Oleh : Prof. Dr. Husayn Shahatah

Setelah kita dihalang daripada melakukan jihad dengan mengorbankan nyawa, maka kita berkewajipan untuk melancarkan jihad ekonomi. Antara senjata yang boleh digunakan ialah dengan mengorbankan harta kita untuk membiayai pembelian senjata. Begitu juga untuk membiayai perbelanjaan perang jihad dan juga untuk para pejuang. Antara senjata yang boleh digunakan dalam jihad ekonomi juga ialah dengan melakukan boikot ekonomi. Matlamat utama daripada pemboikotan ini ialah untuk melemahkan ekonomi pihak musuh di samping menguatkan ekonomi ummat Arab dan Islam agar tidak lagi bergantung kepada pihak musuh. Dalam masa yang sama, pemboikotan ini boleh menjejaskan kepentingan ekonomi pihak musuh dan memusnahkannya dengan segala cara yang boleh dilakukan. Di samping itu, ia juga boleh menjadi alat yang mendorong pihak lain untuk tidak bekerjasama lagi dengan pihak musuh.

Hukum Jihad Ekonomi

Secara umumnya, hukum jihad ekonomi sama dengan hukum jihad itu sendiri. Ia adalah kefarduan yang ditentukan oleh syarak dan merupakan keperluan yang dituntut oleh akidah. Dalam banyak tempat dalam al-Quran, jihad ekonomi atau jihad dengan harta disebut bersekali dengan jihad nyawa. Antaranya ialah firman Allah swt ketika menggambarkan sifat-sifat oran g yang beriman yang bermaksud (al-Hujurat: 15): “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”

Allah swt berfirman lagi (al-Saff: 10-13) yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.”

Rasulullah saw juga menegaskan tentang jihad dengan harta ini melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang mempersiapkan seorang pejuang pada jalan Allah, maka sesungguhnya (seolah-olah) dia sendiri yang keluar berjuang. Sesiapa yang menggantikan pejuang ketika ketiadaannya untuk menjaga keluarganya, maka (seolah-olah) dia sendiri yang keluar berjuang.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah saw juga pernah memberikan amaran dengan azab seksa yang pedih terhadap golongan yang keberatan dan ragu-ragu untuk berkorban harta demi membantu agama Allah. Baginda saw bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak pernah berperang, dan tidak pernah mempersiapkan seorang pejuang, atau tidak pernah menggantikan pejuang untuk menguruskan keperluan keluarganya, Allah akan menimpakan musibah kepadanya sebelum hari kiamat.” (Muttafaq ‘alaih)

Jika orang-orang kafir, musyrik, salibi dan Yahudi sanggup membelanjakan harta mereka untuk memusuhi Islam, maka oran g Islam juga wajib untuk membelanjakan harta mereka pada jalan Allah untuk menjaga keselamatan ummat Islam. Hal ini telah disebutkan secara tidak langsung oleh Allah swt yang bermaksud (al-Anfal: 36): “Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) daripada jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya, kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.”

Dalam ayat yang lain, Allah swt juga menggesa ummat Islam agar membelanjakan harta pada jalan Allah. Firman Allah yang bermaksud (al-Baqarah: 261): “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Ciri-ciri Kejayaan Jihad Ekonomi

Jihad ekonomi bukanlah sebuah slogan yang hanya enak didengar sahaja. Tidak juga pidato semangat yang tidak mendatangkan apa-apa kesan. Tidak juga permainan terhadap istilah jihad itu sendiri. Tetapi ia adalah jihad secara praktikal yang wajib dilaksanakan agar ia dapat direalisasikan secara berkesan.

Antara ciri kejayaannya ialah:

a) Menyedari dengan penuh kesedaran bahawa berjihad dalam bentuk ekonomi ini adalah cubaan dan ujian terhadap jiwa manusia yang memang cintakan harta. Adakah dia sanggup mengorbankan harta ini demi agama Allah yang sepatutnya menjadi barangan paling berharga di sisi seorang muslim? Adakah dia sanggup mengorbankan harta yang disayanginya demi Allah yang juga dikasihinya? Sebenarnya ia adalah ujian terhadap jiwa manusia. Besok nanti, dia akan ditanya oleh Allah, apakah yang telah engkau berikan jika engkau tidak pernah berperang dan tidak pernah mempersiapkan seorang pejuang?

