Pengenalan

The image “https://i0.wp.com/www.centrodeemergencia.com/photos/uncategorized/asma.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.Asma adalah sejenis penyakit saluran penafasan yang kronik yang melibatkan saluran udara yang membawa udara masuk dan keluar dari paru-paru. Ia menyebabkan kekejangan dada dan sesak nafas yang dikenali sebagai ’serangan atau episod asma’. Penyakit ini boleh membawa maut jika tidak dirawat atau dikawal dengan baik.

Deskripsi

Asma adalah ketidakaturan atau gangguan keradangan yang kronik yang melibatkan saluran udara. Saluran udara ini merupakan laluan bagi udara yang disedut untuk memasuki paru-paru. Bagi penyakit asma, saluran udara yang mengalami keradangan adalah sangat sensitif bila terdedah kepada pelbagai ransangan atau “pencetus”. Ia akan menjadi sempit, menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Terdapat dua jenis asma: asma alahan dan bukan alahan. Seseorang itu berkemungkinan untuk mempunyai kedua-dua jenis asma ini.

 Asma alahan

Asma jenis ini juga dikenali sebagai Asma Ekstrinsik (luaran) atau Asma Atopik. Ia terhasil apabila berlakunya penyedutan bahan-bahan yang pada kebiasaannya tidak membahayakan individu yang sihat. Hanya mereka yang alah atau alergik kepada bahan tersebut akan mendapat asma jenis ini. Contoh bahan-bahan tersebut termasuklah debunga, spora kulat, hama, bulu haiwan dan juga bahan alergen lain dalam makanan. Asma jenis ini biasanya bermula sejak zaman kanak-kanak lagi. Asma alahan ini selalunya disertai dengan gangguan alahan-alahan lain seperti Dermatitis,Urtikaria dan Rinitis

Asma bukan alahan

Ia juga dikenali sebagai Asma Intrinsik (dalaman). Kaum wanita lebih mudah mendapat penyakit ini berbanding dengan kaum lelaki dan ia adalah kronik. Cuaca sejuk, asap rokok, bau cat dan gasolin, infeksi atau jangkitan dan tekanan psikologi adalah antara faktor-faktor yang boleh mencetus atau memburukkan lagi keadaan asma jenis ini. Serangan asma ini boleh berlaku dalam bentuk yang ringan sehingga kepada yang lebih teruk dan boleh berterusan dari beberapa minit hingga ke beberapa hari. Ia juga boleh berulang setiap beberapa jam.

Keterukan asma:

  • Bagi serangan yang ringan dan berterusan, gejalanya muncul lebih dari dua kali dalam seminggu, tetapi bukan setiap hari

  • Bagi serangan yang sederhana, individu yang terlibat akan mengalami gejala asma setiap hari.

  • Bagi serangan yang teruk, pesakit mempamerkan gejala yang berterusan dan kerap.

Asas Saintifik

Sistem penafasan manusia membekalkan oksigen ke seluruh badan. Ia juga bertindak sebagai laluan untuk mengeluarkan gas karbon dioksida yang tidak diperlukan. Sistem respiratori> manusia terdiri daripada:

Hidung – sebagai pintu masuk udara persekitaran yang mengandungi oksigen dan juga sebagai pintu keluar bagi karbon dioksida.

Saluran Udara – berperanan sebagai laluan sebelum udara memasuki paru-paru dan selepas udara dibebaskan dari paru-paru. Saluran udara ini mengandungi banyak cabang yang dikenali sebagai bronkus dan bronkiul (bronkus yang lebih kecil).

Paru-paru – tempat di mana berlakunya pertukaran di antara oksigen yang disedut dengan karbon dioksida dari dalam darah.

Mereka yang menghidap asma memiliki saluran udara yang sangat sensitif dan mudah terdedah kepada pencetus asma tertentu. Semasa serangan asma berlaku, saluran udara mengalami beberapa perubahan, termasuklah:

  • Bronkospasma (otot licin dari dinding bronkus mengalami kekejangan/spasma)

  • Penghasilan mukus yang berlebihan

  • Keradangan atau inflamasi. Proses ini memburukkan lagi penyempitan saluran udara.

