Pendahuluan

The image “https://i1.wp.com/static.flickr.com/23/32207717_3fa2f25874.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.Mencerap anak bulan (hilal) atau merukyah menjadi suatu aktiviti saintifik apabila ia dijadikan asas kepada pembangunan justifikasi kenampakan anak bulan untuk penyusunan takwim. Hasil daripada aktiviti rukyah menjadi data dan maklumat penting dalam analisis had kenampakan anak bulan. Justeru metodologi atau kaedah yang betul dan sesuai perlu diikuti supaya aktiviti rukyah yang dilaksanakan boleh diterima pakai untuk sebarang analisis berkaitan.

Rukyah Dan Hisab

Rukyah adalah melihat anak bulan. Hisab pula adalah hitungan falak berkaitan kedudukan objek samawi (langit). Bagaimanapun, penggunaan kaedah ‘rukyah dan hisab’ yang diamalkan di Malaysia, membentuk definisi baru mengenai rukyah dan hisab, bila mana ia menjadi satu entiti, iaitu ‘penggunaan kaedah saintifik dalam menentukan kenampakan anak bulan’. Hari rukyah (rasmi) adalah setiap hari ke 29 hijriyah. Cerapan hari ke 30 hanyalah untuk semakan atau latihan sahaja.

Kaedah Merukyah Anak Bulan

Kaedah yang diamalkan di Malaysia (dan dipersetujui di peringkat antarabangsa) adalah menggunakan instrumen optik. Justeru teodolit menjadi intrumen utama di setiap lokasi rukyah. Penggunaan binokular dan teleskop adalah sebagai tambahan bagi lokasi yang memilikinya.

Tatacara umum dalam aktiviti merukyah adalah seperti berikut:

i. Penjejakan matahari dimulakan seawal jam 6 petang untuk menyemak ketepatan data pra-rukyah dan tanda rujuk di tempat rukyah.

ii. Penjejakan anak bulan dimulakan kira-kira 10 minit sebelum matahari terbenam sebagai langkah persediaan.

iii. Ahli rombongan rasmi yang lain yang tidak berada hampir dengan peralatan, perlu turut memerhati langit, ke arah kedudukan hilal berpandukan arah hadap peralatan yang digunakan.

iv. Apabila anak bulan kelihatan, beri isyarat kenampakan kepada anggota rasmi yang lain, dengan keutamaan kepada ketua rombongan (Mufti/Pegawai Agama) untuk pengesahan.

v. Jika rukyah dilakukan pada hari bulan terbenam lebih awal daripada matahari, anggota rukyah mesti meneruskan rukyah sehingga kira-kira 5 hingga 10 minit selepas matahari terbenam. Teliti keadaan langit selepas matahari terbenam untuk mengesahkan tiada apa-apa objek yang boleh dikelirukan sebagai anak bulan.

vi. Laporan kepada pusat rukyah negeri dibuat selepas aktiviti di atas selesai.

Teknik Rukyah Yang Berkesan

Aktiviti melihat anak bulan memerlukan teknik yang betul dan sesuai supaya objektif aktiviti tersebut dapat dicapai. Antara teknik rukyah menggunakan peralatan optik yang betul adalah seperti berikut:

i. Semak ketepatan data rukyah dengan melakukan penjejakan matahari terlebih dahulu. Sebarang kesilapan mungkin dapat disedari lebih awal dan diperbetulkan.

ii. Suaikan fokus alatan pada fokus infiniti terbaik sebelum mula menjejak anak bulan. Dengan menghalakan alatan ke arah rekahan awan jauh di hampir ufuk, fokuskan awan tersebut sebaik mungkin. Oleh itu, alat telah berada pada fokus yang sesuai apabila penjejakan anak bulan dimulakan.

iii. Semasa melakukan penjejakan anak bulan, hadkan pergerakan skala fokus alat supaya ia tidak teranjak dari fokus infiniti terbaik yang dilakukan dalam (ii).

iv. Mengawal pandangan hanya ke arah langit yang redup, supaya mata tidak terganggu oleh silau serakan cahaya matahari dan sebagainya.

v. Berkeyakinan tinggi walau apa jua keadaan langit dan awan, kerana formasi awan boleh berubah hanya dalam beberapa minit.

Penutup

Semangat tinggi disertai dengan kemahiran mengendali alatan, serta sekurang-kurangnya memahami tentang sistem optik alatan dan teknik fokus, aktiviti merukyah anak bulan boleh dilaksanakan dengan sempurna, mematuhi kaedah dan boleh menjadi bahan analisis saintifik yang penting dalam pembentukan justifikasi kenampakan dan penyusunan takwim.

Unit Falak SPU
UDM Kampus KUSZA
4 Syaaban 1427
28 Ogos 2006