Oleh : DR. SIDEK BABA

BERSYUKUR adalah suatu sifat yang mulia. Remaja yang bersyukur adalah remaja yang memiliki akhlak yang terpuji. Bersyukur bermakna sandaran terima kasih atau rasa terhutang kepada Allah s.w.t. kerana rahmat dan nikmatNya. Rasa terhutang kepada Allah tidak boleh dibayar seperti manusia berhutang dengan manusia. Salah satu cabang makna Deen iaitu agama atau cara hidup beragama ialah dayana yang membawa maksud keberhutangan.

Keberhutangan kita kepada Allah s.w.t. menuntut penunaian. Apabila pedoman Allah dipatuhi, batasan salah-benar, halal-haram, baik-buruk, maaruf-mungkar dipatuhi dan diikuti sempadannya bermakna kita melangsaikan hutang dengan Allah. Hutang itu apabila dilangsaikan ia memberi faedah kepada kita kembali.

Allah memberikan kita rahmat hati dan hati digunakan sebagai neraca menyuburkan niat dan hajat yang baik, maka kebaikanlah yang akan kita lakukan. Nikmat dari kebaikan yang diamalkan menjadikan seseorang ceria dan tenang dalam melakukan apa saja kerana kebaikan dihubungkan dengan Allah s.w.t.

Sebaliknya jika pedoman Allah tidak dipatuhi hutang kita akan bertambah. Malah melanggar hukum Allah menyebabkan dosa bertambah dan ia memberi kesan buruk kepada kita.

Para remaja perlu menjadi orang bersyukur. Memahami dan menghayati rasa bersyukur bukan hanya dengan lafaz. Syukur yang memberi makna kepada diri ialah dengan amalan. Remaja terhutang dengan Allah dalam semua perkara. Hayat yang Allah kurniakan, akal yang Allah beri, kesihatan yang dianugerah, kecerdasan yang dimiliki, tenaga yang aktif adalah rahmat Allah yang amat besar.

Remaja tidak akan boleh berfikir sekiranya tidak ada akal. Berfikir adalah nikmat yang amat luar biasa bagi seseorang. Remaja tidak akan bergerak pantas sekiranya tidak diberikan kesihatan. Kesihatan yang baik menyebabkan berbagai-bagai perkara boleh dilakukan oleh remaja.

Remaja tidak akan menjadi orang cemerlang sekiranya tidak dianugerahkan kecerdasan. Kecerdasan menjadikan remaja berilmu dan akhirnya nikmat ilmu membolehkan remaja tahu atau berpengetahuan tentang diri, diri dan hubungannya dengan Pencipta dan diri, kaitannya dengan persekitaran.

Seperti juga remaja dengan ayah dan ibu atau orang lain; kebaikan yang mereka lakukan menyebabkan wujud rasa terima kasih. Memang sifat remaja memerlukan dari orang lain. Remaja tidak boleh melakukan segala-galanya melainkan perlu ada bantuan dan pertolongan orang lain.

Tanpa bantuan ibu dan bapa payah sekali remaja boleh hidup sempurna. Nasihat dan pesan ibu adalah perlu. Teguran dan pandangan ayah jangan dipandang sepi. Remaja sedang bertatih untuk dewasa.

Remaja tidak tiba-tiba tahu dan faham semua perkara. Proses belajar adalah proses seumur hidup. Ayah dan ibu telah terlebih dahulu menjalani hidup seperti juga remaja akan menjalani hidup yang sama. Bezanya remaja masih mentah dengan pengalaman dan pemikiran.

Remaja perlu belajar daripada mereka yang lebih dewasa dan matang pemikiran. Seperti juga suatu ketika nanti apabila remaja menjadi orang dewasa, berperanan sebagai ibu dan bapa keperluan yang sama juga perlu ada. Kalau tidak remaja tidak boleh menjadi seorang ibu yang pembimbing dan ayah yang pendidik.

Bagaimana rasa syukur dapat disuburkan pada diri setiap remaja.

Pertama, remaja harus yakin bahawa hidup ini adalah proses belajar. Meyakini bahawa proses belajar adalah suatu tuntutan boleh menjadikan remaja orang yang dahagakan ilmu pengetahuan, bimbingan dan tunjuk ajar. Kalau keyakinan ini tidak ada remaja akan merasakan diri serba tahu, sudah pandai dan tidak perlu belajar dari orang lain. Akhirnya remaja akan terjebak dalam keadaan ketidaktahuan dan mula timbul sifat angkuh dan menutup minda dari orang lain.

Kedua, rasa ingin tahu remaja harus mendorong remaja untuk bertanya, berkongsi dan mensyukuri apa yang ada kemudian dipertingkatkan lagi supaya apa yang diketahui dan dialami dikongsi pula dengan orang lain. Remaja yang bersyukur tidak bakhil untuk memberitahu dan mendidik orang lain kerana semuanya itu adalah amanah Allah yang harus disebarluaskan. Rasa ingin tahu yang tinggi harus disuburkan dengan jiwa penerokaan dan pengkajian supaya ilmu dan kebijaksa naan remaja bertambah dan manfaat yang boleh disebarkan bertambah juga.

