Oleh : Ustaz Mohd Asri b Zainul Abidin

Sabda Nabi s.a.w Maksudnya: “Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang (jihad) dan tidak pernah berlintas dalam dirinya untuk berperang (berjihad), maka dia mati atas satu cabang nifaq (kemunafikan)” *1

Huraian

Hadith ini memasukkan mereka yang tidak menyertai jihad atau berhasrat menyertai jihad sebagai golongan yang mati di atas satu cabang dari nifaq (sifat munafiq). Ini kerana sifat golongan munafik sejak pada zaman Nabi S.A.W. takutkan dan enggan menyertai perang jihad.



Perkataan jihad di dalam Islam memang luas maksudnya. Ianya merangkumi, jihad harta benda, pendidikan, dakwah dengan lisan, penulisan dan seumpamanya. Namun apabila kita menyebut peperangan atau di dalam bahasa Arabnya al-Harb, atau disebut sebagai al-Jihad al-Qitali iaitu jihad peperangan atau mungkin diterjemahkan sebagai perang jihad maka kita maksudkannya ialah peperangan menentang musuh demi menegakkan al-din dengan senjata. Kata al-Zurqaniy (wafat 1222H):

“Jihad di segi syarak ialah mencurahkan tenaga dalam memerangi golongan kuffar” *2

Islam tidak memerangi golongan kuffar melainkan dengan alasan yang kukuh iaitu pencerobohan atau kemelampauan terhadap umat Islam. Inilah pegangan jumhur (majoriti) ulama bahawa `illah (punca) sebenar mereka diperangi ialah (al-Hirabah) iaitu kerana penentangan dan peperangan yang mereka lancarkan. Oleh itu, bagi golongan non-muslim yang tidak melancarkan peperangan dan permusuhan mereka terhadap umat Islam, maka mereka tidak diperangi dan dibunuh. Antara dalil-dalil dalam perkara ini ialah ayat-ayat berikut:

Firman Allah :

(maksudnya): “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas” (Surah al-Baqarah: ayat 190)

Juga ayat 36 daripada Surah al-Taubah:

(yang bermaksud): “Perangi golongan musyrikin itu keseluruhannya seperti mana mereka mereka memerangi kamu keseluruhan”.

Ayat-ayat ini dan beberapa ayat-ayat lain adalah jelas menunjukkan peperangan yang dilancarkan ke atas mereka adalah di atas sikap dan tindakan salah yang dilakukan mereka, bukan kerana kekufuran. Bahkan dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 begitu jelas Allah menyatakan (maksudnya):

(maksudnya) : “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Al-Imam al-Tabariy (wafat 310H) setelah membentang pendapat-pendapat mengenai ayat di atas, berkata: “Pendapat yang lebih tepat ialah; ayat ini bermaksud Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan adil kepada sesiapa yang tidak memerangi kamu dari kalangan semua agama. Ini kerana Allah menyebutnya secara umum dengan katanya “orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu” merangkumi sesiapa sahaja yang bersifat demikian” *3

Perang jihad bukanlah fardu `ain pada setiap masa. Pendapat yang kuat ialah jihad hukumnya fardu kifayah. Ini adalah pendapat (jumhur) majoriti para fuqaha. Dalil mereka ialah firman Allah:

Maksudnya:
“Tidaklah sama kedudukan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) di kalangan orang-orang yang beriman tanpa keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Setiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan al-husna (syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.”

Dalam ayat ini Allah menjanjikan untuk golongan mujahidin dan juga mereka yang tidak pergi berperang dengan balasan al-husna iaitu syurga. Sedangkan tidak mungkin seseorang yang melanggar arahan Allah tidak akan dijanjikan syurga. Ini menunjukkan mereka yang tidak pergi berperang adalah tidak berdosa. *5

Firman Allah juga:

Maksudnya:”Dan tidak sepatutnya mereka yang beriman keluar semuanya (pergi berperang), hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga.” *6

Di sisi jumhur (majoriti) ulama, dalil-dalil ini menunjukkan bahawa al-jihad al-qitali atau berperang di jalan Allah bukannya fardu `ain, sebaliknya ianya adalah fardu kifayah.

