Petikan kisah-kisah Nabi Isa / Yesus a.s di dalam Ihya’ Ulumuddin

6 Komen


Assalaamu’alaikum w.b.t……. Berikut ambe cuba kutip kisah2 dan kata2 nasihat dari Nabi Isa / Yesus a.s  yang terdapat dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam AlGhazali.  Sememangnya kisah berkenaan Nabi Isa a.s amat banyak diceritakan oleh Imam Ghazali di dalam kitab2 besar beliau.  Digabungkan lagi kisah2 di dalam hadith dan AlQuran, sememangnya Nabi Isa a.s merupakan contoh akhlak terpuji yang patut diikuti oleh kita juga.  Dan baginda akan kembali suatu hari nanti untuk menegakkan Tauhid , mematahkan salib-salib dan menghapuskan Dajjal.

Agama yang disebarkan oleh Nabi Isa a.s dulu dipanggil Nasrani berdasarkan kepada nama tempat tinggal Yesus iaitu di Nazareth. Orang2 Arab memanggil tempat itu dengan nama Nasiroh. Maka orang2 yang berasal dari Nasiroh dipanggil Nasrani.  Bermakna agama Nasrani hanya untuk pengikut2 di Nasiroh / Nazareth sahaja. Berbeza dengan Islam yang bermaksud Peace / Sejahtera. Kesejahteraan adalah untuk semua dan bukan kepada sesuatu kaum sahaja.

Nabi Isa melawat 3 golongan pemuda

Diriwayatkan bahawa Nabi Isa AS melewati tiga orang yang telah kurus badannya dan berubah warna wajahnya. Lalu ia bertanya kepada ketiga orang itu, “Apakah yang menyebabkan kamu seperti apa yang aku lihat ini ?”

Mereka menjawab, “Takut dari neraka”

Nabi Isa AS berkata, “Menjadi hak atas Allah bahawa Ia mengamankan orang-orang yang takut”.

Kemudian nabi Isa AS melewati dari yang tiga tadi kepada tiga orang yang lain, tiba-tiba dijumpainya mereka lebih kurus dan lebih berubah warna wajahnya. Maka ia bertanya, “apa yang menyebabkan kamu kepada apa yang aku lihat ini ?”

Mereka menjawab, “rindu kepada syurga”.

Nabi Isa AS lalu menjawab, “Menjadi hak atas Allah dengan memberikan kepadamu apa yang kamu harapkan”.

Kemudian nabi Isa AS berlalu dari ketiga orang tadi dan bertemu dengan tiga orang yang lain. Tiba-tiba dijumpainya mereka itu lebih kurus dan berubah warna mukanya. Seakan-akan pada wajah mereka nampak nur (cahaya) . lalu Nabi Isa AS bertanya, “Apa yang menyebabkan kamu seperti apa yang aku lihat ini ?”.

Mereka menjawab, “Kami mencintai Allah Azza wa Jalla”

Lagi

Sombong setelah ditiup angin kus2

15 Komen


Assalaamu’alaikum w.b.t…. Penyakit sombong juga adalah warisan dari Iblis sejak turun temurun. Sama dengan penyakit2 lain seperti hasad dengki, pemarah, balas dendam, batu api dan sebagainya.  Penyakit itu berjangkit bukan melalui virus, bukan seperti H1N1 sekarang ini, tetapi ia berjangkit secara yang lagi halus, sehinggakan virus pun tidak dapat melihatnya.

Sungguh sifat takabbur / sombong ini sangat tidak disukai Allah , “Tidak diragukan lagi bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong.” Surah An Nahl : ayat 23

Antara sombong yang paling dibenci ialah sombong dengan apa yang diturunkan melalui perantaraan Jibril iaitu AlQuran AlKarim. Sombong apabila tidak meyakini dan merendah2kan kandungannya yang cukup padat dengan pencerahan dan bukti2 tetapi masih mengatakannya sebuah kitab dongeng.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka “Apakah yang telah diturunkan Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Dongeng-dongengan orang-orang dahulu” Surah An Nahl : ayat 24

Dengan terjangkitnya penyakit sombong ini, maka akan merebak lah penyakit2 lain pula termasuk lah hasad dengki, keras hati, membuat kezaliman, melakukan fitnah dan camam2 lagi. Contoh kesombongan yang paling glamour dan paling hangat ialah sombongnya Firaun yang menjadi raja di Mesir suatu ketika dulu. Cuma yang menjadi bezanya dengan insan2 lain ialah tahap kesombongan masing2 dan sama ada sombong kuno dan sombong moden. Tetapi penyakit itu masih ada sampai ke hari ini dan tidak akan pupus hingga ke Hari Kiamat insyaAllah.