b) Kesedaran penuh bahawa jihad ini merupakan pertolongan dan bantuan yang diberikan kepada saudara-saudara kita para pejuang pada jalan Allah yang sanggup mengorbankan nyawa mereka sendiri demi menegakkan agama Allah. Ia adalah kefarduan syarak dan kewajipan akidah serta negara. Jika orang Israel , Amerika dan mulhid saling membantu sesama mereka, maka sebaliknya kita juga berkewajipan berbuat demikian. Dalam hal ini Allah swt berfirman yang bermaksud (al-Anfal: 73): “Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” Dalam ayat yang lain, Allah meminta oran g-orang yang beriman agar saling membantu antara satu sama lain. FirmanNya yang bermaksud (al-Anfal: 72): “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain.”

c) Berkeyakinan bahawa jihad ekonomi merupakan peringkat keimanan yang paling rendah bagi sesiapa yang tidak mampu berjihad dengan nyawanya. Ketika para pemimpin bangsa Arab dan ummat Islam berada dalam kelemahan dan dalam keadaan para pemuda, orang tua dan wanita tidak dibenarkan pergi ke Palestin untuk berjihad bersama saudara-saudara mereka di sana , maka apa yang boleh dilakukan hanyalah peringkat keimanan yang paling lemah iaitu berjihad dengan harta dan melakukan pemboikotan ekonomi serta menjejaskan kepentingan ekonomi pihak musuh. Musuh yang paling utama dalam hal ini ialah Israel dan Amerika serta pihak yang seumpama mereka. Di samping itu, ia juga adalah peluang keemasan untuk memperolehi pahala para pejuang pada jalan Allah, meskipun dia hanya duduk di rumahnya.

d) Kita hendaklah percaya bahawa saudara kita para pejuang di Palestin dan di tempat-tempat lain juga sebenarnya mengorbankan dengan segala apa yang mereka miliki demi memelihara akidah mereka. Pertarungan yang berlaku antara kita dengan Yahudi sebenarnya adalah pertarungan berbentuk akidah. Saudara-saudara kita di Palestin membunuh dan dibunuh kerana mahu membebaskan bumi Islam dan menyucikan Masjid al-Aqsa bukan kerana nasionalisme atau untuk memperolehi kebanggaan dan menunjuk-nunjuk. Jika kita tidak memberikan pertolongan yang termampu kita lakukan, sebenarnya kita telah mengkhianati Allah dan RasulNya.

e) Jihad ekonomi dianggap sebagai salah satu kewajipan agama dan negara. Jika sesuatu kewajipan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna melainkan dengan dilaksanakan suatu perkara, maka perkara itu juga turut menjadi wajib dilakukan. Dalam hal ini, Dr Yusuf al-Qaradawi berkata: “Antara perkara wajib menurut syarak, orang-orang Islam hendaklah sentiasa memboikot Israel dan mana-mana pihak yang memberikan bantuan kewangan dan senjata kepada Israel , terutamanya Amerika. Kerana setiap dirham atau dinar yang sampai kepada mereka akan bertukar akhirnya menjadi peluru yang dihalakan kepada saudara-saudara kita di Palestin. Kita hendaklah mengangkat slogan yang berbunyi: “Setiap sen yang digunakan bagi membeli barangan yang diperbuat di Israel atau Amerika akan bertukar menjadi peluru yang dihalakan kepada tubuh kanak-kanak Islam.”

f) Kita juga hendaklah percaya bahawa pembebasan bumi Palestin bererti membebaskan diri dan tanah air kita sendiri. Sementara pembebasan Masjid al-Aqsa merupakan pembebasan tanah suci kita sendiri. Kita juga hendaklah percaya bahawa kelemahan, kecuaian, putus asa dan menyerah kalah adalah pengkhianatan terbesar. Seorang muslim tidak sepatutnya takut melainkan kepada Allah swt sahaja. Ini merupakan salah satu sifat jiwa yang beriman yang disifatkan oleh Allah melalui firmanNya (Ali ‘Imran: 173-174) yang bermaksud: “Mereka juga ialah orang yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”, maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami).” Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia daripada Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. (Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.”

g) Kita hendaklah beriman dan percaya bahawa kemenangan terhadap pihak musuh bukanlah dengan sebab kita mempunyai peralatan dan bilangan yang banyak sahaja, bahkan ia boleh berlaku dengan nilai-nilai keimanan yang dimiliki. Allah swt berfirman (al-Baqarah: 249): “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.”

Inilah beberapa petanda yang menunjukkan kewajipan mengaktifkan jihad ekonomi serta beberapa asas yang boleh menjayakannya. Jihad ini bertitik tolak daripada kewajipan agama dengan menganggapnya sebagai salah satu daripada asas jihad dengan nyawa yang difardukan oleh Allah swt. Islam tanpa jihad samalah seperti pokok tanpa buah, juga umpama jasad tanpa ruh.