Namun begitu para ulama kesemuanya bersepakat bahawa dalam beberapa keadaan tertentu, jihad yang fardu kifayah tersebut bertukar menjadi fardu `ain. Keadaan-keadaan itu ialah:

Keadaan Pertama:

Apabila tanahair umat Islam diserang oleh musuh. Ketika itu jihad menjadi fardu `ain. Tiada beza dalam keadaan ini samada yang tua dan muda. Kewajipan ini terlebih dahulu, mesti dilaksanakan oleh penduduk yang diserang oleh musuh. Kemudiannya ke atas penduduk muslimin yang berjiran dengan mereka -jika pertolongan mereka diperlukan-. Seterusnya ke atas seluruh umat, jika mereka diperlukan untuk menyelamatkan nrgeri tersebut. Kata al-Imam al-Nawawiy (wafat 676H):

“Jihad itu bukan fardu `ain, ianya hanya fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian yang memenuhi tuntutan tersebut, maka gugurlah dosa ka atas yang lain. Jika kesemua mereka meninggalkannya maka kesemuanya berdosa. Kata para ulama mazhab kita (ulama al-Syafi`iy) jihad pada hari ini (pada zaman beliau) adalah fardu kifayah, kecuali jika musuh menyerang sesuatu negeri (umat Islam), maka jihad ketika itu menjadi fardu `ain ke atas mereka. Jika mereka tidak mencukupi, maka wajib ke atas penduduk yang berdekatan untuk menyempurnakannya” *7

Kata al-Jasas (wafat 370H): “Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin” *8

Ini semua di atas dasar umat Islam adalah bersaudara. Sempadan geografi dan politik tidak boleh untuk memisah persaudaraan yang dibina di atas akidah dan tauhid.

Keadaan Kedua:

Apabila pemerintah memilih dan menentukan individu atau golongan tertentu untuk pergi berperang, maka wajib mereka mentaatinya. Ianya menjadi fardu `ain ke atas mereka. Ini berdasar firman Allah yang kita sebutkan di awal tajuk:

(maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih sukakan kehidupan dunia melebihi akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. Jika kamu tidak pergi berperang pada jalan Allah (membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” *9.

Juga dalam riwayat daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah, Rasulullah s.a.w bersabda:

(maksudnya)”Tiada lagi hijrah (dari Mekah ke Madinah) selepas pembukaan Mekah, tetapi yang ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu dipanggil oleh pemerintah untuk berperang, maka berangkatlah”. *10

Adalah perlu diingatkan bahawa apabila pemerintah muslim meminta rakyat berjihad bersamanya menghadapi kuffar maka wajib mereka mentaatinya tanpa perlu melihat kepada peribadi pemerintah samada dia seorang yang adil atau zalim. Ini kerana persoalan menentang musuh-musuh Allah demi mempertahankan agama adalah kewajipan yang tidak terhenti atau terbatal hanya disebabkan tidak puas hati rakyat kepada pemerintah. Apabila rakyat pasti apa yang diajak oleh sesebuah pemerintahan itu benar-benar jihad yang dituntut oleh Islam, maka wajib menyahut seruan tersebut sekalipun sebelum ini pemerintah itu bukan seorang yang baik. Demikian juga apabila pemerintah mengajak kepada sesuatu kebaikan maka tidak perlu dipertikaikan keperibadiannya dalam memberikan ketaatan. Inilah perkara yang diingatkan oleh para ulama sejak dahulu lagi iaitu; umat wajib mentaati pemerintah yang muslim dalam persoalan kebaikan dan kebajikan. Antaranya al-Imam Abu Daud (wafat 275H) memasukkan dalam sunannya iaitu Sunan Abi Daud di dalam Kitab al-Jihad bab Fi al-Ghazw ma`a aimmah al-Jaur (bab mengenai berperang bersama dengan pemimpin-pemimpin yang zalim). Kata al-Khattabiy (wafat 388H):

“Sesungguhnya jihad itu wajib sekalipun bersama-sama dengan pemerintah yang zalim, sepertimana ianya wajib bersama pemerintah yang adil. Kezaliman mereka tidak menggugurkan kewajipan mentaati mereka dalam persoalan jihad. Demikian juga dalam perkara kebaikan yang lain yang menyamainya” *11.

Demikian juga kata al-Imam Abu Uthman al-Sabuni (wafat 449H):

“Ashab al-Hadith (ulama hadith) berpegang bahawa hendaklah bersolat jumaat, hariraya dan selainnya di belakang pemerintah yang muslim, samada dia (pemerintah tersebut) seorang yang baik atau jahat. Juga ashab al-hadith (ulama hadith) berpegang bahawa kewajipan jihad menentang kuffar bersama dengan pemerintah sekalipun mereka itu zalim dan jahat” *12.

