oleh Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Allah s.w.t. telah menjadikan zakat itu salah satu sendi bagi bangunan Islam, dan diikutkan sertakan sebutan zakat pula dengan sebutan sembahyang yang menjadi setinggi-tinggi panji-panji agama Islam.

Allah berfirman:

“Dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat” (al-Baqarah: 110)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Islam itu didirikan atas lima perkara (1) Penyaksian bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasnya Muhammad itu hambaNya dan RasulNya, (2) mendirikan sembahyang, (3) Mengeluarkan zakat, (4) Berpuasa Ramadhan, dan (5) Berhaji ke Baitullah (Ka’bah) bagi sesiapa yang berkuasa menuju kepadanya.”

Allah Ta’ala telah mengancam dengan sekeras-kerasnya terhadap orang-orang yang melalaikan perintah-perintahNya dengan berfirman:

“Orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tiada membelanjakan pada jalan Allah, maka beritahukanlah mereka itu akan ditimpa azab yang amat pedih.”     (at-Taubah: 34)

Maksud dari membelanja pada jalan Allah ialah mengeluarkan zakat.

Al-Ahnaf bin Qais berkata: Pada suatu masa saya sedang duduk-duduk bersama-sama beberapa orang Quraish, lalu Abu Zar melintas seraya berkata: Beritahukanlah kepada orang-orang yang mendamkan hartanya (tiada mengeluarkan zakat) bahawa mereka akan diselar dengan api dari tengkuknya menembusi dahinya pula.

Dengan adanya ancaman yang begitu keras itu, maka adalah menjadi satu tugas- yang penting bagi Agama Islam untuk mendedahkan rahsia-rahsia zakat dan maksud-maksudnya yang lahir dan batin. Dalam hal ini ada beberapa fasal.

Menunaikan zakat dan syarat-syaratnya.

Ketahuilah bahawa atas orang-orang yang mengeluarkan zakat itu beberapa perkara yang harus diperhatikan:

Pertama:

Menyegerakan pengeluaran zakat sesudah cukup haulnya (iaitu kiraan setahun) dan di dalam zakat fitrah, tiada boleh ditangguhkan hingga hari terbuka, iaitu Hari Raya. Waktu kewajipan zakat fitrah bermula dari tenggelamnya matahari hari terakhir dari Ramadhan dan boleh disegerakan pengeluarannya pada sepanjang bulan Ramadhan.

Orang yang sengaja melambatkan pengeluaran zakatnya padahal ia berkuasa adalah berdosa besar, dan kewajipan itu tidaklah gugur daripadanya sekiranya hartanya binasa sesudah itu. Kiranya ia lambat mengeluarkannya kerana mencari orang-orang yang berhak menerimanya, tidaklah terkira dalam pengertian sengaja melambatkan dan kerana itu tidak ia berdosa.

Menyegerakan pengeluaran zakat umumnya adalah harus.

Kedua:

Tiada boleh memindahkan sedekah atau zakat itu ke negeri yang lain, sebab kaum fakir miskin di setiap negeri sentiasa mengharap-harapkan kepada harta benda dari zakat. Apabila harta benda zakat itu dipindahkan ke tempat lain akan kecewalah harapan mereka itu. Andaikata dipindahkan juga harta benda zakat itu, maka hukumnya sah juga dengan khilaf setengah ulama. Tetapi meninggalkan perkara yang ada khilaf ulama itu adalah lebih utama; iaitu sebaik-baiknya ia mengeluarkan zakat hartanya itu dinegerinya sendiri. Dan tiada mengapalah kalau ia memberikan sebahagian dari zakatnya itu kepada orang-orang gharib (orang-orang asing yang datang ke situ) yang berada di negerinya itu juga.

Ketiga:

Hendaklah ia mengeluarkan kepada sebilangan orang dari asnaf-asnaf delapan yang ada di negerinya itu. Yang biasanya pada tiap-tiap negeri hanya yang ada empat asnaf saja iaitu: (1) Fakir, (2) Miskin, (3) Ghaarim atau orang yang dibebani oleh hutang, dan (4) Orang yang terlantar, yakni Ibnu Sabil yang terkandas di negeri orang.

Tiada wajib atasnya untuk membahagikan zakatnya itu sama rata menurut bilangan asnaf.

Rahsia zakat sebagai sendi Agama Islam

Dalam membincangkan rahsia-rahsia zakat itu ada tiga pengertian:

Pengertian 1:

Penyebutan dua kalimah syahadat itu mengartikan suatu pengakuan terhadap wajibnya sifat keesaan bagi Allah s.w.t. dan sebagai penyaksian akan satunya Tuhan yang disembah. Syarat bagi penyempurnaan pengakuan ini, hendaklah jangan sampai ada bagi orang mengEsakan Allah tadi suatu zat lain yang amat dikasihinya atau dicintainya lagi selain dari Zat yang Maha Esa dan Maha Satu itu. Sebab kecintaan yang sempurna itu tidak mengakui adanya persekutuan dengan yang lain. Mengakui keesaan dengan lidah semata-mata kurang kesannya pada diri, kan tetapi seseorang yang mengakui kecintaan itu akan diduga tingkatan kecintaanya dengan terpisahnya orang yang dicintai itu.

Harta kekayaan pula adalah barang yang amat dicintai oleh manusia, sebab ia merupakan mata benda yang boleh menyenangkan mereka dalam kehidupan di dunia dan dengan adanya harta kekayaan itu manusia akan merasa kelapangan hidup di dalam alam yang fana ini, da mereka akan melarikan diri dari maut, padahal hanya dengan maut sajalah akan bertemu pengasih dengan kekasihnya; iaitu Allah s.w.t. lalu mereka itu di duga tentang kebenaran pengakuan mereka terhadap Zat yang dicintainya itu sama ada benar atau palsu; iaitu melalui harta kekayaan yang dikejar dan disanjungnya dalam kehidupan yang fana’ ini.

