Oleh : DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN (pensyarah Bahagian Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM))

Maksudnya: Daripada Ibn `Abbas katanya: Rasulullah s.a.w apabila menghantar tenteranya maka baginda bersabda: “Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kafir dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. 1

 

Maksudnya:Daripada Ibn `Umar r.a. “Seorang wanita di dapati terbunuh dalam satu peperangan (yang disertai Nabi s.a.w) maka baginda pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak”. 2

 

Hadith-hadith di atas adalah antara hadith-hadith yang menggariskan disiplin mujahidin Islam ketika berada di medan jihad. Sekalipun Islam mengajak umatnya berperang menegak serta mempertahankan maruah dan harga diri, Islam tidak mengizinkan umatnya bermaharajalela di medan peperangan di atas nama ianya peperangan seperti yang kita lihat apa yang dilakukan oleh kuasa-kuasa jahat terhadap negara-negara yang mereka perangi. Islam mengawal dan mengajar umatnya, sekalipun peperangan itu adalah peperangan, namun nilai-nilai keluhuran dan akhlak tetap wajib dituruti dan dipatuhi. Firman Allah:

 

 

Maksudnya:

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. 3

 

Adalah mudah bagi bagi kita untuk mengamalkan sikap yang murni dan akhlak yang mulia dalam keadaan biasa dan aman. Ini kerana suasana aman menjadikan akal dapat berfikir dengan baik serta menguasai diri, tetapi perkara ini menjadi begitu sukar dalam suasana peperangan. Sekalipun begitu Islam tetap dengan kemuliaannya. Islam mewajibkan mereka yang berperang di atas namanya terus beriltizam dengan peraturan dan akhlak sekalipun ketika di medan perang. Peperangan di atas nama Islam adalah demi untuk meninggikan kalimah Allah. Juga supaya manusia dapat menerima dan melihat keindahan Islam. Ini tidak mungkin dengan cara ditumpahkan darah manusia sebanyak-banyak. Sebaliknya Islam meletakkan peraturan agar dikurangkan nyawa yang terkorban dan darah yang tumpah. Inilah lambang peradaban Islam yang tiada tolak bandingnya. Dengan itu, manusia akan menjadi jinak hatinya dengan agama ini. Inilah rahsia bagaimana Islam dapat berkembang pantas pada zaman kegemilangannya. Negara atau wilayah yang dimasuki oleh tentera Islam dengan pantas penduduknya akan beriman dengan ajaran Islam, tanpa sebarang paksaan, sebaliknya akhlak yang dipamirkan oleh tentera Islam. Tiada paksaan di dalam Islam untuk seseorang beriman dengan ajarannya. Kepercayaan dan keimanan sesuatu yang tidak mungkin terhasil dengan paksaan. Keimanan itu bermula dengan hati yang percaya. Sekiranya seseorang yang dipaksa itu mengucapkan sesuatu dengan lidah, namun jika hatinya tidak beriman, dia tetap dianggap tidak beriman. Pedang dan senjata tidak mungkin dapat memasukkan iman ke dalam hati manusia. Namun peranan pedang dan senjata ialah untuk menghapuskan tangan-tangan yang menghalang iman masuk ke dalam hati manusia lain.

 

Untuk itu Islam menetapkan agar pembunuhan hanyalah di medan perang dan tidak boleh direbakkan ke luar medan. Hanya dibunuh mereka yang terlibat dengan peperangan. Adapun golongan musuh yang tidak menyertai peperangan, mereka tidak dibunuh selagi mereka tidak menzahirkan permusuhan dan penentangan bersenjata. Secara terperincinya, mereka ialah:

 

Pertama: Wanita dan kanak-kanak. Antara dalilnya, hadith daripada Ibn Umar r.a yang disebut di atas.

Kata al-Imam al-Syafi`iy (wafat 204H): “Tidak diharuskan sesiapapun di kalangan muslimin untuk sengaja membunuh wanita dan kanak-kanak (dalam peperangan), kerana Rasulullah s.a.w. melarang membunuh mereka” . 4

 

Kata Ibn Rusyd (wafat 595H): “Demikian juga tiada khilaf di kalangan ulama mengenai tidak harus membunuh kanak-kanak dan wanita selagi mereka tidak terlibat berperang. Apabila wanita turut berperang, maka dia boleh dibunuh. Ini semua berdasarkan apa yang pasti daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda melarang wanita dan kanak-kanak dibunuh” . 5

 

Kedua: Orang tua dan orang yang uzur. Jumhur ulama (majoriti), iaitu Abu Hanifah, Malik, Ahmad dan satu dari pendapat al-Syafi`iy, menyatakan mereka ini tidak dibunuh, melainkan jika dikhuatiri terhadap tindakan dan perancangan mereka di dalam peperangan. Dalilnya firman Allah di atas:

 

 

Maksudnya: “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. 6

 

Dalam riwayat yang dhaif daripada Abu Daud dikatakan Nabi s.a.w.bersabda:

 

“Pergilah kamu (ke medan perang) dengan nama Allah, dengan Allah dan di atas agama Rasullulah!. Jangan kamu membunuh orang tua yang lemah, kanak-kanak, wanita. Jangan kamu mengkhianati harta rampasan, himpunkan harta peperangan kamu, buatlah yang elok dan baik, sesungguhnya Allah sukakan mereka yang berbuat baik”. 7

 

Sekalipun hadith ini sanadnya dhaif, namun golongan tua yang tidak membantu peperangan samada dari segi tenaga atau buah fikiran, tetap tidak wajar dibunuh. Ini dapat diqiaskan kepada wanita yang tidak membantu peperangan. Kata Ibn Daqiq al-`Id (wafat 702H): “Hukum asalnya ialah tidak boleh membunuh.