Keadaan Ketiga

Ketika bertembung antara tentera Islam dan kuffar atau apabila tercetus peperangan. Ketika itu haram bagi sesiapa yang berada di medan tempur lari meninggalkan medan. Ianya menjadi fardu `ain ke atas diri tentera yang berada di medan untuk turut berperang bersama dengan para pejuang yang lain. Haram sesiapa pun berpaling dan lari meninggalkan medan perang. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Anfal: ayat 45).

Sabda Nabi s.a.w:

(maksudnya)”Wahai manusia! Janganlah kamu mengharapkan untuk bertemu dengan musuh dan pohonlah kesejahteraan daripada Allah. Namun apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bersabarlah dan ketahuilah kamu, sesungguhnya syurga itu berada di bawah bayangan pedang” *13

Sabda baginda juga:

“Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan menuduh zina terhadap perempuan-perempuan yang baik, yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan zina serta beriman.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ternyata lari dari medan tempur adalah kesalahan yang besar di sisi agama kerana meninggalkan jihad. Ini kerana perbuatan lari dari medan jihad ketika peperangan berlangsung adalah pengkhiatan terhadap para pejuang yang lain yang sedang bersabung demi akidah dan maruah. Ianya juga akan merosakkan strategi dan melemahkan semangat para pejuang yang lain. Al-Imam al-Zahabiy (wafat 748H) memasukkan kesalahan ini di dalam senarai dosa-dosa besar di dalam kitabnya al-Kabair. *15

Apabila jihad menjadi fardu `ain ke atas seorang muslim maka dia wajib menyertainya atau berhasrat menyertai jika dia tidak mampu.

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H):

“Jihad itu sekalipun fardu kifayah, namun setiap mukmin pada asas diperintahkan dengannya. Maka hendaklah setiap mereka beriktikad tentang kewajipannya serta berazam untuk melakukannya apabila menjadi fardu `ain kepadanya. Justeru itu Nabi S.A.W bersabda: “Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang (jihad) dan tidak pernah berlintas dalam dirinya untuk berperang (berjihad), maka dia mati atas satu cabang nifaq (kemunafikan)”. *16

Pengajaran Semasa

1. Umat Islam hari ini adalah bertanggungjawab untuk membela saudara muslim yang sedang ditindas di serata dunia. Jihad dalam peringkat sebegini boleh mencapai ke peringkat fardu `ain, terutama ke atas bahu para pemerintah umat.

2. Jika kita tidak mampu untuk membela saudara kita kaum muslimin lain yang tertindas disebabkan halangan-halangan yang ada, maka kita hendak berazam satu hari nanti untuk melaksanakan tanggungjawab itu apabila Allah membuka ruang untuk kita.

3. Antara tanda umat Islam berazam membela saudara mereka yang tertindas ialah dengan cara membina kekuatan persenjataan negara-negara umat Islam dan memastikannya berada di tangan mereka yang berhasrat membela umat.

————–

*1 – Riwayat Muslim dalam al-Imarah, al-Nasai dalam al-Jihad dan Abu Daud dalam al-Jihad.

*2 – Al-Zurqani, Syarah al-Zurqaniy `ala Muwatta’ al-Imam Malik (Beirut, Dar al-Kutub al-`iIlmiyyah, 1411H) 3/3.

*3 – Muhamamad Ibn Jarir al-Tabariy, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Aiy al-Quran (Dar al-Fikr, Beirut) 28/66.

*4 – Surah al-Nisa’ 95

*5 – Dr. Abu Syariah, Nazariyyah al-Harb, m.s. 109, cetakan: Maktabah al-Falah, Mesir

*6 – Surah al-Taubah: 122.

*7 – al-Nawawiy, Syarh al-Nawawiy `ala Sahih Muslim, jilid 13, m.s. 9, cetakan Dar al-Ihya al-Turath al-`Arabiy, Beirut

*8 – Ahkam al-Quran, 4/312.

*9 – Surah al-Taubah 38-39

*10 – Riwayat al-Bukhari dan Muslim

*11 – al-Khattabiy, Ma`alim al-Sunan, 2/ 357, cetakan: Dar al-Ma’rifah, Beirut

*12 – Abi Uthman al-Sabuni, `Aqidah al-Salaf wa Ashab al-Hadith, m.s. 106, cetakan: M. al-Ghuraba` al-Athariyyah, Madinah.

*13 – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

*14 – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

*15 – lihat: al-Kabair, m.s. 70, cetakan: Dar al-Nadwah, Lubnan

 

 

Sumber al ahkam