Oleh Norfatimah Ahmad

KUALA LUMPUR: Umat Islam yang menggunakan botox wajib bertaubat untuk membersihkan diri daripada amalan yang bertentangan dengan agama, berikutan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa suntikan untuk tujuan kosmetik itu adalah haram.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, menegaskan sesiapa yang sudah menggunakannya wajib berniat untuk tidak mengulangi penggunaan bahan itu.

Beliau berkata, selain pengguna botox, taubat itu juga wajib di kalangan pihak yang menyediakan khidmat rawatan kosmetik menggunakan bahan sama.

“Solat taubat hanya sekadar amalan sunat, bagaimanapun yang penting niat dengan sepenuh hati untuk tidak mengulangi perbuatan sama,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan penggunaan suntikan botox bagi tujuan kosmetik adalah haram kerana didapati mengandungi bahan meragukan dan bersifat najis.

Bagaimanapun, suntikan itu dibenarkan untuk tujuan perubatan dengan syarat penggunaannya dikategorikan sebagai dalam keadaan darurat dan berdasarkan keperluan serta dilakukan pakar bertauliah.

Sebelum ini, dua pensyarah syariah Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Nasran Mohamad dan Ahmad Dahlan Salleh, berkata kaedah rawatan menegangkan kulit muka menggunakan suntikan botox adalah haram dari segi Islam.

Dalam kertas kerja bertajuk ‘Pembedahan Kosmetik Menurut Perspektif Islam’, dua pensyarah itu berkata, suntikan botox adalah haram kerana tidak mematuhi peraturan am dalam proses menjaga dan mencantikkan wajah yang dibenarkan dalam Islam. Malah, ia disifatkan satu penipuan serta mengubah kejadian Allah.

Kertas kerja itu dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Produk Halal 2006 anjuran Sekretariat Falsafah, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 13 Julai lalu.

Harussani yang juga Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan berkata, selain kandungannya diragui, penggunaan botox juga boleh dianggap berunsur penipuan.

“Pengguna botox selalunya mahu kelihatan cantik dan muda sedangkan keadaan sebenarnya tidak begitu,” katanya.

Pendakwah, Datuk Dusuki Ahmad turut menasihatkan pengguna bahan kecantikan itu supaya serta merta menghentikan penggunaannya.

“Dari segi hukum dimaafkan kerana sebelum ini mungkin mereka tidak tahu kandungannya meragukan, bagaimanapun apabila Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan untuk mengharamkannya, umat Islam terbabit wajib tidak mengulangi perbuatan mereka itu,” katanya.

Beliau juga yakin keputusan itu dibuat selepas menjalankan pelbagai penyelidikan dengan pihak yang pakar untuk kebaikan pengguna di kalangan umat Islam.

Ketua Wanita Jemaah Islah Malaysia (Wanita JIM), Dr Harlina Halizah Siraj pula berpendapat, semua pihak wajar meletakkan kepercayaan kepada ahli majlis berkenaan kerana keputusan yang dibuat bukan untuk menyusahkan masyarakat.

“Sama ada setuju atau tidak, itu perkara lain kerana banyak ruang untuk perkara ini dibincangkan dengan lebih lanjut terutama di kalangan pihak yang menganggap keputusan itu tidak tepat,” katanya.

Beliau percaya, isu penggunaan Botox diperincikan dalam majlis berkenaan kerana ada pihak yang di kalangan pakar kecantikan yang tidak bertauliah menyediakan perkhidmatan hingga memudaratkan pengguna.

Sementara itu, Pakar Perunding Pembedahan Plastik di Hospital Pakar Ampang Puteri (APSH), Kuala Lumpur, Datuk Dr A Jalil Jidon, pula mempunyai pandangan berbeza mengenai isu ini kerana menganggap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu salah.

“Bahan yang digunakan untuk menghasilkan botox hanya protein, malah bukan protein daripada binatang yang diharamkan, tetapi mungkin namanya melambangkan seolah-olah ia daripada sesuatu yang kotor,” katanya.

Beliau berkata, dari segi kesihatan, penggunaan botox tidak memudaratkan jika ia dilakukan pihak yang bertauliah dan menggunakan teknik suntikan yang betul.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ia akan menimbulkan kesan sampingan jika digunakan berlebihan tanpa pemantauan atau diselia pihak bertauliah.

“Botox digunakan untuk memperbaiki keadaan muka saja supaya pengguna rasa lebih selesa, bukan untuk mengubah menjadi orang lain,” katanya.

The image “https://i0.wp.com/www.jewishjournal.com/images/photos/COV_GN_botox_01-21-05.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

Sumber dari Utusan (28/7/2006)