SOLAT BERJAMAAH

Fardhu kifayah

Solat berjamaah bagi solat fardhu 5 waktu hukumnya fardhu kifayah ke atas orang Islam lelaki dalam satu-satu kawasan perkampungan atau perumahan. Bagi menyempurnakan kewajipan fardhu kifayah itu, hendaklah didirikan solat berjamaah setiap waktu di kawasan tersebut, sama ada di surau, masjid atau di rumah.

Jika dalam satu kawasan perkampungan atau perumahan itu tiada umat Islam yang mendirikan solat berjamaah setiap waktu, maka berdosalah semua orang Islam lelaki di kawasan perkampungan atau perumahan tersebut. Sebaliknya jika ada beberapa orang yang mengerjakan solat berjamaah itu maka terlepaslah dosa kesemuanya.

Sunat Muakkad

Bagi setiap orang Islam pula, solat berjamaah adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dikuatkan atau digalakkan. Selain daripada mendapat ganjaran pahala yang banyak, solat berjamaah mengandungi hikmah meningkatkan syariat Islam di samping memperteguhkan perpaduan ummah.

Hikmah Berjama’ah

Solat berjama’ah mengandung faedah dan manfaat yang bervariasi sesuai dengan kepentingan umat dan zaman. Melalui jamaaah, silaturrahim antara umat, disiplin, dan berita-berita kebajikan dapat dikembangkan dan disebarkan luaskan.

Mereka yang mengerjakan solat berjamaah mendapat kelebihan ganjaran atau pahala sebanyak 27 kali ganda dari solat bersendirian sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W,

“Solat berjemaah itu lebih afdhal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda”.

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim , dari Ibnu Umar

Solat berjama’ah adalah solat yang dilakukan secara bersama, dipimpin oleh yang ditunjuk sebagai imamnya. Solat-solat yang boleh dikerjakan berjama’ah adalah:

  1. Solat Lima Waktu: Subuh, Zhuhur, Ashar, Maghrib dan Isya

  2. Solat Jum’at

  3. Solat Tarawih

  4. Solat Ied Fitri dan ‘Idul Adha

  5. Solat Jenazah

  6. Solat Istisqa (Minta Hujan)

  7. Solat Gerhana Bulan dan Matahari

  8. Solat Witir

Cara Melakukan

Berniat dalam hati bahawa ia menjadi makmum atau iman. Adapun seseorang yang pada mulanya solat sendirian, kemudian ada orang lain yang mengikuti di belakangnya, baginya tidak dituntut sebagai imam.

Makmum tidak dibenarkan mendahului imam, baik tempat berdirinya maupun gerakannya selama solat berjama’ah berlangsung. Makmum diharuskan mengikuti sikap/gerak imam, tidak boleh terlambat apa lagi sampai tertinggal hingga dua rukun solat.

Apabila makmum menyalahi gerakan imam (sengaja tidak mengikutinya) maka putuslah arti jama’ah baginya; dan ia disebut mufarriq.

Antara imam dan makmum harus berada dalam satu tempat yang tidak terputus oleh sungai atau tembok mati kerana itu berjamaah melalui radio atau seumpamanya dalam jarak jauh, tidak memenuhi syarat berjamaah.

Imam hendaklah orang yang berdiri sendiri, bukan orang yang sedang makmum kepada orang lain. Selain itu, imam hendaklah seorang laki-laki. Perempuan hanya dibenarkan menjadi imam sesama perempuan dan anak-anak.

Solat berjamaah hukumnya sunnah muakkad yaitu sunnat yang sangat dianjurkan. Perbedaan nilai solat berjamaah, 27 kali lebih baik daripada solat sendirian (munfarid). Solat berjamaah paling sedikit adalah adanya seorang imam dan seorang makmum.

Bila seseorang terlambat mengikuti solat berjamaah, hendaklah ia segera melakukan takbiratul ihram, lalu berbuat mengikuti imam sebagaimana adanya. Bila imam sedang duduk, hendaklah ia duduk, bila iamam sedang sujud iapun harus sujud; demikian seterusnya. Apabila imam sudah memberi salam, hendaklah ia bangun kembali untuk menambah kekurangan raka’at yang tertinggal dan kerjakanlah hingga raka’atnya memenuhi.