Allah Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah membeli dari kaum Mu’minin itu diri mereka dan harta kekayaan mereka dengan janji akan memberikan mereka syurga”. (at-Taubah: 111)

Yang demikian itu akan terhasilnya dengan berjihad; iaitu menukar gantikan dengan nyawa, kerana sangat cinta untuk bertemu dengan Allah yang dicintaiNya itu, tetapi ini hanya menukar ganti dengan harta benda saja, dan ia adalah lebih ringan dari pertama tadi.

Apabila pengertian serupa ini diumumkan pada membelanjakan harta kekayaan, maka orang ramai pun terbagi kepada tiga bahagian:

Bahagian 1:

Suatu puak mengutamakan tauhid atau keesaan Allah, lalu membelanjakan semua harta kekayaan mereka, tiada sedinar ataupun sedirham pun yang tinggal lagi. Termasuk dalam puak ini ialah Saiyidina Abu Bakar as-Sidiq yang telah membawa semua hartanya kepada Rasulullah s.a.w. untuk dibahagi-bahagikan.

Bahagian 2:

Sepuak lagi yang rendah sedikit tingkatannya dari puak yang pertama tadi; iaitu orang-orang yang menahan hartanya untuk dibelanjakan pada waktu-waktu keperluan dan masa-masa mengeluarkan khairat atau sedekah. Jadi maksudnya menyimpan wang itu adalah untuk membelanjakan ke atas kadar keperluannya saja tanpa bersenang-senang dengannya dan selebih dari kadar keperluannya itu dibelanjakan kesemuanya kepada perkara-perkara kebajikan tidak kira apa saja rupanya.

Orang-orang dari puak ini tiada memandang cukup dengan mengeluarkan zakat semata-mata, malah sedekah-sedekah yang lain pun turrut dikeluarkan sama. Sebahagian terbesar dari para tabi’in menentukan, bahawa dalam harta benda itu ada hak-hak yang lain selain dari har zakat. Mereka itu termasuklah Imam-imam as Nakha’I as-Sya’bi, Atha’ dan Mujahid.

Lihatlah apa kata as-Sya’bi apabila ditanya: Apakah dalam harta benda itu ada lagi hak selain zakat, beliau menjawab: Memang ada lagi hak selain zakat, belian menjawab: Memang ada lagi hak yang lain. Tidak pernahkan engkau mendengar firman Allah Ta’ala.

“Dan dia memberikan pula hartanya yang dikasihinya kepada kaum kerabat.” (al-Baqarah:177)

Dan mereka itu mengambil dalilnya dari: firman Allah Ta’ala

“Dan mereka membelanjakan dari apa yang Kami (Allah) rezekinya kepada mereka.” (al-Baqarah: 3)

Begitu pula dengan firman yang berikut:

“Dan belanjakanlah dari apa yang Kami (Allah) memberi rezeki kepada kamu.” (al-Munafiqun:10)

Ayat ini pula umum termasuk dalam hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain. Yakni wajib atas orang yang berkelebihan membantu saudaranya yang berhajat dan menutup keperluannya dari wang yang selain zakat.

Bahagian 3:

Puak atau golongan yang berpegang dengan yang wajib semata-mata, tiada lebh dan tiada kurang. Mereka inilah yang berada di tingkat yang paling rendah sekali. Kebanyakan orag berada di tingkat yang paling rendah sekali. Kebanyakan orang terkira dalam golongan ini disebabkan mereka itu terlalu lokek dengan harat kekayaan yang mereka amat mencintainya itu, dan oleh kerana lemahnya kecintaan mereka terhadap akhirat.

Pengertian 2:

Membersihkan jiwa dari sifat lokek dan bakhil kerana ia adalah salah satu dari sifat-sifat yang membinasakan.

Allah telah berfirman:

“Barangsiapa terselamat dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang berbahagia.” (al-Hashr: 9)

Ketahuilah sifat kikir atau lokek itu tidak akan lenyap dari diri seseorang, melainkan dengan membiasakan diri membelanjakan harta kepada jalan kebajikan, kerana kasih kita kepada sesuatu benda itu tidak akan terputus, melainkan dengan memaksa diri untuk berpisah dengannya, sehingga lama-lama menjadi kebiasaan. Menurut pengertian ini, zakat itu menjadi pensuci diri; iaitu ia akan membersihkan diri seseorang itu dari buruknya sifat lokek atau kikir yang membinasakan itu. Dan kadar pensucian itu adalah diukur banyak sedikitnya dengan kadar perbelanjaannya dari harta itu, dan dengan kadar rasa gembiranya kerana mengeluarkan wang itu, atau merasa puas hati, sebab dia telah membelanjakannya semata-mata kerana mencari keredhaan Allah s.w.t.

Pengertian 3:

Mensyukuri nikmat, kerana setiap manusia adalah terhutang nikmat kepada Allah s.w.t. pada dirinya dan pada hartanya Oleh itu ibadat yang dilakukan oleh anggota badan ini merupakan suatu kesyukuran terhadap kenikmatan tubuh. Begitu juga membelanjakan wang dalam jalan Allah itu merupakan suatu kesyukuran terhadap kenikmatan harta pula. Alangkah jeleknya seseorang yang melihat si fakir yang sedang dalam kesempitan rezeki dan amat perlu kepada bantuan wang, sedangkan ia tiada mengendahkannya dan tiada memberatkan untuk menunaikan kesyukuran terhadap Allah s.w.t. iaitu dengan menyelamatkannya dari meminta-minta untuk mencukupi keperluannya dan keperluan orang-orang yang ditanggungnya, dengan membelanjakan suku persepuluh (2.5%) ataupun sepersepuluh (10%) dari hartanya.

