KUALA LUMPUR: The image “https://i0.wp.com/www.phonemag.com/images/cellphones/Sanyo_S750_-_Orange_3G_Handset_5.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.Penggunaan nada dering bacaan al-Quran di tempat tidak sepatutnya seperti dalam tandas, adalah makruh dan jika disalahgunakan, hukumnya menjadi haram, kata Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Beliau berkata, justeru umat Islam perlu berhati-hati dengan penggunaan ayat suci al-Quran kerana ia kalam Allah yang tidak boleh dipermain-mainkan.

“Nada dering al-Quran pada asalnya bertujuan baik, tetapi kalau disalah guna seperti sengaja memperdengarkan dalam tempat yang tidak elok, boleh menjadi haram.

“Umat Islam perlu menghormati al-Quran walau di mana mereka berada kerana ada ayat menyatakan jika mendengar bacaannya hendaklah diam dan mengambil iktibar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, seseorag umat Islam perlu sanggup menanggung akibat ketika membawa ayat suci al-Quran ke mana-mana.

“Umat Islam yang menggunakan nada dering al-Quran hendaklah menutup telefon bimbit apabila berada di tempat tidak suci seperti dalam tandas dan menjaganya secara teliti bagi mengelak kehormatannya terabai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahad lalu, Metro Ahad melaporkan mengenai perbezaan pendapat antara Mufit Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman mengenai penggunaan nada dering bacaan al-Quran dalam telefon bimbit.

Dr Mohd Asri dipetik berkata, alasan melarang penggunaan nada dering lebih kukuh daripada membenarkannya, manakala Mustafa berhujah, Jakim tidak nampak masalah ayat al-Quran menjadi nada dering malah ia lebih memberi kebaikan.

Mohd Tamyes yang bersetuju dengan penggunaan nada dering ayat al-Quran bagaimanapun menasihatkan pemilik telefon bimbit mengambil sikap bertanggungjawab menggunakan ayat suci itu kerana ia adalah sikap muslim yang baik.

Sementara itu, Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya, berkata umat Islam tidak harus memperlekehkan penggunaan ayat al-Quran malah memanfaatkan teknologi yang ada sebaik mungkin.

“Jika keburukan lebih banyak daripada kebaikan, memang jelas hukumnya… dalam isu ini tiada apa yang salah mengenai nada dering itu,” katanya.

 

Sumber dr. Harian Metro Online ( 27 Dec. 2006 )