Ukuran satu rakaat solat ialah ruku’. Bila seseorang mendapatkan imam ruku dan dapat mengikutinya dengan baik, maka ia mendapatkan satu rakaat bersama imam.

Rasulullah s a.w. bersabda: “Apabila seseorang di antara kamu mendatangi shalat, padahal imam sedang berada dalam suatu sikap tertentu, maka hendaklah ia berbuat seperti apa yang sedang dilakukan oleh imam”. (HR Turmudzi dan Ali r.a. )

Syarat-syarat sah solat berjamaah

  1. Makmum wajib berniat mengikut imam. Takbiratul ihram makmum mestilah kemudian dari imam.

  2. Imam hendaklah berdiri di hadapan.

  3. Imam hendaklah orang yang betul bacaan fatihahnya. Tidak sah menjadi imam jika tidak betul bacaan Fatihahnya, sedangkan ada makmum yang lagi baik dan betul bacaannya.

  4. Makmum tidak boleh mendahului imam hingga 2 rukun fi’li (rukun perbuatan seperti ruku’ atau sujud), dan jangan terkemudian dari imam hingga 2 rukun fi’li juga.

  5. Makmum hendaklah mengetahui segala perbuatan dan perlakuan imamnya, sama ada dengan cara melihat ,mendengar suaranya atau suara mubaligh nya.

  6. Imam dan makmum hendaklah berhimpun dalam satu tempat seperti masjid , rumah atau surau. Tidak sah berjamaah jika terlalu jauh antara imam dan makmum hingga tidak dapat didengar atau dilindungi bangunan, dinding atau pintu yang tertutup. Tetapi jika ditempat lapang seperti di padang, maka jarak antara imam dan makmum atau antara barisan makmum dengan saf terakhir, tidak lebih dari 300 hasta.

  7. Imam hendaklah orang lelaki , kecuali jika semua yang solat itu perempuan, maka orang perempuan boleh beriman kepada orang perempuan.

Syarat-syarat menjadi imam

  1. Hendaklah diutamakan orang yang baik bacaan Al-Qurannya. Ini mengikut sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud, “ jika mereka bertiga, seorang dari mereka hendaklah menjadi imam, sedangkan ia adalah orang yang terpandai dalam bacaan Qurannya (di antara mereka). Seterusnya dalam hadis yang lain dinyatakan, jika mereka sama baik bacaan Qurannya maka orang yang terpandai dalam hadis nabi hendaklah menjadi imam.

  2. Imam hendaklah lelaki melainkan jika semua jamaah adalah perempuan, maka wanita boleh jadi imam pada wanita.

  3. Imam hendaklah sudah mumayyiz. Ini bermakna kanak-kanak lelaki yang telah mumayyiz hendaklah menjadi imam kepada lelaki dewasa jika kanak-kanak tersebut lebih baik bacaan Qurannya. Demikian juga jika jamaahnya wanita, maka kanak-kanak lelaki yang mumayyiz hendaklah menjadi imam.

Imam adalah ikutan, demikian pengertiannya. Untuk menjadi seorang imam diperlukan beberapa persyaratan yang mengikat. Misalnya memiliki usia yang lebih tua atau dituakan, memiliki pengetahuan tentang Al Quran dan hadits Rasulullah s a.w., memiliki keindahan bacaan dengan ucapan yang fasih (kalau di zaman Rasulullah s a.w., peribadi-peribadi yang lebih dahulu hijrah diperhatikan untuk menjadi imam.

Kerana imam adalah ikutan, maka pemilihan peribadi amat diperhatikan. Pro dan kontra yang berlebihan atas seseorang imam kerana dosa besarnya yang menonjol, pasti akan membubarkan jama’ah. Adapun dalam kesalahan umum, maka semua manusia tidak suci dari dosa. Seorang yang biasa menjadi imam, maka tidak ada salahnya untuk sewaktu-waktu ia berada di belakang imam yang lain. Walau dia sendiri mungkin lebih baik dari imam yang bersangkutan.

