Oleh : Zef Othman

KAJIAN dalam bidang matematik yang sebelum ini dianggap dikuasai kalangan pengkaji pendidik Barat pada dasarnya mula dipelopori ilmuwan Islam menerusi tokoh ternama dunia seperti Al-Khwarizmi, Omar Khayyam dan Al-Khashi.

Penyelidikan yang dilakukan berdasarkan simpanan manuskrip mendapati ahli matematik di kalangan umat Islam mula melaksanakan kerja kira-kira secara intensif empat ribu tahun lebih awal berbanding yang diperkenalkan oleh pengkaji Barat.

   

SISTEM CANGGIH: Model glob cakerawala dibina di Balai Cerap Maragha
pada 1279 sebelum Masihi dan disimpan di Dresden sejak 1562.

Ilmuwan Islam yang lahir adalah dari negara timur tengah seperti Iraq dan Iran yang menjadikan rumah kebijaksanaan di Baghdad sebagai akademi pengajian intelektual umat Islam pada ketika itu.

Tempoh yang bermakna dalam sejarah matematik di kalangan umat Islam bermula dengan Al-Khwarizmi apabila beliau memperkenalkan algebra menerusi bukunya Al Jabr yang membawa maksud pengembalian keseimbangan bagi kedua-dua bahagian persamaan.

Tokoh kelahiran Iraq itu juga mula mengetengahkan angka daripada simbol Arab di dalam empayar Islam yang kemudian di bawa ke Eropah.

Hasil penulisan Al-Khwarizmi menerusi bukunya berkaitan algebra ditukar ke bahasa latin yang mula muncul di Eropah pada abad ke-12.

Susulan itu, pada abad ke-13, algebra baru mula diperkenal dalam penulisan ahli matematik terkenal Itali, Leornado Fibonacci yang dibawa ke Eropah menerusi bangsa Arab.

Pendekatan kajian Islam yang dibawa Al-Khwarizmi adalah menerusi kaedah sistematik dan berasaskan logik dengan memperkembangkan pengetahuannya menerusi pelbagai cawangan sains terutama matematik.

Tokoh Islam yang turut mencatatkan namanya sebagai ahli matematik ialah Omar Khayyam yang lebih dikenali menerusi sajaknya.

Beliau mengetengahkan asas persamaan kubus menerusi segmen garisan yang melengkapi setiap bahagian bagi ciri reka bentuk terbabit.

Sumbangannya dalam algebra dikenali di serata Eropah dan lebih jelas lagi apabila turut membuat perubahan sistem kalendar ketika itu.

Khayyam membuat persamaan buku algebra yang dihasilkannya sebagai segitiga pascal.

Pemahaman algebra daripada perspektif Khayyam dikenali sebagai penyelesaian linear geometri dan persamaan kuadratik menerusi penggunaan kaedah yang wujud daripada elemen Euclid.


JADI PANDUAN: Alat pengukur sudut berkembar mengetengahkan
teori pengukur diterangkan oleh Jamal al-Din al-Maridini.

Selain itu, beliau turut mengetengahkan definisi baru berhubung nisbah dengan memperkembangkan hasil kerja Euclid menerusi perkiraan dalam kepelbagaian nisbah.

Kesinambungan sumbangan tokoh Islam dalam dunia matematik diteruskan oleh Al-Khashi yang membuat perkiraan 1 (pi) ke-16 tempat perpuluhan yang dianggap terbaik sehingga 1700.

Malah, anak kelahiran Iran itu menyifatkan dirinya sebagai pelopor titik perpuluhan pecahan turut menghasilkan penulisan bertajuk The Reckoner’s Key yang merumuskan aritmetik dan kerjanya bagi kandungan algebra serta geometri.

Sementara itu, Al-Biruni yang mula dikenali antara 973 sehingga 1048 CE menterjemahkan hasil kerja Euclid kepada Sanskrit (bahasa India) pada ketika itu.

Beliau turut membuat perkiraan terhadap lilitan bumi menerusi pengiraan jarak di sekeliling bumi di samping mengetengahkan sistem radius yang lebih tepat bagi tujuan sukatan untuk kegunaan hari ini.

Selain memberikan sumbangan dalam dunia matematik Islam; Al-Biruni turut ditampilkan sebagai ahli falsafah, pengkaji bintang, ahli farmasi untuk kajian ubat-ubatan, pengkaji tumbuhan dan ahli geologi yang terkenal pada ketika itu.

Nasir Al-Din Al-Tusi adalah pelopor dalam kajian trigonometri sfera yang membabitkan enam rumusan asas bagi penyelesaian segitiga sudut kanan sfera.

Antara sumbangan terpentingnya dalam dunia matematik adalah langkah beliau menampilkan trigonometri sebagai sebagai sebahagian daripada matematik baru.

Perkembangan itu menjadi pendorong untuk beliau mula dikenali sebagai bapa trigonometri.