Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

LAPORAN Utusan Malaysia Jumaat lalu mengenai nasib para peniaga kecil di negeri Johor yang berkemungkinan gulung tikar selepas tragedi banjir besar cukup menggamit perasaan penulis. Rata-rata yang ditemu bual menyatakan kesukaran meneruskan perniagaan akibat bebanan kerugian yang ditanggung selepas dilanda banjir.

Masalah ekonomi seperti ini pastilah memerlukan perhatian dan tindakan segera pihak berwajib dan seluruh warga yang prihatin agar tidak melarat-larat hingga mampu mencetuskan permasalahan baru yang lebih parah dalam masyarakat seperti masalah sosial, jenayah dan kemiskinan.

Apa yang lebih membimbangkan sekiranya fenomena ini diambil kesempatan pula oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti Ah Long yang cuba mengaut keuntungan di atas kesusahan orang lain dengan menawarkan hutang mudah tanpa cagaran yang akhirnya menjerat peniaga ke dalam jerangkap hutang berfaedah tinggi.

Di sinilah perlunya nilai-nilai muamalah Islam untuk kembali ditelusuri dan disemangati bagi menangani isu kesengsaraan umat yang dilanda tragedi seperti ini. Sebagai sebuah agama yang amat menitikberatkan soal keadilan dan kebajikan, Islam mempunyai pelbagai pendekatan yang boleh dimanfaatkan khususnya dalam membantu mereka yang dilanda musibah.

Sebab itulah selain daripada menggunakan pendekatan sedia ada seperti sumbangan sedekah dan zakat, Islam sebenarnya turut menggalakkan umatnya agar membantu saudaranya yang berada dalam kepayahan dengan menggunakan instrumen yang dikenali sebagai Qard al-Hasan.

Qard adalah perkataan Arab yang bermaksud hutang manakala Hasan berasal daripada perkataan ihsan yang bermaksud berbuat kebajikan kepada orang lain. Maka Qard al-Hasan ialah instrumen hutang bersifat kebajikan yang diberikan kepada orang yang memerlukannya untuk tempoh tertentu tanpa sebarang faedah dikenakan ke atas nilai asas hutang tersebut.

Penerima hutang wajib melunaskan kesemua nilai asas yang dipinjamkan kepadanya apabila cukup tempoh matang yang ditetapkan. Manakala pemberi hutang pula tidak boleh mengenakan sebarang kadar tambahan ke atas nilai asas tersebut walaupun melebihi tempoh matang.

Dengan kata lain, pemberi hutang diharamkan daripada mendapat sebarang manfaat daripada hutang yang diberikan. Sebarang manfaat yang diperoleh daripada hasil hutang dikira riba yang jelas diharamkan dalam al-Quran (al-Baqarah: 278-279).

 

Walau bagaimanapun, peminjam digalakkan membayar hutangnya dengan nilai yang melebihi nilai asas yang dipinjamkan kepadanya dengan syarat ia dilakukan atas kerelaannya sendiri tanpa sebarang paksaan atau ketetapan yang disyaratkan oleh pemberi pinjaman.

Ini bersandarkan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Rafi’ yang mengatakan bahawa Nabi s.a.w. telah meminjam seekor unta dan menerima sadaqah beberapa ekor unta lain. Baginda kemudian mengarahkan Rafi’ membayar hutang baginda. Rafi’ memaklumkan kepada Rasulullah bahawa unta yang ada hanyalah unta yang lebih baik kualitinya daripada yang dipinjam baginda. Rasulullah tetap mengarahkannya membayar hutang tersebut walaupun dengan nilai unta yang lebih baik, seraya bersabda: Orang yang terbaik di antara kamu ialah orang yang membayar hutangnya dengan cara yang terbaik. (Riwayat Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hebatnya Islam sebagai sebuah agama yang bukan sahaja menitikberatkan urusan ibadah yang menyentuh kewajipan makhluk terhadap Khalik atau Penciptanya, tetapi turut memperincikan hal muamalah berkenaan kewajipan manusia sesama mereka.

Prinsip keadilan yang menjadi teras kepada matlamat syarak atau Maqasid As-Syariah sentiasa menjamin hak dan kebajikan mereka yang memerlukan bantuan dan dukungan. Sebab itulah dalam sistem muamalah Islam, aspek kebajikan amat diutamakan khususnya kontrak kebajikan (tabarru’) seperti Qard al-Hasan, di samping kontrak-kontrak komersial bersifat keuntungan seperti kontak jual beli (al-bai’), sewaan (ijarah) dan perkongsian untung rugi (mudarabah dan musyarakah).

Qard al-Hasan merupakan kontrak kebajikan yang besar nilainya di sisi Allah: Jika kamu meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik (qardan hasanan) nescaya Allah melipat gandakan (pembalasannya) kepadamu dan mengampunimu (at-Taghaabun: 17). Banyak lagi ayat al-Quran lain yang turut memperincikan ganjaran besar kepada mereka yang ikhlas memberi pinjaman berbentuk Qard al-Hasan ini (Lihat al-Baqarah: 245, al-Maidah: 12, al-Hadid: 18, al-Muzammil: 20).

Malah menurut pandangan sesetengah ulama, nilai Qard al-Hasan lebih baik daripada pemberian sedekah bersandarkan hadis Nabi: Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda. Rasulullah bertanya kepada Jibrail, “Kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah?” Jawabnya, kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan. (Ibn Majah dan Baihaqi).

Justeru dalam menangani isu mangsa banjir baru-baru ini, umat tidak seharusnya terikat kepada satu dua pendekatan bantuan semata-mata. Adalah lebih baik menggunakan pelbagai instrumen yang diharuskan syarak bagi memenuhi kehendak dan keperluan sebenar mangsa. Ini termasuklah menyediakan kemudahan berhutang berpandukan prinsip Qard al-Hasan yang pastinya mampu mengurangkan bebanan peniaga yang ingin memulakan penghidupan baru selepas musibah yang melanda.

 

Sumber : Bicara Agama, Utusan Malaysia 7 Jan 2006