Dipetik dari buku ‘La Tahzan’, Dr ‘Aidh Al Qarni

  Ingatlah setiap nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Kerana Dia telah melipatkan nikmatNya dari hujung rambut hingga ke bawah kedua telapak kaki.

  “Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan sanggup menghitungnya.” (QS Ibrahim: 34)

  Kesihatan badan, keamanan negara, sandang pangan, udara dan air, semuanya tersedia dalam hidup kita. Namun begitulah, kita memiliki dunia, tetapi tidak pernah menyedarinya. Kita menguasai kehidupan tetapi tidak pernah mengetahuinya.

  “Dan, Dia menyempurnakan nikmatNya kepadamu lahir dan batin.” (QS Luqman : 20)

  Anda memiliki dua mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki.

  “Maka nikmat Rabb kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (QS. Ar-Rahman: 13)

  Apakah kita mengira bahawa berjalan dengan kedua kaki itu sesuatu yang remeh, sedangkan kaki acap kali menjadi bengkak bila digunakan jalan terus menerus tiada henti? Apakah kita mengira bahawa berdiri tegak di atas kedua betis itu sesuatu yang mudah, sedangkan keduanya boleh saja tidak kuat dan suatu ketika patah?

  Maka sedarilah, betapa hinanya diri kita manakala tertidur lelap, ketika sanak saudara di sekitar kita masih banyak yang tidak dapat tidur kerana sakit yang mengganggunya? Pernahkah kita merasa nista manakala dapat menyantap makanan lazat dan minuman dingin saat masih banyak orang di sekitar kita yang tidak boleh makan dan minum kerana sakit?

  Cuba fikirkanlah, betapa besar fungsi pendengaran, yang dengannya Allah menjauhkan kita dari ketulian. Cuba renungkan dan raba kembali mata kita yang tidak buta. Ingatlah dengan kulit kita yang terbebas dari penyakit lepra dan sopak. Dan renungkanlah betapa dasyatnya fungsi otak kita yang selalu sihat dan terhindar dari kegilaan yang menghinakan.

  Adakah kita ingin menukar mata kita dengan emas sebesar gunung Uhud, atau menjual pendengaran kita seharga perak satu bukit? Apakah kita mahu menjual istana-istana menjulang tinggi dengan lidah kita, hingga kita bisu? Mahukah kita menukar kedua tangan kita dengan untaian mutiara sementara tangan kita buntung?

  Begitulah, sebenarnya kita berada dalam kenikmatan yang tiada tara dan kesempurnaan tubuh, tetapi kita tidak menyedarinya. Kita masih merasa resah, suntuk, sedih dan gelisah, meskipun kita masih mempunyai nasi hangat untuk disantap, air segar untuk diteguk, waktu yang tenang untuk tidur pulas, dan kesihatan untuk terus berbuat.

  Kita acapkali memikirkan sesuatu yang tidak ada sehingga kita pun lupa mensyukuri yang sudah ada. Jiwa kita mudah tergoncang hanya kerana kerugian materi yang mendera. Padahal, sesungguhnya kita masih memegang kunci kebahagiaan, memiliki jambatan pengantar kebahagiaan, kurnia, kenikmatan dan lain sebagainya. Maka fikirkanlah semua itu, dan kemudian syukurilah!

  “Dan pada dirimu sendiri. Maka, apakah kamu tidak memperhatikan?” (QS Adz-Dzariyat: 21)

  Fikirkanlah dan renungkanlah apa yang ada pada diri kita, keluarga, rumah, pekerjaan, kesihatan dan apa saja yang tersedia di sekeliling kita. Dan janganlah kita termasuk kepada golongan yang mengkufuri nikmat Allah SWT.

  “Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya.” (QS An-Nahl: 83)

 

Sumber: La Tahzan, ‘Aidh Al Qarni, Qisthi press, 2005