IPOH 13 Jun – Para ulama yang menghadiri satu muzakarah di sini meminta kerajaan mengkaji semula beberapa amalan seperti perayaan kongsi raya dan rumah terbuka bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Muzakarah Ulama 2006 Datuk Seri Harussani Zakaria berkata kajian semula itu perlu kerana Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa meraikan perayaan agama lain merosakkan akidah dan boleh menjurus kepada perbuatan syirik.

“Perkara ini (keputusan Jawatankuasa Fatwa) bagaimanapun masih dalam bentuk penulisan dan belum lagi diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan,” katanya pada majlis penutupan muzakarah berkenaan di sini hari ini.

Muzakarah itu turut merumuskan 22 resolusi lain yang akan diserahkan kepada Sultan Perak, kerajaan negeri, kerajaan pusat serta Majlis Raja-raja.

Harussani, yang juga Mufti Perak, berkata antara resolusi yang diluluskan ialah meminta semua Majlis Fatwa negeri menubuhkan jawatankuasa bertindak khusus bagi menangkis sebarang hujah penganut fahaman liberalisme dan pluralisme yang menyerang akidah umat Islam.

Kerajaan juga diminta menubuhkan badan pemantau dianggotai ahli akademik dan ulama bagi menyekat penyebaran fahaman Islam liberal terutama menerusi Internet.

“Saya juga difahamkan pengikut fahaman Islam liberal sedang menunggu resolusi ini supaya mereka dapat merangka strategi baru bagi menyerang balik keputusan ini,” kata Harussani.

Muzakarah itu juga mencadangkan dialog diadakan melibatkan pelbagai pihak termasuk pengikut aliran Islam liberal dan agama lain untuk membetulkan salah tafsiran mengenai agama Islam serta memahami pandangan penganut agama lain.

– Bernama