Lagi

Kitab rahsia zakat

Tinggalkan komen


oleh Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Allah s.w.t. telah menjadikan zakat itu salah satu sendi bagi bangunan Islam, dan diikutkan sertakan sebutan zakat pula dengan sebutan sembahyang yang menjadi setinggi-tinggi panji-panji agama Islam.

Allah berfirman:

“Dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat” (al-Baqarah: 110)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Islam itu didirikan atas lima perkara (1) Penyaksian bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasnya Muhammad itu hambaNya dan RasulNya, (2) mendirikan sembahyang, (3) Mengeluarkan zakat, (4) Berpuasa Ramadhan, dan (5) Berhaji ke Baitullah (Ka’bah) bagi sesiapa yang berkuasa menuju kepadanya.”

Allah Ta’ala telah mengancam dengan sekeras-kerasnya terhadap orang-orang yang melalaikan perintah-perintahNya dengan berfirman:

“Orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tiada membelanjakan pada jalan Allah, maka beritahukanlah mereka itu akan ditimpa azab yang amat pedih.”     (at-Taubah: 34)

Maksud dari membelanja pada jalan Allah ialah mengeluarkan zakat.

Al-Ahnaf bin Qais berkata: Pada suatu masa saya sedang duduk-duduk bersama-sama beberapa orang Quraish, lalu Abu Zar melintas seraya berkata: Beritahukanlah kepada orang-orang yang mendamkan hartanya (tiada mengeluarkan zakat) bahawa mereka akan diselar dengan api dari tengkuknya menembusi dahinya pula.

Dengan adanya ancaman yang begitu keras itu, maka adalah menjadi satu tugas- yang penting bagi Agama Islam untuk mendedahkan rahsia-rahsia zakat dan maksud-maksudnya yang lahir dan batin. Dalam hal ini ada beberapa fasal.

Menunaikan zakat dan syarat-syaratnya.

Ketahuilah bahawa atas orang-orang yang mengeluarkan zakat itu beberapa perkara yang harus diperhatikan:

Pertama:

Menyegerakan pengeluaran zakat sesudah cukup haulnya (iaitu kiraan setahun) dan di dalam zakat fitrah, tiada boleh ditangguhkan hingga hari terbuka, iaitu Hari Raya. Waktu kewajipan zakat fitrah bermula dari tenggelamnya matahari hari terakhir dari Ramadhan dan boleh disegerakan pengeluarannya pada sepanjang bulan Ramadhan.

Orang yang sengaja melambatkan pengeluaran zakatnya padahal ia berkuasa adalah berdosa besar, dan kewajipan itu tidaklah gugur daripadanya sekiranya hartanya binasa sesudah itu. Kiranya ia lambat mengeluarkannya kerana mencari orang-orang yang berhak menerimanya, tidaklah terkira dalam pengertian sengaja melambatkan dan kerana itu tidak ia berdosa.

Menyegerakan pengeluaran zakat umumnya adalah harus.

Kedua:

Tiada boleh memindahkan sedekah atau zakat itu ke negeri yang lain, sebab kaum fakir miskin di setiap negeri sentiasa mengharap-harapkan kepada harta benda dari zakat. Apabila harta benda zakat itu dipindahkan ke tempat lain akan kecewalah harapan mereka itu. Andaikata dipindahkan juga harta benda zakat itu, maka hukumnya sah juga dengan khilaf setengah ulama. Tetapi meninggalkan perkara yang ada khilaf ulama itu adalah lebih utama; iaitu sebaik-baiknya ia mengeluarkan zakat hartanya itu dinegerinya sendiri. Dan tiada mengapalah kalau ia memberikan sebahagian dari zakatnya itu kepada orang-orang gharib (orang-orang asing yang datang ke situ) yang berada di negerinya itu juga.

