Oleh : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

My Photo

Ramai dari kalangan pejuang-pejuang Islam di Malaysia tidak menyedari bahawa mereka telah menunaikan satu perkara yang besar di dalam agama Islam, iaitu berjuang untuk menegakkan agama Islam. Satu perjuangan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, yang bertolak daripada Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, yang menjadi permulaan kepata tahun-tahun Islam.

Tahun kepada umat Islam tidak bermula daripada hari kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagaimana permulaan kepada tahun-tahun penganut agama lain. Tahun Islam juga tidak bermula dengan meraikan kemenangan dalam perperangan atau untuk mengingati hari kita mencapai kemerdekaan, tetapi permulaan tahun bagi umat Islam bermula dengan hijrah Rasulullah SAW, yang menjadi peristiwa yang penting kepada kerja Islam di atas dunia ini.

Rasulullah SAW telah menolak tawaran menjadi raja, menolak tawaran menjadi pemimpin dan menolak tawaran harta benda dan kekayaan yang ditawarkan oleh pemimpin-pemimpin Makkah. Sebaliknya Baginda mengambil langkah untuk berhijrah ke Madinah dan mendirikan sebuah kerajaan Islam di sana.

Kerajaan Islam yang pertama, tidak didirikan melalui peperangan sebaliknya peperangan hanya berlaku selepas kerajaan Islam didirikan. Penubuhan negara Islam itu bermula dengan mengumpulkan jamaah Islam yang kuat, yang terdiri daripada golongan Muhajirrin dan Ansar. Selepas itu mereka telah mengadakan tahaluf atau persefahaman dengan orang-orang Yahudi Bani Nadhir, Bani Qainuqah, Bani Quraizah dan juga dengan saki baki orang-orang musyrikin yang berada di Madinah dan juga termasuk golongan munafiqin yang paling bermusuh dengan Islam.

Dalam perjuangan kita sekarang ini, apa yang perlu kita lakukan ialah mendaftar sebagai pemilih. Samada kita sendiri yang mendaftar atau kita mendaftarkan ahli keluarga atau rakan-rakan yang kita kenali yang masih belum berdaftar sebagai pemilih. Kita hendaklah sedar bahawa perjuangan kita pada hari ini adalah perjuangan melalui pilihanraya.

Perjuangan melalui pilihanraya adalah jauh berbeza dari peperangan. Dalam peperangan kalau kita berjaya menghalau atau membunuh musuh maka kita mencapai kemenangan, tetapi dalam pilihanraya kalau kita berjaya menghalau orang maka kita akan kalah. Ini perlu kita sedari. Oleh itu, kita perlu mengumpul seramai mana yang boleh untuk menyokong kita.

Kita juga perlu menyedari bahawa pilihanraya juga adalah peperangan. Iaitu peperangan politik. Walaupun Rasulullah SAW tidak menyertai pilihanraya tetapi apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah melalui cara berunding. Menyatukan di antara Muhajirin dan Ansar dan juga mengadakan tahaluf dengan mereka yang bukan Islam untuk membolehkan Rasulullah SAW memerintah Madinah.

Mungkin ada diantara kita yang merasakan bahawa pilihanraya ini tiada kena mengena dengan agama. Kalau itulah kefahaman kita, maka tiada bezanya kita dengan Umno, kerana menurut kefahaman Umno, mereka mengatakan bahawa agama suku dan politik suku.

Sesungguhnya perjuangan kita tidak serupa dengan perjuangan Umno, kerana perjuangan kita adalah untuk mendirikan pemerintahan Islam. Sebenarnya kita telahpun membuktikannya apabila kita memenangi pilihanraya tahun 1999. Setelah memenagni pilihanraya tahun 1999, kita telah meminda perlembagaan negeri Terengganu dimana kita mengatakan bahawa ‘Hukum tertinggi bagi negeri Terengganu ialah al-Quran, Hadith, Ijma’ Ulama dan Qias’. Kita juga telah mengharamkan arak dan judi. Kita telah melaksanakan syariat di dalam urusan tanah. Kita juga telah memansuhkan pungutan cukai pintu kerana kita mempunyai sumber kewangan yang lain. Semua ini telahpun kita lakukan.

Kerana kesungguhan kita dalam mendirikan kerajaan Islam di Terengganulah maka musuh-musuh Islam seluruh dunia telah berkumpul dan memberikan sumbangan yang besar sehingga berjumlah beribu juta kepada musuh kita semata-mata untuk menjatuhkan kita.

Sebelum tahun 1999, kita masih belum melaksanakan apa yang telah kita janjikan. Mungkin ada yang tertanya-tanya samada betul kita betul-betul mahu melaksanakan Islam atau tidak. Tetapi sekarang telah jelas terbukti bahawa kita telah melaksanakannya. Malangnya, setelah kita melaksanakannya masih terdapat keraguan dalam diri kita seolah-olah kita tidak yakin dengan apa yang telah kita lakukan. Disinilah terletak kelemahan kita.

Dalam tahun 1999 dahulu, ke mana sahaja kita pergi kita sering melaungkan bahawa kita mahu menegakkan Islam dan mendirikan kerajaan Islam, tetapi dalam pilihanraya 2004 seolah-olah kita telah lupa bahawa kita telah menegakkan Islam dan kita telah melaksanakan syariat Allah SWT.

Walau bagaimanapun kelemahan ini bukan sahaja berlaku di zaman kita, tetapi kelemahan ini juga telah berlaku di zaman Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itu, Allah SWT telah mengajar umat Islam pada masa itu dengan kekalahan. Kita dapat saksikan bagaimana tentera Islam telah tewas di dalam peperangan Uhud dan juga di dalam peperangan Hunain supaya umat Islam dapat memperbetulkan kembali kesilapan-kesilapan kita.

Oleh itu kita mestilah menambah pejuang-pejuang kita, menambah pemuda-pemuda kita, bukan sahaja untuk mengundi tetapi untuk menyambung perjuangan kita yang mulia ini, kerana kerja kita adalah Jihad Fi sabilillah.

Apabila kita menyebut mengenai Jihad, tidaklah bererti berperang atau mengangkat senjata, kerana berperang menggunakan senjata hanyalah salah satu daripada cabang Jihad.

Selamat berjuang!

February 18, 2006