Oleh : DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN (pensyarah Bahagian Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM).)

Kebangkitan Islam yang kita lihat hari ini sememang mengembirakan hati kita, bahkan hati setiap yang mencinta agama ini. Di sana-sini orang bercakap mengenai Islam dan cuba mendekati setiap isu itu dari kacamata Islam. Ini tentunya sesuatu yang positif. Namun begitu, janganlah kita menganggap bercakap berhubung dengan agama sama dengan nilaian sebahagian pihak yang bersembang di kedai kopi yang bercakap tanpa memerlukan penelitian fakta. Di sini saya akan cuba membawa pembaca mendekati sumber Sirah Nabi apabila saya merasai begitu mudah sesetengah pihak termasuk para penceramah agama menyandarkan sesuatu fakta itu kepada Nabi s.a.w. tanpa memahami disiplin ilmu sirah. Ianya sesuatu yang merbahaya dan boleh memusnahkan ketulenan fakta agama.

Kata Dr. Rajih `Abd al-Hamid al-Kurdi di dalam bukunya Syi`aa`a min as-Sirah an-Nabawiyyah fi `Ahd al-Makki : “Apabila disebut as-Sirah maka ianya bermaksud menterjemahkan kehidupan Nabi. Di mana as-Sirah telah menjadi suatu ilmu yang tersendiri iaitu ilmu as-Sirah”. [m.s. 13, ctk. Dar al-Furqan, Jordan]

Justeru itu as-Sirah an-Nabawiyyah adalah suatu disiplin ilmu. Sebagai ad-Din yang kewujudannya berteraskan kesahihan fakta maka Sirah Nabi s.a.w. adalah suatu disiplin ilmu yang mestilah berteras fakta yang benar dan tulen. Oleh yang demikian setiap penyataan mengenai as-Sirah an-Nabawiyyah mestilah dikenal pasti kekuatan dan kekukuhannya. Kajian terhadap sesuatu fakta sirah mesti dibuat dan diteliti secara bersungguh-sungguh.

Para penulis Sirah tidak menyaksikan sendiri segala peritiwa yang berlaku pada hayat Nabi s.a.w. Mereka yang seperti Ibn Ishak, Ibn Hisyam, at-Tabari, Ibn Kathir dan selain mereka menulis sejarah berdasarkan sumber yang sampai kepada mereka. Sumber-sumber tersebut ialah:

1. Al-Quran al-Karim

Al-Quran adalah rujukan tertinggi Islam. Segala perkara dan urusan dalam hidup manusia maka rujukan adalah al-Quran. Maklumatnya adalah qat`i dari segi kepastian asliannya atau disebut sebagai qat`iyyah ath-thubut. Oleh itu di dalam ta’rif al-Quran sebahagian `ulama `ulum al-Quran atau ilmu-ilmu al-Quran memasukkan perkataan al-Manqul bi at-Tawatur iaitu sampai ke tangan kita secara mutawatir (tanpa syak tentang keasliannya). Ini bermaksud secara penuh yakin tanpa syak al-Quran yang sampai ke tangan kita tidak pernah berubah atau ditambah atau dikurangkan sama sekali. Sepertimana kandungannya pada zaman Nabi s.a.w. demikianlah ianya kandungannya pada zaman kita. Oleh di mana sahaja umat Islam hanya memiliki al-Quran yang sama. Ini berbeza dengan penganut Kristian yang memiliki gospel yang berbilang-bilang. Oleh itu sirah Nabi s.a.w. yang disentuh oleh al-Quran adalah yang paling diyakini.

Contohnya:

Al-Quran dalam surah al-Anfal ayat 30 menceritakan bagaimana orang-orang kafir merancang ingin mengambil tindakan terhadap Nabi s.a.w. :

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir merancang tipu helah untuk memenjarakanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka merancang tipu helah dan Allah juga megagal tipu helah mereka. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang membalas tipu helah mereka”

Al-Quran di dalam Surah adh-Dhuha ayat 6 menceritakan bahawa Nabi dahulunya yatim:

Maksudnya: “Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim lalu Dia melindungimu”

Al-Quran di dalam Surah al-Fath ayat 29 mencerita sifat Nabi s.a.w. dan para sahabah baginda:

Maksudnya: “Muhammad itu Rasulullah dan mereka yang bersama dengannya bersikap keras terhadap golongan kuffar dan berkasih- sayang sesama meraka. Kamu lihat mereka itu ruku dan sujud mencari kurniaan Allah dan redhaNya. Tanda-tanda mereka tampak pada wajah mereka dari kesan sujud”

Namun begitu seperti yang kita ketahui bahwa al-Quran tidak memperincikan dalam menyebut peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hayat Nabi s.a.w. Al-Quran sekadar menyebut beberapa peristiwa secara umum dan dikutip pengajaran daripadanya.

