Oleh : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

My Photo

Apa ertinya kemajuan dan pembangunan? Apa ertinya menjadi negara merdeka? Apa ertinya menjadi negara perusahaan ataupun negara industri? Kalau mereka yang menjadi jantung kepada jentera pembangunan dan kemajuan itu hidup melarat. Kais pagi, makan pagi. Kais petang, makan petang, Malah perlu ditambah lagi perbidalan ini dengan: kais malam, makan malam.

Mengapa dikatakan begini? Jawapan tiada lain melainkan betapa peritnya kehidupan golongan buruh dan pekerja negara ini. Nasib merreka sering tidak dipedulikan, bahkan suara mereka tidak lantang dibicarakan di mana-mana. Mereka sering dikompromikan malah kadang-kala diperlecehkan oleh pelbagai pihak.

Barangkali ramai yang kurang sedar kebanyakan daripada 10.5 juta pekerja di negara ini tidak menerima imbuhan sepatutnya, dengan lain perkataan, mereka tidak dapat menikmati hasil penat lelah dan pengorbanan mereka selama ini. Statistik dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menunjukkan kira-kira 2 juta pekerja di Malaysia hanya menerima gaji sekitar RM600 sebulan. Malah, ratusan ribu yang lain terutamanya pekerja kilang, rata-rata menerima gaji pokok di antara RM350 ke RM480 sebulan.

Tidak hairanlah terdapat kajian yang menunjukkan bahawa sekitar 20% para pekerja di negara ini terpaksa melakukan dua pekerjaan dalam satu masa. Sebagai contoh, pagi dan petang bekerja di kilang manakala malam pula bekerja sebagai pemandu teksi atau pengawal keselamatan demi mencukupkan biaya hidup yang semakin tinggi dari masa ke semasa.

Pendapatan per kapita negara ini melebihi RM15,000 setahun. Malangnya, lebih daripada 5 juta pekerja kurang mahir dan separa mahir, tidak pernah menerima jumlah gaji sebesar itu. Walhal Nabi Besar Muhammad S.A.W telah menegaskan bahawa; “Berikan upah sebelum peluh seorang pekerja itu menjadi kering.” Baginda Rasulullah S.A.W pernah juga menyebut bahawa salah seorang yang bakal menjadi musuh di Hari Kiamat ialah orang yang mengupah seseorang melakukan sesuatu pekerjaan tetapi tidak membayar upahnya.

Upah dalam bentuk gaji mungkin dibayar oleh pihak majikan tetapi adakah ia setimpal dengan peluh dan keringat pekerja? Mengapa pemerintah masih mengabaikan ‘tuntutan lama’ para pemimpin kesatuan sekerja khususnya MTUC agar Akta Gaji Minimum segera diperundang-undangkan.

Atas nama Parti Islam SeMalaysia (PAS), saya mendesak kerajaan Barisan Nasional jangan terus berdolak-dalih untuk segera mengemukakan Akta Gaji Minimum di Parlimen. PAS tidak akan teragak-agak menyokong, dengan syarat angka gaji minimum yang diputuskan kelak, bersesuaian dengan kos sara hidup yang kian meningkat.

Pihak pemerintah wajib mengambil perhatian terhadap tekanan dan kesengsaraan yang dialami setiap pekerja dalam mencari nafkah hidup. Semenjak Kerajaan Malaysia bertukar ke “mazhab pengswastaan” pada tahun 1983, banyak kemudahan asas telah diswastakan atau dikorporatkan. Ekoran pengswastaan dan pengkoporatan, kos sara hidup meningkat tinggi. Oleh itu, atas nama Parti Islam SeMalaysia (PAS), di perhimpunan yang penuh bermakna ini, kami menuntut agar; Hentikan sebarang cadangan pengswastaan bekalan air dan perkhidmatan kesihatan. Kedua-dua kemudahan awam ini mesti kekal di bawah sektor awam.


Hentikan niat untuk memperkenalkan Cukai Perkhidmatan dan Barangan pada tahun 2007. Ambil langkah-langkah untuk memiliknegarakan semua kemudahan asas seperti bekalan elektrik, kesihatan dan air kerana adalah tanggungjawab Kerajaan untuk menjaga kepentingan pekerja-pekerja Malaysia dan keluarga mereka.

