The image “https://i2.wp.com/www.clinicalicancabur.cl/img/botox1_680.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.PULAU PINANG 13 Julai – Kaedah rawatan menegangkan kulit muka dengan menggunakan suntikan Botox (Botulinum Toxix A) adalah haram di sisi Islam kerana ia disifatkan sebagai satu penipuan dan mengubah kejadian Allah.

Dua pensyarah syariah dari Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Nasran Mohamad dan Ahmad Dahlan Salleh berkata, hukum suntikan Botox adalah haram kerana ia tidak mematuhi peraturan am dalam proses menjaga dan mencantikkan wajah yang dibenarkan dalam Islam.

Mereka berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pembedahan Kosmetik Menurut Perspektif Islam pada Seminar Kebangsaan Produk Halal 2006 anjuran Sekretariat Falsafah, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Mohd. Nasran berkata, dalam Islam, rawatan rupa paras untuk memulihkan kecacatan dan menghiaskan diri adalah dibenarkan malah manusia memangnya digalak untuk berhias diri dengan syarat tidak melampau.

Suntikan Botox yang popular di negara ini adalah dianggap melampau kerana ia adalah kaedah ‘muda segera’ dengan suntikan bahan larutan sejati toksin botulinum yang sangat beracun.

Mohd. Nasran berkata, suntikan Botox sebenarnya bukanlah rawatan sebaliknya ia adalah satu ‘penipuan’ untuk seseorang itu kelihatan cantik dan mengubah ciptaan Allah tanpa sesuatu keperluan seperti memperbaiki kecacatan adalah dilarang dalam Islam.

“Ia telah dijadikan sebagai proses membendung penuaan berbanding rawatan tradisi dan suntikan Botox bukanlah rawatan untuk memulihkan kecacatan sebaliknya ia digunakan untuk menipu dan mengubah fitrah penuaan”, kata beliau.

Katanya, pengharaman Botox adalah bersandarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang melarang manusia berbuat demikian.

Antara ayat yang melarang itu ialah dalam surah al-A’raf ayat 31-32, Surah al- Baqarah ayat 135.

Katanya, selain itu, terdapat juga hadis yang melarang umat Islam berbuat demikian yang diriwayatkan oleh Ibnu Masuud bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat kepada sesiapa yang mencacah kulitnya serta orang yang meminta agar dicacah kulitnya”.

Mohd. Nasran berkata, dalam Islam pembedahan untuk kecantikan hanya dibenarkan bagi tujuan memperbaiki wajah seseorang itu yang cacat sama ada cacat sejak lahir ataupun cacat akibat kemalangan malah Rasulullah pernah membenarkan seorang yang cacat hidung, Arfajah menutup hidungnya yang lompong dengan emas.

Katanya, hukum pembedahan kosmetik seperti menegang buah dada, hidung, telinga, bibir, geraham, dagu, kening dan punggung menjadi haram jika ia dilakukan bagi tujuan memenuhi hawa nafsu, penipuan supaya kelihatan menarik untuk memikat seseorang.

“Jika ini dilakukan, para doktor yang terlibat dalam menjalankan pembedahan ini serta wanita atau lelaki yang terbabit akan menanggung dosa,” kata beliau. – Bernama