Perubahan ini mengurangkan pengaliran udara dan menghasil bunyi ronkus. Pengidap asma akan merasa seperti tercekik. Mereka termengah-mengah untuk menyedut udara, tetapi apabila udara telah masuki ke paru-paru, udara ini akan terperangkap di sebalik mukus dan amat sukar untuk dihembus keluar. Serangan asma boleh berlanjutan dari beberapa minit hingga ke beberapa jam bergantung kepada keterukan penyakit yang dihidapi.

Penyebab

Asma alahan disebabkan oleh alergen (pencetus alergi). Alergen ini biasanya mencetus gejala asma sewaktu penghidap asma bernafas. Saluran udara yang begitu sensitif akan mengalami pencerutan apabila alergen memasuki sistem penafasan melalui hidung.

  • Debunga, kulat dan hama adalah di antara alergen yang selalu hadir di udara. Kadangkala seseorang yang alah atau alergik boleh mendapat serangan asma apabila tertelan alergen. Contohnya seperti perisa makanan dan ubat-ubatan.

Untuk asma yang bukan alahan, pencetusnya tidak ada kaitannya dengan alahan tetapi masih mampu menimbulkan perubahan pada laluan udara sebagaimana tindakan alergen. Contoh-contoh pencetus bukan alergen ialah:

  • Agen Bawaan Udara – sebatian yang bercampur dengan udara seperti wasap dan wap dan asap. Agen atau bahan yang yang boleh mencetus gejala asma ini boleh wujud di dalam dan di luar rumah. Satu contoh bahan yang boleh wujud di luar rumah ialah gas karbon monoksida dari asap kenderaan. Contoh-contoh bahan bawaan udara yang wujud di dalam rumah termasuklah asap dari dapur dan wap dari cat aerosol.

  • Jangkitan pada sistem penafasan – terutamanya demam dan selsema. Kuman-kuman virus akan menyerang pengalas saluran udara dengan merangsang hujungan saraf menyebabkan otot yang menyelaputi saluran udara semakin tercerut.

  • Senaman dan juga lain-lain aktiviti fizikal mampu menyebabkan pesakit asma terpaksa bernafas dengan lebih cepat. Sesetengah individu menghidap asma yang teraruh oleh senaman. Ini bermaksud, mereka hanya mengalami gejala asma ketika bersenam.

  • Udara yang sejuk atau perubahan cuaca boleh mencetus asma kerana otot di sekitar saluran udara akan mengalami pencerutan sebagai tindakbalas terhadap suhu udara.

  • Emosi dan stres juga mampu mempengaruhi kekerapan dan keterukan asma. Desakan udara yang melalui saluran udara ketika marah dan resah mampu mencetuskan asma.

Faktor – Faktor Risiko

Faktor-faktor risiko asma adalah terdiri daripada faktor-faktor yang boleh menyebabkan keradangan pada saluran udara. Bagi mereka yang mengalami keradangan saluran udara sangat sensitif terhadap pencetus asma.

  • Pencemaran udara
    Mereka yang mudah terdedah kepada pencemaran udara mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit ini. Ini termasuklah mereka yang tinggal di kawasan bandar, tinggal bersama-sama perokok dan yang bekerja di persekitaran yang tercemar. Udara yang tercemar mengandungi pelbagai pencetus asma seperti asap dan wasap. Biasanya, ibubapa yang mengidap Asma mempunyai 6 kali ganda risiko untuk memperolehi anak yang menghidap asma.

  • Bayi pramatang
    Bayi pramatang juga memiliki risiko yang tinggi untuk menghidap Asma apabila umur mereka meningkat kelak. Ini kerana, sewaktu mereka dilahirkan, sistem respirasi mereka masih belum matang dan masih belum mampu berfungsi sepenuhnya. Golongan ini mudah menghidap Asma kerana mereka menghadapi masalah untuk menyedut dan menghembus udara keluar dari paru-paru.

  • Merokok
    Rokok mengandungi asap tembakau. Asap tembakau mengandungi pelbagai sebatian kimia yang boleh menyebabkan berlakunya keradangan pada saluran udara dan seterusnya menyebabkan asma.


Rawatan Pertolongan cemas

Apabila serangan asma berlaku, anda perlu mendapatkan bantuan perubatan dengan segera. Sementara menunggu ketibaan bantuan dari pihak yang berkenaan, anda seharusnya melakukan perkara-perkara berikut:

  • Tenangkan pesakit tersebut. Pesakit yang tenang dapat membantu memudahkan pernafasan dan seterusnya mengelakkan serangan asma menjadi lebih buruk.

