Allah Ta’ala yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah menganugerahkan pada kita terlalu banyak nikmat. Dengan kuasa yang dimilikinya, Dia boleh sahaja untuk menyeksa kita semua setiap saat dari azali dulu sampai bila-bila. Setiap saat Dia perintahkan malaikat untuk menyeksa kita, umpamanya kerat-kerat tangan kita, bakar kita kemudian mengelokkannya semula, dan macam-macam lagi seksaan yang bagi Allah amat mudah dan boleh sahaja jika Dia mahukan. Tiada siapa yang boleh menghalangNya.

Tetapi Maha Pemurah dan Penyayangnya Dia, Dia tidak berbuat begitu, malah Dia bagi bermacam-macam nikmat pada kita, nikmat tangan, kaki, udara, makanan, minuman, pakaian dan sebagainya. Semua benda yang kita nikmati ini adalah makhluk ciptaanNya yang jika tidak diizin oleh Allah untuk kita mengecapinya maka kita tidak akan mengecapinya. Lihatlah betapa Maha Pemurah dan Penyayangnya Allah , Dia bagi belaka kepada manusia walaupun manusia itu sentiasa derhaka padaNya.

Manusia ini sahaja yang lupa pada penciptanya, lupa jasa-jasa Allah pada kita. Kita lebih menghargai jasa manusia pada kita, tetapi jasa Allah pada kita, kita lupakan. Alangkah tidak mengenang untungnya kita sebagai hamba Dia jika kita berlagak sebegitu. Allah dah bagi segala kenikmatan pada kita, tetapi kita semakin menjadi lupa dan melanggar perintah-perintah dia. Kita seringkali ucapkan perkataan syukur, tetapi amal perbuatan kita tidak melambangkan syukur sekali pun. Syukur itu bukan sekadar dengan ucapan, ia mestilah disertai dengan perbuatan yang mana patuh pada perintah Allah yang telah memberi nikmat kepada kita. Tidak sewenang-wenang melanggar perintah dan melakukan larangan-laranganNya. Itu lah petanda seorang hamba yang bersyukur. Alangkah sedihnya jika perkataan syukur itu hanya menjadi lafaz di mulut tetapi tidak berkesan di hati dan amal.

Begitu juga dalam bab pujian. Kita biasa memuji manusia jika manusia itu melakukan perkara-perkara yang luar biasa. Tetapi perasankah kita? Siapakah yang mencipta manusia yang melakukan perkara yang luar biasa itu? Kenapa kita tidak memuji sahaja penciptaNya itu, kerana penciptaNya itu lah yang layak dipuji. Kerana pencipta itu adalah tuan dia, sedangkan manusia itu hanyalah seorang hamba. Kerana itu lah ayat dalam Surah Al fatihah ayat 2 yang bermaksud , “Segala puji adalah bagi Allah Tuhan sekelian alam”. Dengan memuji Allah baru dapat pahala, itulah yang dikehendaki oleh Allah. Tetapi kita lebih memuji pada manusia, terutamanya sekarang ini, orang Islam zaman sekarang terlalu banyak memuji orang-orang barat, sedangkan kita semua maklum kebanyakan manusia yang kita puji itu adalah bukan Islam, termasuklah musuh-musuh Islam pun ada, tetapi dalam sedar atau tidak kita telah memuji mereka, kerana mereka hebat dari segi duniawi. Sedihnya perkara sedemikian boleh berlaku.

Contoh dalam hal lukisan pemandangan dan sebagainya. Kita biasa memuji orang yang melukis sesebuah lukisan yang cantik. Tambah-tambah kalau lukisan tu nampak real , canggih dan sebagainya. Tetapi malangnya, alam ciptaan Allah yang terbentang luas di depan mata ini tidak pulak kita puji. Sedangkan alam yang terbentang di depan mata ini lagi lah amat seni nya, lagi indah, siap dengan bunyi-bunyi kicauan burung, dengan angin yang mendayu-dayu, warna-warni flora dan fauna. Ini yang patut dipuji iaitu kebesaran Allah kerana alam ciptaan Allah ini amat unik, seni, canggih dan sebagainya yang tidak boleh dicipta oleh manusia sama dengannya.

