Oleh : DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN (pensyarah Bahagian Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM))

Sabda RasululLah s.a.w:

Maksudnya:

Daripada Abi al-`Aliyah, katanya: Kata Ibn `Abbas Pada pagi `Aqabah (musim haji) RasululLah s.a.w bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: “Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-`Aqabah)”. Aku pun mengutip batu-batu kecil kesemuanya batu-batu kecil sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: “(Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu melampau dalam agama (al-Ghulu), kerana sesungguhnya al-ghulu telah membinasakan mereka yang sebelum kamu.” *1

 

Dalam hadith di atas Nabi S.A.W. melarang sikap ghulu dalam beragama kerana itu adalah antara punca kebinasaan.. Perkataan ghulu dalam bahasa arab membawa maksud :

yang tinggi dan melebihi kadar dalam setiap sesuatu . *2

 

Adapun ghulu dalam beragama seperti kata Ibn Athir (meninggal 606H) bermaksud:

 

iaitu terlalu keras berpegang dengannya dan melampaui batas . *3

 

Islam hendaklah dipegang dengan kuat dan kukuh tetapi yang dilarang di dalam hadith di atas ialah beramal dengan Islam secara melampaui batasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. seperti berkeras dalam agama bukan pada tempatnya atau cuba mengamalkannya melebihi kadar yang disuruh. Ini adalah punca kebinasaan.

 

Termasuk dalam makna al-ghulu juga cuba menyelidiki mengenai agama apa yang tidak sepatut seperti mencari `illah (punca) sesuatu perintah ibadah khusus. Ini seperti apa yang dilakukan oleh sebahagian golongan tarikat yang cuba mencari punca kenapa solat subuh dua rakaat, kenapa zohor empat rakaat dan seterusnya. Ini termasuk juga dalam makna ghulu seperti yang dijelaskan oleh para ulama .*4

 

Sikap yang dituntut dalam berpegang kepada Islam ialah al-I’tidal iaitu sederhana atau pertengahan dengan memenuhi tuntutan al-Quran dan al-Sunnah. Tidak terlalu melampau dan tidak pula cuai iaitu mengabaikan tuntutan yang ditentukan. Sikap melampau mahupun cuai adalah ajaran syaitan.

 

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H):

 

“Sesungguhnya agama Allah adalah pertengahan antara yang melampau mengenai dan yang meninggalkannya. Allah Ta`ala tidak memerintahkan hamba-hambaNya sesuatu perintah melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu samada secara ifrad (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrid (cuai terhadap agama). Justeru Islam adalah agama Allah yang tidak boleh diambil ajarannya dari sesiapapun selainNya maka syaitan mengganggu kebanyakan mereka yang mengaku mengikut ajaran. Sehingga syaitan berjaya mengeluarkan mereka daripada banyak ajaran syariat. Bahkan syaitan berjaya mengeluarkan banyak puak umat ini yang terdiri daripada mereka yang kuat beribadah dan warak. sehingga menjadikan mereka keluar daripada agama seperti mana melurunya anak panak daripada busarnya”. *5

 

Dalam hadith ini Nabi S.A.W. telah melarang sikap melampau sekalipun dalam menentukan kadar besar batu yang digunakan untuk melontar jamrah. Ini kerana sikap melampau dalam perkara yang kecil boleh membawa kepada perkara yang lebih besar.

 

Sikap ghulu atau melampau ini telah memusnahkan banyak puak dalam beragama. Antara yang golongan yang rosak dalam hal ini ialah puak khawarij yang terlalu ingin kuat dalam pegangan sehingga mengkafirkan sesiapa yang melakukan dosa. Demikian juga Syi`ah yang terlalu ingin mencintai keluarga Rasulullah S.A.W. sehingga melampaui batas dan mencerca para sahabah yang lain. Begitu juga golongan ahli kalam yang terpengaruh dengan falsafah seperti mu’tazilah dan seumpama mereka yang cuba membahas sifat-sifat tuhan melewati batasan yang diizinkan.

 

Demikian juga golongan sufi atau tarekat yang menyeleweng yang terlalu ingin beribadah sehingga mencipta berbagai bid`ah dalam amal ibadah yang tidak diizinkan oleh syarak.

 

Baginda S.A.W dalam hayatnya mengawal para sahabah agar tidak tergelincir ke lembah ghulu ini. Antaranya apabila baginda mendengar ada di kalangan sahabah cuba ingin beribadah melebihi apa yang diajar, dimana seorangnya ingin bersolat sepanjang malam, seorang lagi ingin berpuasa setiap hari dan seorang yang lain pula tidak ingin lagi menggauli wanita, baginda berkata:

 

(maksudnya) adakah kamu yang mengatakan sebegini? (baginda menyebut ucapan mereka). Demi Allah sesungguhnya aku orang yang paling takutkan Allah dan paling bertaqwa. Namun aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan menggauli wanita. Sesiapa yang berpaling dari sunnahku bukan daripadaku.*6

 

Demikianlah Islam tidak membenarkan melampaui batasan yang digariskan dalam beramal dengannya. Ghulu boleh berlaku dalam berbagai bidang dan bentuk. Ianya merangkumi dalam akidah, ibadah, keruhanian dan berbagai. Umat Islam diperintahkan agar tidak melampau dalam semua aspek amalan agama termasuk terhadap musuh yang menentang agama. Kasih dan cinta kita pada Islam tidak membolehkan kita menzalimi penentangnya. Firman Allah:

 

 

(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” *7

 

Umat terdahulu seperti Yahudi dan Nasrani musnah agama mereka disebabkan ghulu. Lihatlah sikapmelampau orang Yahudi menyebabkan mengatakan Uzair anak tuhan. Sikap melampau kristian dalam mengasihi Nabi Isa membawa mereka menganggapnya sebagai anak tuhan.