“Dari Abdullah bin Masud, dia berkata: Rasulullah s a.w. bersabda: “Menjadi Imam dari suatu kaum ialah mana yang lebih baik bacaan Al Qur’annya. Bila semuanya sama bagusnya, hendaklah imamkan mana yang paling alim (banyak tahu) akan sunnah Rasul. Kalau semuanya sama alim tentang sunnah Rasul, maka dahulukan mereka yang lebih dulu hijrah. Kalau mereka sama dahulu hijrah, maka iammkanlah mereka yang lebih tua usianya” (HR Imam Ahmad dan Muslim, dari Abdullah bin Mas’ud).

Kalau mereka ada bertiga, hendaklah diimamkan seorang. Yang lebih berhak menjadi imam ialah yang lebih banyak bacan (tahu tentang bacaan Al Qur’annya)”. (HR Imam Muslim, Ahmad dan Nasa’i dengan sumber Abi Said Al-Khudry).

Tidaklah halal bagi seorang mukmin yang imam kepada Allah s.w.t. dan hari akhir yang mengimami sesuatu kaum kecuali atas izin kaum itu. Dan janganlah ia mengkhususkan satu do’a untuk dirinya sendiri dengan meninggalkan mereka. Kalau ia berbuat demikian, berkhianatlah ia kepada mereka”. (HR Abu Daud dari Abu Hurairah)

Keadaan Shaf

Solat salah satu ibadah yang menghubungkan peribadi kepada Allah s.w.t., dan juga mengatur hubungan sesama manusia. Solat yang baik mendatangkan tamsil yang indah dan berguna.

Shaf yang baik akan menghemat tempat, merapikan barisan dan kesatuan jamaah serta mendatangkan nilai tambah bagi ibadah itu sendiri, bahkan menjadi cermin disiplin kehidupan dan pergaulan.

Rasulullah s a.w. bersabda: “Aturlah shaf-shaf kamu dan dapatkanlah jarak antaranya, ratakanlah dengan tengkuk-tengkuk”. (HR Imam Abu Dawud dan An Nasa’i disahihkan Ibnu Hibban dari Anan).

Sering orang mengira bahawa shaf yang baik adalah shaf yang dilakukan secara santai-lapang. Tidaklah demikian sebenarnya.

Susunan saf

Jika makmum hanya seorang lelaki, sama ada dewasa atau kanak-kanak maka makmum itu hendaklah di sebelah kanan imam dan terkebelakang sedikit, seperti di bawah;

Lanjutan dari keadaan pertama di atas, jika datang  seorang lelaki untuk menyertai solat berjamaah itu maka ia hendaklah berdiri untuk solat, tepat di belakang imam. Makmum yang mula-mula tadi hendaklah berundur ke belakang lalu menjadi lurus dalam saf makmum yang terakhir tadi. Lihat gambarajah di bawah;

Jika makmum bercampur lelaki dan perempuan maka kedudukan saf adalah seperti berikut;

Jika jamaahnya hanya satu wanita, maka makmum wanita itu hendaklah di saf kedua belakang dengan memberatkan ke sebelah kiri. Saf pertama (saf belakang imam) kosongkan untuk memberi tempat jika ada makmum lelaki (masbuq) masuk berjamaah.

Jika makmum adalah kanak – kanak lelaki dan wanita dewasa, kedudukan saf adalah seperti berikut;

Jika jamaah itu mengandungi semua peringkat, maka susunan saf adalah seperti berikut;

Untuk Shaf yang Baru

Bila shaf terisi penuh, maka mulailah dengan shaf yang baru dari arah sebelah kanan Imam. Bila yang terbelakang hanya seorang diri, maka usahakanlah ia dapat masuk shaf yang sudah ada; atau tariklah seorang anggota shaf yang ada untuk menemaninya (yang ditarik pasti mahu, andaikan ia mengerti tata tertibnya).

Shaf Kaum Wanita

Shaf kaum wanita sebaiknya terletak di belakang shaf kaum lelaki, sementara shaf anak-anak berada di tengah; demikian bila dimungkinkan. Bila tidak, shaf makmum lelaki dan wanita bisa diatur secara sejajar; atau mungkin tercampur sama sekali, bagaikan jamaah musim haji di masjidil Haram, Makkah. Shaf yang bercampur baur sebenarnya kurang baik, bahkan mudah mengandung fitnah; sementara solat itu sendiri mencegah kekejian dan kemungkaran, yang akan mendatangkan fitnah, apalagi jika melakukan solat.