Bagi menampung kehidupan sehari-hari, para pekerja yang berpendapatan rendah terpaksa bekerja keras dan bertungkus-lumus membuat dua pekerjaan. Untuk terus hidup, mereka perlu bekerja. Untuk bekerja pula, mereka memerlukan makanan, tetapi untuk makan, mereka tertekan dengan kenaikan harga minyak dan bahan bakar serta kenaikan harga makanan asas dan barangan runcit seperti beras, gula, sayur, daging atau ikan. Malah tambang pengangkutan awam pun sudah naik. Bahkan bayaran perkhidmatan yang lain juga meningkat.

Dengan pendapatan yang rendah di tengah-tengah kenaikan harga barang yang melambung itu, para pekerja benar-benar sengsara dalam menyara kehidupan keluarga. Bayangkan pula betapa parahnya nasib para pekerja yang menjadi mangsa pembuangan kerja. Hari ini, pekerja diberhentikan dengan sewenang-wenangnya tanpa notis secukupnya, tanpa pampasan adil dan tanpa proses rundingan dengan pihak pekerja sebelum pihak majikan mengambil tindakan menutup syarikat, memindah syarikat atau mengurangkan pekerja.

Sehingga 9 Oktober 2004, seramai 15,688 pekerja hilang pekerjaan dan di sektor pembuatan, 9,263 pekerja dibuang kerja. Kerajaan tidak sepatutnya mendiamkan diri melihat fenomena pembuangan kerja ini berleluasa. Kerajaan tidak wajar meneruskan polisi tidak mesra kesatuan dengan membiarkan para majikan mengugut dan memangsakan pekerja yang aktif berperanan dalam kesatuan sekerja. Kerajaan perlu mengkaji semula polisi-polisi yang sedia ada. Jika perlembagaan negara memberikan hak berpersatuan, maka hak menyertai kesatuan sekerja bagi seluruh warganegara bergelar pekerja, janganlah dirampas begitu sahaja. Kesatuan sekerja diperlukan dalam mejamin hak dan kebajikan pekerja. Kesatuan sekerja juga memungkinkan pekerja menjalankan rundingan dengan lebih berkesan. Oleh itu, kami menyeru pihak Kerajaan melonggarkan syarat-syarat penubuhan kesatuan dan proses pendaftaran kesatuan yang diamalkan selama ini perlu dikaji semula.

Ketika ekonomi negara semakin membimbangkan, golongan pekerja yang perlu diprihatinkan. Perjuangan kaum pekerja untuk menikmati kehidupan yang lebih baik setelah hampir setengah abad negara merdeka, masih tersasar dari matlamatnya. Adalah menjadi harapan, wacana kebangsaan yang berlangsung pada hari ini, dapat menemukan permuafakatan di kalangan para pekerja dan penggerak demokrasi yang terdiri daripada para penggiat parti, badan-badan bukan kerajaan dan kesatuan-kesatuan sekerja dalam membela nasib kaum buruh – pekerja. Terlalu banyak isu yang perlu saudara perkatakan bagi mencapai konsensus di kalangan kita tanpa mengira sebarang perbezaan parti atau organisasi.

Mudah-mudahan kita berupaya mewujudkan sikap kerjasama seperti yang pernah disebut oleh orang-orang tua terdahulu:

Adat hidup berkawan-kawan
Sama melangkah seiring sejalan
Sama mengingat sama menjagakan
Sama merasa rezeki di pinggan
Sama meneguk air secawan

Adat hidup Melayu bahari
Sesama makhluk berbaik budi
Yang hilang sama dicari
Yang kurang sama diberi
Yang kosong sama diisi
Yang salah sama dibaiki
Yang bengkok sama dilurusi
Yang semak sama dikemasi

Dengan peringatan ini sukacita saya mengucapkan selamat berwacana, berdialog, berunding dan bermuafakat. Maka, dengan nama Allah Yang Amat Pemurah Lagi Amat Penyayang, saya dengan takzimnya melancar dan merasmikan Wacana Kebangsaan 2006: Permuafakatan Pekerja dan Penggerak Demokrasi.

Wallahu waliyu taufiq wal hidayah wassalamu ‘alaykum warahmatullahi wabarakatuh.