Tugas-tugas mengeluarkan zakat

Pertama: Menyegerakan pengeluarannya sebelum waktu kewajibannya, kerana melahirkan tanda kesenangan diri, untuk menjujung perintah Allah, dan kerana keinginan untuk menimbulkan rasa kegembiraann di dalam hati para fakir-miskin. Tindakan mempercepatkan pengeluaran zakat ini boleh menolak halangan-halangan atau gangguan-gangguan masa; mana tahu nanti kelebihan-kelebihan yang ada itu akan lenyap kerana sesuatu sebab yang tak terduga. Kemudian kita juga tentu maklum bahawa dalam menangguhkan pengeluaran zakat itu ada beberapa bencana, selain kita akan berdosa kerana menlanggar perintah Tuhan, sebab melewatkan pengeluaran zakat itu dari waktu kewajibannya.

Jadi sayugia diingatkan, apabila tergerak di dalam hati niat yang baik untuk menyegerakan zakat, maka janga sampai menangguh-nangguhkan lagi, bahkan hendaklah menggunakan kesempatan itu sepenuhnya kerana yang demikian itu adalah bisikan Malaikat kepada kita. Kalau tidak, dikhuatiri hati itu akan bertukar tujuan, dan manakala syaitan sentiasa menunggu di pintu hati menjanjikan kita kefakiran, yakni menakut-nakutkan kita menjadi papa-kedana, sebagaimana firman Allah:

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu akan kefakiran dan menggalakkan kamu melakukan kekejian dan kemungkaran.” (al-Baqarah: 268)

Sebagaimana Malaikat sentiasa membisikkan kepada kita dengan perkara-perkara yang baik-baik, syaitan pula membisikkan sebaliknya. Dan bisikan syaitan itu tidak pernah terputus, sesudah satu tidak berjaya datang pula yang lainnya secara terus-menerus maka hendaklah kita berjaga-jaga daripadanya. Jadi bila ada keinginan yang baik timbul di dalam hati, maka janganlah ditinggalkan peluang itu berlalu begitu saja.

Kedua: Mengeluarkan zakat secara rahsia, tidak dihebahkan ke sana ke mari, kerana yang demikian itu akan menjauhkan amalan itu daripada ria’ dan minta dipuji ramai.

Allah berfirman:

“Jika sekiranya kamu rahsiakan (sedekah) dan kamu memberikannya kepada para fakir, maka itu adalah lebih utama bagimu.” (al-Baqarah: 271)

Sebahagian pengeluar zakat yang ingin mendapatkan keutamaan merahsiakan pengeluarannya, sehingga mereka mencuba agar orang yang menerima zakat itu tidak mengetahui siapakah pemberinya. Ada juga yang memberi zakat dengan perantaraan orang lain, supaya si fakir yang menerima itu tiada mengetahui si kaya yang mengeluarkannya. Paling kurang ia akan memesan orang yang akan menyampaikan zakat itu, supaya merahsiakan pemberian itu, dan jangan dibocorkan rahsianya; semuanya itu dilakukan tiada lain, kerana mencari keredhaan Allah Ta’ala dan memelihara diri dari perasaan ria’, atau bermegah diri. Tetapi apabila amalannya itu diisytiharkan untuk menuntut kemasyuran, maka hancur-leburlah amalan itu, tanpa apa pahala lagi padanya.

Ketiga: Patut juga anda mengisytiharkan pengeluaran zakat itu, kiranya anda yakin dalam pengisytiharan itu ada tanda-tanda akan menggalakkan orang lain untuk mengikuti jejak langkahmu, tetapi harus pula memelihara jangan sampai di dlam hati terbungkus perasaa ria’ atau rasa bermegah diri.

Allah telah berfirman:

“Kiranya kamu menampakkan sedekah-sedekah itu, itu pun baik juga.”  (al-Baqarah: 271)

Maksudnya ialah apabila keadaan memaksa untuk menampakkan sedekah-sedekah itu, sama ada supaya menjadi contoh tauladan bagi orang lain untuk mengikutinya ataupun kerana si peminta sedekah itu telah meminta anda di hadapan khalayak ramai, maka tidak sewajarnya anda meninggalkan pemberian sedekah tersebut dengan alasan memberi sedekah secara terang-terangan itu akan menimbulkan ria’ di dalam hati. Tidak begitu tetapi hendaklah anda memelihara hati daripada ria’ sekadar yang termampu. Sebab di dalam keadaan yang serupa itu ada larangan yang ketiga, selain dari menampakkan budi dan ria’ iaitu mengecilkan hati si peminta itu, kerana mungkin sekali ia akan merasa terhina atau pedih, sebab kelihatan sebagai serang yang perlu dan berhajat di hadapan khalayak ramai. Barangsiapa yang meminta-minta di hadapan ramai maka sebenarnya dia telah mendedahkan rahsia dirinya, maka janganlah sampai si pemberi pula melanggar kehormatannya lagi. Yakni kerana alasan takutkan ria’ dalam memberi secara terang-terangan itu, dia lalu menolak dan tiada memberinya pula.

Allah telah berfirman:

“dan belanjakanlah dari harta yang Kami (Allah) rezekikan kepadamu secara rahsia atau terang-terangan.” (ar-Ra’ad: 22)

Ayat ini menunjukkan keharusan untuk memberi secara terang-terangan disebabkan adanya faedah untuk mendorong orang lain menurut jejak-langkahnya. Oleh kerana itu hendaklah kita pandai-pandai meneliti dan menimbang-menimbang faedah yang tersebut itu dan memperbandingkannya dengan bahaya yang kita bimbangkan itu. Barangsiapa yang sudah kenal mana satu yang dikatakan berfaedah dan mana pula yang mengandungi bahaya, tentulah cara yang pertama yang akan dipilih, kerana ia adalah yang utama dan yang patut dipilihnya dalam hal ini.

Keempat: Janganlah anda merosakkan sedekahmu itu dengan menyebutkannya ke sana ke mari atau dengan menyakiti hati orang yang menerima sedekah itu.