Bakat

Ketiga, remaja harus bina keyakinan bahawa Allah tidak memberikan bakat dan kebolehan secara sia-sia. Bayangkan pada hari ini ramai di kalangan remaja membazirkan bakatnya dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Akhirnya mereka menjadi beban kepada masyarakat dan negara dan tidak mampu menyumbang dan inilah gambaran remaja yang tidak bersyukur.

Bakat remaja harus digilap dengan ilmu, kemahiran berfikir, kekayaan pengalaman, upaya strategik yang tinggi dan kesabaran yang padu supaya para remaja apabila berperanan nanti mempunyai kualiti yang amat diperlukan bagi menghadapi kerenah perubahan yang amat mencabar. Ini juga cara bersyukur kepada Allah kerana para remaja tidak mensia-siakan bakat dan kebolehan yang diberi.

Keempat, remaja harus membina tekad bahawa berilmu adalah amanah, berfikir adalah amanah, melaksanakan ilmu yang diperolehi dan fikiran yang ada, adalah amanah yang lebih besar. Tidak mungkin bangsa Melayu dan umat Islam boleh maju tanpa kekuatan ilmu dan kesuburan berfikir.

Kekuatan ini harus mampu menempatkan remaja apabila dewasa nanti disatu tahap yang boleh berperanan membangun modal insan yang berkualiti tinggi. Ini juga tanda syukur kita kepada Allah kerana ilmu yang diperolehi dan pemikiran yang subur tidak hanya dimiliki secara sia-sia. Sebaliknya ia dilihat sebagai amanah yang perlu membentuk watak dan diri sendiri dan orang lain yang memiliki kesediaan untuk mengembangkan ilmu dan memperkasa potensi insan.

Kelima, remaja mesti ada keinginan menyumbang yang tinggi dengan jiwa yang ikhlas. Bayangkan sekiranya seseorang yang berilmu dan berketerampilan hanya memikirkan diri sendiri, kemegahan dan kemewahan diri, betapa orang-orang yang miskin ilmu dan miskin azam untuk maju. Para remaja perlu mempunyai tekad tinggi untuk terjun dalam arus mendidik dan melatih orang lain tentang betapa pentingnya dikuasai ilmu, diperteguhkan akhlak, menguasai teknologi supaya umat Islam dapat diangkat martabatnya dan dijadikan contoh dan dihormati oleh orang lain.

Ini juga tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana keunggulan yang dimiliki dapat dimanfaatkan kepada yang lain. Bila orang lain menerima manfaatnya, maka kebaikan menjadi subur dan barakah menjadi bertambah. Itulah sebaik-baik jalan yang Allah reda supaya manusia menjadi sejahtera dan baik.

Keenam, para remaja harus insaf bahawa manusia adalah fana’ atau tidak kekal. Yang kekal ialah yang baqa’ iaitu Allah s.w.t. Rahmat dan nikmat yang diberi harus dimanfaatkan bukan saja untuk faedah duniawi tetapi memberikan natijah akhirat atau ukhrawi. Memiliki kualiti amanah yang tinggi, dilaksanakan dalam hidup, bukan saja orang lain dapat faedahnya tetapi perbuatan amanah itu diberi pahala dan ia akan menjadi bukti amal jariah di akhirat nanti.

Ilmu-ilmu yang bermanfaat untuk maksud kemajuan dan pembangunan apabila diajarkan kepada orang lain, tidak saja diri kita membangun tetapi orang lain berubah dan membangun sama, ia adalah ilmu yang memberi suluh kepada kehidupan dan ganjarannya tidak saja di dunia tetapi di akhirat juga.

Apalagi sekiranya dengan watak keibubapaan yang menjadi teladan dan ikutan, jiwa didik dan bimbing yang berterusan, memperkasa ilmu dan keterampilan anak-anak, bakal menjadikan anggota keluarga yang berkualiti dan sentiasa ingin menyumbang kepada orang lain. Sekiranya ini berlaku, kita bakal meninggalkan anak-anak yang soleh dan solehah yang tidak saja ada kesan duniawi dalam amalnya tetapi juga memberikan natijah baik kepada ibubapanya yang telah pergi.

Oleh itu, jiwa bersyukur dalam erti kata yang luas harus sifatnya terpancar dalam amal dan perbuatan. Rasa keberhutangan kita dengan Allah kerana rahmah dan nikmatnya yang tidak terhitung kita jelmakan dengan memperkasa ilmu dan akhlak kemudian sentiasa bertekad untuk menyumbang supaya umat dapat diperkasa.

PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)