Oleh: Baharrudin bin Zainal

1. Pendahuluan

Takwim hijri di Malaysia digunakan untuk tujuan agama dan awam. Sesuatu isu yang berlaku dalam takwim menjadi isu science-sosial-religious. Manakala sebarang masalah yang timbul daripada perlaksanaan takwim ini boleh menimbulkan polimik dalam masyarakat. Justeru itu, penyelarasan data takwim dan kaedahnya menjadi keutamaan dalam penyediaan takwim hijri di Malaysia.

2. Penyelarasan Takwim Hijriyah Di Malaysia

Untuk menyelaraskan tugas teknikal berkaitan takwim Islam, Majlis Raja-Raja Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa Dan Hari Raya (JMAPH) pada tahun 1974. Jawatankuasa ini dipertanggung jawabkan untuk menyediakan dokumen berkaitan tarikh permulaan puasa dan hari raya untuk Majlis Raja-Raja Malaysia. Walau bagaimanapun untuk tujuan penyelarasan dan persefahaman takwim Islam ASEAN, JMAPH pada tahun 1989 telah menubuhkan pula Jawatankuasa Teknikal Takwim Islam Kebangsaan (JTTI). Jawatankuasa ini telah diberikan peranan yang lebih besar iaitu bertanggung jawab menyediakan data teknikal takwim, kajian mengenai takwim Islam dan hal ehwal falak. Tugas utama JTTI untuk JMAPH ialah menyediakan data teknikal permulaan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah yang akan dibincangkan oleh JMAPH. Seterusnya, JMAPH pula akan menyediakan deraf dokumen untuk berkenankan oleh Majlis Raja-Raja Malaysia. Struktur lebih jelas di peringkat kebangsaan dari segi mekanisme penyelarasan takwim Islam sebagaimana dalam Lihat Rajah 1.


Rajah 1: Mekanisme Perlaksanaan Takwim Islam Di Malaysia

Untuk tujuan penyelarasan di peringkat negeri pula, jawatankuasa di peringkat negeri dilantik oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja atau Sultan. Manakala Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong pula akan melantik jawatankuasa bagi negeri Melaka, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang. Keanggotaan jawatankuasa di peringkat negeri terdiri daripada,

1. Mufti Negeri sebagai pengerusi jawatankuasa
2. Kadi Daerah
3. Pengarah Jabatan Ukur (beragama Islam) atau wakilnya.
4. Wakil Jabatan Agama Islam
5. Seorang ulama atau ahli falak

3. Penggunaan Syarat Kenampakan Anak Bulan

Penggunaan kaedah jangkaan kenampakan anak bulan (kemudian dinamakan imkannur rukyah), bermula pada 1403H (1982M). Mulai tahun 1991, syarat kenampakan anak bulan yang digunakan untuk membuat justifikasi kenampakan anak bulan pada hari ke 29 hijri sebagaimana berikut:

Ketika matahari terbenam,
(i) Ketinggian (altitud) bulan tidak kurang daripada 2°,
DAN
(ii) Jarak lengkok matahari ke bulan tidak kurang daripada 3°.

ATAU

Ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada 8 jam.

Menurut kaedah penyelarasan rukyah dan hisab di Malaysia, hari melihat anak bulan ditetapkan pada hari ke 29. Pengumuman mengenai penetapan tarikh merukyah akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Malaysia bersama-sama dengan senarai tempat melihat anak bulan yang telah diwartakan sebagai tempat rukyah rasmi. Pengumuman mengenai tarikh berpuasa atau hari raya pula, akan diumumkan oleh pihak yang sama sebaik sahaja laporan rukyah dari seluruh negara diterima pada hari melihat anak bulan. Pada tahun 1995, syarat kenampakan anak bulan ini telah dijadikan sebagai asas untuk mengira tarikh awal bulan hijri dalam takwim Islam yang digunakan di Malaysia.


Rajah 2: Kedudukan bulan yang memenuhi syarat imkannur rukyah

Berdasarkan kaedah dan penyelarasan takwim hijri yang diamalkan di Malaysia, terdapat empat keadaan yang berbeza semasa hari rukyah, iaitu:

A. Anak bulan belum wujud lagi kerana ijtimak masih belum berlaku.

B. Anak bulan masih belum wujud lagi, walaupun ijtimak telah berlaku.

C. Anak bulan telah berada di atas ufuk, tetapi sifat fizikalnya masih belum matang dan tidak mencapai syarat kenampakan anak bulan menurut imkannur rukyah.

D. Anak bulan telah berada di atas ufuk, dan menepati justifikasi imkannur rukyah.

Sekiranya dalam keadaan A atau B, bulan dikelasifikasikan sebagai belum wujud atau bulan tidak berada di atas ufuk, maka bulan hijri berkenaan menjadi 30 hari. Jika keadaan C pula yang berlaku, bulan sudah wujud tetapi di bawah syarat imkannur rukyah. Sekiranya anak bulan tidak kelihatan (memang mustahil dapat dilihat), maka bulan hijri berkenaan menjadi 30 hari. Dalam keadaan D pula, bulan sudah wujud dan memenuhi syarat imkannur rukyah. Justeru itu, sama ada anak bulan kelihatan atau tidak, bulan baru boleh dimulakan.

4. Penyelarasan Rukyah Dan Hisab MABIMS

Dalam Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Malaysia (MABIMS) pada bulan Mac 1991, persetujuan telah dicapai untuk menyelaraskan keputusan rukyah di kalangan negara anggota khusus bagi penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Mengikut mekanisme penyelarasan takwim negara-negara anggota MABIMS, persoalan matlak diketepikan sebaliknya penyelarasan dibuat berdasarkan ‘kesatuan hukum (wehdah hukumi)’, kecuali Negara Brunei Darussalam yang berpegang kepada syarat matlak. Dalam ilmu falak, matlak ditafsirkan sebagai kawasan yang berada pada jangkamasa waktu-waktu terbit dan terbenam yang hampir sama. Menurut kitab-kitab fekah jangkamasa ini merupakan satu kawasan selebar 8° pada longitud yang bersamaan 32 minit. Negeri-negeri atau tempat yang berada dalam jangkamasa perbezaan ini berada pada satu kesatuan matlak (ittihad al-matlak), manakala melebihi dari jangkamasa ini mengalami perbezaan matlak (ikhtilaaf al-matlak). Sebahagian ulama berpendapat kesatuan matlak juga berdasarkan ‘negeri-negeri yang berada dalam iklim yang sama’. Walau bagaimanapun, terdapat kelonggaran dalam penggunaan matlak sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar dalam kitab Tuhfah. Kelonggaran ini membolehkan penggunaan matlak diketepikan berdasarkan pertimbangan hakim (kadi).

Wallahu A’alamu Bil Ghaib