Ketiga:

Hendaklah ia mengeluarkan kepada sebilangan orang dari asnaf-asnaf delapan yang ada di negerinya itu. Yang biasanya pada tiap-tiap negeri hanya yang ada empat asnaf saja iaitu: (1) Fakir, (2) Miskin, (3) Ghaarim atau orang yang dibebani oleh hutang, dan (4) Orang yang terlantar, yakni Ibnu Sabil yang terkandas di negeri orang.

Tiada wajib atasnya untuk membahagikan zakatnya itu sama rata menurut bilangan asnaf.

Lagi

Kitab rahsia puasa

Tinggalkan komen


oleh Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Sebesar-besar nikmat yang pernah dikurniakan Allah ke atas hamba-hambaNya ialah dengan menjadikan puasa itu benteng bagi para wali dan perlindungan bagi mereka dari segala tipu daya syaitan dan angan-angannya, sebagimana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Puasa itu separuh kesabaran”

Allah telah berfirman:

“Hanyasanya orang-orang yang sabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.”   (az-Zumar: 10)

Kalau begitu pahalanya kesabaran itu telah melampaui batas-batas perkiraan dan perhitungan dan memadailah kalau kita mengetahui keutamaannya dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang berikut:

Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah dari bau-bauan minyak kasturi. Allah azzawajalla berkata: Sesungguhnya ia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.”

Orang yang berpuasa itu dijanjikan Allah akan bertemu denganNya untuk menerima balasan puasanya itu.

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan: Kegembiraan yang pertama ketika masa berbuka puasanya, dan kegembiraan yang lain ialah ketika masa menemui Tuhannya.”

Dalam penafsiran makna ayat yang berikut:

“Tiada seorang pun yang mengetahui apa-apa yang telah disembunyikan daripada mereka itu dari cahaya mata, iaitu sebagai pembalasan terhadap segala yang mereka kerjakan.” (as-Sajdah:17)

Yakni amalan yang mereka kerjakan itu ialah berpuasa sebab Allah berfirman pula pada ayat yang lain:

“Hanyasanya orang-orang yang bersabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.” (az-Zumar: 10)

Nyatalah orang yang berpuasa itu akan diberikan balasan secukup-cukupnya dan dilipat-gandakan pahalanya tanpa dapat diragukan lagi atau diperhitungkan banyaknya. Sudah sewajarnyalah ia menerima balasan yang begitu besar, sebab puasa itu adalah dikerjakan kerana Allah semata-mata dan ditujukan kepadaNya, tiada lain. Walaupun ibadat-ibadat yang lain itu pun ditujukan kepada Allah jua, tetapi ada dua perbedaannya:

  1. Bahawasanya puasa itu adalah menahan diri dan meninggalkan hawa nafsu, dan ia adalah rahsia di dalam diri seseorang dan bukan merupakan amalan yang boleh dilihat. Semua ketaatan dibuat di mata ramai dan dapat diketahui, melainkan puasa saja, tiada yang melihatnya selain Allah azzawajalla. Ia adalah suatu amalan dalam kebatinan yang disertai dengan kesabaran semata-mata.

  2. Bahawasanya puasa itu merupakan suatu jalan penentangan terhadap musuh Allah azzawajalla, sebab jalan syaitan itu, ialah melalui syahwat dan hawa nafsu yang meminta banyak makan dan minum. Jadi dalam menekan dan menentang kemahuan musuh Allah itu adalah suatu pertolongan kepada Allah Ta’ala sedangkan pertolongan Allah kepada kita itu tergantung atas pertolongan dari Allah Ta’ala.

Lagi

Kitab rahsia bersuci

Tinggalkan komen


oleh : Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Allah berfirman:

“Allah tiada menghendaki untuk menjadikan kesukaran ke atas kamu, akan tetapi Dia menghendaki untuk mensucikan kamu.”