Allah berfirman:

“Janganlah kamu merosakkan sedekah-sedekah kamu itu dengan memuji diri dan cercaan.” (al-Baqarah: 264)

Perkataan al-Manni di dalam ayat di atas tadi, ialah menyebutkan ke sana ke mari dan memberitahu orang lain, bahawa dia telah memberikan si Fulan itu sekian-sekian dari sedekahnya. Ataupun dia memberikan sedekahnya kepada si Fulan, kemudian menyuruh Fulan itu membuat sesuatu kerja. Ataupun dia memberikannya secara menyombong diri. Dan perkataan al-Adza pula diertikan dengan maksud menampakkan sedekahnya kepada orang ramai, ataupun mencerca Fulan yang menerima sedekah itu kerana kefakirannya atau memakinya atau memburukkan-burukkan keadaannya. Kerana selalu saja meminta-minta.

Asal makna perkataan al-Manni ialah menganggap dirinya berbudi kepada si fakir dan memberinya kenikmatan. Tetapi makna yang sebenarnya ialah sebaliknya; iaitu hendaklah ia memandang si fakir itu berbudi kepadanya dengan menerima hak Allah Azzawajalla daripadanya, yang mana dengan itu akan tersucilah dirinya dan terselamatlah ia dari api neraka. Renungkanlah andaikata tidak ada orang yang mahu menerima sedekah itu, tentulah kewajipan itu masih tergantung di atas pundaknya. Maka seharusnya dia menganggap dari tanggungjawab yang berat itu.

Walau bagaimanapun barangsiapa telah mengenal dan mengetahui tiga macam pengertian yang telah berlalu sebutannya itu, akan merasa dirinya tidak berbudi apa-apa kepada siapa pun, melainkan kepada dirinya sendiri. Sebab dengan menunaikan zakat itu dia telah mengeluarkan hartanya, sama ada kerana menyatakan kecintaannya kepada Allah s.w.t ataupun kerana membersihkan dirinya dari celaan sifat kikir dan lokek, ataupun kerana kesyukuran terhadap kenikmatan harta yang dimilikinya, mudah-mudahan Allah Ta’ala akan menambah lagi.

Adapun asal makna perkataan Al-Adza, ialah mengganggap dirinya lebih utama dari diri si fakir, dan ini ternyata sekali suatu kebodohan. Sebab kiranya ia mengetahui keutamaan si fakir dalam perkara zakat itu, dan berapa beratnya bahaya orang kaya dalam perkara yang sama, tentu sekali ia tidak akan menghina atau merendahkan diri si fakir itu, malah sebaliknya ia akan mengharap-harapkan untuk memperoleh darjat si fakir itu. Apa sebabnya? Kerana Allah s.w.t. telah menjadikan kaum fakir-miskin itu tempat orang kaya memperdagangkan nasibnya agar ia terselamat dari tanggungjawabnya; iaitu dengan penerimaan kaum fakir-miskin zakat atau sedekah yang wajib dikelurkan itu.

Kelima: Hendaklah anda memandang pemberian itu amat kecil sekali, sebab jika anda merasakan pemberian itu besar; atau banyak kelak mungkin anda merasa ujub (bermegah diri). Dan sifat ujub itu adalan di antara sifat-sifat yang membinasakan dan tentu sekali anda akan mensia-siakan amalan, bererti menghilangkan pahalanya.

Akan pendapat yang mengatakan bahawa tidak akan sempurna sesuatu kebajikan melainkan tiga perkara:

(1) merasakan amalam itu kecil

(2) menyegerakan amalan itu.

(3) merahsiakan amalan itu, atau melakukannya secara sembunyi-sembunyi.

Keenam: hendaklah anda memilih dari harta bendamu yang paling bagus sekali dan yang paling dicintainya; yakni yang berharga dan terindah kerana Allah Ta’ala tu ZatNya Maha Bagus dan Dia tidak akan menerima malainkan yang bagus pula. Sekiranya anda mengeluarkan bukan dari harta yang bagus, makka samalah seperti anda kurang ajar terhadap Allah s.w.t. sebab anda telah memilih yang bagus bagi dirimu atau bagi keluargamu dan memberikan yang tak bagus kepada Allah s.w.t Perbuatan ini samalah seperti anda melebihkan dirimu daripada Allah Azzawajalla, padahal segala hartamu itu, Allah yang memberikan kepadamu. Cuba anda buat serupa ini kepada tetamumu; yakni menghidangkan makanan yang busuk, atau tidak enak, tentulah kelakuan itu akan menimbulkan rasa marah di dalam hati si tetamu itu.

Allah telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman belanjakanlah dari sebaik-baik harta yang kamu perolehi dan dari segala benda yang Kami (Allah) keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu membelanjakannya, sedangkan kamu sendiri tiada ingin mengambilnya lagi, melainkan dengan memejamkan mata kamu.”         (al-Baqarah: 267)

Maksudnya: Kamu tidak ingin mengambilnya melainkan secara terpaksa atau malu, Itulah yang diartikan dengan makna memejam mata.

Ketujuh: Dalam mengeluarkan sedekah itu, hendaklah anda memilih orang yang benar-benar boleh membersihkan hartamu dengan sedekah itu. Janganlah hendaknya memadai dengan memilih delapan asnaf yang ada secara umum saja, sebab dalam umum asnaf-asnaf yang delapan itu, ada yang mempunyai sifat-sifat yang khusus. Maka hendaklah anda mendahului orang-orang yang mempunyai sifat-sifat yang khusus itu, iaitu kepada enam macam:

(1) Hendaklah anda memilih dari para Salihin orang-orang penuh taqwa kerana sedekah yang didapati mereka itu dapat digunakan untuk jalan taqwa kepada Allah s.w.t. Dengan itu anda akan mengongsi pahala-pahala mereka dalam ketaatan disebabkan pertolonganmu kepada mereka.

(2) Hendaklah orang yang menerima sedekah itu dari golongan orang-orang ahli ilmu pengetahuan agama, ataupun dari para alim-ulama khasnya, kerana memberikan sedekah itu kepadanya samalah seperti menolong mereka memperkembangkan ilmu pengetahuan agaam. Manakala ilmu pengetahuan agama itu adalah semulia-mulia ibadat di sisi Tuhan, kiranya disertakan dengan niat yang suci.