  • Bantu pesakit untuk duduk mencondong ke hadapan. Kedudukan ini akan membantu menghalang penyempitan saluran udara.

  • Pastikan pengudaraan yang baik. Ini adalah untuk memastikan pesakit memperolehi bekalan oksigen yang mencukupi.

  • Jika pesakit mempunyai ubat, pastikan dia menggunakan ubat tersebut sebaiknya untuk meredakan gejala-gejala asma. Jika asma tersebut hanya serangan ringan, bantuan perubatan kecemasan tidak begitu diperlukan. Namun begitu, jika serangan tersebut berpanjangan dan ubat tidak berkesan, dapatkan bantuan perubatan dengan segera.

Rawatan Farmakologi

Terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan untuk Asma. Namun begitu, biasanya ubat ini diambil melalui penyedutan. Cara ini adalah yang paling efektif untuk membolehkan ubat masuk terus ke saluran udara. Teknik penggunaan alat sedut (inhaler) ini perlu dititikberatkan. Penghidap asma perlulah memastikan cara penggunaan alat ini dengan betul melalui bantuan doktor ataupun pegawai farmasi.

Terdapat pelbagai jenis ubatan yang digunakan untuk mengawal gejala asma, termasuklah:

  • Ubat anti-inflamasi
    Ubat jenis ini digunakan untuk mengurangkan keradangan pada saluran udara dan ini biasanya disediakan dalam bentuk kortikosteroid yang disedut. Ubat ini dapat menahan serangan asma daripada berlaku dan juga untuk menghalang gejala-gejala asma seperti batuk, kesukaran bernafas dan bunyi ronkus. Ubat anti-inflamasi hendaklah diambil secara berkala. Terdapat pelbagai jenis ubat anti-inflamasi ini dalam pasaran seperti Becotide dan Pulmicort

  • Bronkodilator
    Fungsi ubat ini adalah untuk mengendurkan otot yang menyelaputi tiub bronkiul. Bronkodilator memberikan kelegaan yang segera terhadap gejala-gejala asma dan menghentikan serangan asma. Ia boleh diambil secara oral/telan ataupun secara penyedutan. Dua jenis Bronkodilator yang biasa digunakan ialah Aminophylline dan Theophylline. Satu contoh Bronkodilator yang diambil secara penyedutan yang biasa terdapat di pasaran ialah Ventolin.

  • Profilaksis
    Ubat atau dadah jenis ini digunakan untuk menghalang serangan dari berlaku. Ia tidak digunakan untuk merawat serangan yang sedang berlaku. Contoh dadah jenis ini ialah Cromolyn Sodium (Intal).

Terdapat hirarki dalam merawat penghidap asma bergantung kepada keterukan serangan mereka.

  • Serangan asma ringan – Bronkodilator secara menyedut atau oral

  • Serangan yang lebih serius – Kortikosteroid dan Bronkodilator (oral/inhalasi)

  • Asma teruk yang akut – pesakit dimasukkan ke hospital, diberi bantuan oksigen dan menerima ubat secara intravena.

Kesan buruk penggunaan ubatan secara berlebihan (terutamanya yang diambil secara penyedutan)

Kesan sampingan ubat yang diambil secara penyedutan termasuklah:

  • Sakit kerongkong/tekak

  • Jangkitan pada mulut

  • Denyutan jantung yang cepat

  • Sakit kepala

  • Perengsaan di perut

  • Gangguan selera makan

  • Boleh menyebabkan gangguan proses tumbesaran

Pemantauan

Pemantauan di rumah memudahkan pesakit memantau keadaan asma mereka setiap hari. Sejenis alat yang dipanggil peak flow meter boleh digunakan untuk memeriksa fungsi paru-paru. Ia boleh memberitahu samada saluran udara tersebut sempit ataupun tidak. Alat ini juga boleh memberitahu samada ubat diperlukan atau tidak, berpandukan kepada gejala pada hari tersebut.

Alat ini dapat mengukur kelajuan udara yang dihembus keluar dari paru-paru. Struktur asas alat ini terdiri daripada satu tiub bersama indikator yang boleh menggelongsor. Indikator ini bergerak di sepanjang skala pada tiub tersebut. Untuk menggunakan alat ini, pesakit hanya perlu menarik nafas sedalam yang mungkin dan hembuskan ke dalam tiub tersebut sekuat hati.