Firman Allah:

 

 

Maksudnya: Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar” *8

 

Firmannya juga:

 

 

Maksudnya: Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul” *9

 

Pengajaran Semasa

 

1. Sikap melampaui batas dalam beragama menjadikan amalan Islam seseorang tidak seimbang. Seseorang yang melampau dalam ibadat individu akan menyebabkan tanggungjawab kekeluarga dan masyarakat terabai. Ini yang kita saksikan pada sesetengah kumpulan agama.

 

Demikian melampau dalam berakidah boleh menyebabkan timbul persoalan mengkafirkan golongan lain dengan mudah seperti Khawarij. Juga sikap melampau dalam berpolitik sekalipun dengan nama Islam boleh membawa seseorang menafsirkan semua urusan kaum muslimin dengan nada politik, sedangkan Islam luas, merangkumi akhlak, ibadah khususiah, keruhanian, hubungan silaturahim dan lain-lain. Inilah yang dinasihati oleh Salman kepada Abu Darda apabila isteri Abu Darda memberitahu bahawa Abu Darda hanya mementingkan akhirat dan melupai isterinya. Kata Salman kepada Abu Darda:

 

(maksudnya): Sesungguhnya bagi tuhanmu ada hak yang mesti kau tunaikan, bagi dirimu ada hak yang mesti engkau tunaikan dan bagi keluargamu ada hak yang mesti engkau tunaikan. Maka berikanlah setiap yang berhak itu haknya.” *10

 

2. Antara ghulu yang mesti dielakkan ialah sikap melampau dalam menghadapi musuh, sekalipun musuh itu menentang Allah dan RasulNya. Apabila Rasulullah menghantar Abdullah bin Rawahah untuk menilai hasil buah-buahan Yahudi Khaibar maka kaum Yahudi cuba merasuahnya agar berbelas simpati kepada mereka. Kata Abdullah bin Rawahah:

 

Adakah kamu semua ingin merasuahkanku wahai musuh-musuh Allah. Demi Allah kamu lebih aku benci dari kera dan khinzir dan Muhammad lebih aku kasih dari nyawa yang berada dalam tubuhku. Namun kebencianku kepada kamu dan kasihku kepada Muhammad tidak menghalangku untuk berlaku adil kerana Allah berfirman: (lalu dia membaca surah Maidah ayat 8 di atas) . *11

 

Justeru itu hendaklah kita adil dalam menilai golongan yang kita suka atau kita benci, individu yang kita suka atau yang kita benci. Janganlah sikap berpuak boleh membawa kita tersalah menilai mengukur diri dan pihak yang lain. Kasih kepada golongan agama juga tidak boleh melampaui batas. Golongan tarekat ramai yang tersesat menjadikan tokoh-tokoh agama sebagai perantaraan mereka dengan Allah kerana terlalu kasihkan mereka. Kasih kepada pimpinan umat Islam atau gerakan Islam juga tidak melampaui sehingga membenar semua kesilapannya. Benci kepada musuh juga tidak membolehkan kita menafikan kebenaran atau kebaikan jika mereka lakukan.

 

3. Golongan yang memegang agama melebihi apa yang dituntut oleh al-Quran dan al-Sunnah sebenarnya tidak berada di atas petunjuk Rasulullah S.A.W. Walaupun pada zahirnya nampak mereka ini kuat agama namun pada hakikatnya menyimpang daripada petunjuk Nabi S.A.W.


————-


*1 – Diriwayatkan oleh al-Nasa’i, Ibn Majah dan Ahmad. Disahihkan oleh Ibn Khuzaimah (Sahih Ibn Khuzaimah 4/276, cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut)


*2 – Ibn Manzur, Lisan al-`Arab, 15/132, cetakan Dar al-Fikr, Beirut.


*3 – Ibn Athir, al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 3/343, Dar Kutub al-`ilmiyyah, Beirut.


*4 – Lihat: al-Munawi, Faidh al-Qadir, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, Mesir.


*5 – Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 2/236, cetakan Maktabah al-`Abikan, Riyadh.


*6 – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.


*7 – Surah al-Maidah: 8


*8 – Surah al-Nisa’: 171.


*9 – Surah al-Maidah:77


*10 – Riwayat al-Bukhari


*11 – Tafsir Ibn Kathir 1/566, cetakan Dar al-Fikr, Beirut.