Contohnya ayat 10 dari Surah al-Fath:

Maksudnya:

“Sesungguhnya mereka yang berbai`ah (mengikat janji setia) denganmu sebenarnya mereka berbai`ah dengan Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka”.

Jika kita hanya membaca ayat di atas tentu kita tidak dapat mendalami apakah peristiwa bai`ah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas. Namun begitu jika kita merujuk kepada kitab-kitab tafsir sebagai contoh Tafsir al-Quran al-`Azim yang dikenali dengan Tafsir Ibn Kathir, beliau telah mengemukakan riwayat-riwayat yang sahih membuktikan peristiwa tersebut ialah Peristiwa Bai`ah ar-Ridhwan.

Sebab itu apabila kita membaca al-Quran maka kita diminta merujuk kepada tafsirnya. Ini kerana para mufassirin biasanya akan mengemukakan riwayat-riwayat yang menjelaskan maksud punca sesuatu ayat diturunkan atau disebut sebagai Asbab an-Nuzul. Kata Muhammad Muhammad Hasan Syurrab di dalam “Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami: “Apabila kita mengkaji as-Sirah dari al-Quran maka kita juga merujuk kitab-kitab tafsir yang menceritakan asbab an-Nuzul dengan sanad (silsilah para perawi) yang bersambung seperti Tafsir at-Tabari serta mengkaji sanad tersebut”. [ctk. Dar Al-Qalam, Syria]

Tuntutan mengkaiji sanad iaitu kaedah teras dalam mengkaji riwayat adalah demi memastikan kita tidak mengambil riwayat-riwayat yang tidak benar atau tidak sahih yang terdapat dalam buku-buku tafsir. Ini kerana kebanyakan para mufassirin (`ulama tafsir) tidak menjadikan sahih itu sebagai syarat sesuatu riwayat dimuatkan di dalam kitab mereka. Mereka menulis kitab para zaman ilmu Islam tersebar luas, para pembaca ketika itu kebanyakan adalah para ulama dan mereka dapat menilai kedudukan sesuatu riwayat yang dikemukakan. Oleh itu as-Syeikh Muhammad Husain az-Zahabi iaitu seorang pengkaji tafsir yang terkemuka membahaskan kesan pemalsuan terhadap tafsir menyebut di dalam kitabnya At-Tafsir wa al-Mufassirun: “Sepertimana berlakunya percampuran riwayat-riwayat yang sahih dengan yang tidak sahih ( di dalam kitab-kitab tafsir) menjadikan sebahagian mereka yang tidak berkemampuan membezakannya terus menerimanya. Mereka menerima dengan sebelah mata (tanpa meneliti) dan menghukum kesemuanya sebagai sahih.” [m.s. 159-160. Ctk. Muallif, Mesir]

Apa yang dinyatakan oleh Muhammad az-Zahabi itu mestilah diberi perhatian agar kita tidak memetik sirah Rasululluh s.a.w. yang tidak tulin atau rekaan semata.

Al-Imam Ibn Kathir adalah seorang penulis tafsir yang agung dan beliau juga adalah seorang ilmuan dalam ilmu hadith. Kitabnya Al-Baith al-Hathith adalah antara yang kitab ilmu hadith yang terkemuka. Manhaj atau methodologi muhaddithin banyak mempengaruhi Ibn Kathir di dalam tulisan tafsirnya. Bahkan pengaruh kehebatan gurunya yang merupakan tokoh ilmuan Islam yang agung iaitu Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.a. yang menulis Muqaddimah fi Usul at-Tafsir juga banyak memandu manhaj tafsirnya. Sebab itu kita dapati beliau seringkali –sekalipun tidak semua- menilai riwayat-riwayat yang dikemukakan di dalam tafsirnya, sama ada boleh diterima atau sebaliknya dengan penilaian ulama hadith. Oleh itu membaca Tafsir Ibn Kathir adalah antara langkah yang baik dalam memahami sirah.

Contoh kritikan matan oleh Ibn Kathir terhadap riwayat yang dibawa oleh al-Imam at-Tabari: Kata Abu Ja’far bin Jarir (at-Tabari): Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Ismail al-Misri yang dikenali dengan al-Wisawis, kata beliau: Telah mengkhabarkan kepada kami `Abd al-Hamid bin Abi Daud daripada Ibn Juraij daripada `Ata daripada `Ubaid daripada `Umair daripada Mutalib bin Abi Wida`ah: Sesungguhnya Abu Talib berkata kepada Rasulullah s.a.w.: Apakah yang kamumu rancang terhadapmu? Sabda Nabi: “Mereka hendak memenjarakanku atau membunuhku atau mengusirku.” Kata Abu Talib: “Siapa yang memberitahumu?” Sabda Nabi: “Tuhanku” Kata Abu Talib: “Ya! Tuhan, tuhanmu, berpesanlah kepadaNya kebaikan” Sabda Nabi: “Aku berpesan kepadaNya? Bahkan Dialah yang berpesan untukku” Lalu turun ayat:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir merancang tipu helah untuk memenjarakanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. [Surah al-Anfal:ayat 30]

