Realiti Jihad Ekonomi di Kalangan Ummat Islam

Oleh : Prof. Dr. Husayn Shahatah

Mampu, Tetapi Tidak Membantu

Ummat Arab dan Islam memiliki kekuatan ekonomi yang besar. Antaranya minyak, harta, pasaran dan sumber manusia. Tetapi malangnya kekuatan ekonomi ini dipergunakan untuk kepentingan Israel dan Amerika, iaitu bagi menindas saudara-saudara kita di Palestin dan Afghanistan.

Antara bukti yang menunjukkan demikian ialah:

a) Negara-negara Arab dan Islam membekalkan minyak kepada Israel bagi menggerakkan kapalterbang, kereta kebal dan kereta perisai perang lain bagi menentang saudara-saudara kita di Palestin. Minyak yang diperolehi oleh Israel daripada bangsa Arab memang digunakan secara nyata untuk memenuhkan kelengkapan mereka sebagai pihak musuh, sedangkan sepatutnya kekuatan itu digunakan untuk menghalang kezalimannya.

b) Negara-negara Arab dan Islam juga membekalkan minyak kepada Amerika yang digunakan bagi membuat senjata yang digunakan untuk membunuh saudara-saudara seIslam kita di Palestin dan Afghanistan yang tidak mempunyai sebarang senjata… Bukankah ini yang sememangnya berlaku? Apa yang lebih mendukacitakan kita ialah negara-negara tersebut enggan untuk membuat kenyataan walaupun secara tidak langsung untuk menggunakan senjata tersebut terhadap Amerika agar ia berhenti daripada memberikan bantuan kepada Israel.

c) Kebanyakan wang dan harta kekayaan negara-negara Arab dan Islam yang kaya raya dilaburkan di dalam bank-bank Amerika, England dan Eropah bagi memperkukuhkan ekonomi mereka, sedangkan mereka adalah sekutu rapat bagi Israel. Apa yang lebih menyedihkan kita ialah negara-negara Islam yang kaya itu amat bakhil untuk menggunakan kekayaan mereka bagi memberikan bantuan kepada negara Arab dan Islam lain yang miskin. Nampaknya kekayaan orang-orang Arab dan Islam hanya untuk musuh-musuh orang Arab dan Islam! Bukankah ini suatu kenyataan yang tidak boleh disangkal lagi? Belumkah tiba masanya kekayaan orang-orang Arab dan Islam digunakan bagi membantu para mujahidin yang berjuang pada jalan Allah di seluruh pelusuk dunia?

d) Seluruh pasaran negara-negara Arab dan Islam terbuka luas untuk dimasuki oleh barangan buatan Israel dan Amerika. Dalam masa yang sama, kita dapati imbangan perdagangan yang berlaku antara sesama negara Islam tidak melebihi 7% sahaja, selebihnya perdagangan berlangsung dengan negara asing. Ini bermakna, kekayaan bangsa Arab dan ummat Islam digunakan bagi membeli barangan yang kebanyakannya daripada negara-negara yang memusuhi Islam dan ummatnya.

e) Majoriti negara Arab dan Islam mengutamakan untuk melakukan dagangan dengan para pakar dan penasihat asing yang kebanyakan mereka datang dari Amerika, meskipun sudah ada alternatif di negara Arab dan Islam. Inilah yang dikenali sebagai penyakit ‘Uncle Sam’. Bahkan kadang-kadang kita dapati Liga Negara-negara Islam lebih mengutamakan guru mereka yang berbangsa Amerika daripada guru mereka yang berbangsa Arab dan Islam!! Meskipun guru yang berbangsa asing itu terpaksa diberikan gaji yang berlipat kali ganda jauh lebih tinggi daripada gaji yang diberikan kepada guru yang berbangsa Arab.

f) Sesetengah golongan bodoh daripada kalangan ummat Arab dan Islam lebih suka untuk membelanjakan harta mereka dalam perkara sia-sia dan maksiat. Tetapi apabila diminta daripada mereka agar memberi sedikit sumbangan pada jalan Allah, mereka enggan dan menolak!! Pernah berlaku, seorang berbangsa Arab mewasiatkan agar sebahagian besar daripada hartanya diberikan kepada anjing-anjing yang berada di Amerika!

Inilah realiti jihad ekonomi di kebanyakan negara Arab dan Islam. Kekayaan mereka telah menjadi umpama hidangan enak yang direbuti oleh negara-negara lain yang membenarkan sabda Rasulullah saw yang bersabda maksudnya: “Hampir-hampir seluruh bangsa menerkam kepada kamu sebagaimana orang-orang yang mahu makan menerkam kepada hidangan mereka.” Para sahabat bertanya: “Adakah kerana bilangan kami pada waktu itu sedikit, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Tidak. Bahkan kamu pada waktu itu ramai, tetapi kamu adalah buih seperti buih bagi air banjir. Allah akan membuang perasaan takut daripada hati para musuh kamu dan Dia akan mencampakkan al-wahn ke dalam hati kamu.” Para sahabat bertanya lagi: “Apakah al-wahn itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Cintakan dunia dan bencikan kematian.” (Muttafaq ‘alaih)

Ramalan baginda saw sememangnya telah berlaku dalam realiti bangsa Arab dan ummat Islam kini. Ketika Israel membunuh orang Palestin, meruntuhkan rumah dan merampas tanah mereka, kita dapati sesetengah orang Arab dan Islam lain yang hidup dalam kemewahan, pembaziran, hiburan dan bersuka ria. Mereka menghabiskan masa mereka dalam istana yang tersergam dan dilengkapi dengan pendingin hawa yang hebat. Mereka telah ditimpa penyakit hati dengan sebab kerosakan dan kemaksiatan yang mereka lakukan. Mereka akan dihitung oleh Allah dengan perhitungan yang dahsyat bahkan akan mengazab mereka dengan azab yang pedih.

Siapa Yang Melakukan Jihad Ekonomi Sekarang?

Ia dilakukan oleh golongan fakir dan miskin daripada kalangan mereka yang dihiasi hati mereka dengan keimanan oleh Allah swt. Allah mengurniakan kepada mereka kecintaan untuk berjihad demi mencapai kemenangan atau kesyahidan. Jelas di hadapan kita pada hari ini, bahawa bangsa-bangsa Arab dan ummat Islam yang fakir dan miskin serta tertindas itulah yang bangkit melakukan jihad ekonomi. Kita dapati kebanyakan sumbangan derma yang dihantar kepada saudara-saudara kita di Palestin, Afghanistan dan Chechen diperolehi daripada golongan fakir dan miskin. Sumbangan derma ini diuruskan oleh beberapa jawatankuasa, institusi dan badan kebajikan bukan kerajaan di kebanyakan negara, termasuk di negara-negara bukan Islam.

Golongan miskin ini berkorban dengan makanan anak-anak mereka demi menghulurkan bantuan makanan buat saudara-saudara mereka di Palestin. Bahkan ada kaum muslimah yang kesemua barangan perhiasan dan hartanya. Ada juga pemuda Islam yang mendermakan perbelanjaannya yang amat diperlukan. Kanak-kanak juga tidak ketinggalan berderma dengan wang simpanan mereka. Mereka didorong berbuat demikian oleh kekuatan iman dan keinginan untuk berlumba-lumba memperolehi kelebihan ganjaran pahala jihad. Mereka patuh kepada firman Allah (Ali ‘Imran: 133) yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” Mereka juga patuh kepada sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang mempersiapkan seorang pejuang pada jalan Allah, (seolah-olah) dia sendiri yang keluar berjuang.” (Muttafaq ‘alaih)