Ibnui-Mubarak sentiasa mengkhususkan bantuannya kepada ahli-ahli ilmu pengetahuan agama. Maka ada orang yang berkata: Mengapa tidak engkau umumkan bantuanmu itu kepada selain mereka. Beliau menjawab: Saya tiada mengetahui ada suatu maqam (kedudukan) yang lebih utama sesudah maqam para Nabi, selain dari maqam alim-ulama. Sebab mereka itu jika dipaksakan untuk mencari keperluan hidup, tentulah mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu pengetahuan, dan tiada mampu untuk meneruskan pelajarannya maka penumpuan mereka kepada ilmu pengetahuan itu adalah lebih utama oleh itu sayugialah hendaknya kita tolong mereka.

(3) Hendaklah si penerima itu benar-benar dalam taqwanya kepada Allah Ta’ala dan mendalam ilmu pengetahuannya mengenai tauhid. Maksud di sini, hendaklah bila ia menerima pemberian serta-mertalah ia memuji Allah dan bersyukur kepadaNya. Dan hendaklah ia menganggap bahawa nikmat pemberian itu datangnya dari Allah, dan bahawasanya si pemberi itu adalah wasitah atau pengantara yang ditunjuk oleh Allah dengan kekuasaannya sebab hanya Allah s.w.t sajalah memberangsangkannya untuk melakukan perbuatan baik itu, Barangsiapa kebatinannya tiada dapat mensifatkan pandangannya terhadap pengantara itu sebagai hanya pengantara semata-mata, maka tentulah ia belum lagi terlepa dari maksud keisyikian yang tersembunyi. Oleh itu hendaklah ia memperbanyak taqwa kepada Allah s.w.t. dalam jalan membersihkan ketauhidannya dari daki-daki syirik dan kekotorannya.

(4) Hendaklah si penerima sedekah itu merahsiakan keperluannya, jangan terlalu banyak mengadu atau merayu. Hendaklah mereka itu dari orang-orang yang menjaga maruahnya seperti halnya orang yang pernah hidup mewah, lalu oleh kerana sesuatu sebab atau yang lain, tiba-tiba dia jatuh miskin, tetapi keadaannya tetap seperti biasa juga, tiada pernah meratapi nasibnya, bahkan sentiasa hidup menahan diri. Allah telah berfirman

“Orang jahil (yang tiada mengetahui halnya) menyangkakan mereka itu kaya raya, sebeb mereka tiada pernah meminta-minta Engkau dapat mengenal mereka itu dengan tanda-tandanya. Mereka tiada suka meminta kepada orang lain secara berulang-ulang.”   (al-Baqarah: 273)

Yakni mereka tiada mahu berulang-ulang meminta sebab mereka sebenarnya kaya raya dengan keyakinan kepada Allah dan termulia dengan kesabaran yang ada pada diri mereka.

Sayugialah seseorang yang hendak memberikan sedekahnya itu hendaklah terlebih dulu mencari-cari akan ahli-ahli agama di merata-rata tempat, di samping menyingkap rahsia kebatinan orang-orang yang selalu cenderung pada kebaikan dan kesabaran. Sebab pahala memberikan sedekah kepada orang-orang yang selalu meminta-minta di khalayak ramai.

(5) Hendaklah si pemberi sedekah iti memilih pula orang-orang yang banyak tanggungannya ataupun orang-orang yang terlantar kerana sakit ataupun kerana sebab-sebab yang lain, menurut pengertian firma Allah Ta’ala berikut:

“Untuk orang-orang fakir yang terkepung di jalan Allah, yang tiada berkuasa lagi untuk mengusahakan rezekinya di muka bumi.”    (al-Baqarah : 273)

Maksud dari perkataan uh shiruu fi sabillah di sini ialah mereka yang terkurung pada jalan akhirat tidak dapat mengusahakan lagi rezeki anak-isterinya ataupun dikeranakan kesempitan hidup atau kebaikan hati, sehingga seolah-olahnya sayap mereka telah terpotong dan tangan mereka telah terbelenggu.

Dan atas sebab inilah, Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a. memberi kepada ahlul-bait, yakni keluarga Rasullullah s.a.w. sekelompok kambing 10 ekor ke atas. Dalam masa hayatnya Rasulullah s.a.w. sendiri telah menguruskan kerja-kerja membahagikan pemberian ini menurut kadar keluarga.

Saiyidina Umar Ibnul-Khattab apabila ditanya tentang maksud jahdul-bala’ (bencana yang berat) telah menjawab: Maksudnya ialah terlampau banyak tanggungan (keluarga) dan terlalu sedikit wang pula.

Hendaklah diutamakan pemberian itu kepada kaum kerabat dan keluarga, sehingga pemberian itu merupakan sebagai sedekah dan menyambung silatur-rahim antara keluarga, sedang pahala silatur-rahim ini adalah amat besar sekali.

Saiyidina Ali r.a telah berkata: Jika aku mempereratkan hubungan salah seorang dari saudara maraku dengan memberinya satu dirham saja, adalah lebih aku utamakan daripada aku menderma 20 dirham kepada selain mereka.

Sahabat-sahabat dan rakan-rakan seperjuangan dalam melakukan kebaikan kepada orang ramai hendaklah diutamakan dari kenalan-kenalan biasa yang lain. Sebagaimana diutamakan kaum kerabat dari orang-orang yang asing. Semua ini harus diperhatikan dengan sebaik-baiknya. Itulah sifat-sifat yang dituntut oleh agama dan pada setiap sifat itu ada darjat-darjat keutamaannya. Oleh itu janganlah dituntut melainkan darjat yang paling tinggi sekali. Kalau ada pula orang yang dapat mengumpulkan semua sifat-sifat keutamaan ini sekaligus maka itulah yang dikatakan simpanan yang paling terbesar dan keuntungan yang amat teragung.

Pembahagian zakat dan asnaf-asnaf penerimanya.