Kata al-Imam Ibn Kathir-dalam mengkritik riwayat di atas-“Disebut nama Abu Talib dalam riwayat tersebut adalah sesuatu yang ganjil dan munkar (di dalam istilah muhaddithin mungkar bermaksud riwayat tersebut menyanggahi riwayat yang lebih dipercayai). Ini kerana ayat ini [Surah al-Anfal ayat 30] adalah madaniyyah (diturunkan selepas hijrah), di samping kisah ini dan perhimpunan Quraish dalam merancang dan bermesyuarat untuk memenjara atau menyusir atau membunuh baginda hanya berlaku pada malam hijrah. Ini semua selepas tiga tahun kewafatan Abu Talib. (selepas itu Ibn Kathir mendatangkan riwayat lain yang mengukuhkan hujjahnya. [ruj: Tafsir al-Quran al-`Azim, jld. 2, m.s. 314, ctk. Dar al-Ma`arif, Beirut]

Dari contoh di atas kita dapat lihat bagaimana al-Imam Ibn Kathir mengkritik riwayat yang dibawa oleh At-Tabari dan tidak menerimanya dengan mudah. Inilah manhaj yang patut ada dalam diri penulis dan pengkaji sirah.

ii. Kitab-kitab Hadith.

Hadith-hadith itu sendiri adalah sirah Nabi s.a.w. Ianya penuh termuat di dalam kitab-kitab hadith seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Al-Muwata’, Sahih Ibn Khizaimah, Sahih Ibn Hibban, Kitab-kitab Sunan Abi Daud, Ibn Majah, at-Tirmizi, kitab-kitab Masanid seperti Musnad Ahmad dan Abi Ya’la juga lain-lain kitab.`Peranan kita ialah memilih hadith hadith yang diterima kesabitannya di sisi muhaddithin kerana bukan semua hadith-hadith yang termuat dalam kitab-kitab tersebut sahih kecuali yang terkandung dalam Sahihain iaitu Sahih al-Bukhari dan Muslim. Namun begitu, masih ada beberapa hadith di dalam kedua-dua kitab sahih tersebut yang sepakat para ulama mengenai kelemahannya atau masih dipertikaikan. Perbahasan ini adalah sejak dahulu lagi seperti al-Imam ad-Daraqudni yang mengkritik sahih al-Bukhari dan lain-lain sehingga ke zaman kita ini. Walaupun ada para ulama yang mempertahankan seluruh riwayat-riwayat yang ada di dalamnya seperti al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dan seumpamanya, namun masalah ini kekal sebagai masalah khilaf di kalangan ulama. Dengan itu walaupun keduanya dianggap kitab yang paling sahih selepas al-Quran, ini adalah hukuman secara umumnya, tetapi di dalamnya terdapat beberapa hadith yang para ulama sepakat tentang kedhaifannya dan beberapa hadith yang ulama berbeza pendapat mengenainya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjelaskan perkara ini berulang kali dalam majmu’ fatwanya. Namun ukuran dalam membincang masalah ini hendaklah berlegar di kalangan para ulama dan cendiakawan Islam serta jangan golongan yang jahil dan jahat mengambil kesempatan untuk menyalah faham umat dalam menjelaskan hal ini.

iii. kitab-kitab as-sirah dan Buku- buku Sejarah

Sepertimana yang disebut tadi, bahawa pengumpulan hadith-hadith Nabi s.a.w. sekaligus bererti mengumpulkan sirah baginda. Namun begitu ada di kalangan para `ulama sejak dari tabi`in dan selepas mereka yang mengumpulkan riwayat hidup Nabi s.a.w. di dalam buku khas yang disebut kutub as-Sirah atau buku sirah, atau buku yang mencerita peperangan-peperangan yang disertai oleh Nabi s.a.w. yang disebut sebut sebagai kutub al-Maghazi. Ini seperti Sirah an-Nabi oleh Ibn Hisyam, Sirah ar-Rasul di dalam Tabaqat al-Kubra oleh Muhammad Ibn Sa`ad, Sirah ar-Rasul di dalam Tarikh al-Umam wa al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh at-Tabari, begitu dengan Sirah yang terdapat dalam Al-Bidayah wa An-Nihayah oleh Ibn Kathir dan lain-lain.