  • Asma anda berada dalam keadaan baik jika bacaan pada meter adalah di antara 80 – 100%

  • Jika bacaan anda di antara 50 – 80%, anda perlu berhati-hati kerana asma anda tidak dikawal dengan baik. Bersedialah dengan ubat sekiranya serangan yang mengejut terjadi.

  • Jika bacaan anda di bawah 50%, ambil ubat dan cuba hembus lagi. Jika bacaan masih tidak meningkat, jumpa doktor anda secepat mungkin.

Ambil bacaan anda setiap pagi. Gunakan bacaan tersebut untuk menentukan aktiviti anda pada hari tersebut. Kemudian cuba gredkan sama ada gejala anda pada hari tersebut tiada, ringan, sederhana atau pun teruk. Jika anda mengalami serangan Asma, cuba kenalpasti pencetusnya. Setelah anda merekodkan keadaan Asma anda selepas beberapa bulan, anda akan lebih maklum mengenai keadaan asma anda.

Anda juga perlu bersedia apabila simptom anda muncul. Sediakan perkara-perkara di bawah:

  • Nombor telefon doktor anda

  • Nombor telefon pusat rawatan kecemasan yang terdekat

  • Preskripsi kecemasan untuk memudahkan anda memperolehi ubat-ubatan anda

  • Tahu cara untuk mengambil ubat dengan betul

Insidens

Di Malaysia sehingga tahun 1999, 5% dari orang dewasa dan 10% kanak-kanak menghidap asma. Jadual di bawah menunjukkan peratusan penghidap asma berasaskan umur:

Semua peringkat umur

4.8%

0-18 tahun

6.1%

19-44 tahun

4.1%

45-64 tahun

4.2%

65 tahun ke atas

5.2%

Sumber: National Health Interview Survey, National Center for Health Statistics, 1989. The New Straits Times – 19/9/1999

Tanda – Tanda Dan Gejala

Penghidap asma mengalami gejala-gejala yang disebabkan oleh perubahan yang berlaku pada saluran udara.

 

  • Semasa keradangan, penghasilan mukus akan meningkat. Pesakit akan batuk untuk membuang mukus tersebut. Batuk merupakan mekanisma semulajadi untuk membuang bendasing yang tidak diperlukan di dalam sistem penafasan.

  • Keradangan juga menyempitkan lagi saluran udara dan menyebabkannya spasma (kejang). Ini menyebabkan penghidap asma mengalami kesesakan nafas dan penyempitan dada. Bunyi ronkus dihasilkan apabila udara melalui saluran udara yang sempit.

  • Apabila kurang udara memasuki paru-paru, maka kuranglah oksigen yang dibekalkan. Kekurangan oksigen ini menyebabkan muka dan bibir pesakit asma berubah menjadi pucat dan kebiruan dan nadi pesakit juga akan meningkat. Apabila gejala ini muncul, beri rawatan pertolongan cemas dan dapatkan bantuan dengan segera.

Komplikasi

Seseorang individu yang menghidap asma lama kelamaan akan mengalami kesan jangka panjang jika penyakitnya tidak dikawal dengan betul. Kesan-kesan buruk yang mungkin berlaku termasuklah:

  • Keletihan bernafas
    Pesakit akan mengalami kesukaran bernafas. Ini adalah disebabkan penyempitan saluran udara yang menyebabkan pesakit susah untuk menyedut udara. Lebih banyak tenaga diperlukan untuk bernafas, sehingga pesakit berasa letih.

  • Pneumotoraks
    Satu keadaan di mana berlakunya pengumpulan udara yang berlebihan di bahagian-bahagian tertentu dalam paru-paru. Ini terjadi kerana penghidap asma menghadapi masalah untuk menghembus udara keluar. Ini menyebabkan lebihan udara terkumpul di dalam paru-paru. Lama-kelamaan, udara ini terkumpul dengan banyak menyebabkan berlakunya Pneumotoraks.

Ujian – Ujian

Jika anda disyaki menghidap asma, ujian-ujian ini akan dilakukan untuk mengesahkan Asma anda.

  • X-ray dada digunakan untuk memeriksa sebarang keabnormalan pada paru-paru.