Ketahuilah, bahawa tiada berhak untuk menerima zakat itu melainkan seorang Muslim yang ada padanya salah satu dari sifat-sifat asnaf delapan yang tersebut di dalam al-Quran al-Karim:

(1) Fakir: iaitu orang yang tiada harta dan tiada mampu pula bekerja. Barangsiapa yang boleh bekerja akan terkeluarlah ia dari kategori seorang fakir. Jika ia sedang menuntut ilmu dan yang demikian itu telah menghalangnya dari bekerja maka dikiralah ia seorang fakir dan kekuasaannya untuk bekerja itu tiada dikira. Tetapi kalau ia seorang ‘abid (beribadat), sehingga ibadatnya itu menghalangnya dari bekerja disebabkan terlalu banyak ibadatnya dan semua waktunya dihabiskan kerana berwirid maka hendaklah ia disuruh supaya bekerja. Sebab membuat pekerjaan untuk mendapatkan sara hidup itu, adalah lebih penting daripada menghabiskan kesemua masanya pada ibadat dan wirid semata-mata.

(2) Miskin: iaitu orang yang pendapatannya tidak mencukupi perbelanjaan yang mesti dikeluarkan. Seseorang itu boleh jadi memiliki seribu dirham, padahal ia boleh dikira miskin sedangkan orang yang tidak memiliki apa-apa kecuali sebilah kapak dan sepotong tali, padahal ia boleh dikira kaya. Demikian pula pondok kecil yang dimilikinya dan sepasang pakaian yang membalut badannya sekadar hal saja, itu semua tidak dapat merampas darinya nama seorang miskin. Begitu juga dengan perkakas-perkakas rumahtangga yang diperlukan di rumah menurut keadaan atau kebiasaan tidak dapat mengeluarkan namanya dari kategori seorang miskin. Termasuk juga kalau ia mempunyai kitab-kitab fiqh yang banyak, kerana tentulah dia berhajat kepadanya untuk mengetahui hukum-hukum agama.

(3) Para amil: iaitu orang-orang yang bekerja untuk mengumpulkan zakat termasuk dalam senarai ini semua orang yang bekerja sebagai kerani, jurukira penyimpan harta zakat dan orang yang bertugas untuk memindahkan harta zakat.

(4) Orang yang dibujuk hatinya menganut Islam atau yang dipanggil muallaf; iaitu seorang ketua sesuatu puak yang memeluk Islam, sedangkan ia ditaati oleh kaumnya. Sebab diberikan kepadanya sebahagian daripada zakat, ialah untuk mengukuhkan kepercayaannya kepada Agama Islam dan menggalakkan pula pengikut-pengikutnya dan orang lain sepertinya untuk memeluk Agama Islam.

(5) Hamba abdi: iaitu untuk maksud menebus dirinya daripada perhambaan, sama ada dibayarkan harganya kepada tuan punyaanya untuk dimerdekakan, ataupun diberikan bahagian perhambaan (sekiranya ia hamba mukatab – pent.).

(6) Gharim atau orang yang dibebani oleh hutang: iaitu kiranya ia berhutang kerana tujuan-tujuan ketaatan ataupun kerana sebab yang mubah (harus) seperti perbelanjaan ke atas anak-isteri misalnya sedangkan ia di dalam keadaan fakir, tak punya daya untuk membayar hutang itu. Kiranya ia berhutang kerana tujuan maksiat maka tiadalah ia diberikan dari bahagian zakat itu, melainkan jika ia telah bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Kiranya ia seorang yang kaya (misalnya mempunyai harta benda – pent.), maka tiadalah boleh ditunaikan hutangnya itu dari bahagian zakat, kecuali jika ia berhutang itu kerana faedah dan maslahat orang ramai, ataupun kerana tujuan memadamkan fitnah dan huru-hara.

(7) Orang mujahid atau yang berperang fi-sabilillah: iaitu orang yang tiada menerima apa-apa bayaran berupa upahan atau gaji dari negara, maka diberikan kepada mereka itu satu bahagian dari zakat, meskipun mereka itu tergolong orang-orang yang kaya-raya, kerana pemberian itu adalah untuk menggalakkan mereka supaya terus berperang.

(8) Ibnu sabil: iaitu orang yang meninggalkan negerinya untuk mengembara ke negeri orang bukan kerana maksiat, atau kerana terlantar di negeri orang dan tak punya wang untuk kembali, maka bolehlah diberikan kepadanya bahagian zakat, kiranya ia seorang fakir ataupun kiranya ia mempunyai harta di negeri lain, diberikan sekadar belanja untuk sampai ke negeri itu saja.

Tugas-tugas penerima zakat

Orang yang menerima zakat mempunyai empat tugas:

(1) Hendaklah ia mengetahui bahawa Allah Azzawajalla mewajibkan pemberian itu untuk mencukupi keperluannya supaya menjadi pertolongan kepadanya untuk mengerjakan ketaatan. Jika dipergunakannya untuk maksiat, seolah-olah ia telah mengkufuri nikmat-nikmat Allah yang diberikan kepadanya. Dengan itu terjauhlah ia dari rahmat Allah dan mendapat kutukan pula daripadanya.

(2) Hendaklah ia mensyukuri orang yang memberikan zakat itu sambil mendoakan baginya dan memujinya tetapai hendaklah jangan sampai terkeluar dari menganggapnya sebagai pengantara saja, atau sebagai jalan di mana menerusinya disampaikan nikmat Allah tadi, tidak lebih dari itu, Sebab bagi pengantara atau jalan atau wasitah itu, ada haknya juga dari segi hanya dijadikan pengantara atau wasitah. Dan tiadalah menafikan bahawa asal nikmat itu daripada Allah s.w.t.

Telah bersabda Rasullullah s.a.w.

“Barangsiapa yang tiada menyukuri manusia, maka tiadalah ia mensyukuri Allah.”