Namun adalah perlu diingatkan, bahawa riwayat-riwayat yang ada di dalam kitab-kitab Sirah ada yang sahih demikian juga ada yang lemah lagi palsu. Oleh itu para pembaca mestilah berhati-hati di dalam membuat petikan dan hujah. Seorang tokoh `ulama Al-Azhar yang masyhur, Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah menyebut di dalam bukunya, As-Sirah an-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa as-Sunnah: “Suatu perkara yang wajar diketahui sesungguhnya di dalam buku-buku sirah dan maulid, ada riwayat yang sahih dan ada pula yang dhaif. Bahkan ada yang dusta dan rekaan. Demikian seperti yang di dakwa oleh sebahagian penulis-penulis Israk dan Mi’raj bahawa Nabi s.a.w memijak Arsy dengan kasutnya dan Allah berfirman: “Wahai Muhammad telah mulialah Arsy dengan kasutmu.” Ini adalah perkataan (riwayat) yang batil!!!. Telah ditanya al-imam Radiy ad-Din al-Qazwaini tentang perkara tersebut, jawabnya: “..adapun hadith Nabi memijak arasy dengan kasutnya adalah tidak thabit (benar). Bahkan sampainya baginda ke kemuncak Arsy juga adalah tidak diperkukuhkan dengan dengan khabar yang sahih atau hasan bahkan tidak thabit sama sekali. Hanya yang thabit di dalam hadith ialah baginda sampai setakat Sidrat al-Muntaha sahaja.”

Di samping itu Abu Syahbah juga menyebut bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyat dan dusta, tidak kaitan dengan Islam. [jld. 1, m.s. 14, ctk. Dar al-Qalam, Syria]

Bahkan adalah memalukan umat Islam apabila golongan non-muslim atau para saintis mengetahui orang mempercayai bahawa dunia ini hanya berusia 7000 tahun pada zaman Nabi s.a.w. dan sekarang tentunya tidak lebih dari 8500 tahun usia dunia. Sedangkan kajian telah membuktikan umur dunia jutaan tahun mengatasi tempoh tersebut. Riwayat itu palsu dari segi sanadnya dan khurafat inti kandungannya.

Mungkin juga kita bertanya, mengapakah boleh wujudnya riwayat yang tidak benar di dalam buku-buku Sirah?. Sebenarnya , masalah ini berkaitan dengan metodologi atau manhaj yang diambil oleh para penulis sirah. Para penulis sirah mementingkan jalan cerita dan kesinambungannya. Mereka tidak mahu adanya episod-episod yang terputus. Mereka tidak mahu adanya babak-babak yang dikosongkan. Ini akan berlaku jika mereka menuruti disiplin ulama’ hadith lantas buku-buku mereka menjadi tidak menarik dan terputus-putus. Justeru itu mereka memudah-mudahkan dan mengharapkan para pembaca menilainya. Kata as-Syeikh Hammam Sa`id di dalam Muqaddimah kepada Sahih as-Sirah-An-Nabawiyyah yang ditulis oleh Ibrahim al-`Ali: “Para ahli sejarah dan penulis sirah telah tasahul (memudah-mudahkan) di dalam periwayatkan. Mereka menyebut di dalam kitab-kitab mereka khabar-khabar yang terputus sanadnya (munqati`ah) kerana ingin menjaga disudut kesinambungan gambaran sejarah yang berkait dengan peristiwa-peristiwa. Sementara para `ulama hadith (muhaddithin) berpandukan metodologi kritis (manhaj an-Naqdi) yang membezakan antara riwayat-riwayat yang sahih dengan yang selainnya. Sekalipun membawa kepada terputusnya gambaran sejarah atau penerimaan episod-episod secara tidak lengkap. [m.s. 7 dar an-Nafais, Jordan]

Persoalan yang timbul pula, wajarkah kita menerima riwayat-riwayat yang tidak kukuh ini?. Jawapan telah pun diberikan oleh seorang tokoh ulama besar dari Benua India iaitu As-Sayyid Sulaiman an-Nadwi di dalam bukunya Ar-Risalah al-Muhammadiyyah, katanya: “Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” [m.s. 41, ctk. dar as-Sa`udiyyah, Saudi]

Hendak tokoh-tokoh agama yang berceramah atau menulis memastikan mereka benar-benar memetik sirah bukan kisah yang diketahui asal-usul atau dari mana munculnya. Tugasan para penulis sirah ialah menghimpun sementara tugas kita adalah mengkaji dan menilai. Mereka menulis untuk golongan ulama yang mampu menilai tetapi malangnya ramai golongan miskin metodologi atau manhaj ilmu. Oleh itu kita dapati ramai para ustaz atau golongan yang memberi ceramah agama membawa kisah-kisah yang tidak benar mengenai Rasulullah s.a.w. Kejahilan mereka menjadikan merekan mencemarkan keindahan sirah. Orang terpengaruh dan terbawa-bawa dengan sirah yang tidak benar bahkan melucukan akhirnya Islam dipersendakan.