Demi Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kehidupan yang panjang ini penuh dengan bahaya yang menanti orang yang menuju Allah SWT. Syaitan sebagai musuh utama tidak akan membiarkan manusia dalam kebaikan, tidak akan membiarkan ibadah sampai ke langit.

Syaitan tidak menyerang manusia pada mata, telinga, kaki atau tangan tetapi ia melakukan serangan di tempat yang utama iaitu hati. Serangan yang dilakukan itu amat halus dan dengan pelbagai tipu daya sehingga ramai yang tidak menyedarinya. Ia mempunyai penolong yang setia yang berada dalam diri anak Adam iaitu nafsu ammarah. Perjalanan yang panjang inilah yang memberi peluang bagi syaitan utuk menghilangkan kebaikan yang kita lakukan. Ia mahu segala amal soleh menjadi hancur.

Cuba kita perhatikan bagaimana bijak dan busuknya syaitan dalam membawa manusia bersamanya ke neraka. Ramai mereka yang dahulunya hebat dengan dakwah sama ketika belajar atau ketika muda, apabila kahwin hilang entah ke mana. Ada yang kuat ibadahnya tetapi apabila kerja, menjadi manusia yang lalai. Ramai yang mulanya ikhlas berniaga, diniatkan jika berjaya mahu membantu agama dan membantu orang-orang miskin, namun apabila berjaya mereka lupa malah menjadi orang yang sombong. Ramai yang begitu tinggi ukhuwahnya, selalu makan bersama dan berpelukan bila bertemu, tetapi akhirnya menjadi musuh yang ketat.

Syaitan menggunakan senjata yang paling ampuh iaitu elemen keluarga, harta, pangkat, wanita dan senjata dalam diri manusia seperti sifat ego, dengki, cinta dunia, marah, dendam, taksub, suka berdebat, suka berehat, jemu dan sebagainya untuk melalaikan manusia dari Allah SWT. Apa yang malangnya banyak amal yang dilakukan menjadi hancur apabila syaitan berjaya memasukkan jarum ujub, riya’ dan sombong.

Begitu juga mereka yang separuh abad usianya mengabdikan diri pada dakwah, namun apabila usia di hujung senja, ia menjadi manusia biasa. Ruhnya menghadap Tuhan bukan sebagai seorang pejuang fi sabilillah, tetapi sebagai seorang doktor atau usahawan atau guru atau pegawai kerajaan. Alangkah ruginya kehidupan, alangkah ruginya usia dan masa.

Ada mereka yang bila perniagaannya menghadapi masalah, dia mengundurkan diri dan lupakan Tuhan, meninggalkan amal dan dakwah. Kalau kita bertanya kenapa ianya berlaku, tidakkah mereka merasa rugi sedangkan ganjaran dan kemuliaan mereka yang berada di medan dakwah adalah tinggi di sisi Allah SWT.

Mereka mempunyai ilmu, tahu ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang menerangkan kelebihan dakwah, malah ianya fasih disebut di lisan mereka, malah juga sentiasa memperingatkan diri sendiri dengan tipu daya syaitan dan nafsu. Namun, persoalannya apa lagi yang tiada pada mereka sehingga mereka hanyut. Syaitan yang mereka musuhi menjadi teman sejati, budaya hidup yang lalai menjadi keseronokan, dakwah yang menjadi agenda utama menjadi perkara yang membosankan, sahabat yang dicintai kerana Allah menjadi sahabat yang ingin dijauhinya.

Kalau kita mengadakan muhasabah perkara ini, ia dapat memberikan beberapa jawapan, tapi jawapan yang paling utama adalah disebabkan tipu daya syaitan serta nafsu. Ramai yang terkena serangan syaitan dan mereka tidak sedar dan tidak mampu menahannya. Demi Allah, syaitan tidak pernah berputus asa dan ia tidak pernah tidur atau berehat untuk merosakkan anak Adam. Dengan penuh kesabaran ia sentiasa menunggu peluang untuk ia bertindak di mana ketika itu kita lupa dan lalai.

Orang yang tenang dalam mengingati Allah adalah musuh syaitan. Ketenangan menyebabkan seseorang itu dapat berfikiran waras dalam setiap tindakannya. Justeru itu syaitan akan mengugat ketenangan diri manusia itu dahulu. Ia menggunakan isteri, anak-anak, ibu bapa, saudara mara, perniagaan, harta, jawatan, musibah atau penyakit. Ia akan menggunakan sepenuhnya segala apa yang ada di sekeliling atau sifat dalam diri manusia untuk menggoncangkan ketenangannya.

Syaitan boleh menjadikan sahabat yang baik sebagai musuh ketat, anak buah sebagai penderhaka, orang yang dibantu suatu ketika dulu menaburkan fitnah dan pelbagai lagi. Ia juga mendatangkan perasaan ketakutan terhadap masa depannya dengan pelbagai ancaman seperti dibuang kerja, penjara atau pelbagai tekanan yang akan dihadapi.

Hari ini syaitan bertepuk tangan. Ia telah berjaya menyelinap ke dalam hati umat Islam sehingga berjaya mengugat dan memecahkan keharmonian kasih sayang sesama mereka. Mereka yang dahulunya kelihatan kuat, hebat dalam berpidato, berkasih sayang dengan erat, tapi hanya kerana masalah khilafiah, ada yang berpecah belah sehingga bermusuhan bagaikan orang jahil. Caci mencaci, fitnah menfitnah, pulau memulau mula berlaku. Sesungguhnya segala permusuhan mereka itu adalah di atas jalan syaitan dan nafsu, bahkan tidak dibenarkan oleh syara’. Paling menyedihkan, segala bangunan kebaikan yang mereka dirikan bersama dulu hancur begitu sahaja.

Ramai yang gugur tetapi bukannya gugur di medan jihad, tetapi gugur di lembah nafsu. Mereka semua terkena bom yang dilontarkan oleh syaitan. Keilmuan, keimanan dan kasih sayang mereka tidak begitu kebal untuk menjadi benteng dalam mempertahankan diri. Sekadar mengutuk dan memarahi syaitan sebagai penyebab adalah menutup kelemahan diri. Sebagai musuh, ia sudah menyatakan bahawa ia akan melakukan serangan kepada kita, ia akan bersabar sehingga ketika menghadapi sakaratulmaut pun ia akan terus mengumpul bala tenteranya untuk merosakkan kita. Yang penting bagi kita ialah menyiapkan pertahanan agar serangan yang dilemparkan tidak memberi kesan. Memandang rendah pada keupayaan musuh biasanya membawa akibat yang buruk.

Wallahu ‘alam.

Petikan buku : Bicara Hikmah II