Allah s.w.t. juga telah memuji hamba-hambaNya, kerana amalan-amalan baik mereka dalam beberapa ayat di dalam kitabNya, tetapi Dia telah menentukan bahawa Dialah yang mentakdirkan semua itu, diantaranya firman Allah:

“Sebaik-baik hamba itu adalah yang banyak taubatnya,” (Shad: 30)

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa memberikan kepadamu sesuatu kebaikan (bantuan), maka hendaklah kamu membalasnya Kiranya kamu tidak mampu maka doakan baginya (dengan baik) sehinga kamu yakin bahawa kamu telah pun membalasnya.”

Di antara cara menyempurnakan kesyukuran ialah menutupi aib atau cacat-cacat pemberian itu kalaulah ada cacatnya dan janganlah sampai ia menghina atau mencacinya. Jika ia tiada mahu menerimanya kerana kaaiban itu maka janganlah ia mengata nista orang yang memberinya, bahkan handaklah ia menunjukkan besar hati terhadap pemberian itu dan menganggapnya sangat besar ertinya di hadapan orang ramai, Jelasnya tugas pemberi hendaklah memandang kecil segala pemberiannya, manakala tugas si penerima hendaklah menghargakan kenikmatan itu dan membesar-besarkannya. Dan sewajarnya atas setiap satu dari keduanya menunaikan tugas masing-masing. Semua itu tiadalah berlawanan dengan menganggap bahawa nikmat itu datangnya dari Allah Azzawajalla, sebab barangsiapa yang tiada memandang kepada pengantara atau wasitah, maka oarang itu sebenarnya bodoh. Begitu juga orang yang menganggap pemberian itu berasal dari pengantara, maka orang itu telah ingkar.

(3) Hendaklah ia meneliti zakat yang diterimanya itu, apakah dari harta yang halal atau tidak. Jika ia bukan dari harta yang halal, maka hendaklah ia bersikap wara’. Janganlah menerima zakat dari orang yang kebanyakan perusahaannya dari hasil yang haram, melainkan bila amat terdesak, maka bolehlah diambil sekadar keperluan saja. Ataupun jika zakat yang diberinya itu dari harta yang serupa itu memang wajib dikeluarkan zakatnya. Pendekata dalam keadaan–keadaan seperti di atas boleh diterima zakatnya sekiranya memang sukar untuk mendapat dari yang halal seratus persen.

(4) Hendaklah ia memelihara dari jangan sampai tergelincir ke dalam keraguan dan kesyubhatan dalam kadar zakat yang diambilnya itu, yakni jangan ia menerima, melainkan dalam kadar yang harus diterimanya. Jangan ia menerima juga, melainkan sesudah ia yakin, bahawa ia mempunyai salah satu sifat dari sifat-sifat asnaf yang kedelapan yang telah di tentukan itu. Apabila ia telah meyakini ini, maka hendaklah jangan mengambil atau menerima kadar yang banyak melainkan mengambil sekadar keperluannya saja. Paling banyak boleh diambil untuk menckupi sara hidupnya dalam masa setahun saja. Itulah kadar yang paling tinggi yang dibenarkan oleh syara’ baginya untuk menerima sebab Rasulullah s.a.w. sendiri hanya menyimpan perbelanjaan untuk tanggungjawabnya hanya untuk masa setahun saja.

Ada pendapat setengah ulama pula yang mengharuskan si fakir untuk mengambil dari harta zakat sekadar membolehkan ia membeli sebidang tanah yang sederhana, sehingga dengan tanah itu, ia boleh mendapat hasil untuk menampung sara hidup sepanjang umurnya dan tidak perlu lagi meminta-minta atau mengambil zakat dari orang lain. Ada yang berpendapat boleh juga mengambil sekadar untuk dijadikan modal perniagaan agar ia tiadalah akan menerima zakat lagi sesudah itu, sebab ketika itu ia telah terkira sebagai orang yang tidak memerlukannya lagi.

Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a telah berkata: Apabila kamu memberi, maka hendaklah kamu memberi sekadar mencukupi hajat orang itu, sehingga ia tiada memerlukan lagi. Dengan pengertian ini, ada pendapat yang mengatakan boleh mengambil sekadar yang boleh memulihkan semula keadaan asal orang yang memerlukannya itu, sekalipun ia mengambil sampai sepuluh ribu dirham.

Sekali peristiwa Abu Talhah melahirkan keinginannya kepad Rasulullah s.a.w. untuk menderma-baktikan kebun kurmanya, maka Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Jadikanlah pemberian itu kepada kaum kerabatmu, maka itu adalah lebih utama.”

Maka Abu Talhah pun memberikannya kepada Hassan dan Abu Qatadah. Sebenarnya sebidang kebun kurma yang didermakan untuk dua orang saja itu adalah suatu pemberian yang besar dan lebih dari mencukupi.

Sedekah tathawwu’ dan keutamaannya

Di antara Hadis yang menyebutkan tentang keutamaan sedekah ialah:

“Bersedekah walau dengan sebutir kurma.”

Dalam riwayat lain:

“Takutilah api neraka itu (yakni selamatkanlah dirimu dari api neraka), walaupun dengan bersedekah setengah butir kurma. Jika kamu tiada dapat berbuat demikian, maka dengan perkataan yang baik.”

Sabdanya lagi:

“Setiap manusia di dalam naungan sedekahnya, sehinggalah saat diputuskan Allah antara sekalian manusia (yakni pada Hari Kiamat).”

Sabdanya yang lain:

“Sedekah secara bersembunyi-sembunyi itu memadamkan kemarahan Allah azzawajalla.

Apabila Rasulullah s.a.w. ditanya: Mana satu sedekah yang lebih utama? Baginda menjawab: Bilamana engkau bersedekah sedangkan engkau masih sihat, serta kikir, engkau mengharap jadi kaya dan takut jadi miskin. Dan janganlah engkau menangguhkan sedekah itu, sehingga nyawa telah sampai di kerongkong, maka ketika itu engkau katakan untuk si Fulan sekian banyak, dan untuk si Fulan sekian pula, padahal sememangnya semua itu untuk mereka.

Yakni: Kalau dia tidak bilang sekian si A. Atau sekian untuk si B. Memang akan menjadi hak mereka bila sudah tercabut nyawanya.

