedari adanya kedua penyakit itu akan melemparkan dirinya ke dalam kehancuran dan itu  adalah pasti, kedua penyakit itu adalah riya’ dan takabbur.  Maka ubat kepada riyak ialah (Hanya kepadaMu kami menyembah)  dan ubat dari penyakit takabbur ialah (Hanya kepadaMu kami memohon pertolongan)”.  (Madarijus Salikin  1/54)

.

Sesuatu Yang Disangka Sebagai Riya’, Tetapi Sebenarnya Bukan Riya’

Dari Abu Zar r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. ditanya: “Bagaimanakah pendapat Tuan perihal seseorang lelaki yang mengerjakan suatu amalan yang baik dan ia mendapatkan pujian dari orang ramai kerana amalannya itu?” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Yang sedemikian itulah kegembiraan seorang mu’min yang diterima secara segera – yakni ketika di dunia sudah dapat merasakan kenikmatannya. (Riwayat Muslim)

.

Rujukan :

1. AlQuran

2. AlHadith

3. Rayuan, janji dan sumpah Iblis laknatullah  –  Hidayatullah Mohd Syaruf Aziz

4. Riyadhus Sholihin – Bab 289

.

.

Bacaan berkaitan :

Sesuatu yang disangka sebagai Riya’, tetapi sebenarnya bukan Riya’

About these ads