 

Hanya dibolehkan membunuh demi mengelakkan kemerbahayaan. Sesiapa yang pada kebiasaan tidak berperang (menentang tentera Islam) dan tidak berkemampuan untuk berperang maka dia tidak mendatang mudarat seperti mana mereka yang berperang. Maka hukumnya kembali kepada asal iaitu mereka itu tidak boleh dibunuh” . 8

 

Apa yang penting ialah mereka tidak bertindak membantu peperangan. Oleh itu pasti daripada Nabi s.a.w. juga bahawa baginda memerintahkan supaya dibunuh Zaid bin al-Summah yang berusia 120 tahun atau lebih kerana membantu tentera Hawazin . 9

 

Ketiga: Mereka yang beribadat di rumah-rumah ibadat. Dalilnya ialah riwayat Ibn `Abbas yang dinyatakan tadi

Kata al-Syaukaniy (wafat 1250H): “Pada hadith ini dalil bahawa tidak boleh membunuh sesiapa daripada golongan kuffar yang hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum muslimin” . 10

 

Keempat: Para pekerja dan petani. Jumhur ulama menyatakan mereka tidak dibunuh. Dalilnya hadith Hanzalah al-Katib r.a., katanya:

 

Maksudnya:“Kami bereperang bersama dengan Rasulullah s.a.w. , lalu kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu orang ramai berkumpul padanya, lantas mereka memberi ruang kepada baginda (untuk melihatnya). Baginda bersabda: “Dia ini (wanita tersebut) tidak turut berperang”. Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki, sabda baginda: “Pergi kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkannya dengan sabdanya: Jangan kamu bunuh kanak-kanak (dalam sebahagian riwayat: wanita) dan `asif (pengambil upah)”. 11

 

Kata al-Sindiy (wafat 1138H): “Maksud pengambil upah di sini ialah yang mengambil upah menjaga tunggangan atau seumpamanya, bukan pengambil upah berperang”. 12 Antara tanda pengambil upah ialah mereka tidak bersenjata . 13

 

Mungkin termasuk juga di dalam pengambil upah ini ialah mereka yang hanya bertugas menyediakan makanan, atau yang membersihkan kem tentera dan seumpamanya. Selagi mereka tidak bertindak membantu peperangan, maka mereka tidak dibunuh.

 

Kelima: Para perwakilan dan diplomat. Ini berdasarkan hadith Abdullah bin Mas`ud, katanya: Ibn al-Nawahah dan Ibn Uthal datang kepada Nabi s.a.w sebagai perwakilan Musailamah (al-Khazzab). Baginda bertanya:

 

Maksudnya:“Apakah kamu berdua mengakui bahawa aku ini Rasulullah”. Kata mereka berdua: “Kami menyaksikan bahawa Musailamah rasulullah”. Sabda Nabi s.a.w: “Aku beriman dengan Allah dan para RasulNya. Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku bunuh kamu berdua”. Kata ‘Abdullah bin Mas`ud: “Telah menjadi suatu sunnah bahawa para perwakilan tidak dibunuh”. 14

 

Kata Syams al-Haq al-Abadi: “Pada hadith ini dalil yang menunjukkan haramnya membunuh para perwakilan” . 15

 

Demikian tingginya nilai tamadun yang dipegang oleh Islam sejak 1400 tahun lebih yang lalu. Ketika dunia belum lagi celik dan mengenali batasan-batasan peraturan dan hak asasi, Islam telah menggariskan peraturan dan hak dalam persoalan peperangan dan hubungan antarabangsa. Bukan sekadar atas nama kemanusiaan dan ketamadunan, bahkan atas nama agama yang membabitkan persoalan halal dan haram serta perhitungan pada hari kiamat. Ini semua adalah bukti bahawa tuduhan Islam sebagai agama ganas dan tidak berperikemanusiaan adalah palsu dan bohong. Tuduhan yang tidak berpijak di atas teks Islam yang sebenar. Islam sebenarnya telah mendahului tamadun dan peradaban yang wujud pada hari ini.


——————–



1- Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir ketika mentahqiqkan musnad Ahmad, hadith ke-2728: “Sanad hadith ini hasan”

2- Riwayat al-Bukhari dan Muslim

3- Surah al-Baqarah: 190

4- al-Syafi`iy, al-Umm (Dar al-Ma’rifah, Beirut) 4/239.

5- Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid (Dar al-Fikr, Beirut) 1/280.

6- Surah al-Baqarah: 190.

7- Riwayat Abu Daud sanadnya dha`if.

8- Ibn Daqiq al-`Id, Ihkam al-Ahkam (Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut) 4/184.

9- Syams al-Haq Abadi, `Aun al-Ma’bud, jld 7, m.s. 196, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut

10- Al-Syaukaniy, Nail al-Autar (Dar al-Jil, Beirut) 8/74.

11- Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Sanad Ibn Majah adalah sanad yang sahih. Al-Albaniy juga di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (hadith ke-701) menyatakan sahih. lihat: 2/314, (Maktabah al-Ma`arf li al-Nasyr, Riyadh)

12- al-Sindiy, Syarah Sunan Ibn Majah (Dar al-Ma’rifah, Beirut) 3/380.

13- `Aun al-Ma’bud, 7/236.

14- Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la kata al-Haithamiy (wafat 807H):Sanad-sanad mereka adalah hasan. Lihat: al-Hathaimiy, Majma’ al-Zawaid (Dar al-Rayyan, Beirut) 5/314.

15- `Aun al-Ma’bud, 7/314