Dengan nama Allah Yang maha pemurah serta Maha penyayang

Jasmani kita ini bersifat akan binasa, tidak kekal lama, umpama seketul daging yang jika dibiarkan begitu sahaja akan menjadi buruk dan busuk. Bermakna keperluan untuk memenuhi kehendak-kehendak jasmani hanya bersifat sementara kerana tubuh kita hanya hidup sementara kita masih lagi ada nyawa.

Tetapi berbeza sekali dengan rohani iaitu ia bersifat akan terus hidup walaupun jasmani sudah mati. Oleh kerana itulah keperluan bagi rohani lebih penting dari keperluan jasmani yang kita miliki sekarang. Ini bertepatan dengan sabda nabi yang bermaksud, “sesungguhnya dalam tubuh seseorang itu ada seketul daging, jika baik maka baiklah jasad seluruhnya, dan jika buruk maka buruk lah jasad seluruhnya, ketahuilah ia adalah hati”. Hati ini lah tempat rohani tinggal dan menumpang dalam tubuh kita ini. Jika hati baik maka baiklah perangai seseorang itu, dan jika hati busuk maka buruklah perangai seorang itu.

Namun mengapa kita masih lagi pentingkan makanan/keperluan jasmani daripada makanan/keperluan rohani? Sedangkan sudah kita sedia maklum, bahawa rohani memerlukan bekal untuk menghadapi masa yang kekal selamanya, berbanding dengan jasmani yang hanya perlu untuk kehidupan yang fana atau sementara ini sahaja.

Dengan itu, sama-sama lah kita mengisi bekal bagi rohani kita dan memberi orang lain makan makanan rohani dengan menyampaikan ilmu-ilmu yang memberi manfaat untuk rohani kita. Alangkah besarnya jasa orang yang memberi makan dan bekal bagi rohani yang akan hidup selama-lamanya dengan izin Allah, jika dibandingkan dengan orang yang memberi makan jasmani yang hanya bersifat sementara ini.

Tetapi jangan sampai kita tidak makan makanan jasmani ataupun tidak memberi orang lain makan ataupun memberi keperluan-keperluan jasmani lainnya. Kerana tanpa makanan dan keperluan jasmani, tenaga tidak akan muncul untuk mencari keperluan-keperluan rohani dan beribadah pada Allah. Untuk itu ia saling melengkapi antara satu sama lain, cuma tujuan asasinya mestilah tertumpu untuk pengisian rohani itu sendiri. Sama-sama kita muhasabah diri kita dan pentingkan yang lebih penting dari yang kurang penting.🙂


Wallahu a’lam