Oleh : NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

SEMAKIN
besar saiz badan kita, semakin tinggi risiko untuk mengalami masalah kehausan dan kerosakan sendi kaki, terutama di lutut, yang akhirnya boleh menyukarkan kita berjalan.

Sebenarnya, sakit sendi bukan perkara normal, terutama di kalangan orang tua.

Malangnya dalam tinjauan serantau ke atas 600 orang pada 2005 mendapati, hampir 70 peratus responden berpendapat sakit sendi tidak dapat dielakkan dan percaya ia sebahagian daripada proses penuaan.

Pendapat ini kurang tepat. Memang sebagaimana anggota badan lain, sendi mengalami masalah kehausan dengan peningkatan usia, tetapi perkara ini dapat dilengahkan melalui pemakanan dan gaya hidup.

Penyelidik Universiti Cardiff yang diketuai Profesor Bruce Caterson mendapati, pengambilan sumber makanan kaya asid lemak Omega-3 seperti minyak hati ikan kod dapat mengurangkan bengkak dan melambatkan kemusnahan rawan dalam sendi — yang disahkan boleh membantu meredakan gejala sakit sendi atau artritis.

Dalam soal penjagaan kesihatan, tiada had umur yang menjadi batasan. Tidak kira berapa umur kita, tiada istilah terlambat untuk mula menyayangi diri dengan menitikberatkan soal kesihatan.

Artritis ialah keadaan sendi yang bengkak, kejang dan sakit. Sendi juga mungkin berasa panas dan menjadi merah. Ia boleh berlaku sekali sekala atau berpanjangan (bagi kes serius).

Masalah sakit sendi atau artritis sebenarnya semakin meningkat. Soal selidik pada Ogos tahun lalu menunjukkan, 23 peratus masyarakat negara ini menghidap sakit sendi dalam 12 bulan lalu dan 35 peratus daripada mereka mengakui kesakitan itu memberi kesan negatif terhadap gaya hidup.

Presiden Yayasan Artritis Malaysia (AFM) yang juga perunding reumatologi, Dr Chow Sook Khuan, berkata masih ramai menganggap sakit sendi sebagai perkara biasa dan masalah ringan.

Masalah ini bukan melanda masyarakat kita saja, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1998 mengatakan, hampir 355 juta orang di seluruh dunia turut mengalami gejala sakit sendi dan jumlah ini dipercayai melebihi 400 juta sekarang.

“Sakit sendi tidak boleh dianggap perkara ringan kerana jika tidak dirawat ia menyebabkan sendi mengalami kekejangan. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia boleh mengakibatkan sendi bengkok dan mengubah struktur asal anggota badan kita.

“Ia juga secara tidak langsung menyebabkan anggota berkenaan ‘lumpuh’ kerana sendi berubah bentuk dan kerosakan ini adalah kekal,” katanya pada pelancaran kempen Sayangi Sendi Anda anjuran bersama AFM dan Merck Consumer Health Care yang turut dihadiri Pengurus Besarnya, Siti Nooruhani Ibrahim.

Bagi meningkatkan kesederan kepentingan penjagaan sendi, tiga personaliti sukan — Anthoney Maloney (pengajar golf), Kathryn Kok (pengajar pusat kesihatan) dan pemain bowling kebangsaan, Zulmazran Zulkifli — dilantik sebagai duta yang akan berkongsi pengalaman mengenai kecederaan sendi dialami individu aktif sukan.

Dr Chow berkata, jumlah orang yang menderita sakit sendi di negara ini lebih tinggi daripada dijangkakan dan kajian Program Mengawal Penyakit Reumatik Komuniti (Copcord) pada 1995 menunjukkan, ramai responden dewasa mengadu mengalami sakit sendi seperti sakit belakang dan lutut.

Berdasarkan kajian di Pusat Perubatan Universiti Malaya (1999), 10 peratus pesakit yang datang ke klinik mengalami masalah sakit sendi dan lebih membimbangkan ialah 45 peratus membabitkan pekerja kolar biru berumur muda.

Malah, soal selidik dijalankan Merck Comsumer Health Care tahun lalu mendapati, hampir 25 peratus rakyat negara ini mengalami sakit sendi.

Artritis boleh dibahagikan kepada tiga iaitu osteoartritis (OA), gout dan reumatoid artritis (RA). Di antara ketiga-tiga ini, OA yang berpunca daripada masalah kartilaj adalah sakit sendi paling biasa.

Antara faktor risiko OA ialah peningkatan umur dan pertambahan berat badan. Malah, OA juga berkait rapat dengan masalah obesiti. Individu obes mempunyai risiko lebih tinggi dan cepat untuk mengalami masalah sakit sendi kerana kartilaj diberikan bebanan berlebihan sepanjang masa.

Malah kebanyakan kes rawatan penggantian sendi juga disebabkan oleh OA. Bagaimanapun, OA juga boleh berlaku pada sendi tangan dan tulang belakang.

Jenis kedua ialah gout. Serangan gout pula biasanya bersifat bermusim. Ia berpunca daripada pengumpulan kristal asid urik pada sendi yang menyebabkan kesakitan. Masalah gout juga tidak harus dibiarkan tanpa rawatan kerana lama kelamaan ia boleh ‘memakan’ tulang.

Pengambilan alkohol berlebihan akan meningkatkan risiko mendapat gout. Individu yang menghidap gout dinasihatkan sentiasa mengawal berat badan (khususnya bagi orang obes) kerana berat badan berlebihan hanya memburukkan keadaan.

Jenis ketiga ialah reumatoid artritis. Tidak seperti OA dan gout, RA ialah penyakit autoimun yang berlaku pada sinovium. Ia menyebabkan sel pada sendi bertambah dengan cepat dan menyebabkan bengkak. Tanpa rawatan, sel tidak normal ini mengubah bentuk dan memusnahkan sendi. Ini menyebabkan pesakit langsung tidak boleh berjalan.

Jika anda mengalami masalah sakit sendi, usah terlalu risau kerana ia boleh dirawat. Namun langkah paling baik ialah pencegahan melalui:

a. Pencegahan primer

  • Mengurangkan berat badan (paling penting), terutama bagi individu yang ada sejarah gout dalam keluarga.

  • Elak kerosakan struktur sendi (biasanya berlaku kecederaan ketika bersukan).

  • Kurangkan pengambilan alkohol.

  • Lakukan senaman untuk menguatkan sendi.

b. Pencegahan sekunder

  • Segera jalani pemeriksaan sebaik mengalami masalah sakit sendi.

  • Dapatkan rawatan yang betul secepat mungkin bagi mengelakkan untuk cegah kerosakan sendi.

Soalnya, bila perlu jumpa doktor? Kata Dr Chow, pesakit perlu menjalani pemeriksaan apabila kesakitan sendi menjadi semakin kerap (setiap hari) dan berlanjutan melebihi 30 minit. Pada masa sama sendi juga menjadi merah, panas, bengkak dan kejang.

Jangan tunggu hingga saat akhir untuk berjumpa doktor. Segera dapatkan rawatan sebelum artritis memusnahkan sendi dan menjejaskan hidup kita,” katanya.

About these ads