Bersama Mohd. Farid Ravi Abdullah

SAYA kini menetap di India untuk urusan perniagaan. Saya memeluk Islam pada November 2005. Masalahnya sebelum saya memeluk Islam, saya telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Pengislaman saya tidak diketahui oleh seorang pun ahli keluarga.

Sebelum saya memeluk Islam lagi saya dan isteri tidak hidup bersama selama empat tahun (sejak tahun 2002). Kami sentiasa tiada sefahaman dan saya bertekad untuk ke luar negara bagi mengembangkan perniagaan.

Setelah memeluk Islam, saya telah berkenalan dengan seorang gadis yang beragama Islam. Sekarang saya ingin berkahwin dengannya. Tetapi isteri saya sengaja tidak mahu bercerai walaupun kami telah tidak bersama dan tidak tinggal sebumbung selama empat tahun. Walau bagaimanapun saya telah memohon perceraian dan kes itu sedang dalam proses.

Oleh kerana kami tidak hidup bersama lebih daripada tiga tahun, proses perceraian saya adalah lebih senang berbanding jika saya masih hidup bersama. Namun ia akan mengambil masa untuk mengeluarkan sijil penceraian.

Saya tidak dapat mengaku saya telah memeluk agama Islam kerana khuatir keadaan ibu yang sakit akan bertambah buruk jika dia mengetahui perkara sebenar. Seperti yang dinasihatkan oleh ustaz yang mengendalikan pengislaman saya, elok saya merahsiakan pengislaman saya daripada keluarga buat masa sekarang.

Saya pernah menghubungi Jabatan Agama Islam dan mereka beritahu bahawa mulai saat saya memeluk Islam, perkahwinan saya itu tidak lagi sah dari segi undang-undang syariah dan saya bebas untuk berkahwin lain. Soalan saya ialah:

1. Bolehkah saya berkahwin dengan orang Islam mengikut undang-undang Islam tanpa mengemukakan sijil perceraian dengan isteri saya secara rasmi mengikut undang-undang?

2.
Adakah apa-apa halangan atau masalah untuk saya berkahwin dengan orang Islam?

3.
Apakah senarai borang yang saya perlu bawa ketika permohonan pernikahan?

Buat masa sekarang, saya tidak mampu untuk berterus-terang kepada ahli keluarga saya tentang pengislaman saya. Apakah akan timbul apa-apa masalah dari segi undang-undang berkaitan dengan hal ini?

Saya berasal dari Selangor dan gadis yang bakal menjadi isteri berasal dari Johor. Saya bercadang untuk bernikah di Johor diwakili oleh keluarga gadis itu. Perlukah saya mengemukakan sebarang bukti atau lain-lain surat dalam hal ini?

4. Saya tidak akan mampu untuk membawa saksi yang merupakan ahli keluarga saya. Apakah ini akan menimbulkan sebarang masalah dalam hal pernikahan?

Saya telah cuba menghubungi pelbagai pihak untuk mendapatkan maklumat dan jawapan mengenai soalan-soalan di atas, namun usaha saya menemui kegagalan apabila saya tidak dapat sebarang balasan daripada pihak terbabit. Oleh kerana saya menetap di luar negara, saya tidak dapat untuk berjumpa dengan pihak yang sepatutnya secara bersemuka. Saya amat berharap ustaz dapat menolong saya.

JAWAPAN:

1. Saudara boleh berkahwin dengan wanita Islam tanpa perlu mengemukakan surat cerai dengan isteri pertama. Ini kerana bila saudara menganut Islam, secara langsung saudara sudah terpisah dengan isteri pertama saudara yang tidak beragama Islam. Nasihat saya teruskan usaha mendapat pengesahan perceraian saudara dengannya bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah pada masa akan datang.

2. Tiada sebarang halangan untuk saudara berkahwin dengan orang Islam, kerana saudara telah memenuhi syarat yang melayakkan saudara bernikah dengan wanita yang beragama Islam. Perkara yang perlu saudara ambil perhatian adalah proses penukaran agama dan menghadiri kursus asas pengetahuan Islam.

3. Borang nikah kahwin bolehlah saudara dapatkan di pejabat agama daerah atau di jabatan agama negeri dan dapatkan nasihat untuk mengisi borang tersebut dengan pegawai agama yang bertugas. Saudara juga boleh mendapatkan borang tersebut daripada imam-imam di masjid tempat saudara tinggal yang bertauliah atau mereka yang dilantik sebagai Penolong Pendaftar Nikah Kahwin.

Jika proses pernikahan itu dilakukan mengikut undang-undang keluarga Islam negeri, maka tidak ada masalah yang timbul dan keluarga saudara juga tidak boleh menghalang atau membantah perkahwinan saudara kerana ia sah dari segi undang-undang.

4. Dua orang saksi itu mesti beragama Islam. Saudara boleh membawa dua orang saksi yang beragama Islam dari kalangan kawan-kawan saudara atau sesiapa sahaja orang Islam yang mengenali saudara.