Rasulullah s a.w. bersabda: “Sebaik-baiknya shaf kaum lelaki itu di depan, dan seburuk-buruknya ialah di bahagian belakangnya, dan sebaik-baiknya shaf kaum wanita itu ialah pada bahagian akhirnya dan sejelek-jeleknya ialah di bahagian depannya”. (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah).

Pengganti Imam

Bila solat berjamaah, sebaiknya orang yang di belakang imam adalah mereka yang merasa dirinya siap sebagai pengganti, bila tiba-tiba imam mendapat halangan, umpamanya batal, jatuh sakit, lupa ingatan, terlupa rukun dan sebagainya. Apabila seseorang solat di sebuah masjid di luar asuhan atau daerahnya sendiri, maka dia tidak boleh langsung bertindak menjadi imam, kecuali bila diminta. Mungkin saja di sana sudah ada jadual imam tetap. Begitu pula bila ia bertamu, kerana yang paling hak menjadi imam adalah tuan rumah sendiri, kecuali bila ia diminta.

Imam Yang Arif

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s a.w. bersabda: “Manakala seseorang di antara kamu solat bersama-sama orang banyak, maka hendaklah ia meringankan (memendekkan) bacaan surah atau ayat-ayatnya. Mungkin ada di antara jama’ah yang tidak tahan lama berdiri, ada yang sakit, atau ada yang sudah tua. Dan manakala seseorang dari kamu itu solat sendirian, maka silakan ia memanjangkan bacaan sekehendaknya”. (HR Bukhari dan Muslim).

Khutbah dipendekkan dan solat diperpanjang, demikian petunjuk Rasulullah s a.w. Di pejabat, pekerja dibatasi oleh waktu, maka khutbah yang pendek sangat tepat dan bermanfaat. Khutbah yang seakan-akan cerita bersambung, membosankan, akhirnya jama’ah berbual dan mengantuk.

Beberapa adab berjemaah

Di belakang imam hendaklah ada seorang yang baik bacaan Al-Qur’annya, supaya dia dapat mengganti imam jika berlaku keuzuran padanya.

Semua makmum hendaklah meluruskan saf di samping berdiri rapat-rapat antara satu sama lain.

Penuhkan terlebih dahulu saf di hadapan.

Apabila membuat saf baru, mulakan dari tengah-tengah.

Semua bacaan dan perbuatan makmum dalam solat hendaklah terkemudian sedikit daripada imam ( tidak boleh dahului imam ).

Selain dari bacaan Amin , semua bacaan makmum hendaklah dilafazkan dengan suara perlahan, sekadar dapat didengar oleh telinga sendiri. Dengan demikian tidak mengganggu jemaah di sebelahnya. Bacaan Amin yang boleh disebut dengan suara agak kuat (jahar) bersama-sama imam ialah setelah imam selesai membaca Fatihah yang dijaharkan iaitu pada dua rakaat  awal solat Maghrib, Isya’, Subuh, Juma’at, Aidilfitri atau AidilAdha.

Makmum hendaklah memberi peringatan kepada imamnya yang terlupa dengan cara mengucap tasbih  (Subhanallah) bagi lelaki dan dengan cara menepuk tangan kanan ke belakang tangan kiri bagi wanita.

Imam hendaklah melaksanakan setiap rukun solat dengan tertib dan toma’ninah supaya makmum dapat mengikutinya dengan sempurna.

Makmum Masbuq dan Muafiq

Makmum Muafiq ialah makmum yang masuk solat berjemaah di belakang imam setelah imam itu selesai mengangkat takbiratul ihram  dan mempunyai waktu yang cukup untuk membaca Al-Fatihah  dalam raka’at pertama. Makmum ini dikira jemaah yang sempurna dan tidak perlu menambah raka’at selepas imam memberi salam.

Makmum Masbuq pula iaitu makmum yang baru masuk berjemaah tetapi tidak sempat membaca Al-Fatihah kerana imam telah ruku’ dan i’tidal. Demikian juga jika ia masuk berjemaah ketika imam sedang sujud, duduk antara dua sujud atau sedang membaca tahiyyat. Makmum Masbuq ini terbahagi kepada keadaan-keadaan berikut;

  • Jika makmum belum selesai membaca Al-Fatihah sedangkan imam telah ruku’, maka makmum hendaklah selesaikan membaca Fatihah itu dan terus ruku’. Ini diharuskan kerana belum tertinggal 2 rukun fi’li.

