Oleh : Meor Hisham Zulkifli

Kajian buktikan amalan bersunat dapat kurangkan risiko HIV

SETIAP tahun, tanggal 1 Disember diraikan sebagai tarikh penting yang memberi peluang penduduk dunia bersatu tenaga memerangi penyakit HIV dan Aids yang dilaporkan sudah menjangkiti berjuta-juta penduduk dunia.

Pelbagai cara diperkenalkan kepada masyarakat dunia terutama mendidik masyarakat supaya sentiasa mengamalkan seks selamat manakala sesetengah negara menekankan kepentingan seks hanya membabitkan pasangan suami isteri.

Selain itu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menekankan kepentingan pendidikan seks di kalangan generasi muda supaya mereka tidak terdedah kepada risiko penyakit berkenaan.

Ketika pelbagai kaedah diutarakan bagi membendung penyakit itu, hasil kajian seperti dibentangkan penyelidik Amerika Syarikat, Dr Milton Amayun pada Sidang Belia HIV/Aids yang dianjurkan World Vision International di auditorium Universiti Pengurusan Singapura minggu lalu amat menarik perhatian.

Dalam kertas kerjanya, beliau menyatakan, mengkhatankan anak lelaki boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV sebanyak 70 peratus berbanding mereka yang tidak dikhatankan.

Katanya, amalan ini juga salah satu sebab kurangnya bilangan jangkitan HIV di kalangan lelaki yang mengamalkan berkhatan dari agama tertentu, terutamanya Islam.

Menurut Dr Amayun, 54, ujian berkenaan dijalankan di beberapa negara termasuk Afrika Selatan dan Kenya sejak dua tahun lalu.

Penyelidik Perancis yang menjalankan kajian di Afrika Selatan dan penyelidik di Kenya yang dibiayai Yayasan Gates menunjukkan dua pertiga lelaki dikhatankan tidak dijangkiti HIV.

Kajian itu dijalankan ke atas 3,000 lelaki yang disahkan tidak menghidap HIV.

Malah, beliau berkata, keberkesanan ciri pencegahan jangkitan HIV bagi lelaki yang dikhatankan sekuat vaksin yang digunakan.

Katanya, kulit luaran zakar lelaki yang tidak dibuang boleh menjadi tempat virus membiak dan merebak.

“Bagi mereka yang sudah dikhatankan, kulit mereka akan menebal lantaran dapat menahan jangkitan virus,” katanya.

Dr Amayun turut berkata kertas-kertas kerja itu dikemukakan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendapatkan sokongan mereka.

Tetamu terhormat majlis itu, Ahli Parlimen Singapura Dr Fatimah Lateef, pula tidak menolak kemungkinan menggalakkan kaum lelaki di sini dikhatankan dalam usaha memerangi jangkitan HIV/Aids di republik itu.

Mengulas lebih lanjut mengenai kajian Yayasan Gates itu, kajian yang dijalankan pakar Perancis dan Afrika itu dijalankan ke atas golongan aktif seks iaitu lelaki berusia di antara 18 hingga 24 tahun.

Separuh daripada 3,000 lelaki itu dipilih secara rawak untuk dikhatankan. Selepas mengikuti rapat perkembangan lelaki itu selama setahun, penyelidik mendapati setiap 10 lelaki kajian itu yang tidak dikhatankan sudah dijangkiti HIV, virus yang menyebabkan Aids.

Kajian itu turut mendapati hanya tiga daripada lelaki yang disunatkan dijangkiti virus berkenaan, lapor akhbar The Wall Street Journal (5 Julai 2005).

Kajian ini dianggap penting kerana ahli sains belum lagi menemui pelalian berkesan untuk menentang virus HIV atau membangunkan kaedah terbaik untuk menghalang jangkitan penyakit itu berbanding kaedah seks selamat.

Selain itu banyak lagi kajian sudah dijalankan yang mendapati bahawa lelaki yang tidak dikhatankan menghadapi risiko jauh lebih tinggi menghidap HIV berbanding lelaki yang sudah disunatkan.

Penyelidik mendapati seorang lelaki yang sudah bersunat, lapan kali ganda kurang kemungkinan dijangkiti HIV ketika melakukan hubungan kelamin.

Sebuah pasukan penyelidik di Australia turut menjalankan kajian dengan melihat kepada hasil lebih 40 kajian.

Mereka juga mendapati virus HIV menyerang sel khusus dari permukaan dalam kulit di hujung zakar.

Sel ini memiliki penyerap HIV, menjadikan kawasan itu amat terdedah kepada jangkitan.

Penyelidik ini menegaskan, amalan bersunat di kalangan lelaki memberi perlindungan penting daripada jangkitan HIV kerana kebanyakan daripada penyerap HIV ini sudah dibuang.

Selain itu, penyelidik juga menyatakan, bersunat turut mengurangkan kemungkinan dijangkiti penyakit kelamin lain seperti syphilis dan gonorrhea, jangkitan yang menjadikan seseorang itu lebih terdedah kepada jangkitan HIV.

Kajian paling dramatik dijalankan baru-baru ini di Uganda yang membabitkan wanita yang didapati menghidap HIV dengan lelaki yang disahkan belum dijangkiti penyakit itu.

Dalam tempoh 30 bulan kajian dijalankan, didapati tiada jangkitan baru dikesan di kalangan 50 lelaki yang bersunat manakala 40 daripada 137 lelaki yang tidak bersunat dijangkiti penyakit berkenaan meskipun semua pasangan itu diberi nasihat bagaimana mengelak jangkitan dan kondom percuma disediakan.

Selain itu, penyelidik yang mengumpul data daripada 50,000 kes barah dalam tempoh separuh kurun turut menyatakan, amalan bersunat secara amnya dapat mencegah barah zakar.

Daripada 50,000 kes barah, hanya 10 kes membabitkan lelaki yang bersunat. Lelaki terbabit pula hanya bersunat ketika sudah meningkat dewasa. Kajian itu juga mendapati hampir semua yang dijangkiti barah tidak bersunat.

Beberapa minggu lalu, berita mengenai kanak-kanak lelaki bukan Islam di Malaysia termasuk bayi dikhatankan pada musim bersunat atau cuti sekolah tahun ini, turut mendapat liputan meluas.

Kebanyakan ibu bapa kanak-kanak terbabit menyatakan mereka mengkhatankan anak mereka atas nasihat doktor bagi mengelakkan jangkitan.

Kajian mengenainya juga sudah lama dijalankan dengan doktor sering menegaskan bahawa amalan bersunat bertujuan memastikan kebersihan serta mengelak daripada keadaan yang berpunca daripada sesuatu yang tidak bersih.

Bagaimanapun, alasan utama untuk bersunat bagi pakar kanak-kanak dan pakar bedah adalah disebabkan balanitis (radang glans) dan phimosis (keadaan sempit pada kulit hujung zakar akibat daripada jangkitan berulang-ulang).

Keadaan yang menyakitkan ini kerap kali berlaku pada lelaki yang tidak berkhatan. pada bayi, balanitis berpunca daripada lampin kotor serta ketika bermain atau duduk di kawasan kotor.

Banyak pihak di Malaysia sebelum ini menyatakan bahawa berkhatan berasal dari Islam sedangkan amalan ini sebenarnya sudah wujud sebelum kedatangan Islam di bumi Arab.

Amalan berkhatan ini dikaitkan dengan amalan lazim bagi masyarakat yang bertamadun di benua Afrika zaman dulu kala. Dan lazimnya, amalan berkhatan dikaitkan dengan peralihan daripada zaman kanak-kanak ke zaman dewasa.

Amalan bersunat ini sebenarnya tidak dinyatakan dalam al-Quran tetapi dianggap sebagai tradisi atau Sunnah Nabi Muhammad yang amat dituntut.

Nabi Muhammad pernah dipetik sebagai bersabda: “ia (berkhatan) adalah kewajipan bagi lelaki dan kemuliaan bagi wanita” membayangkan amalan ini diterima oleh Islam malah dianggap amat digalakkan.

Dalam satu lagi hadis, nabi menyatakan, bersunat adalah fitrah, bermaksud bahawa ia adalah suatu yang semula jadi.

Ramai ulama Islam menegaskan berdasarkan riwayat dan catatan dulu, Nabi Muhammad serta semua nabi dilahirkan dalam keadaan diri mereka sudah disunatkan.

Dalam Islam, amalan bersunat ini dijalankan ke atas kanak-kanak dan golongan dewasa yang baru memeluk agama ini.

Berdasarkan riwayat, amalan bersunat dalam Islam ini berasal dari amalan Nabi Ibrahim, nabi yang turut diakui oleh Yahudi.

Kini selepas sekian banyak kajian dijalankan, terserah kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sama ada ingin mengarahkan penduduk dunia berkhatan sama seperti mewajibkan pelalian polio di negara yang mempunyai wabak itu.

Ini kerana, berkhatan atau tidak terserah kepada budi bicara individu, adat resam atau agama masing-masing.

 

FAKTA: Berkhatan elak penyakit

  • Bersunat dapat elak balanitis (radang glans) dan phimosis

  • Amalan bersunat memberi perlindungan penting daripada jangkitan HIV

  • Bersunat mengurangkan kemungkinan dijangkiti penyakit kelamin seperti syphilis dan gonorrhea

  • Mengurangkan risiko barah zakar

  • Bersunat memastikan kebersihan serta mengelak keadaan yang berpunca daripada sesuatu yang tidak bersih