(al-Maidah:7)

Allah berfirman lagi:

“Padanya ada orang-orang yang suka sekali bersuci dan Allah mencintai orang-orang yang bersuci itu.” (at-Taubah: 109)

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Kunci sembahyang adalah bersuci.”

“Agama itu didirikan atas kebersihan.”

Orang-orang yang mempunyai pandangan yang jauh dapat mengambil kesimpulan dari keterangan-keterangan ini, bahawa perkara yang amat penting sekali ialah mensucikan kebatinan, kerana jauh sekali maksud dari Hadith berikut ini:

“ Kesucian itu adalah setengah dari iman.”

Iaitu hanya untuk mensucikan kelahiran saja, yakni dengan menyirami tubuh dengan air dan mengalirkannya ke seluruh anggota badan, sedangkan kebatinannya tetap rosak dan ditinggalkannya terisi dengan anasir-anasir yang jahat dan kotor-kotoran. Alangkah jauh sekali ia boleh bermaksud demikian.

Thaharah atau bersuci itu ada empat tingkatnya, iaitu:

  1. Mensucikan anggota-anggota lahir dari hadas-hadas (najis-najis), anasir-anasir kotor dan yang tidak perlu.

  2. Mensucikan anggota-anggota badan dari perbuatan-perbuatan salah dan dosa.

  3. Mensucikan hati dari akhlak yang terkeji dan kelakuan-kelakuan yang dibenci dan terkutuk.

  4. Mensucikan kebatinan dari tertumpu kepada semua perkara selain Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan ini adalah cara bersucinya para Nabi Salawatullahi-alaihim dan juga para Siddiqin.

Seseorang hamba tidak akan sampai ke tingkat yang tertinggi sekali, melainkan setelah melalui tingkat yang rendah terlebih dulu. Dia tidak akan sampai kepada tingkat mensucikan kebatinan dari sifat-sifat yang terkeji itu dan menggantikan tempatnya dengan sifat-sifat yang terpuji, selagi belum selesai membersihkan hati dari akhlak yang tercela dan menggantikan tempatnya dengan akhlak yang baik. Demikian pula ia tiada akan sampai ke tingkat ini, melainkan sesudah selesai dari mensucikan segala anggota-anggota badan dari larangan-larangan Allah dan menggantikan tempatnya dengan kerja-kerja ketaatan kepadaNya.

Oleh sebab itulah, apabila yang dituntut itu bernilai dan mulia, tentulah lebih sukar dan susah untuk mencapainya, lebih banyak pula halangan-halangannya. Maka janganlah anda menyangka bahawa tingkat itu akan didapati dengan hanya bercita-cita saja, atau akan dicapai dengan cara yang mudah.

Akan tetapi bila seseorang itu buta mata hatinya dengan perbedaan tingkat-tingkat ini. Tentulah dia tidak akan mengerti akan tingkat taharah atau rahsia bresuci ini, melainkan tingkat yang terendah sekali, yang diumpamakan seperti kulit atas yang boleh dilihat jika dibandingkan dengan isi atau sari yang dicari. Maka oleh kerana itu, dia sentiasa mementingkan perhatiannya kepada kulit semata-mata seraya menghabiskan semua waktunya pada membicarakan istinja’, membersihkan baju dan mensucikan anggota-anggota yang lahir saja, dan mengalirkan air yang banyak. Sebab dia menyangka, samada kerana waswasnya ataupun kerana khayalan fikirannya, bahawasanya kesucian yang dituntut atau yang betul itu mementingkan cara-cara ini.

Sebenarnya dia tiada mengetahui tentang perjalanan orang-orang yang terdahulu yang telah menumpukan segala perhatiannya dan fikirannya kepada perkara mensucikan hati tanpa mengendahkan perkara mensucikan yang lahir. Dia tiada mengetahui bahawa Saiyidina Umar r.a. dengan ketinggian kedudukannya itu pernah berwudhu’ dengan air yang tersimpan dalam kendi seorang Nasrani. Orang yang terdahulu itu juga sering bersembahyang di atas tanah dalam masjid. Ataupun memadai hanya dengan menggunakan batu sewaktu beristinja’.

Lagi

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 259 other followers