  • Kiraan sel darah juga amat berguna untuk mengesan asma. Ini kerana penghidap Asma mempunyai paras eosinofil yang tinggi. Eosinofil merupakan sejenis sel darah putih yang akan meningkat parasnya dalam keadaan alahan. Sel darah diperiksa di bawah mikroskop untuk mengesan kehadiran eosinofil. Peningkatan sel darah putih secara keseluruhan juga boleh menandakan kehadiran jangkitan yang boleh mencetuskan serangan Asma.

  • Ujian alahan pada kulit. Ujian ini adalah untuk memastikan kehadiran alahan pada seseorang individu. Ujian ini boleh mengesahkan kewujudan alergen-alergen yang mungkin menyebabkan tindakbalas alahan kepada pesakit tersebut.

  • Ujian-ujian tambahan seperti ujian fungsi pulmonari dan gas darah arteri juga boleh dijalankan untuk mengenalpasti fungsi paru-paru pesakit.

Prognosis

Asma adalah penyakit yang boleh membawa maut jika tidak dirawat. Namun begitu, jika ia dikawal dengan baik, penghidap Asma boleh menjalani kehidupan yang biasa seperti orang lain.

Pencegahan

Perlu diingat bahawa kelegaan gejala Asma biasanya tidak datang dari ubat-ubatan. Ia datang dari pengenalpastian pencetus serangan asma. Pesakit mesti belajar untuk mengenalpasti dan mengelak daripada pencetus, berjaga-jaga dengan sebarang keadaan atau bahan yang boleh memburukkan lagi asma mereka serta mengambil ubat mengikut nasihat doktor.

Mengenalpasti serta mengelakkan pencetus

Setiap pesakit asma mempunyai pencetus asma yang berbeza. Pertama sekali anda perlu memahami pencetus asma anda sebelum boleh mengelakkannya. Penghidap Asma alahan perlulah mengawal persekitaran di luar dan di dalam rumah. Berikut merupakan petua untuk mengurangkan pencetus asma di dalam rumah.

  • Bersihkan kawasan luar dan dalam rumah setiap hari untuk menghapuskan habuk.

  • Kurangkan hama dengan membasuh serta membersihkan tilam, alas tilam dan selimut, sekali seminggu.

  • Elakkan sebarang haiwan dari memasuki rumah anda jika anda alah dengan haiwan peliharaan.

  • Jangan benarkan orang merokok di dalam rumah anda.

  • Buangkan segala kulat yang dijumpai di rumah. Anda boleh membasmi kulat menggunakan peluntur

  • Peningkatan kelembapan di dalam rumah boleh menggalakkan pertumbuhan kulat dan hama. Biarkan sinaran matahari memasuki dalam rumah anda.

Berjaga-jaga dengan segala kemungkinan yang boleh memburukkan keadaan Asma anda. Jika anda menghidap Asma yang diaruh oleh senaman, rujuk kepada doktor anda sebelum memulakan sebarang program senaman. Kemudian mulakan program anda secara perlahan-lahan bergantung kepada keadaan anda. Sewaktu bersenam, pastikan anda mengamalkan teknik pernafasan yang betul. Adalah lebih elok jika anda bersenam di dalam rumah kerana anda boleh mengelakkan pencetus Asma dari kawasan persekitaran.

  • Senaman penafasan adalah sejenis senaman yang disarankan untuk penghidap asma. Senaman ini boleh membantu meningkatkan kapasiti paru-paru jika diamalkan selalu. Ia juga boleh membantu anda bertenang terutamanya dalam menangani serangan Asma

  • Udara yang sejuk dan berkelembapan tinggi mampu mencetus serangan Asma. Penghidap Asma perlu mengelakkan diri daripada keluar rumah jika keadaan cuaca tidak mengizinkan. Jika anda perlu keluar dari rumah, lindungi hidung dan mulut anda dengan menggunakan kain atau topeng. Ini boleh membantu meningkatkan suhu udara.

Ambillah ubat-ubatan yang betul. Pendekatan yang berjaya dalam pengawalan asma bergantung kepada penggunaan ubat anti-inflamasi dan bronkodilator dengan cekap. Pastikan anda mengambil ubat-ubat tersebut mengikut nasihat doktor.

 

Sumber : http://www.infosihat.gov.my