  • Jika makmum baru selesai takbiratul ihram lalu imam pun ruku’ maka makmum ini tidak perlu lagi membaca Al-Fatihah. Ia boleh terus ruku’ mengikut imam  dan memperolehi raka’at yang sempurna.

  • Jika makmum masuk berjemaah ketika imam sedang sujud, duduk antara dua sujud atau sedang membaca tahiyyat maka setelah takbiratul ihram, makmum hendaklah terus mengikut apa yang imam sedang lakukan. Makmum tidak perlu tunggu sehingga imam berdiri ataupun kelam-kabut mengejar imam dengan melakukan ruku’, i’tidal atau sujud dengan cepat. Makmum boleh menambah raka’at yang kurang setelah imam selesai beri salam.

Lain-lain keadaan

  • Jika menjadi makmum Masbuq ketika imam sedang mulai membaca tahiyyat awal solat fardhu Maghrib, maka ia akan membaca tahiyyat sebanyak 3 kali iaitu tahiyyat awal (2 kali) di raka’at pertama dan kedua, dan tahiyyat akhir di raka’at yang ketiga. Demikian juga jika masuk masbuq ketika imam sedang tahiyyat awal solat fardhu Zohor, ‘Asar atau ‘Isya’.

  • Jika masuk masbuq ketika imam sedang membaca tahiyyat akhir pada solat fardhu Subuh maka anda akan membaca tahiyyat 2 kali dalam solat subuh iaitu di raka’at pertama anda yang bersama imam dan di raka’at kedua. Demikian juga anda membaca do’a qunut 2 kali iaitu bersama imam di raka’at yang pertama dan di raka’at kedua anda sendiri.

  • Jika anda sedang solat fardhu bersendirian di masjid atau surau, tiba-tiba datang ramai orang mendirikan solat berjemaah maka anda tidak perlu memutuskan solat anda untuk menyertai jemaah tersebut. Anda sekadar perlu berniat masuk berjemaah, demikian menurut pendapat Imam Syafi’e.

Ringkasan

  • Kalau solat di rumah, maka tuan rumah lebih berhak menjadi imam, kecuali tuan rumah mempersilakannya.

  • Orang yang bagus bacaan Al-Qurannya lebih diutamakan untuk menjadi imam.

  • Bila solat telah berlangsung, mereka yang datang belakangan terus saja mengikuti imam yang sudah ada.

  • Imam sedapatnya orang yang lebih disukai makmum, kerana iman itu dipilih untuk diikuti.

  • Imam sahabat rawatib, sebaiknya oleh imam yang biasa ditetapkan, kecuali ada kesepakatan menunjuk orang lain sebagai imam.

  • Imam yang fasih lebih utama, sebagai halnya seorang yang dituakan, baginya amat layak menjadi imam dalam solat.

  • Imam itu bertanggung jawab atas makmumnya, kerana itu seorang imam harus tahu benar dengan kedudukannya.

  • Orang makmum yang tepat berada di belakang imam, hendaklah seorang yang amat tahu dalam masalah ibadah yang sedang dilakukan. Mereka harus bertindak tepat pada saat imam batal, salah, lupa dan sebagainya. Bila perlu ia berhak menggatikan imam, sekalipun imam berkeberatan atau tidak tahu tentang kesalahannya.

  • Seorang di belakang imam berlaku sebagai barometer, berhak meluruskan baris atau shaf di kanan dan kirinya.

  • Apabila selesai solat, imam segera duduk mengarah ke jama’ah. Sebaiknya imam berdzikir secara pelan dan kusyu’, dan jama’ah pun berdzikir atau berdoa sesuai kata hatinya; demikian yang terbaik.

  • Bila imam berdoa, diaminkan atau tidak diaminkan, doa imam sudah membawa kepentingan jama’ahnya.

Wallahua’lam


Sumber :

1. Panduan Lengkap Ibadah Solat – Hj Johari Hj Alias, Darul Nu’man.

2. Panduan Lengkap sembahyang

About these ads