Cuba kita bayangkan saat kita berada di kawasan air terjun, masyaAllah, dengan suara unggas-unggas, deruan air terjun, kicauan burung, susunan batu-batu dan sebagainya, menunjukkan Allah itu maha seni. Dan begitulah juga kepada contoh-contoh lain pada semua makhluk ciptaan Allah ini, semuanya boleh kita ambil iktibar untuk menunjukkan betapa Maha Kuasa dan Maha Agungnya Allah Azza wa Jalla.

Oleh itu wahai saudara-saudariku sekelian, takutlah kepada Allah dengan sebenar-benar takut. Bertaqwa lah kepadaNya dengan sebenar-benar taqwa. Ingatlah bahawa kita semua ini hanyalah hamba. Diri kita ini bukan kita yang memilikinya, begitu juga harta benda kita, kita hanya diberi amanah untuk menjaganya. Semuanya itu adalah hak milik Allah pencipta segala-galanya. Untuk itu semoga kita tidak menjadikan dunia ini sebagai tempat untuk memuaskan nafsu kita semata, ikut selera kita sahaja tanpa merujuk pada Al Quran dan As Sunnah.

Kita mempunyai akal yang berfikir menggunakan perantaraan otak yang amat lemah saja. Otak kita ini hanya berada dalam tempurung kepala kita yang jika diambil tukul dan pukul kepala kita ini maka berderai lah ia. Kita hanya berfikir dengan otak yang lembik yang tidak kukuh dan serba kekurangan. Kerana itu lah kita tidak boleh hanya berfikir mengikut logik akal kita sahaja. Sebagai manusia yang diciptakan, kita memerlukan kepada panduan dan bimbingan dari wahyu. Wahyu dari pencipta kita yang disampaikan melalui ajaran dari para nabi dan disempurnakan oleh penutup segala nabi iaitu Nabi Muhammad S.a.w.

Jika kita hanya ikut akal semata-mata, ketahuilah bahawa akal ini amat mudah dipengaruhi oleh nafsu. Jika ianya banyak mengikut nafsu dan selera kita semata, lama-kelamaan akal akan kalah. Untuk itu gunakanlah akal yang Allah bagi ini untuk lebih mengenal ke arah kebenaran. Untuk mencari kebenaran perlulah belajar, iaitu mencari ilmu. Ilmu yang benar hanya yang disampaikan oleh Rasulullah S.a.w, iaitu ilmu yang memberi manfaat kepada manusia di samping kita sebagai hamba semakin dekat kepada Allah apabila menghayati dan melaksanakan ilmu tersebut. Jika sesuatu ilmu itu membawa kita semakin jauh dari Allah, maka ilmu itu secara automatic manjadi tidak bermanfaat. Kerana dalam dunia ini segalanya berpasangan, buruk lawan dia baik. Maka jika sesuatu ilmu itu tidak mendatangkan kebaikan, nescaya ia akan lebih kepada ke arah keburukan. Sama lah jika ilmu itu semakin membawa kita jauh dari Allah, nescaya ia akan membawa kita lebih dekat kepada syaitan, na’uzubillah.

Rasulullah S.a.w bersabda yang bermaksud;

“Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap muslim dan muslimah.”

[HR Ibnu Majjah]

Firman Allah yang bermaksud; “Sungguh telah beruntung orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang khusyu’ di dalam shalat mereka. Dan orang yang berpaling dari segala yang melalaikan.”

(Al-Mu`minun: 1-3)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud:

“Termasuk kebagusan agama seseorang iaitu dia meninggalkan segala yang tidak bermanfaat.

[HR Tirmizi dan Ibnu Majjah]

http://read4truth.blogspot.com