Sabdanya lagi:

“Bukanlah seorang miskin itu yang ditolak ketika meminta sebutir atau dua butir kurma, ataupun yang ditolak ketika sesuap atau dua suap makanan. Tetapi yang dikatakan seorang miskin itu ialah orang yang terlalu susah, malah tidak suka meminta-minta. Jika perlu bacalah: (ayat) mereka tiada meminta-minta orang berulang kali.”

Sabdanya lagi:

“Tiada seseorang Muslim yang memberi pakaian kepada Muslim yang lain, melainkan Allah memelihara orang itu, selagi pakaian itu masih digunakan, sekalipun sampai menjadi secarik kain buruk.”

Dari atsar-atsar cerita lama ialah apa yang dikatakan oleh ‘Urwah; bahawasanya Saiyidatina Aisyah r.a telah bersedekah sebanyak lima puluh ribu dirham, padahal bajunya masih koyak-koyak.

Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a pula berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Limpahkanlah kurnia kelebihan itu pada orang-orang yang terbaik di antara kami, moga-moga mereka akan mengembalikan kurni-kurnia itu kepada orang-orang yang mempunyai hajat di antara kami.

Berkata Ibnu Abil-Ja’ad: Sesungguhnya sedekah itu akan menolak tujuh puluh pintu dari kecelakaan dan keutamaan mengeluarkannya secara sembunyi-sembunyi adalah tujuh puluh kali lebih utama daripada mengeluarkannya secara terang-terangan.

Keutamaan sedekah yang disembunyikan

Allah telah berfirman:

Jika kamu menampakkan sedekah itu, maka itu pun baik juga. Tetapi jika kamu menyembunyikan sedekah itu dan kamu memberikannya kepada orang-orang fakir, itu adalah lebih utama.” (al-Baqarah: 271)

Dalam mengeluarkan sedekah secara bersembunyi-sembunyi itu ada lima maksud:

Pertama: Memberikannya secara bersembunyi  itu akan menutupi rahsia orang yang menerimanya. Jika ia mengambilnya secara terang-terangan akan jatuhlah marwahnya di muka rama, dan terdedahlah keperluannya di mata merka. Dengan itu terkeluarlah ia dari golongan orang-orang yang hidupnya ‘afif, iaitu tidak suka meminta-minta dan memelihara dri dari menunjukkan kesusahan di hadapan orang ramai sebagaimana yang dianjurkan oleh agama, hingga ke darjat orag yang tak tahu bila melihatnya, disangkanya ia tidak memerlukan apa-apa.

Kedua: Memberikanya secara sembunyi-sembunyi itu akan menyelamatkannya dari sangkaan tak baik di dalam hati orang ramai, atau dari bencana lidah mereka. Sebab mungkin mereka akan menaruh hasad terhadapnya atau mengumpatnya, atau menyangka orang itu berani mengambil meskipun ia tidak perlu. Padahal hasad, sangkaan yang buruk dan mengumpat itu adalah di antara dosa-dosa besar, sedangkan memelihara orang ramai dari dosa-dosa ini adalah lebih utama.

Berkata Ayub as-Sakhtiani: Aku tidak suka memakai pakaian yang baru, kerana bimbang kalau-kalau akan berlaku hasad pada diri jiranku. Dan pada riwayat yang lain: kerana takut kalau-kalau saudara-maraku akan berkata: Dari mana dia dapat pakaian baru itu?

Ketiga: Menggalakkan si pemberi untuk merahsiakan pemberian itu, sebab keutamaan memberi secara rahsia atau bersembunyi-sembunyi adalah lebih banyak pahalanya dari memberi secara terang-terangan dan menggalakkan untuk meyempurnakan sesuatu yang baik adalah baik.

Adalah diceritakan bahawa ada seorang telah membawa sesuatu pemberian kepada seorang alim dan berikannya secara terang-terangan maka orang alim itu menolak pemberian itu. Kemudian di masa yang lain, datang pula seorang lain memberinya sesuatu pemberian secara rahsia, dia pun menerimanya. Bila ditanya tentang sebabnya orang alim itu berkata: Orang ini telah menyempurnakan pemberiannya dengan penuh adab, sebab diberinya aku dengan rahsia, maka aku terimalah pemberian itu daripadanya. Tetapi orang yang pertama itu tidak tahu menjaga kesopanan bila dia memberikan pemberiannya di muka ramai maka aku tidak mahu menerimanya.

Setengah orang pula, bila diberikan kepadanya sesuatu pemberian secara terang-terangan di muka orang ramai, dia akan mengembalikannya seraya berkata: Engkau telah mengsyariatkan pemberian ini dengan selain dari Allah Azzawajalla dan engkau tidak memadai dengan Allah semata-mata kerana itu aku akan kembalikan kepadamu kesyirikanmu itu.

Keempat: Sesungguhnya mengambil zakat atau sedekah di muka khalayak ramai adalah suatu penghinaan dan kerendahan moral dan tidak seharusnya seorang Mu’min menghina saudaranya dengan pemberian zakat serupa itu.

Kelima: Untuk memelihara diri dari syubhat pengongsian, kerana ada sebuah Hadis yang berbunyi:

“Barangsiapa yang menerima sesuatu hadiah di hadapan khalayak ramai, maka orang-orang itu berkongsi dalam hadiah itu.”

Maksudnya: Memberikannya bukan semata-mata kerana Allah, tetapi meminta kepujian orang ramai.

Setiap amalan itu adalah bergantung dengan niat maka sewajarnyalah seseorang yang benar-benar ikhlas di dalam amalanya itu berhati-hati terhadap kelakuan dirinya supaya tidak terkecoh oleh rasa kemegahan yang membendung diri atau terganggu oelh tipu daya syaitan.

Kita memohon Allah yang Maha Mulia supaya memberikan kita pertolongan dari taufiqNya yang sempurna, Amin.

Sumber : Mau’izhatul Mu’minin min
“IHYA’ ULUMIDDIN”

==Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali==
(Bimbingan Mu’min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama)