Oleh : PROFESOR DR SYED HASSAN AHMAD
(Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Unimas)

    LAZIMNYA apabila seseorang tidur, dia dikatakan berehat selepas penat berkerja sepanjang hari, ia harus mendapat masa cukup untuk tidur (berehat). Oleh itu, apabila bangun pada pagi esoknya, dia akan segar dan bersedia untuk menempuh cabaran seharian.

Namun, ada individu boleh menunjuk perilaku aktif, seperti bercakap-cakap, berjalan, menendang dan menumbuk orang yang tidur bersebelahan mereka ketika tidur. Semuanya berlaku tanpa disedari.

Golongan yang mengalami masalah ini tidak dapat kualiti tidur yang baik, oleh itu pada siang hari, mereka mudah mengantuk dan sangat sensitif. Kadangkala pasangan mereka turut mengalami akibat sama.

Tingkah laku seperti ini boleh berlaku dan pasangan yang menerima kesan perilaku seperti ini mungkin hairan kenapa ia terjadi dan tertanya-tanya adakah ubat untuk mengurang atau menghapuskan perilaku seperti ini. Atau pasangan berkenaan tertanya-tanya adakah mereka menjadi punca permasalahan seperti ini.

Begitu juga ibu bapa yang ada anak kecil yang kerap bercakap-cakap atau berjalan-jalan ketika tidur. Kadangkala berlaku juga gigitan gigi (teeth biting) atau disebut sebagai bruksisme (bruxism) sewaktu tidur.

Kadangkala ibu bapa dimaklumkan, gangguan seperti ini akan sembuh dan hilang dengan sendiri apabila kanak-kanak membesar.

Namun, setiap ibu bapa biasanya mahu mendengar lebih daripada itu kerana permasalahan seperti ini boleh berlanjutan hingga beberapa tahun.

Fenomena bercakap-cakap, berjalan dan menggigit gigi ketika tidur ada kaitan dengan baka atau gen.

Oleh itu, jika berlaku satu daripada perilaku yang disebut tadi kepada seorang ahli keluarga, kemungkinan ada lagi ahli keluarga lain terbabit.

Contohnya, jika ada ibu menggigit gigi ketika tidur, didapati anaknya mudah bercakap-cakap ketika tidur dan abang ibu berkenaan juga mungkin mengalami keadaan berjalan-jalan ketika tidur.

Gangguan tingkah laku sewaktu tidur memang wujud, dan ia ada kaitan dengan kitaran tidur fasa REM iatu Rapid Eye Movement™.

Ini bermaksud ketika fasa berkenaan, otot-otot sepatutnya dalam keadaan berehat, namun ia dalam keadaan sebaliknya. Oleh itu, individu terbabit boleh menggerak anggota mereka dan berlakulah tingkah laku seperti yang tersebut tadi.

Jika dibuat ujian polisomnograf ke atas mereka, kejadian seperti ini boleh dilihat dan ada bukti menunjukkan perilaku tidak normal ini memang berlaku.

Bagaimanapun, kajian seperti elektroensefalografi (EEG) dan magnetic resonance imaging (MRI) ke atas bahagian kepala selalunya tidak menunjukkan bukti tidak normal.

Fasa REM juga ada kaitan dengan berlakunya fenomena mimpi. Oleh itu, apabila berlaku tingkah laku seperti bercakap-cakap, berjalan, menendang dan menumbuk, semuanya berkaitan dengan kejadian mimpi yang dialami.

Permasalahan tingkah laku ketika tidur seperti ini banyak berlaku kepada pesakit sistem saraf seperti penyakit Parkinson. Kajian di Eropah menunjukkan, lebih kurang separuh pesakit Parkinson mengalami permasalahan tidur yang membabitkan perilaku luar biasa ini.

Dalam klasifikasi permasalahan tidur antarabangsa, kategori gangguan tingkah laku ketika tidur seperti ini disebut parasomnias.

Dihuraikan satu kes di mana seorang isteri mengadu suaminya kerap menumbuknya ketika tidur. Perilaku ini berlaku awal pagi. Selalunya antara jam 3 hingga 6 pagi dan ia berlaku mengikut rentak tertentu.

Dalam kes ini, suami tidak berniat mencederakan isteri, tetapi beliau tidak sedar dan tidak dapat mengawal gerak-gerinya ketika kejadian. Apabila ditanya kepada suami apa sebenarnya beliau alami ketika itu, dia menjawab dia bermimpi atau terbabit dalam pertengkaran.

Oleh itu, gerak-gerinya adalah susulan daripada fenomena mimpi berkenaan. Namun, kejadian ini bukan berlaku setiap malam, ia hanya berlaku dalam kekerapan lebih kurang sekali dalam seminggu.

Perilaku seperti ini kadangkala boleh menjadi serius hingga boleh mencederakan orang lain atau mencederakan diri.

Daripada aspek rawatan, lazimnya individu ini diberi ubat clonazepam dan keberkesanannya dapat dilihat dalam masa singkat kerana ubat ini merencatkan fasa REM.

Satu lagi fenomena berkaitan tidur ketika fasa REM ialah, apabila seseorang itu bermimpi dan terbangun, dia berasa seperti mengalami gangguan lumpuh seluruh badan dan tidak terdaya menggerakkan anggota badan.

Individu ini hendak berkata-kata, tetapi tidak mampu berbuat demikian walaupun dia dalam keadaan mencemaskan.

Bagaimanapun, keadaan ini biasanya berlaku sekejap saja dan selepas itu orang berkenaan berasa normal semula.

Dalam istilah perubatan, keadaan seperti ini disebut sleep paralysis™ atau kelumpuhan ketika tidur.

Kajian di Hong Kong menunjukkan, 24 peratus penduduknya mengalami sekurang-kurangnya sekali fenomena ini. Manakala empat peratus pula mengalami gangguan sama yang berulang-ulang.

Mereka yang mengalami permasalahan ini secara berulang-ulang didapati mengalami tekanan. Perkara seperti ini ada kaitan dengan kepercayaan penduduk di sana dan mereka memanggil keadaan ini sebagai “ghost oppression”.

Tidak kurang juga di negara kita perkara ini pernah berlaku dan pelbagai andaian dibuat bagi menjelaskan kenapa ia berlaku.

Apa dihuraikan adalah dua jenis permasalahan tidur yang boleh berlaku ketika fasa REM. Kedua-dua gangguan tidur ini boleh dirakam dan dijelaskan kepada mereka yang terbabit.

Bagi kedua-dua masalah ini, ada rawatannya. Jika orang yang terbabit dapat memahami apa sebenarnya berlaku, sekurang-kurangnya ia dapat mengatasi masalah secara rasional. Oleh itu, ilmu pengetahuan sangat penting bagi memahami sesuatu kejadian.

Kata-kata Imam Syafie ada kebenarannya iaitu tidak seorang pun dipandang yatim kerana hanya kematian ayah bondanya, tetapi yang benar-benar dipandang yatim ialah mereka yang tidak berilmu dan beradab.